Friday, November 25, 2016

Apa Nak Bimbang – Pembangkang Tidak Mungkin Mampu Tukar Kerajaan


Jika landskap politik di Malaysia mahu berubah, pembangkang sepatutnya berubah terlebih dahulu.

Jika dalam keadaan sekarang, sukar untuk pembangkang menumbangkan kerajaan, khususnya Barisan Nasional (BN).

Walaupun gambaran suram diberikan ke atas Malaysia berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa  menggoncang keyakinan pelabur asing dan menjejaskan penarafan antarabangsa negara ini, kekuatan BN langsung tidak tergugat

The Economist berpendapat, skandal seumpama itu sepatutnya menyaksikan perubahan pada kadar segera dalam kerajaan.

Bagaimanapun, menurut The Economist masih ramai dalam masyarakat Melayu luar bandar masih menganggap skandal 1MDB adalah urusan terpencil.

Sementara warga kota tertentu masih menyokong kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berbanding pembangkang.


"Jika mahu perubahan, pembangkang yang masih tidak bersatu perlu melakukan kerja lebih baik bagi memenangi hati rakyat.

“Pihak bertelagah mesti mengatasi masalah mereka dan memperkenalkan calon munasabah untuk menggantikan Najib pada pilihan raya umum akan datang.

"Demokrasi di Malaysia sentiasa tidak sempurna, tetapi reputan di institusinya menjejaskan kedudukan di taraf antarabangsa dan juga prospek ekonomi," katanya.

The Economist mendakwa UMNO telah mecipta pelbagai kaedah untuk melindungi pemimpinnya dari pemberontakan dalaman.

"Oleh itu, Najib mendapati mudah untuk menyingkirkan pengkritiknya, melambatkan siasatan parlimen dan menggantikan Peguam Negara yang dikatakan mahu mengenakan pertuduhan terhadapnya.

"Tidak seorang pun di Malaysia yang didakwa atas kehilangan wang 1MDB. Tetapi mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atas seorang ahli politik pembangkang yang cuba mendedahkan skandal itu.

"Editor dan penerbit organisasi berita bebas terakhir di Malaysia berpedapan hukuman penjara di bawah undang-undang yang melarang kandungan tertentu yang diterbitkan dengan 'niat untuk menyakitkan hati'.

“Pesaingnya pula ditutup pada Mac lalu selepas pihak berkuasa mengarahkan laman web itu disekat," katanya.


Najib menafikan beliau menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi, dan mendakwa mereka yang cuba untuk menggulingkan beliau terbabit membuat pertuduhan berkenaan.

Malah, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga telah membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku.

Dalam konteks hubungan keutuhan BN dan pelaburan pula, hari ini ada pendapat mengatakan sseeorang pelabur tidak begitu mengambil berat tentang potensi turun naik ringgit.

Malah, beliau  menjangkakan tampuk kepimpinan negara berada pada 'lebih kurang status quo'.

Bercakap kepada CNBC, Tan Min Lan berkata: "Wujud banyak isu yang melingkari, tetapi pihak pembangkang berada dalam keadaan kucar-kacir, justeru, tidak ada alternatif. Oleh itu, pertukaran kerajaan di Malaysia adalah tidak berkemungkinan."

Tan yang mengetuai pejabat pelaburan Asia Pasifik bagi pengurusan kekayaan UBS berkata demikian sebagai tindak balas ke atas pengatur strategi National Australia Bank (NAB).

Menurut NAB, kegawatan politik tidak akan menjurus kepada berita baik untuk matawang tempatan.

"Krisis politik terus menggelegak dan mungkin menjejaskan keyakinan pelabur dengan spekulasi mengenai pilihan raya yang terus berkumandang," ujarnya.

NAB membuat unjuran dalam nota bertajuk 'Malaysia, truly awkward' yang menyindir slogan pengiklanan pelancongan negara yang berbunyi 'Malaysia, truly Asia'.

