Showing posts with label PRK. Show all posts
Showing posts with label PRK. Show all posts

Saturday, June 18, 2016

PRK Kuala Kangsar Lebih Hangat Berbanding Sungai Besar


Kehangatan pilihan raya kecil (PRK) kali ini nampaknya lebih 'meruap' di Parlimen Kuala Kangsar berbanding Sungai Besar.

Kejadian seorang lelaki mengherdik dan mencekak leher baju Ketua Dapsy Perak, Howard Lee Chuan How di hadapan sebuah sekolah kira-kira jam 11.15 pagi tadi membuktikan kehangat sedemikian.

Lelaki tersebut turut cuba untuk menumbuk ADUN Pasir Pinji sambil beberapa lelaki lain di kawasan sekitar cuba mententeramkan keadaan.

Video menunjukkan lelaki berkenaan melaungkan "Apa lu cakap, apa lu cakap, apa lu cakap, apa lu cakap, apa lu cakap!"

Dalam satu kanyataan, Howard menyatakan rasa kesal terhadap insiden itu dan beliau tidak boleh menerima sebarang bentuk provokasi seperti itu.

Menurutnya, penyokong lawan melakukan provokasi dengan menjerit 'balik, balik, balik Tongsan' sebaik melihat beliau dan rakan lain berada di situ.

"Apabila ditanya kepada siapa mereka cakap sebegitu, mereka terus melakukan provokasi beramai-ramai sampai menghalang kenderaan daripada melintas jalan. Bila diminta supaya jangan biadab, ketua rombongan mereka balas dengan bersikap samseng, mencekik saya dan hendak menumbuk saya.

Beliau turut kesal kerana dengan tindakan ahli MCA yang melihat sahaja insiden itu namun beliau merasakan itu bukanlah perkara luar biasa.

Nasib baik tiada individu yang cedera dalam “perang mulut” itu dan petugas Barisan Nasional (BN) yang enggan dinamakan menyifatkan insiden itu sebagai pertengkaran biasa antara parti politik ketika pilihan raya.


Petang semalam, pergaduhan tercetus antara penyokong PAS dan penyokong BN menyebabkan seorang penyokong BN cedera di kepala.

Faizul Fadli Yaakob, 31 tahun, cedera di kepala sehingga terpaksa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar akibat didakwa dipukul dengan kayu oleh seorang penyokong PAS.

Dalam rakaman yang dikongsikan di halaman Facebook Friend of PAS, pergaduhan itu tercetus di hadapan Bilik Gerakan PAS UPU Taman Bunga Raya.

Dalam rakaman itu, sejumlah sepuluh penyokong BN bertikam lidah dengan penyokong-penyokong PAS.
“Jangan kacau markas kami. Kami tak kacau markas kamu. Biarkan,” kata seorang perempuan dipercayai penyokong PAS, cuba meredakan keadaan.

Menurut adik mangsa, Mohd Faris Solehin Yaakob, 23 tahun, yang terlibat dalam pergaduhan, ia bermula apabila rombongan yang diketuai MB Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman singgah ke markas PAS ketika berkempen di rumah sekitarnya.


Di Kuala Kangsar juga, bekas Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Ramly Zahari hari ini membuat laporan polis mendakwa nombor telefon bimbitnya digodam pihak tidak bertanggungjawab dan menyebarkan kenyataan berbaur fitnah.

Katanya beliau menyedari perkara itu selepas menerima balasan 30 khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada individu tidak dikenali, kira-kira 10.30 malam tadi.

Seorang lelaki menghubungi beliau dan bertanyakan identitinya selain mengatakan mengapa beliau menghantar SMS dengan menggelar seseorang dengan nama tidak baik.

"Dalam SMS itu, seolah-olah saya mengutuk dan menggelarkan mereka dengan pelbagai gelaran tidak elok jika mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar hari ini," katanya.

Beliau membuat laporan pada kira-kira 11 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, di sini.

Ramly berkata beliau terpaksa menamatkan talian telefon bimbitnya itu dan meminta siasatan dapat dilakukan bagi mengenal pasti individu yang tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan itu.


Ketua Polis Negeri Perak, Datuk Seri Abd Rahim Hanafi bercakap pada sidang media pada hari pengundian Pilihanraya Kecil Kawasan P067 Kuala Kangsar di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin berkata pihaknya menerima 29 laporan bermula hari penamaan calon sehingga tamat tempoh berkempen dalam PRK Kuala Kangsar.

