Showing posts with label Najib. Show all posts
Showing posts with label Najib. Show all posts

Saturday, March 11, 2017

Hanya BN Mensejahterakan Melayu, Bumiputera Menerusi Kuasa Politik


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kuasa politik dimiliki kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO membolehkan orang Melayu dan bumiputera menikmati kehidupan lebih baik.

Perdana Menteri berkata, ke­dudukan lebih baik itu hasil perjuangan kerajaan yang berusaha membawa perubahan tersebut termasuk dalam bidang pendidikan.

Beliau memberikan contoh pelaksanaan program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) yang membuka peluang pelajar bumiputera miskin dan kurang berkemampuan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kalau pembangkang yang ditunjangi DAP, jangan harap ada program seperti ini dilaksanakan oleh mereka. Apa yang kita lihat hari ini tidak boleh dipisahkan dengan kekuasaan politik sebab itu yang menentukan kemungkinan segala-galanya berlaku,” katanya berucap melancarkan JPB 2017 yang diha­diri kira-kira 15,000 orang di Padang Majlis Daerah Bera semalam.

Yang hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi Jawatankuasa Induk JBP, Prof. Eme­ritus Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan pemimpin kerajaan Persekutuan serta negeri.


Berikutan itu, kerajaan pimpinan UMNO dan BN akan terus komited memastikan nasib Bumiputera terbela di negara ini.

"Kita (kerajaan) konsisten dalam menjaga kebajikan semua rakyat, terutamanya golongan Bumiputera, usaha melalui program JPB 2017 ini adalah bukti jelas kerajaan ingin memastikan tidak ada pelajar Bumiputera yang layak ke institusi pengajian tinggi (IPT) tercicir kerana masalah seperti kemiskinan

 "Jangan harap program seperti ini akan diadakan jika pembangkang memerintah, jika DAP memerintah, tidak mungkin mereka akan buat program ini.

JPB 2017 menyasarkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) antara 2012 hingga 2016 bagi memenuhi impian mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan penglibatan pelbagai IPT dan kemahiran seluruh negara.

Program itu dijangka mengeluarkan kira-kira 50,000 surat tawaran ke IPT kepada pelajar yang layak.

Program yang diadakan di 55 kawasan Parlimen di seluruh negara itu adalah kesinambungan daripada kejayaan JBP 2016 yang memberi impak positif dalam membuka peluang kepada pelajar bumiputera miskin dan kurang berkemampuan belajar ke peringkat lebih tinggi.

Menurut Najib, kerajaan mela­kukan pelbagai usaha bagi me­ngubah nasib orang Melayu dan bumiputera yang mendatangkan kejayaan seperti membantu seramai 5,659 pelajar mendapat tajaan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera antara 2012 hingga September 2015.

Beliau berkata, sejumlah 39,243 pelajar bumiputera mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dari 2011 hingga 2015 manakala seramai 353,817 pelajar pula mene­rima pinjaman pinjaman pendidikan Mara bagi tempoh sama.

“Bahkan, setakat November lalu terdapat 165,028 penuntut di 32 Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mana kerajaan menyasarkan sejumlah 250,000 penuntut universiti itu menjelang 2020.

“Sejak dasar Transformasi Nasional diperkenalkan, jumlah penyertaan bumiputera terhadap pendidikan tinggi meningkat 27.7 peratus kepada 32.3 peratus dari 2011- 2015,” ujarnya.

Perdana Menteri turut me­ngumumkan satu lagi bantuan kepada pelajar miskin dan mempunyai kelulusan minimum untuk melanjutkan pelajaran ke pe­ringkat lebih tinggi apabila Bank Rakyat menyumbangkan seba­nyak RM3 juta kepada 2,000 orang bagi tujuan berkenaan.


Sementara itu, Najib turut mengumumkan Bank Rakyat menyediakan peruntukan berjumlah RM3 juta bagi pembiayaan kira-kira 2,000 pelajar tidak berkemampuan yang layak melanjutkan pengajian ke IPT. 

Saturday, December 31, 2016

Kebajikan Rakyat, Keselamatan Sentiasa Diutamakan - Najib


“Pelaksanaan projek-projek seperti projek RAPID di Pengerang, Bandar Malaysia, TRX, MVV, Lebuh Raya Pan Borneo, ECRL dan HSR akan mewujudkan peluang pekerjaan, merangsang ekonomi negara dan meningkatkan kehidupan rakyat.”

