Tuesday, November 10, 2015

Kepimpinan Baharu MIC Perlu Bersatu Demi Menyelamatkan Parti


 "Parti itu (MIC) hanya akan kekal relevan dalam Barisan Nasional (BN) jika kepimpinan baharu menjadikan aspek perpaduan sebagai keutamaan dalam parti...jika kekal bersatu dan boleh diharapkan untuk memahami minda masyarakat India, pasti ada harapan untuk parti."
Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian

Penganalisis politik berpendapat barisan baharu kepimpinan MIC sebagai suatu pasukan yang mampu memulihkan krisis dalaman yang dihadapi parti itu sebelum ini.
Kebanyakan pemimpin baharu itu mempunyai rekod prestasi yang baik, kata penganalisis, sekali gus berharap mereka akan dapat "bekerjasama" dan berusaha sedaya-upaya demi kebaikan parti.

Pemilihan semula pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-67 MIC (AGM) Jumaat lepas menyaksikan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Datuk Seri S.K. Devamany menewaskan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan dengan kemenangan tipis bagi merebut jawatan timbalan presiden.

Devamany, seorang pendidik, mendapat 698 undi manakala Saravanan yang sebelum ini merupakan calon pilihan sebaliknya menerima 681 undi.

Selain itu, bekas ketua-ketua pemuda Datuk S.A. Vigneswaran (1,141 undi) dan Datuk T. Mohan (1,138 undi) dan bekas bendahari Datuk Jaspal Singh (1,072 undi) dipilih sebagai naib presiden.

Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan mendahului barisan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dengan memperoleh 1,145 undi, diikuti G. Kannan (1,109) dan V. Elango (1,108). Sebanyak 44 calon bertanding untuk 23 jawatan CWC.

Datuk Seri Dr S. Subramaniam memenangi jawatan presiden MIC tanpa bertanding pada Ogos.

Penganalisis berkata masyarakat India kini meletakkan harapan yang tinggi kepada pemimpin-pemimpin baharu itu, yang diberi mandat oleh perwakilan untuk mengemudi parti berusia 69 tahun itu dan membela nasib serta memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi mereka.

Mampukah barisan pimpinan baharu itu memenuhi harapan mereka?

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata parti itu hanya akan kekal relevan dalam Barisan Nasional (BN) jika kepimpinan baharu menjadikan aspek perpaduan sebagai keutamaan dalam parti.

"Jika mereka boleh kekal bersatu dan boleh diharapkan untuk memahami minda masyarakat India, pasti ada harapan untuk parti," katanya kepada Bernama.

Beliau berpendapat sudah tiba masanya parti itu merancang kaedah-kaedah untuk memanfaatkan pelbagai kepakaran dan kemahiran anggota-anggotanya yang terdiri daripada kumpulan umur dan latar belakang yang berbeza.

"Saya rasa terdapat kekurangan dalam perwakilan selama ini. Para pemimpin sepatutnya sejak awal menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk membina kepercayaan dan keyakinan masyarakat.

"Ini adalah satu-satunya cara parti itu boleh berharap untuk melihat prestasi yang lebih baik pada pilihan raya umum akan datang," tegas beliau.

Mengenai pemimpin nombor dua parti itu yang baru dipilih, Sivamurugan berkata Devamany adalah pilihan yang tepat untuk jawatan itu kerana pendidikan ibarat darah dagingnya dan pastinya beliau menyedari bahawa pendidikan adalah kunci untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat.

Sejak 1980-an, Devamany telah banyak menyumbang kepada pembangunan Pusat Sri Murugan (SMC), yang mengadakan kelas-kelas tuisyen untuk pelajar India bagi membantu mereka agar cemerlang dalam peperiksaan awam dan layak memasuki institusi-institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, penglibatan Mohan dalam menangani isu-isu Pemuda MIC juga perlu diberi perhatian, katanya. Walaupun Mohan tidak membawa perubahan besar sepanjang tempoh beliau menjadi Ketua Pemuda, beliau berjaya mendekati dan menarik penyertaan golongan belia India melalui pelbagai cara termasuk jerayawara.

