Sunday, October 30, 2016

Mana Pemuda UMNO, Baju Merah, JMM Dalam Isu Kontroversi SRC?


“Kenapa dibiarkan Straits Times Singapura berkata buruk mengenai negara dan Perdana Menteri dalam isu SRC...ke mana perginya Pergerakan Pemuda UMNO, Baju Merah, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) atau  Kelab N87? Apakah mereka jaguh kampung?”

Kita menunggu pihak yang suka buat laporan polis untuk berbuat demikian terhadap akhbar Republik Singapura, Straits Times mengenai laporannya membabit SRC International Sdh Bhd (SRC).

Ini kerana Straits Times Singapura melaporkan krisis hutang baru menghantui bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International yang meminjam RM4 bilion daripada dana pencen penjawat awam.

Kerana krisis itu, laporan akhbar berbahasa Inggeris Singapura itu mendakwa perunding kerajaan Malaysia sedang membincangkan pengambil alihan aset SRC Ioleh sebuah syarikat China bagi mendapatkan modal baharu untuk membiayai pinjaman 10 tahun Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).

KWAP ialah dana pencen negara untuk 1.6 juta penjawat awam dan menurut laporan itu, SRC boleh menimbulkan masalah baru buat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Juga tindakan akhbar itu memalu dan menjatuhkan maruah SRC apabila mengatakan syarikat itu sedang bergelut membayar faedah tahunan dan bakal menghadapi cabaran pada awal tahun depan, apabila ia perlu membuat pembayaran faedah dan pembayaran balik sebahagian daripada jumlah prinsipal.

Sedangkan, hakikat sebenar ialah spekulasi penjualan aset oleh bekas anak syarikat  1MDB, SRC itu ditolak sebagai usaha pihak tertentu untuk mencipta kontroversi.

Kerana itu, mana Pergerakan Pemuda UMNO, mana pertubuhan bukan kerajaan prokerajaan, termasuk Baju Merah, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) atau  Kelab N87 Wilayah Persekutuan yang sebelum ini sangat suka membuat laporan polis, khususnya terhadap individu yang mempersoalkan 1MDB.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah perlu muncul dengan laporan polis dan membuat bantahan di hadapan Suruhanjaya Tinggi Singapura dengan segera.


Apakah mereka jaguh kampung dan berminat untuk bertelagah sesama sendiri di negara ini tanpa menyedari akhbar di negara jiran tetangga sedang berkata buruk mengenai negara dan Perdana Menteri?

Juga mana perginya media proUMNO dan prokerajaan - tidak kiralah media rasmi, media sosial, bloggers, FBookers  atau apa sekali pun. Tak ada telor?

Sumber Kementerian Kewangan semalam turut menepis spekulasi laporan  berita Singapura yang menguar-uarkan China mahu mengambil alih aset SRC untuk melangsaikan beban hutang syarikat itu.

“Mengapa China perlu jamin keluar SRC semata-mata untuk melangsaikan hutang pokok RM600 juta dan bayaran faedah bagi tahun 2017? Sedangkan jumlah itu boleh diperoleh dari dalam negara dan luar negara,” kata sumber kementerian itu kepada FMT semalam.

Ternyata kini, ada pihak di Singapura yang mahu menjatuhkan maruah SRC dan mengaitkannya dengan Perdana Menteri. Kenapa mereka melakukan sedemikian?

Kenapa akhbar itu beria-ia melaporkan  kononnya perunding daripada Kerajaan Malaysia sedang berusaha untuk mendapatkan China mengambil alih aset SRC International bagi memperoleh modal baharu yang akan membantu membiaya pinjaman 10 tahun SRC yang bernilai RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Amat nyata ia perbuatan jahat dengan niat tidak baik seperti disebut sumber kerajaan Malaysia itu, “Ini satu lagi cubaan untuk mencipta kontroversi sedangkan tiada apa pun.”

SRC International adalah anak syarikat 1MDB yang menjadi milik penuh Kementerian Kewangan. Ia ditubuhkan pada awal 2011 untuk membuat pelaburan strategik sumber tenaga di luar negara.

Dalam laporannya akhbar itu turut mendakwa SRC yang diambil alih Kementerian Kewangan sejak itu, dikaitkan dengan deposit RM42 juta ke akaun peribadi Najib, pada 2013.

Perdana Menteri sudah mengatakan beliau  tidak sedar tentang perkara itu.

Kenapa Straits Times terus mengungkit mengenai perkara itu seolah-olah sama suaranya dengan Sarawak Report.


Akhbar Straits Times turut melaporkan, SRC membayar RM164 juta faedah tahunan kepada KWAP, tetapi perlu membayar RM660 juta tahun depan, dan RM964 juta pada 2018, dalam usaha untuk menyusutkan nilai baki hutang pokok.

Ia memetik seorang eksekutif kewangan yang terbabit dalam penstrukturan korporat di 1MDB yang berkata salah satu pilihan untuk menyelesaikan krisis hutang itu adalah menjual aset dan liabiliti syarikat.

Straits Times melaporkan, SRC perlu selesaikan  hutangnya  dan satu daripada pilihan yang sedang dipertimbangkan adalah penjualan aset dan liabiliti syarikat kepada pihak baru,” kata seorang eksekutif kewangan yang terbabit dalam penstrukturan semula korporat di 1MDB.

Akhbar itu memetik laporan tahunan SRC 2014 yang syarikat itu mempunyai RM305.6 juta pelaburan di Malaysia dan RM3.8 bilion di luar negara serta melaporkan kerugian sebanyak RM164.5 juta bagi tahun kewangan berakhir Mac 2014.

Tetapi sumber Kementerian Kewangan mengulas perkara itu berkata, “Nampaknya individu terbabit tidak berminat untuk mencari cara membantu ekonomi Malaysia sebaliknya mencipta teori palsu untuk menjatuhkan kerajaan dan negara.”

Individu terbabit itu dirujuk kepada seorang eksekutif kewangan yang terbabit dalam penstrukturan semula korporat di 1MDB seperti dalam laporan Straits Times itu.

Laporan Straits Times itu berkata, memetik laporan tahunan SRC 2014, syarikat itu memiliki RM305.6 juta pelaburan di Malaysia dan RM3.8 bilion lagi di luar negara, dan melaporkan kerugian RM164.5 juta bagi tahun berakhir Mac 2014.


Dengan kata lain, semua pelaburan SRC tidak mendatangkan pulang yang baik dan pulangannya merosot begitu teruk.

No comments:

Post a Comment