Tuesday, October 25, 2016

Hutang Negara Terkawal, Kurangkan Paras Defisit Berperingkat – Perdana Menteri

 


Perdana Menteri semalam mengulangi apa yang sudah dinyatakan pada ucapan Belanjawan 2017 Jumaat lalu bahawa kerajaan ada wang  dan negara tidak bankrap.

Bagaikan tidak puas hati dengan tindakan pembangkang dan pihak tertentu yang terus membuat kenyataan bahawa kerajaan tidak mempunyai wang dan negara bakal bankrap, Datuk Seri Najib Razak menegaskan, anggapan itu  tidak benar.

Najib menegaskan, hakikatnya setiap tahun kerajaan mampu menyediakan bajet yang dapat membantu golongan yang memerlukan.

“Misalnya, Bantuan Rakyat 1Malaysitu ia (BR1M) dinaikkan sehingga RM1,200 serta bantuan kepada pekebun, pesawah, nelayan dan sebagainya secara berterusan,” katanya dalam catatan melalui laman Facebook beliau semalam.


Sementara itu menjawab soalan di Dewan Rakyat pagi semalam, Perdana Menteri  menegaskan kedudukan hutang kerajaan Persekutuan kekal terurus malah dikategorikan sebagai negara keberhutangan se­derhana.

Biarpun begitu, Perdana Menteri menegaskan kerajaan Barisan Nasional terus komited untuk memastikan paras hutang negara tidak melebihi 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi tujuan itu langkah konsolidasi fiskal akan terus diamalkan bagi mengurangkan paras defisit secara berpe­ringkat.

“Hutang yang dibuat oleh kerajaan itu bertujuan membia­yai defisit berikutan kekurangan hasil bagi menampung perbelanjaan pembangunan.

“Pinjaman yang dibuat untuk membiayai perbelanjaan pemba­ngunan adalah perbelanjaan yang produktif dan dapat menyokong pertumbuhan ekonomi serta memanfaatkan rakyat.


Ini termasuk pembinaan sekolah, hospital, jalan raya serta empangan dan secara tidak langsung memberi manfaat kepada sektor swasta melaksanakan pelbagai program dan aktiviti ekonomi,” katanya.

Berikutan kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan masih terkawal, negara dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana.

Secara tidak langsung, ia akan memberi manfaat kepada sektor swasta melaksanakan pelbagai program dan aktiviti ekonomi.

Sehingga  akhir Jun lalu, jumlah hutang negara adalah RM655.7 bilion atau 53 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Daripada jumlah itu, 95.9 peratus atau RM626.8 bilion adalah hutang domestik, manakala 4.1 peratus atau 26.9 bilion adalah pinjaman pesisir.

Perdana Menteri menjawab pertanyaan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Haru Narrashid (BN-Kota Tinggi) yang bertanya berapakah jumlah hutang negara dan jumlah jaminan kerajaan serta apakah tujuannya berdasarkan Bajet 2017.

Menjawab soalan tambahan Noor Ehsanuddin, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mengambil beberapa langkah untuk memastikan perbelanjaan mengurus tidak melebihi daripada hasil bagi mengelak kadar hutang negara meningkat.


Selain itu Najib berkata, kerajaan mesti menentukan bahawa pinjaman itu digunakan untuk mengembangkan ekonomi, menambahkan lagi kegiatan ekonomi negara di samping memberi keutamaan kepada pinjaman dalam negeri.

“Dengan langkah-langkah sedemikian termasuk juga perbelanjaan yang berhemat, cekap dan berkesan serta mementingkan hasil yang berkesan, insya-Allah kita dapat menguruskan hutang negara dalam keadaan yang tepat,” tegas Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment