Showing posts with label Zahid. Show all posts
Showing posts with label Zahid. Show all posts

Sunday, May 22, 2016

Tabek Kepada Dr Zambry - Acuan PRK Teluk Intan Diguna Pakai


Barisan Nasional (BN) Perak akan menggunakan 'template' atau acuan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan dua tahun lalu dalam PRK Parlimen Kuala Kangsar bulan depan.

Acuan yang diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja jentera parti berjaya memastikan kemenangan kepada BN di Teluk Intan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kerana telah tersedia (dengan template) PRK Teluk Intan yang telah memberikan keberhasilan agak memberangsangkan.

Pada PRK Parlimen Teluk Intan 31 Mei 2014, calon BN Datuk Mah Siew Keong menewaskan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 138 undi.


Sebagai persediaan menghadapi PRK itu, Menteri Besar Perak telah membuat pembahagian kepada jentera UMNO daripada beberapa negeri untuk menjaga kawasan tertentu termasuk Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Selain itu, beliau berkata UMNO Bahagian Kuala Kangsar termasuk pergerakan sayap telah sedia untuk menggerakkan jentera bagi memastikan kerusi Parlimen Kuala Kangsar kekal milik BN.

"Jika gerak kerja diteruskan dan jika permasalahan dalaman dapat diselesaikan, kita tak nampak calon kita yang akan ditentukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ada masalah untuk menang," katanya.


Ahmad Zahid turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa BN tetap menganggap ia adalah 'underdog' dalam PRK Kuala Kangsar berdasarkan jumlah undi yang diperoleh BN dalam pilihan raya umum ke-13.

"Kami akan menggandakan usaha kerana pihak lawan kami sama ada PAS atau Parti Amanah Negara (Amanah) atau kedua-duanya sekali, mereka bersiap siaga untuk menawan kembali Parlimen Kuala Kangsar," katanya.

Ahmad Zahid yang merupakan Naib Presiden UMNO dan menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden parti berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, semalam.

Turut hadir Zambry, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Hishammuddin Tun Hussein dan Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

PRK Kuala Kangsar perlu diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Turut terkorban dalam nahas itu ialah Anggota Parlimen Sungai Besar, Selangor yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun.

Sementara itu, BN diingat jangan terlalu mengharap kelemahan yang ada pada pembangkang untuk meraih kemenangan PRK  Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Ahmad Maslan berkata BN mempunyai banyak kekuatan dan kelebihan termasuk memiliki dasar-dasar dan rekod pencapaian yang baik.

"Kita perlu promosi kekuatan yang ada pada BN, bukan berharap dengan kelemahan pihak lawan. BN juga semakin bersatu padu berbanding pembangkang yang semakin berpecah.

"Contoh kelemahan pembangkang apabila mereka tidak sepakat untuk menamakan calon, maka timbulnya pertembungan tiga penjuru," katanya kepada pemberita selepas melawat Pejabat Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu (Perdasama) Perak di Kuala Kangsar semalam.

Katanya BN juga mempunyai pemimpin yang banyak berjasa kepada negara dan rakyat seperti Anggota Parlimen Kuala Kangsar Allahyarham Datuk Wan Khai-ril Anuar Wan Ahmad dan Anggota Parlimen Sungai Besar Allahyarham Datuk Noriah Kasnon.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun ini manakala penamaan calonnya pada 5 Jun.

Friday, May 13, 2016

Calon BN Di PRK Kuala Kangsar, Sungai Besar "Winnable Dan Likeable" – Zahid


Daripada asalbersamaumno

Penampilan calon setempat diyakini mampu menjadi kunci kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Parlimen Kuala Kangsar, Perak, bulan depan.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yakin ia juga merupakan kehendak rakyat kawasan itu berbanding meletakkan calon luar.

"Ini bukan masa yang sesuai untuk menguji kesetiaan rakyat dengan meletakkan calon dari luar kawasan.

"Walaupun UMNO kawasan Parlimen setuju untuk membawa calon dari luar tetapi kepimpinan tertinggi parti perlu berhati-hati membuat keputusan," katanya mengulas desas-desus bahawa UMNO akan memberi ruang kepada calon luar dan bukan anak setempat untuk bertanding dalam kedua-dua PRK itu.

Beliau yang ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Pasar Seni di sini hari ini, turut menyifatkan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar bukan sahaja sangat penting bagi UMNO dan BN, malah merupakan ujian bagi Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan kepimpinannya.

Zahid mahu calon yang bukan sahaja 'winnable' tetapi juga 'likeable' 
PRK kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan susulan penyandangnya Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, masing-masing terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M.Hussin dengan majoriti 399 undi, manakala Wan Mohammad Khair-il memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar mengalahkan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk Kamilia Ibrahim, (Bebas) dengan majoriti 1,082 undi.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam (13 Mei) menetapkan PRK di kedua-dua kawasan Parlimen itu akan diadakan serentak pada 18 Jun ini, serta menetapkan tarikh penamaan calon pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Mohamed Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata UMNO tidak akan risau mengenai pihak pembangkang dan hanya berusaha keras untuk mempertahankan kedua-dua kerusi Parlimen itu.

Bagi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, BN  akan meletakkan calon yang bukan sahaja 'winnable' tetapi juga 'likeable' pada PRK di dua Parlimen itu.

Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata BN akan menyenarai pendek calon yang berpotensi dan mengumumkan calon bagi kedua-dua kerusi itu seminggu sebelum hari penamaan calon.

"Sebelum memilih calon, kita akan semak latar belakang dengan beberapa agensi agar calon-calon bersih daripada semua unsur negatif," katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Akrab Kebangsaan Kali Ke-7 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar masing-masing dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Katanya, beliau pula akan bertindak sebagai penyelaras bagi kedua-dua bahagian PRK berkenaan dengan dibantu Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurut Ahmad Zahid, persaingan sengit dijangka berlaku bagi kedua-dua kerusi pilihan raya itu memandangkan penyandang terdahulu memenangi kawasan itu dengan majoriti undi yang kecil.

Katanya BN menjangkakan dan mengalu-alukan pertandingan pelbagai penjuru di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, dan telah bersiap sedia untuk menghadapi apa jua keadaan.

"Apa yang lebih penting ialah pengalaman pilihan raya lalu yang cukup mengajar kedua-dua kawasan apabila memperoleh kemenangan yang marginal. Ini menunjukkan bahawa semua bentuk permasalahan dalaman harus diselesaikan sebelum penamaan calon.

"Selain sejauh mana kekuatan pihak lawan, lebih penting ialah soal dan faktor kekuatan dalaman yang perlu dibina semula bagi meraih kemenangan dan memperoleh majoriti tinggi bagi kedua-dua kerusi Parlimen itu," katanya.

Ahmad Zahid berkata jentera BN telah menyusun kerja awal di peringkat pusat daerah mengundi di kedua-dua kerusi Parlimen dan beliau sendiri akan turun padang memastikan ia berjalan lancar serta mengikut perancangan.