Wednesday, August 3, 2016

Ahmad Said ‘Ibu’ Kepada Kekalutan Politik Terengganu - Ahmad Razif


Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, orang digantinya Datuk Seri Ahmad Said ialah punca kekalutan politik di negeri itu.

Ahmad Razif menarik perhatian bahawa di bawah pentadbiran Ahmad, Barisan Nasional (BN) negeri telah hilang tujuh daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwarisi daripada pentadbiran Datuk Seri Idris Jusoh.

"Ini menjadi ibu segala permasalahan dan ketidakstabilan di Terengganu," katanya dalam satu kenyataan.

Dengan mempunyai hanya 17 daripada 32 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri, Ahmad Razif berkata; "Kerajaan BN Terengganu dilihat sentiasa berada dalam keadaan tidak menentu dan tidak berkeyakinan. 

"Inilah ibu kepada segala permasalahan dan ketidakstabilan yang sedang  melanda politik dan pertabiran kerajaan negeri Terengganu. Apabila sudah tidak kuat kita akan terdedah dengan pelbagai ancaman dalam dan luar," katanya.

Tambah Ahmad Razif, rakyat perlu tahu tentang fakta dan merumuskan bahawa kerajaan BN yang ada di Terengganu sedang berhempas pulas memikul beban tanggungan yang ditinggalkan oleh Ahmad.

Di sebalik kegagalan Ahmad, bekas menteri besar itu dilihat seolah-olah cuba menonjolkan diri sebagai penyelamat pula, katanya.

"Sekarang  tiba-tiba dengan megah mengaku cuba menjadi “penyelamat”. Sepatutnya bekas MB itu membantu saya menstabilkan UMNO dan membuat persediaan menghadapi PRU-14.

"Saya selaku MB dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri terpanggil untuk membuat perincian dengan apa yang telah berlaku dan sedang berlaku kini. Politik negeri Terengganu semenjak saya diamanahkan sebagai ketua kerajaan Terengganu yang bertuah ini.

"Saya telah amati dengan teliti akan segala desas-desus, insiden serta tragedi yang telah berlaku dan sedang berlaku sepanjang pentadbiran saya dengan penuh rasa tawaduk dan reda di atas segala apa berlaku," katanya.

Pada Selasa, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Ghazali Taib mengkritik kepimpinannya dan memberitahu media bahawa kepimpinan tertinggi UMNO perlu mengambil pendekatan dan tindakan segera bagi menyelesaikan apa yang dianggapnya kemelut pentadbiran negeri.

Ahmad Razif mengingatkan anggota atau pemimpin parti yang tidak puas hati dengan kepimpinannya supaya menggunakan kaedah yang betul serta mengelak mengheret seluruh masyarakat menjadi huru hara di atas asas andaian dan ketidakpuasan hati diri sendiri.

Mengambil pendekatan demokrasi, beliau berkata sekiranya rakyat tidak berpuas hati kepada pentadbiran kerajaan yang pilih secara demokrasi, seeloknya mereka menunggu ketibaan pilihan raya umum. 

"Marilah kita bersama-sama menjernihkan keadaan politik negeri Terengganu serta bekerja lebih kuat untuk mendapat kemenangan yang cemerlang pada PRU-14 supaya tidak terjadi seperti PRU-13 lalu dan fokus kepada Pembangunan Negara Bangsa dan Pemasalahaan Rakyat semasa. 

"Saya juga yakin UMNO Terengganu masa kini dalam keadaan stabil dan terurus walaupun ada cerita yang bukan-bukan. Percayalah sebagai mana saya katakan, terserahlah kepada qada dan qadar setelah kita ikthiar bersungguh-sungguh," tegasnya.

Ahmad Razif turut menyatakan bahawa antara sebab Ahmad berundur lebih awal daripada jawatan menteri besar yang disandangnya ialah kerana Ahmad sendiri telah membuat akur janji pengunduran.

"Siapa yang memulakan 'peperangan atau pergelutan ini? ... jelas bekas MB sebelum ini dengan membuat usul undi tidak percaya dalam DUN dan bersekongkol dengan elemen-elemen yang jelas bertentangan dengan kepimpinan pusat serta negeri," katanya. - 

Dalam kenyataannya sebentar tadi, beliau menggariskan tiga perkara bagi membuktikan punca kemelut politik yang melanda Terengganu sekarang.

 1. Siapa yang menyebabkan MB dahulu diberhentikan. Jelas tindak tanduk bekas MB itu sendiri dengan membuat aku janji pengunduran daripada jawatan tersebut lebih awal.

2. Siapa yang meninggalkan `ibu' kepada segala permasalahan ini. Jelas MB sebelum ini. Kalah teruk dalam PRU ke-13 daripada 28 kerusi kepada 17 kerusi sahaja.

3. Siapa yang memulakan "peperangan atau pergelutan ini". Jelas bekas MB sebelum ini dengan membuat usul undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri yang mulia dan bersekongkol dengan elemen-elemen yang jelas bertentangan dengan kepimpinan pusat serta negeri.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau semalam 3 Ogos 2016:


Saya selaku Menteri Besar (MB) Negeri Terengganu Darul Iman dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri terpanggil untuk membuat perincian dengan apa yang telah berlaku dan sedang berlaku kini. Politik negeri Terengganu semenjak saya diamanahkan sebagai Ketua Kerajaan Terengganu yang bertuah ini.

1. Saya telah amati dengan teliti akan segala desas-desus, insiden serta tragedi yang telah berlaku dan sedang berlaku sepanjang pentadbiran saya dengan penuh rasa tawadu' dan redha di atas segala apa berlaku. Semuanya sudah tercatat sejak Azali lagi iaitu "kita hanya mampu merancang, Allah SWT yang menentukan".

