Saturday, July 23, 2016

Shahrizat - 'Jangan Menangguk Di Air Keruh' Dalam Isu DOJ


Cerita, plot dan skrip yang hampir sama!!!

Wanita UMNO mengingatkan sebarang langkah menangguk di air keruh menggunakan kuasa asing untuk menggulingkan kerajaan mungkin membawa kesan seperti dialami Iraq dan Syria.

Ketuanya Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata kesan daripada tindakan itu bukan saja mengundang konflik malah bakal menyebabkan perang saudara berpajangan.

Dalam kenyataannya berhubung saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) AS terhadap 1MDB, Shahrizat berkata asas utama yang perlu dipegang ialah, seseorang itu tidak bersalah sehingga didapati bersalah oleh mahkamah.

Katanya, Wanita UMNO mengalu-alukan langkah tegas kerajaan untuk terus memberi kerjasama dengan semua pihak dan badan siasatan antarabangsa berhubung isu berkenaan.

Pada masa sama katanya pergerakan itu menolak usaha pihak tertentu yang mahu menangguk di air keruh dengan menggunakan mana-mana kuasa asing untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

"Kesan daripada cara-cara seperti ini tidak akan mampu ditangani seperti yang berlaku ke atas Iraq dan Syria, yang akhirnya bukan saja mengundang konflik bahkan perang saudara berpanjangan," katanya yang juga Ketua Wanita Barisan Nasional dalam kenyataan dikeluarkan semalam.

Dr Ahmad Zahid...kerajaan pandang serius
Rabu lalu DOJ menyatakan langkah mereka mahu menyita pelbagai aset bernilai AS$731 juta yang didakwa diperoleh melalui dana 1MDB dan wang itu dikatakan mengalir ke akaun bank rasmi seseorang dikenali sebagai 'Malaysian Official 1'.

DOJ menyifatkan tokoh itu sebagai "pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia yang juga mempunyai kedudukan berkuasa dalam 1MDB".

Saman sivil itu juga menuntut untuk melucutkan hak sivil pihak terlibat di Los Angeles bagi membolehkan pihak berkuasa AS merampas harta tanah bernilai kira-kira AS$1 bilion (RM4 bilion) yang berkaitan dengan 1MDB.

Turut dinamakan dalam saman itu ialah anak tiri Najib, Riza Aziz dan hartawan kelahiran Malaysia, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Sehubungan itu, bekas menteri kabinet itu berkata, Wanita Umno akan terus memberi sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak memandangkan nama perdana menteri tidak disebut dalam saman sivil tersebut.

"Wanita UMNO  menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan yang telah dipilih secara demokrasi.

"Adalah jelas dalam tindakan sivil berkenaan, nama perdana menteri tidak sama sekali disebut dan hak untuk memberikan keterangan perlu diberikan kepada mereka yang terlibat melalui proses perundangan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mana-mana individu atau syarikat Malaysia yang didapati terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang di mana-mana saja di dunia, bakal berdepan dengan tindakan perundangan.

Menurutnya kerajaan Malaysia komited menyelesaikan isu itu sepenuhnya dan keutamaan diberikan kepada usaha menegakkan keadilan bagi memastikan kepentingan rakyat dilindungi sepenuhnya.

"Apa yang lebih penting ialah kita tidak boleh membiarkan diri kita terjejas dengan tindakan undang-undang itu.

"Rakyat Malaysia perlu terus bersatu dan memberi tumpuan dalam menghadapi cabaran yang mendepani negara kita sama ada di tanah air atau di luar negara. Saya yakin, kita dapat mengatasi masalah 1MDB tidak lama lagi," katanya.

Katanya, kerajaan memandang serius tindakan DOJ AS yang  memfailkan saman pelucutan hak sivil yang berkaitan dengan 1MDB.

Beliau berkata Malaysia menyambut baik usaha DOJ AS dalam memerangi rasuah antarabangsa dan menggesa semua pihak terlibat supaya memberi kerjasama sepenuhnya supaya proses undang-undang dapat dilaksanakan.

Katanya Malaysia sebagai anggota bertanggungjawab Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat global, menghormati proses perundangan bagi bidang kuasa yang berbeza dan kekal komited sepenuhnya dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

"Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ini adalah selaras dengan komitmen kami untuk menggalakkan tadbir urus yang baik, terutamanya dari segi ketelusan dan akauntabiliti.


"Dalam kapasiti saya sebagai Menteri Dalam Negeri, saya boleh mengesahkan bahawa siasatan itu masih dijalankan dalam negara oleh pihak berkuasa yang berkaitan terutamanya Polis Diraja Malaysia," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur semalam.

No comments:

Post a Comment