Friday, July 15, 2016

Dr Zahid: BN Akan Guna Taktik Dr Mahathir Terhadap Dirinya


Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak tergugat dengan laporan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad bakal menubuhkan sebuah parti pembangkang baru, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap kepada pemberita dari Ulaanbaatar, Mongolia, Dr Ahmad Zahid berkata UMNO dan BN akan berjuang habis-habisan untuk memastikan ia terus menjadi kerajaan dengan menggunakan segala ilmu yang dicurahkan oleh bekas perdana menteri itu.

"Malahan orang yang mahu menubuhkan parti baharu berkenaan juga suatu masa menjadi pemimpin mengambil tindakan yang sama terhadap musuh-musuh politiknya, jadi atas ilmu politik yang diajar kepada kami, kami akan laksanakan.

"Dan jika orang itu berada di sebalik sana, kita akan lakukan sebagaimana yang beliau lakukan suatu ketika dulu kepada musuh politik beliau," katanya yang dipetik oleh Bernama.


Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan tergugat dengan parti baru Dr Mahathir.

Bekas perdana menteri itu semalam mengesahkan spekulasi bahawa parti baru sedang dalam penubuhan sambil menambah bahawa ia akan menjadi sebahagian daripada gabungan besar pembangkang bagi menentang BN pada pilihan raya umum akan datang.

Dr Mahathir berkata anaknya Datuk Seri Mukhriz, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal, masing-masing telah menyatakan minat untuk menjadi sebahagian daripada parti baru itu.

Dr Ahmad Zahid berkata beliau telah meminta parti-parti komponen BN supaya merapatkan barisan dan menghadapi apa juga cabaran bagi menghadapi pilihan raya umum yang dijangka diadakan dalam masa dua tahun.

"Kita mahu BN terus kukuh, menang dan jadi kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 nanti," katanya.

Menurut beliau, kemenangan BN pada pilihan negeri Sarawak dan pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar membuktikan kerajaan terus meraih sokongan rakyat, namun mereka tidak boleh terlalu yakin.


Kata Dr Ahmad Zahid, walaupun BN tidak menafikan pembangkangmempunyai pengaruh, terpulang kepada rakyat untuk membuat perbandingan dan melihat prestasi pencapaian yang ditunjukkan BN selama ini.

No comments:

Post a Comment