2. Saya ingin mengulas beberapa insiden sepanjang kepimpinan saya selaku MB, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Adun Seberang Takir yang akan menjadi sejarah kepada kerajaan, rakyat negeri Terengganu serta anak cucu yang akan datang.

3. Apakah punca sebenar UMNO Negeri Terengganu atau Kerajaan Barisan Nasional Terengganu dilihat sentiasa berada dalam keadaan "tidak menentu dan tidak berkeyakinan".

Puncanya ialah kita kalah teruk pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 lalu. Daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU Ke-12 yang diwarisi kepimpinan terdahulu tinggal 17 kerusi sahaja pada PRU Ke-13. Inilah realiti yang perlu diterima ahli-ahli serta pemimpin UMNO dan rakyat.

4. Inilah ibu kepada segala permasalahan dan ketidakstabilan yang sedang melanda politik dan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu. Apabila sudah tidak kuat kita akan terdedah dengan pelbagai ancaman "dalam dan luar".

Kita diugut, kita dipaksa dan kita di pengaruhi. Saya bukan "superman atau memiliki lampu ajaib" yang boleh membuat sesuatu menjadi lebih cepat dan sempurna dengan sekelip mata.

5. Dan kepada rakan-rakan saya dalam parti yang tidak berpuas hati terhadap cara kepimpinan saya, saya memahami dan menghormati pendirian itu tetapi sebagai orang politik macam saudara juga, saya punyai hak untuk mempertahankan diri dan memperjuangkan apa yang difikir betul.

Saya sentiasa kenal siapa "kawan dan lawan" dalam politik dan mengamalkan keterbukaan bagi mencari kaedah terbaik atas apa-apa juga permasalahan.

6. Fakta tetap fakta. Kesimpulannya kerajaan BN yang ada di Terengganu sedang berhempas pulas memikul beban tanggungan yg di tinggalkan oleh MB lama.

Sekarang tiba-tiba dengan megah mengaku cuba menjadi "penyelamat". Sepatutnya bekas MB itu membantu saya menstabilkan UMNO dan membuat persediaan menghadapi PRU-14.

7. Isu anugerah pingat kebesaran saya ditarik balik oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku, saya sentiasa sedar dan akur bahawa saya ini anak Negeri Terengganu dan Raja saya ialah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Terengganu. Insiden pemecatan pingat kebesaran oleh DYMM Tuanku adalah hak mutlak Baginda terhadap rakyat jelatanya dan menimbulkan keinsafan dalam diri saya.

Namun setiap kejadian ada hikmahnya yang tersendiri. Menginsafkan saya lagi, kita hanya insan lemah yang perlu sentiasa redha dengan apa yang berlaku dan mengambil setiap pengajaran daripadanya.

8. Dan hikmahnya, saya seolah-olah diberi "peluang kedua" oleh Allah SWT untuk terus hidup di dalam dunia politik. Pada kesempatan ini akan saya gunakan dengan sebaik mungkin untuk kepentingan rakyat Terengganu serta ummah demi sifat kemaafan DYMM Tuanku, dan memperkuatkan parti keramat UMNO atas kepercayaan Presiden parti kepada saya.

9. Faktor jawatan MB ini adalah hak mutlak DYMM Tuanku di Negeri dan hak mutlak YAB PM di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Jawatan MB bukanlah jawatan yang boleh diminta atau dipohon sesuka hati. "Adunan dan gabungan" kuasa yang berasaskan perlembagaan negeri perlu berlaku sebelum "terjadinya" perlantikan atau pengguguran seseorang MB.

10. Maka sesiapa sahaja yang mempertikaikan isu perlantikan jawatan atau menggugurkan MB adalah melampaui amalan rakyat yang ada Rajanya kerana jika YAB PM mengarahkan atau DYMM Tuanku menitahkan seseorang MB undur, maka keadaan itu akan berlaku.

Usahlah libatkan unsur-unsur Istana di dalam krisis ketika ini seperti membuat gerakan gelombang kuning dan macam-macam perkara lain yang dilihat cuba mencemarkan Institusi Di Raja.

11. Bagi ahli atau pemimpin parti yang tidak puas hati dengan kepimpinan tertingginya, kita mempunyai kaedah dan cara tertentu dalam menyelesaikan masalah ini. Bukan dengan mengheret seluruh masyarakat menjadi huru hara di atas asas andaian dan ketidakpuasan hati kita sendiri. Contohnya sekiranya rakyat tidak berpuas hati kepada kerajaan yang pilih secara demokrasi, tunggulah tibanya waktu PRU.

Rakyat tidak boleh keluar berarak di tepi jalan raya kerana negara kita ada undang-undang dan peraturan. Sama juga dengan institusi UMNO yang mempunyai struktur peraturan dan undang-undang tersendiri.

12. Sebagai akhir kata, marilah kita bersama-sama menjernihkan keadaan politik negeri Terengganu serta bekerja lebih kuat untuk mendapat kemenangan yang cemerlang pada PRU-14 supaya tidak terjadi seperti PRU-13 lalu dan fokus kepada Pembangunan Negara Bangsa dan Permasalahan Rakyat semasa.

Saya juga yakin UMNO Terengganu masa kini dalam keadaan stabil dan terurus walaupun ada cerita yang bukan-bukan. Percayalah sebagai mana saya katakan, terserahlah kepada qada dan qadar setelah kita ikhtiar bersungguh-sungguh.

No comments:

Post a Comment