Ddaripada jumlah itu, tujuh kertas siasatan dibuka. Terbaru adalah melibatkan sedikit kekecohan melibatkan dua penyokong parti malam semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Keterangan mangsa dan saksi sudah diambil. Kami akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin.

Menurutnya seramai 3,000 anggota termasuk pegawai bertugas pada hari pengundian hari ini.

"Kami mula bertugas sejak 6 pagi. Mereka di tempatkan di lokasi-lokasi yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin.

Abdul Rahim menyifatkan, PRK ini merupakan yang terbaik sepanjang pengalamannya mengendalikan pilihan raya negeri.

"Sejak hari penamaan calon sehingga semalam, sebanyak 161 ceramah dan tidak ada gangguan daripada mana-mana mihak. Rakyat Malaysia sudah matang dan bagi saya, ini adalah pilihan raya yang terbaik,"
 
Pengundi paling tua di Sungai Besar
Di SUNGAI BESAR: sejak hari penamaan calon sehingga 1 petang tadi sebanyak 21 laporan polis diterima antaranya melibatkan kesalahan membakar dan menconteng poster, menaikkan papan iklan berbau fitnah, mencuri dan mengadakan ceramah tanpa permit.

Polis turut mengingatkan penyokong parti yang menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen Sungai Besar, agar tidak melakukan sebarang perarakan bagi meraikan kemenangan mereka selepas pengumuman rasmi dibuat malam ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata ini kerana tindakan sedemikian dikhuatiri boleh mencetuskan perkara yang tidak diingini selain menimbulkan rasa tidak puas hati dalamn kalangan penyokong parti yang kalah.

Abdul Samah turut memuji perjalanan kempen dan pengundian di PRK Sungai Besar yang disifatkan antara yang teraman.


Mengenai perjalanan proses mengundi hari ini, Abdul Samah berkata setakat ini ia berjalan lancar dan seramai 4,546 anggota polis dikerahkan bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam sehingga pengundian berakhir 5 petang tadi.

Thursday, June 2, 2016

Wanita Umno – RUU Tidak Beri Kesan Kepada BN


Pembentangan usul Rang Undang-undang Persendirian berkaitan RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 tidak akan memberi kesan kepada BN meraih sokongan pengundi bukan Melayu dalam dua pilihan raya kecil (PRK) pada 18 Jun ini.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata pergerakan itu akan turun padang untuk memberi penjelasan mengenai RUU tersebut kepada pengundi sewaktu berkempen di PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

"RUU ini mungkin menjadi isu tetapi kita akan memberi penjelasan. RUU tersebut sebenarnya bukan hudud seperti yang digempar-gemburkan oleh pihak pembangkang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Festival India Global 2016 di Kuala Lumpur.

Usul RUU dibentangkan  oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang juga ahli Parlimen Marang, di Dewan Rakyat, Khamis lepas.

Shahrizat turut merayu kepada pengundi agar terus memberikan mandat kepada calon BN bagi kedua-dua pilihan raya itu.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, serta Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Datin Mastura Mohd Yazid merupakan calon BN di Kuala Kangsar manakala Budiman Mohd Zohdi, calon BN di Sungai Besar.

Sumber – Bernama

Friday, May 27, 2016

Budiman Bawa Panji-Panji UMNO, BN Pada PRK Sungai Besar


Budiman Mohd Zohdi, 44, anak tempatan yang berasal dari Kampung Sungai Limau di Sungai Besar, dan juga Setiausaha ADUN (Barisan Nasional (BN) Selangor kini membawa panji-panji UMNO dan BN di Parlimen Sungai Besar.

Beliau diumumkan sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini daripada kalangan tujuh nama dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon.

Pada 22 Mei lalu lalu, Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar BN berkata  Selangor mengemukakan tujuh nama untuk dipertimbangkan sebagai calon PRK itu.

Noh  yang juga pengarah PRK Parlimen Sungai Besar, berkata tujuh nama yang dikemukakan itu merupakan anak tempatan, mempunyai latar belakang berkelayakan tinggi dan memenuhi ciri sebagai calon boleh menang dalam pilihan raya itu.

"Tujuh calon yang disenaraikan ini termasuk seorang calon wanita... yang paling muda berusia 30 tahun dan yang agak veteran berusia 60 tahun dan kesemua mereka merupakan anak jati tempatan,” tegasnya.