Dengan ringgit yang secara berterusan menjunam berbanding dolar AS, Tan kekal positif dengan keadaan itu.

"Kedudukan akaun semasa adalah sangat selesa. Baki fiskal diuruskan dengan baik. Dasar kewangan, di samping, Bank Negara terus mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pelabur antarabangsa," jelasnya kepada CNBC.


Sambil melahirkan keprihatinan terhadap pemilikan asing yang tinggi dalam bon domestik Malaysia - hampir 40 peratus mengikut ukuran tertentu - beliau bagaimanapun berkata, Malaysia masih diberikan penarafan yang baik oleh tiga agensi penarafan kredit utama iaitu Fitch, S&P dan Moody.

Wednesday, November 23, 2016

MCA Tiong Lai Tinggalkan Kabinet Jika RUU 355 Diluluskan


Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai menteri jika Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan Rang Undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) dan ia diluluskan di Dewan Rakyat.

"Pendirian saya adalah sama, dan yang lebih penting, saya masih menegaskan bahawa RUU itu tidak seharusnya dibentangkan oleh Hadi.

"RUU Hadi itu tidak seharusnya disokong kerana jika terdapat RUU yang hendak diluluskan di Parlimen, ia perlu dibentangkan oleh kerajaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, malam Rabu.

Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan, berkata rang undang-undang kerajaan harus 'terpakai dan mengatasi' RUU Hadi.


Beliau menjelaskan bahawa RUU yang akan dibentangkan Hadi diibaratkan sebagai satu jalan untuk Mahkamah Syariah  melaksanakan hukuman hudud di seluruh negara.

Beliau berkata MCA merasakan RUU tersebut adalah bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, ia tidak boleh dibahas dan diluluskan di Parlimen.

Ditanya sama ada MCA akan menyokong RUU kerajaan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah, beliau berkata:

"Jika ada apa-apa keperluan untuk memperkasakan undang-undang Syariah, kami akan menyokong kerana ia boleh diperkasakan melalui RUU kerajaan. Ia tidak boleh dilakukan melalui RUU persendirian.

"Selain itu, kita perlu melihat cadangan itu dan bagaimana kita akan memperkasakannya.

"Jika pemerkasaan itu adalah untuk membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan di negara ini, kita tidak akan menyokongnya," tegas beliau.

Tiong Lai berkata sebarang tindakan memperkasakan undang-undang dan Mahkamah Syariah perlu dilakukan dalam semangat Perlembagaan Persekutuan dan tidak bertindih dengan undang-undang sivil dan mahkamah.


Mengenai cadangan pembentukan satu Jawatankuasa Khas Parlimen untuk mengkaji pindaan bagi meningkatkan hukuman bagi Mahkamah Syariah, Tiong Lai berkata MCA tidak berunding mengenai perkara itu.

Beliau berkata parti akan melihat 'kandungannya' terlebih dahulu.

"Saya mahu lihat apa yang perlu dibincangkan terlebih dahulu.

"Jika ia adalah sesuatu yang, walaupun dari awal-awal lagi sangat tidak logik dan tidak menyumbang kepada pembangunan negara, maka apa gunanya berbincang," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan bersetuju dengan cadangan hukuman PAS seperti 30 tahun penjara dan 100 sebatan, beliau berkata: "Ini semua 'kalau'. Kita tunggu esok (Khamis)."

sumber - mStar

Saturday, November 19, 2016

Tumpu, Bangkit Demi Kemenangan UMNO Pada PRU14


Dua lagi pemimpin tinggi UMNO semalam mengingatkan ahli parti itu bahawa kini adalah suasana ‘genting’ dan kerana itu perlu bekerja keras bagi menjamin kemenangan parti dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta anggota parti supaya tidak mudah merasa selesa sebaliknya perlu bangkit menumpukan usaha untuk berdepan cabaran pada PRU14 akan datang.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mengakui senario politik negara ketika ini genting, mengajak  semua ahli UMNO supaya tidak mengambil kesempatan memburukkan keadaan dalam parti dengan soal remeh, termasuk isu peribadi,  seperti mahu berebut jawatan.

