Monday, November 9, 2015

Ekonomi Tidak Menentu Bukan Penghalang Malaysia Terus Maju

Malaysia terus maju kehadapan meskipun keadaan ekonomi yang tidak menentu seperti dicerminkan oleh pelaburan langsung asing sebanyak RM22.4 bilion yang dicatatkan dalam separuh pertama tahun ini. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata meskipun mengalami penurunan dalam hasil minyak, negara masih boleh mencapai status negara berpendapatan tinggi dengan menggalakkan keusahawanan.  

"Malaysia merupakan sebuah negara yang maju kehadapan dan saya yakin dengan dasar yang dilaksanakan dan semangat keusahawan yang dimiliki ramai daripada kita, Malaysia akan mencapai aspirasi kita untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya pada pelancaran Naza Tower di Platinum Park, di Kuala Lumpur hari ini.

Bangunan baharu itu akan menempatkan pejabat korporat rasmi konglomerat Bumiputera, Kumpulan Syarikat Naza, bersempena dengan ulang tahun ke-40 kumpulan itu.

Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza SM Nasarudin SM Nasimuddin, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Ahmad Maslan, serta Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

.
Najib berkata dalam menggalakkan keusahawanan, negara perlu menggalakkan rakyat untuk mencari peluang di sebalik setiap masalah yang mana dengan berbuat demikian ia bukan sahaja akan menyediakan peluang bagi diri mereka sendiri tetapi juga mewujudkan kekayaan kepada negara.

Menurut Perdana Menteri, pemegang Permit Import kenderaan (AP) tidak harus hanya bergantung kepada kerajaan untuk memberikan mereka permit berkenaan semata-mata, sebaliknya perlu bijak menggunakan peluang menggunakan AP yang dimiliki untuk mengembangkan perniagaan.

Mengambil contoh syarikat kumpulan Naza, Najib berkata, tidak banyak syarikat Bumiputera yang diberikan AP mampu mencontohi syarikat yang diasaskan oleh Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin itu yang kini berkembang pesat bukan sahaja dalam bidang automotif, tetapi juga sektor hartanah, makanan dan minuman (F&B), termasuk telekomunikasi.

"Bila kita beri AP kepada syarikat Bumiputera, kita hendak mereka gunakan untuk kembangkan perniagaan pada bidang lain. 

 "Tidak banyak yang dapat AP boleh berjaya dalam bidang lain seperti Naza, jadi saya nak ucap tahniah, bukan saban tahun minta AP lagi, minta AP lagi," kata Najib.

Selain perasmian Menara Naza yang terletak bersebelahan dengan Menara Felda di Platinum Park, Naza turut menyambut ulang tahun ke-40 mereka hari ini sejak penubuhannya pada 1975. 

"Menara ini merupakan satu pembangunan bersifat ikonik untuk Kuala Lumpur dan sekali gus pengiktirafan bagaimana Naza Group sejak ditubuhkan 40 tahun lalu muncul sebagai sebuah konglomerat Bumiputera yang kita boleh banggakan," kata Najib.

Menurutnya, bermula dengan perniagaan kedai roti di Kuala Pilah ,syarikat itu kini bertapak di Platinum Park, pusat komersil paling berjaya di negara ini selepas menceburi pelbagai cabang perniagaan.

Menjadikan Kumpulan Naza sebagai contoh, Najib berkata, syarikat berusia 40 tahun itu muncul antara syarikat bumiputera strategik di Kuala Lumpur.

Terletak di lokasi strategik di Persiaran KLCC, pejabat Naza Tower gred Asetinggi 50 tingkat itu merupakan sebahagian daripada Platinum Park, yang juga menempatkan Menara Felda dan Menara TH.

Keseluruhan pembangunan bersepadu Platinum Park, yang dibangunkan oleh NazaTTDI, memiliki nilai pembangunan kasar kira-kira RM4 bilion.

Naza Tower dihuni pejabat-pejabat syarikat utama, hotel 6 bintang dengan pangsapuri perkhidmatan penuh dan kediaman mewah.

Pada 2012, menara itu dianugerahkan Seni Bina Pejabat Terbaik oleh International Property Awards, Asia Pacific.

Beliau turut berkata, bukan mudah untuk sesebuah syarikat berkembang selepas kematian pengasasnya, yang mana berjaya dilakukan oleh syarikat Naza. 
"Saya ucap tahniah setinggi-tingginya kepada Naza. Bukan mudah mencapai kejayaan, saya ada beberapa sebab mengapa saya boleh berkata demikian, kerana pertama dalam konteks kejayaan syarikat Bumiputera, Naza boleh dianggap antara syarikat konglomerat Bumiputera paling berjaya. 

"Kedua, kejayaan ini merentasi dua  generasi, dari pengasas SM Nasimuddin, kepada anak-anaknya. 

"Kita dapat melihat perjalanan merentasi dua generasi dan dapat kekal dan terus berkembang maju ke hadapan. Ada syarikat tidak mampu bertahan melebihi zaman pengasasnya," kata Najib. 

Sehubungan itu, beliau berkata, pencapaian oleh Naza adalah sesuatu yang perlu dibanggakan.

No comments:

Post a Comment