Friday, May 27, 2016

Budiman Bawa Panji-Panji UMNO, BN Pada PRK Sungai Besar


Budiman Mohd Zohdi, 44, anak tempatan yang berasal dari Kampung Sungai Limau di Sungai Besar, dan juga Setiausaha ADUN (Barisan Nasional (BN) Selangor kini membawa panji-panji UMNO dan BN di Parlimen Sungai Besar.

Beliau diumumkan sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini daripada kalangan tujuh nama dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon.

Pada 22 Mei lalu lalu, Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar BN berkata  Selangor mengemukakan tujuh nama untuk dipertimbangkan sebagai calon PRK itu.

Noh  yang juga pengarah PRK Parlimen Sungai Besar, berkata tujuh nama yang dikemukakan itu merupakan anak tempatan, mempunyai latar belakang berkelayakan tinggi dan memenuhi ciri sebagai calon boleh menang dalam pilihan raya itu.

"Tujuh calon yang disenaraikan ini termasuk seorang calon wanita... yang paling muda berusia 30 tahun dan yang agak veteran berusia 60 tahun dan kesemua mereka merupakan anak jati tempatan,” tegasnya.

Ahmad Zahid berkata pemilihan Budiman diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN, selepas mengambil kira pelbagai aspek.

"Apa yang penting, calon ini disenangi oleh semua peringkat terutama akar umbi dan diterima oleh rakan-rakan dari semua kaum.

"Kombinasi semua ini akan menjadi faktor penentu kemenangan BN di PRK Parlimen Sungai Besar nanti.

"Terlalu ramai layak jadi calon dan kita pilih anak tempatan yang boleh jalankan tugas dengan baik, muda, berkaliber serta boleh meneruskan kerja-kerja wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon," katanya.


Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013, Budiman menang kerusi DUN Sungai Panjang selepas menewaskan Mohd Fadzin Taslimin daripada PAS dengan majoriti 2,183 undi. DUN Sungai Panjang berada di bawah Parlimen Sungai Besar.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18 peratus pengundi Melayu, 30.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus pengundi India dan 0.23 peratus pengundi dari kaum lain.

Budiman kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Lawan Budiman setakat ini ialah ADUN Meru sejak 2008, iaitu  Dr Abdul Rani Osman yang merupakan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor.

Sebelum mencerubi politik, Rani menjalankan sebuah klinik swasta 'Fitrah' di pekan Meru.

Beliau yang memiliki ijazah dalam bidang perubatan daripada Universiti Tanta, Mesir menewaskan calon daripada Barisan Nasional Sukaiman Ahmad dengan majoriti 9,079 undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di hadapan kira-kira 500 penyokong parti itu di Markaz PAS Simpang 5, Sungai Besar, malam tadi.

Turut hadir naib presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga pesuruhjaya PAS Selangor, anggota parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang juga ketua pemuda PAS dan Presiden IKATAN Tan Sri Shiekh Kadir Fadzir.

"Ini pilihan raya kecil dan kita memerlukan tokoh yang terjun bersama rakyat.
"Calonnya adalah Dr Abdul Rani Osman. Saya difahamkan, beliau ada darah Banjar dan Jawa. Semua anak Adam," kata Hadi disambut laungan takbir.

Abdul Rani sewaktu berucap berjaya memukau hadirin yang hadir apabila dalam ucapannya turut diselitkan dengan bahasa Jawa. 

Abdul Rani turut menjelaskan bahawa beliau seorang yang penyabar dan berjanji “tidak akan mencampak mikrofon sewaktu berucap”.

"Saya bukan orang yang senang marah. Saya tak akan baling mikrofon," katanya.
Tidak jelas beliau merujuk kepada siapa.

Presiden serpihan PAS - Parti Amanah Negara (Negara) Mohamad Sabu sebelum ini mencuri perhatian selepas membaling mikrofon di atas pentas.


Amanah  akan mengumumkan calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Rabu depan.

"Kita letak banyak nama sebagai calon antaranya Mat Sabu (Presiden Amanah Mohamad Sabu) dan Nizar (Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin)," kata Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad pada sidang media di Shah Alam semalam.

No comments:

Post a Comment