Ahmad Zahid berkata pemilihan Budiman diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN, selepas mengambil kira pelbagai aspek.

"Apa yang penting, calon ini disenangi oleh semua peringkat terutama akar umbi dan diterima oleh rakan-rakan dari semua kaum.

"Kombinasi semua ini akan menjadi faktor penentu kemenangan BN di PRK Parlimen Sungai Besar nanti.

"Terlalu ramai layak jadi calon dan kita pilih anak tempatan yang boleh jalankan tugas dengan baik, muda, berkaliber serta boleh meneruskan kerja-kerja wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon," katanya.


Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013, Budiman menang kerusi DUN Sungai Panjang selepas menewaskan Mohd Fadzin Taslimin daripada PAS dengan majoriti 2,183 undi. DUN Sungai Panjang berada di bawah Parlimen Sungai Besar.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18 peratus pengundi Melayu, 30.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus pengundi India dan 0.23 peratus pengundi dari kaum lain.

Budiman kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Lawan Budiman setakat ini ialah ADUN Meru sejak 2008, iaitu  Dr Abdul Rani Osman yang merupakan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor.

Sebelum mencerubi politik, Rani menjalankan sebuah klinik swasta 'Fitrah' di pekan Meru.

Beliau yang memiliki ijazah dalam bidang perubatan daripada Universiti Tanta, Mesir menewaskan calon daripada Barisan Nasional Sukaiman Ahmad dengan majoriti 9,079 undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di hadapan kira-kira 500 penyokong parti itu di Markaz PAS Simpang 5, Sungai Besar, malam tadi.

Turut hadir naib presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga pesuruhjaya PAS Selangor, anggota parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang juga ketua pemuda PAS dan Presiden IKATAN Tan Sri Shiekh Kadir Fadzir.

"Ini pilihan raya kecil dan kita memerlukan tokoh yang terjun bersama rakyat.
"Calonnya adalah Dr Abdul Rani Osman. Saya difahamkan, beliau ada darah Banjar dan Jawa. Semua anak Adam," kata Hadi disambut laungan takbir.

Abdul Rani sewaktu berucap berjaya memukau hadirin yang hadir apabila dalam ucapannya turut diselitkan dengan bahasa Jawa. 

Abdul Rani turut menjelaskan bahawa beliau seorang yang penyabar dan berjanji “tidak akan mencampak mikrofon sewaktu berucap”.

"Saya bukan orang yang senang marah. Saya tak akan baling mikrofon," katanya.
Tidak jelas beliau merujuk kepada siapa.

Presiden serpihan PAS - Parti Amanah Negara (Negara) Mohamad Sabu sebelum ini mencuri perhatian selepas membaling mikrofon di atas pentas.


Amanah  akan mengumumkan calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Rabu depan.

"Kita letak banyak nama sebagai calon antaranya Mat Sabu (Presiden Amanah Mohamad Sabu) dan Nizar (Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin)," kata Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad pada sidang media di Shah Alam semalam.

Dua PRK Bukan Referendum Kepimpinan Negara – Perdana Menteri


Pilihan raya kecil (PRK) tidak boleh menjadi referendum kepada kepimpinan negara.

Ini bermakna PRK  di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak boleh dijadikan penanda aras untuk kepimpinan nasional.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.berkata, PRK melibatkan banyak faktor di peringkat tempatan berbanding pilihan raya umum.

"Saya fikir dua PRK ini tidak boleh dijadikan ukuran untuk kepimpinan nasional.

"Tetapi orang selalu anggap begitu, cenderung melihat begitu. PRK adalah pilihan raya yang bersandarkan banyak sentimen tempatan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Kuala Lumpur petang semalam.

Dr Ahmad Zahid ketuai jentera BN
Najib yang juga Presiden Umno bagaimanapun berkata parti itu tidak boleh mengambil mudah dua PRK ini yang akan diadakan pada 18 Jun ini.

Tambahnya momentum kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya di Sarawak baru-baru ini diharapkan dapat dikekalkan dalam kedua-dua PRK itu.


BN  mensasarkan majoriti lebih besar pada PRK pada 18 Jun depan dan kejayaan BN pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini akan menjadi teladan kepada jentera BN untuk dua PRK akan datang ini.

Beliau berkata: "Kita berharap yang terbaik, kita tidak boleh mengambil mudah. Kita perlu bekerja kuat, bekerja sebagai satu pasukan dan fokus dalam mencapai keputusan sebaik mungkin".