Kamalanathan, yang dipuji oleh Subramaniam, berikutan prestasi luar biasa beliau pada pemilihan semula itu, telah membuktikan bahawa beliau berkebolehan sebagai pemimpin dan mampu bergaul dengan baik bukan sahaja di kalangan kaum India, malah masyarakat Melayu dan Cina juga.

"Dengan adanya pemimpin-pemimpin yang berkebolehan ini, MIC mampu bergerak ke hadapan, tetapi dengan syarat mereka hendaklah bersatu. Jika sebaliknya, keadaan akan menjadi lebih teruk," kata Sivamurugan.

Pensyarah Jabatan Sains Sosial dan Pembangunan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Sarjit Singh Gill berkata ketika era bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel, parti itu tidak banyak memberi perhatian kepada penyertaan masyarakat.

"Hubungan dengan masyarakat dilihat sangat lemah pada masa itu... kini tanggungjawab itu hendaklah dipikul oleh Dr Subramaniam bagi memperbetulkan keadaan. Beliau perlu bekerja lebih keras," katanya.

Memandangkan barisan kepimpinan baharu terdiri daripada golongan agak muda, bertenaga, berpendidikan dan dinamik, sekarang adalah masa yang sesuai untuk parti itu mengubah pendekatan dalam menangani pelbagai permasalahan masyarakat India, kata beliau.

"Tidak kira apa juga jawatan yang dipegang dalam parti, semua pemimpin mesti turun padang dan bertemu masyarakat, berbual dengan mereka, dan jangan hanya mengharapkan pengerusi-pengerusi parti melaksanakan tanggungjawab ini dan mendapatkan maklum balas daripada umum," tegas beliau.

Sarjit Singh yang berpuas hati kerana mendapati hampir semua negeri mempunyai perwakilan masing-masing dalam CWC baharu, berkata bahawa kebanyakan ahli-ahli jawatankuasa sebelum ini adalah dari Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau seterusnya menggesa agar MIC mengadakan hubungan lebih rapat dengan Badan-badan bukan kerajaan India (NGO) agar dapat menangani pelbagai isu pendidikan dan sosioekonomi di kalangan masyarakat berkenaan.

"Era pemimpin kita sebagai 'yes men' telah berlalu. Mereka hendaklah lebih dinamik dan berani bersuara serta menangani masalah-masalah bukan sahaja di kalangan masyarakat Tamil tetapi juga sub-kumpulan lain, seperti Telugu, Malayalee dan Punjabi," katanya.

Beliau berkata pemimpin parti hendaklah mendekatkan diri dengan generasi muda melalui laman-laman media sosial seperti Facebook, Twitter dan blog. Beliau juga mengingatkan bahawa akhbar Tamil kini "bukanlah alat paling berkuasa" untuk mendekati generasi muda.

Sementara itu, Pengerusi MIC Shah Alam S. Muru yang menyambut baik barisan pemimpin baru itu bagaimanapun berpendapat "adalah lebih baik jika terdapat wakil dari kem Palanivel di dalam CWC."

Beliau berharap pasukan pemimpin baharu itu boleh bekerjasama dengan lebih berkesan dan menyuntik semangat baru ke dalam parti yang dilanda konflik sebelum ini.

AGM MIC pada mulanya dijadualkan pada 13 dan 14 Dis tahun lalu tetapi ditangguhkan atas arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang meminta supaya parti itu mengadakan AGM selepas pemilihan baharu diadakan bagi jawatan-jawatan tiga naib presiden dan 23 jawatan CWC. RoS membatalkan pemilihan parti yang diadakan pada Nov 2013 selepas menerima aduan terdapatnya penyelewengan dalam proses pemilihan itu.

Bernama

No comments:

Post a Comment