Saturday, May 21, 2016

Calon Tempatan, Disukai & Disayangi Sewajarnya Calon Barisan Nasional


Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mempertahankan pendapatnya bahawa anak tempatan merupakan calon terbaik bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Selangor bulan depan kerana mereka lebih memahami kehendak penduduk.

Beliau  tidak nampak calon dari luar kawasan berkenaan yang lebih berpotensi untuk dijadikan calon "payung terjun" oleh Barisan Nasional (BN) di dua kawasan itu.

"Sebaik-baik calon adalah anak tempatan kerana mereka pastinya dapat melaksanakan tugas dengan berkesan serta memahami kehendak rakyat di kawasan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keusahawanan 2016 kawasan Parlimen Padang Rengas semalam.

Mohamed Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus bahawa UMNO akan memberi ruang kepada calon luar dan bukan anak tempatan untuk bertanding dalam kedua-dua PRK itu.

Menjelas lanjut, beliau berkata BN perlu memilih kriteria calon yang boleh menang serta disukai penduduk setempat untuk mempertahankan kedua-dua kerusi Parlimen itu.

"Calon itu mestilah mempunyai 'passion' dan 'dedicated' kerana itu yang boleh menentukan kemenangan BN. Sekarang ini rakyat tidak mementingkan parti, tetapi rakyat memilih calon yang disukai dan disayangi.

"Calon itu juga bukan sahaja boleh diterima oleh Umno Bahagian tetapi mesti diterima oleh parti komponen kerana BN merupakan parti berbilang kaum," kata Mohamed Nazri.

PRK Kuala Kangsar perlu diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lepas. 

Turut terkorban dalam nahas itu ialah Anggota Parlimen Sungai Besar yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon.

Sementara itu,  Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahukan supaya dielakkan pergeseran dan kekal bersatu bagi memastikan BN  kekal mewakili kawasan dua Parlimen berkenaan.

Datuk Seri Ismail Sabri
Beliau memberikan ingatan itu berkata sebarang pergeseran sesama sendiri termasuk soal calon akan menyebabkan BN bakal menghadapi laluan sukar untuk mencapai kemenangan.

"Perlu utamakan parti dalam pilihan raya, kerana dalam pilihan raya adalah soal BN menentang parti pembangkang, dan calon bukanlah perkara utama yang perlu dipertimbangkan," katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berpendapat, soal siapa yang menjadi calon tidak sepatutnya menjadi isu besar kerana sesiapa sahaja yang dipilih oleh pucuk pemimpin harus diterima dan disokong.

"Saya percaya pertandingan pada kedua-dua PRK itu nanti akan sengit ...sebab itu saya tegaskan sikit sahaja perpecahan sesama sendiri boleh menyebabkan kita (BN) menghadapi masalah besar," kata Ismail Sabri.

Seorag lagi anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Irmohizam Ibrahim, pula berkata pertikaian dalam meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil itu  jelas menunjukkan sikap tidak matang pakatan pembangkang.


Beliau berkata pergeseran itu membuktikan politik pembangkang lebih menjurus kepada kepentingan masing-masing parti dan peribadi semata-mata.

"Kerusi-kerusi yang dipertandingkan ini nampaknya menjadi lebih kalut buat pembangkang apabila PAS diberi amaran untuk tidak meletakkan calon," katanya.

Irmohizam, anggota Parlimen Kuala Selangor itu berkata dengan ini, terbukti strategi politik Barisan Nasional (BN) lebih matang dalam menentukan calon pilihan rayanya.

Sehubungan itu, beliau berkata rakyat diminta menilai parti yang ikhlas membantu mereka dan tidak termakan pujuk rayu pembangkang yang ternyata hanya mementingkan kedudukan.

Kedua-dua PRK itu diadakan serentak pada 18 Jun.

No comments:

Post a Comment