Hishamuddin mahu anggota UMNO menghimpunkan segala kekuatan, memfokuskan pemikiran dan menzahirkan kebersamaan dengan tidak sesekali memperjudikan masa depan parti, agama, bangsa serta tanah air. 

"Dengan azam yang kuat, saya mahu anggota UMNO bangkit dengan semangat luarbiasa bahawa menerusi parti ini kita mempertahankan kedaulatan serta maruah kehidupan rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen UMNO Pahang, semalam. 

Dalam masa yang sama, Hishamuddin turut mengingatkan anggota dan pemimpin UMNO mengetepikan kepentingan peribadi dan kembali merapatkan saf demi kepentingan rakyat dan negara ini.

Kelmarin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled
Nordin mengingatkan, jika UMNO gagal membuat perancangan dan tidak bersiap sedia menghadapi PRU dari sekarang, maka ia mesti bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk kehilangan kuasa.

Justeru itu, semua anggota UMNO Johor perlu memastikan bahawa parti ini kekal relevan, bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi juga bagi masyarakat bukan Melayu.

Menteri Besar Johor itu menganggap PRU14 adalah perjuangan “hidup atau mati” bagi UMNO berikutan serangan demi serangan yang dihadapi parti itu pada masa ini.

Beliau tidak mahu UMNO menjadi bahan kritikan dan senda, kerana yang menyerang UMNO kini bukan hanya musuh tradisi politik tetapi juga ialah mereka yang pernah bersama-sama dengan UMNO.

Demi memastikan parti kekal relevan, beliau memberi saranan agar UMNO mengambil langkah proaktif untuk memperkasa dan memperjuangkan Islam bagi menyatupadukan semua orang Melayu di negara ini.

Hishamuddin pula meminta ahli UMNO menjadi benteng pertahanan UMNO yang kini berhadapan dengan pelbagai cabaran dan serangan daripada segenap penjuru. 

Kata Menteri Pertahanan itu, ujian demi ujian yang dihadapi oleh UMNO dari masa ke semasa mematangkan lagi parti itu untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran yang lebih getir. 

Berikutan landskap politik kini sudah berbeza, sekali gus memerlukan parti melakukan perubahan untuk memastikannya terus kekal releven untuk membela agama, bangsa dan negara.


Ahmad Bashah pula menggesa semua semua pemimpin UMNO di segenap peringkat di Kedah khususnya agar mengenepikan segala isu berkaitan kepentingan peribadi, sebaliknya menumpukan usaha memenangkan parti pada PRU14.

Menurutnya, soal pemuafakatan dalam keluarga UMNO harus terus diperkukuh sebagai resipi paling mujarab untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti.

"Tak kiralah di peringkat bahagian atau sayap, semua masalah yang timbul harus letak tepi. Kita sudah 13 kali menghadapi PRU dan kalau kita nak berjaya, itulah penawar yang paling mujarab dalam menghadapi rakyat apabila kita kembalikan kuasa kepada mereka.

"Soal nak lawan ketua bahagian untuk pemilihan, itu kita tolak tepi dahulu sebab ini bukan masanya. Tumpuan kita haruslah PRU-14 kerana kalau hilang kuasa dalam PRU, menangis pun sudah tak guna," katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Konvensyen UMNO Kedah 2016 di Sungai Petani, semalam.

Ahmad Bashah menggesa semua ahli UMNO, khususnya pemimpin di segenap peringkat di Kedah membuka mata terhadap soal cabaran yang dihadapi parti ketika ini, terutama berhubung realiti yang dipenuhi pelbagai persepsi, tuduhan dan fitnah.


Justeru, beliau mahu Konvensyen UMNO Kedah 2016 digunakan sebaik mungkin sebagai pentas untuk mencari formula terbaik menangani setiap cabaran itu, bagi memastikan matlamat BN Kedah menang lebih banyak kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen direalisasikan.