Saturday, April 22, 2017

Abang Johari - BN Sarawak Yakin Terus Raih Sokongan Pada PRU-14


Barisan Nasional (BN) Sarawak menerima sokongan semua kaum termasuk Cina pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas kerana ia menampilkan dasar-dasar yang baik dan sama rata buat rakyat Bumi Kenyalang.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata berikutan keyakinan rakyat terhadap BN, mereka memberi sokongan meluas hingga banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai majoriti pengundi Cina kembali dimiliki BN.

Sehubungan itu, katanya beliau yakin BN akan terus meraih sokongan itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 nanti.

"Saya yakin boleh tambah lagi kerusi Parlimen BN pada pilihan raya akan datang," katanya pada Sesi Khas Ketua Menteri Bersama Media - 100 Hari dan Seterusnya di sebuah hotel di sini, Sabtu.

Pada PRU13, BN Sarawak membolot 25 daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Sarawak semasa kerajaan negeri diterajui oleh Tan Sri (kini Tun) Abdul Taib Mahmud, yang kini Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Pada PRN lepas, BN Sarawak yang diterajui Tan Sri Adenan Satem mencapai kemenangan besar apabila membolot 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Abang Johari mengambil alih jawatan Ketua Menteri pada 13 Januari lepas berikutan kematian Adenan pada 11 Januari lepas setelah memimpin kerajaan negeri kira-kira lapan bulan.

Ketika ditanya sama ada beliau melihat isu-isu politik di Semenanjung Malaysia ketika ini ''membimbangkan'', Abang Johari berkata beliau tidak tahu ''apa masalah sebenar'' politik di sana.

Namun, katanya beliau sentiasa berkongsi pandangan dengan pemimpin negara mengenai apa yang baik, apa yang perlu dilakukan untuk kemakmuran negara selain mengemukakan fakta rasional termasuk mengekalkan budaya berpolitik Sarawak.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Abang Johari berkata penekanan paling penting dalam era pentadbirannya adalah untuk meneruskan semua polisi yang diilhamkan oleh Allahyarham Adenan dengan yang paling utama adalah membangunkan kawasan luar bandar.

Dalam era perkembangan teknologi yang begitu pesat, beliau berkata kaedahnya mesti diubah suai dengan kerajaan negeri mencari jalan lebih pantas untuk melonjakkan kemajuan ekonomi dan menerapkan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pelbagai bidang.

Sehubungan itu, katanya beliau memperuntuk RM1 bilion bagi menyediakan keperluan infrastruktur khusus untuk meningkatkan kelajuan dan penembusan internet di Sarawak supaya banyak inovasi baru dapat dihasilkan menerusi kreativiti tenaga kerja Sarawak.

"Kita ada banyak kerja di hadapan. Kita perlu lonjakkan kemajuan ekonomi untuk mencapai taraf yang setara dengan kemajuan di negeri lain, malah kita mahukan lebih dari itu," katanya.

Selain itu, Abang Johari berkata rundingan dengan Petronas berhubung usaha menaikkan kadar royalti minyak untuk kerajaan negeri Sarawak tidak pernah dilupakan dalam agenda kerajaan negeri walaupun ia akan mengambil masa ekoran harga minyak merudum ketika ini.

Pada masa sama, katanya kerajaan negeri berusaha menggesa Petronas untuk turut melibatkan usahawan-usahawan Sarawak meneroka industri minyak dan gas menerusi kerjasama dan pendekatan yang strategik.

Kerajaan negeri turut merancang untuk membina Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang menghubungkan bahagian Kuching, Samarahan dan Serian menjelang 2020.

No comments:

Post a Comment