Najib berkata "Kita akan mangambil maklum faktor-faktor yang menyumbang kepada kejayaan BN di Sarawak, semoga ia dijadikan sebagai teladan dan juga panduan kepada negeri-negeri lain, bagaimana BN harus membuat persiapan dan tindakan sehingga boleh mencapai kejayaan yang diharapkan," katanya.

Najib yang juga presiden UMNO berkata mesyuarat itu juga membincangkan mengenai persiapan PRK di Kuala Kangsar dan Sungai Besar dan semua jentera BN di peringkat bahagian telah bersiap sedia untuk PRK berkenaan.

"Anggota jentera BN juga mempunyai semangat tinggi dan bermotivasi untuk bekerja keras bagi mencapai kemenangan dan memastikan BN mempertahankan kerusi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar," katanya.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, akan mengetuai jentera PRK BN bagi kedua-dua kerusi Parlimen itu.

Timbalan Perdana Menteri itu akan dibantu Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan barisan kepimpinan tertinggi UMNO yang lain.

Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi Perhubungan BN Negeri Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan menjadi pengarah PRK Kuala Kangsar manakala Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor Datuk Seri Noh Omar akan menjadi pengarah PRK Sungai Besar, kata presiden UMNO. 

Saturday, May 21, 2016

Calon Tempatan, Disukai & Disayangi Sewajarnya Calon Barisan Nasional


Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mempertahankan pendapatnya bahawa anak tempatan merupakan calon terbaik bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Selangor bulan depan kerana mereka lebih memahami kehendak penduduk.

Beliau  tidak nampak calon dari luar kawasan berkenaan yang lebih berpotensi untuk dijadikan calon "payung terjun" oleh Barisan Nasional (BN) di dua kawasan itu.

"Sebaik-baik calon adalah anak tempatan kerana mereka pastinya dapat melaksanakan tugas dengan berkesan serta memahami kehendak rakyat di kawasan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keusahawanan 2016 kawasan Parlimen Padang Rengas semalam.

Mohamed Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus bahawa UMNO akan memberi ruang kepada calon luar dan bukan anak tempatan untuk bertanding dalam kedua-dua PRK itu.

Menjelas lanjut, beliau berkata BN perlu memilih kriteria calon yang boleh menang serta disukai penduduk setempat untuk mempertahankan kedua-dua kerusi Parlimen itu.

"Calon itu mestilah mempunyai 'passion' dan 'dedicated' kerana itu yang boleh menentukan kemenangan BN. Sekarang ini rakyat tidak mementingkan parti, tetapi rakyat memilih calon yang disukai dan disayangi.

"Calon itu juga bukan sahaja boleh diterima oleh Umno Bahagian tetapi mesti diterima oleh parti komponen kerana BN merupakan parti berbilang kaum," kata Mohamed Nazri.

PRK Kuala Kangsar perlu diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lepas. 

Turut terkorban dalam nahas itu ialah Anggota Parlimen Sungai Besar yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon.

Sementara itu,  Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahukan supaya dielakkan pergeseran dan kekal bersatu bagi memastikan BN  kekal mewakili kawasan dua Parlimen berkenaan.

Datuk Seri Ismail Sabri
Beliau memberikan ingatan itu berkata sebarang pergeseran sesama sendiri termasuk soal calon akan menyebabkan BN bakal menghadapi laluan sukar untuk mencapai kemenangan.

"Perlu utamakan parti dalam pilihan raya, kerana dalam pilihan raya adalah soal BN menentang parti pembangkang, dan calon bukanlah perkara utama yang perlu dipertimbangkan," katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berpendapat, soal siapa yang menjadi calon tidak sepatutnya menjadi isu besar kerana sesiapa sahaja yang dipilih oleh pucuk pemimpin harus diterima dan disokong.

"Saya percaya pertandingan pada kedua-dua PRK itu nanti akan sengit ...sebab itu saya tegaskan sikit sahaja perpecahan sesama sendiri boleh menyebabkan kita (BN) menghadapi masalah besar," kata Ismail Sabri.

Seorag lagi anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Irmohizam Ibrahim, pula berkata pertikaian dalam meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil itu  jelas menunjukkan sikap tidak matang pakatan pembangkang.


Beliau berkata pergeseran itu membuktikan politik pembangkang lebih menjurus kepada kepentingan masing-masing parti dan peribadi semata-mata.

"Kerusi-kerusi yang dipertandingkan ini nampaknya menjadi lebih kalut buat pembangkang apabila PAS diberi amaran untuk tidak meletakkan calon," katanya.

Irmohizam, anggota Parlimen Kuala Selangor itu berkata dengan ini, terbukti strategi politik Barisan Nasional (BN) lebih matang dalam menentukan calon pilihan rayanya.

Sehubungan itu, beliau berkata rakyat diminta menilai parti yang ikhlas membantu mereka dan tidak termakan pujuk rayu pembangkang yang ternyata hanya mementingkan kedudukan.

Kedua-dua PRK itu diadakan serentak pada 18 Jun.

Friday, May 13, 2016

Calon BN Di PRK Kuala Kangsar, Sungai Besar "Winnable Dan Likeable" – Zahid


Daripada asalbersamaumno

Penampilan calon setempat diyakini mampu menjadi kunci kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Parlimen Kuala Kangsar, Perak, bulan depan.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yakin ia juga merupakan kehendak rakyat kawasan itu berbanding meletakkan calon luar.

"Ini bukan masa yang sesuai untuk menguji kesetiaan rakyat dengan meletakkan calon dari luar kawasan.

"Walaupun UMNO kawasan Parlimen setuju untuk membawa calon dari luar tetapi kepimpinan tertinggi parti perlu berhati-hati membuat keputusan," katanya mengulas desas-desus bahawa UMNO akan memberi ruang kepada calon luar dan bukan anak setempat untuk bertanding dalam kedua-dua PRK itu.

Beliau yang ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Pasar Seni di sini hari ini, turut menyifatkan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar bukan sahaja sangat penting bagi UMNO dan BN, malah merupakan ujian bagi Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan kepimpinannya.

Zahid mahu calon yang bukan sahaja 'winnable' tetapi juga 'likeable' 
PRK kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan susulan penyandangnya Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, masing-masing terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M.Hussin dengan majoriti 399 undi, manakala Wan Mohammad Khair-il memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar mengalahkan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk Kamilia Ibrahim, (Bebas) dengan majoriti 1,082 undi.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam (13 Mei) menetapkan PRK di kedua-dua kawasan Parlimen itu akan diadakan serentak pada 18 Jun ini, serta menetapkan tarikh penamaan calon pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Mohamed Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata UMNO tidak akan risau mengenai pihak pembangkang dan hanya berusaha keras untuk mempertahankan kedua-dua kerusi Parlimen itu.

Bagi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, BN  akan meletakkan calon yang bukan sahaja 'winnable' tetapi juga 'likeable' pada PRK di dua Parlimen itu.

Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata BN akan menyenarai pendek calon yang berpotensi dan mengumumkan calon bagi kedua-dua kerusi itu seminggu sebelum hari penamaan calon.

"Sebelum memilih calon, kita akan semak latar belakang dengan beberapa agensi agar calon-calon bersih daripada semua unsur negatif," katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Akrab Kebangsaan Kali Ke-7 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar masing-masing dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Katanya, beliau pula akan bertindak sebagai penyelaras bagi kedua-dua bahagian PRK berkenaan dengan dibantu Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurut Ahmad Zahid, persaingan sengit dijangka berlaku bagi kedua-dua kerusi pilihan raya itu memandangkan penyandang terdahulu memenangi kawasan itu dengan majoriti undi yang kecil.

Katanya BN menjangkakan dan mengalu-alukan pertandingan pelbagai penjuru di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, dan telah bersiap sedia untuk menghadapi apa jua keadaan.

"Apa yang lebih penting ialah pengalaman pilihan raya lalu yang cukup mengajar kedua-dua kawasan apabila memperoleh kemenangan yang marginal. Ini menunjukkan bahawa semua bentuk permasalahan dalaman harus diselesaikan sebelum penamaan calon.

"Selain sejauh mana kekuatan pihak lawan, lebih penting ialah soal dan faktor kekuatan dalaman yang perlu dibina semula bagi meraih kemenangan dan memperoleh majoriti tinggi bagi kedua-dua kerusi Parlimen itu," katanya.

Ahmad Zahid berkata jentera BN telah menyusun kerja awal di peringkat pusat daerah mengundi di kedua-dua kerusi Parlimen dan beliau sendiri akan turun padang memastikan ia berjalan lancar serta mengikut perancangan.