Datuk Seri Najib Tun Razak Najib dalam Perutusan Tahun Baharu 2017, berharap pertumbuhan Malaysia harus dikekalkan dan dikongsi secara sama rata.

Berikutan itu,  beliau menegaskan bahawa projek-projek infrastruktur berskala besar di seluruh negara akan membantu kerajaan mencapai matlamat ini.

Najib berkata, pelaksanaan projek-projek seperti projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petroki­mia (RAPID) di Pengerang, Johor, Lembah wawasan Malaysia (MVV), Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange (TRX), Lebuh Raya Pan Borneo, Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura akan mewujudkan peluang pekerjaan, merangsang ekonomi negara dan meningkatkan kehidupan rakyat.

"Lebuh Raya Pan Borneo contohnya, bukan sahaja akan menghubungkan Serundong di Sabah dengan Semantan di Sarawak tetapi juga membantu membangunkan semula bandar-bandar di sepanjang laluan lebuh raya," kata beliau.

"Saya berazam untuk menyaksikan kejayaan projek-projek ini kerana saya tahu banyak komuniti, yang telah saya lawati, akan mendapat manfaat daripadanya," kata Najib.


Perdana Menteri juga menyentuh mengenai fasa satu MRT yang dilancarkan baru-baru ini yang berjalan mengikut jadual dan di bawah bajet - dan fasa tiga LRT yang sudah pun bermula.

"Malaysia sangat-sangat memerlukan infrastruktur baharu ini, dan kemudahan ini sepatutnya telah dibina lama dahulu," katanya. 

Najib yang juga Menteri Kewangan berikrar bahawa kerajaan akan sentiasa mengutamakan kepentingan keselamatan dan kebajikan rakyat.

Beliau melahirkan penghargaan kepada pasukan polis dan angkatan tentera atas peranan besar mereka dalam mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan sambil memberi jaminan kerajaan akan terus berwaspada berhubung hal-hal keselamatan.

"Kita menghadapi serangan pertama berkaitan Daesh pada Jun, dan hanya semangat dan dedikasi anggota polis dan tentera yang berani yang tidak mengenal erti penat menghalang insiden seperti itu daripada terus berlaku," kata beliau.

Perdana Menteri berkata, kerajaan dan pasukan keselamatan akan terus melindungi Sabah terutama di Zon Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, daripada ancaman oleh kumpulan pengganas dan penculik.


Mengenai peranannya di pentas antarabangsa, beliau berkata Malaysia tidak akan memencilkan diri daripada bersuara dan akan memainkan peranan aktif bagi membangkitkan isu-isu global yang penting. 

Perdana Menteri menarik perhatian kepada isu etnik Rohingya dan usaha mencari keamanan di Timur Tengah termasuk soal Palestin, sebagai contoh, bagi peranan yang dimainkan Malaysia. 

Perdana Menteri juga memberi penghormatan kepada semua rakyat Malaysia kerana menyokong pasukan Malaysia pada Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik.

"Walaupun semua atlet kita memang layak diberi pujian tetapi memenangi dua pingat emas pertama adalah satu pencapaian yang bersejarah dan menyentuh hati semua rakyat Malaysia," kata Najib.

"Semangat wira-wira sukan mungkin telah dicapai di Rio de Janeiro, tetapi saya turut berbangga bahawa semua rakyat Malaysia - baik di bandar-bandar mahupun kampung di seluruh pelusuk negara - bersatu untuk menyokong pasukan kebangsaan. Ia benar-benar mencerminkan 1Malaysia," kata Najib.


Beliau menarik perhatian bahawa detik itu menggambarkan siapa rakyat Malaysia apabila mereka melakar pencapaian terbaik.

"Kejayaan seperti itulah yang harus kita capai ketika kita melihat ke masa depan, ke arah mencapai dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan matlamat yang negara berhasrat untuk mencapainya menjelang pertengahan abad ini.

"Sebuah negara yang yakin dengan dirinya, meraikan kepelbagaian, berbangga dengan kejayaan dan sentiasa berusaha untuk memastikan kita semua adalah sebahagian penuh daripada perjalanan besar yang dilalui Malaysia," katanya.

Beliau juga mengambil kesempatan untuk mengalu-alukan pelantikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dan menzahirkan penghargaan kepada Tuanku Abdul Halim ibni Almarhum Sultan Badlishah atas pemerintahan cemerlang baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Saturday, December 10, 2016

Perpaduan Amat Berharga Untuk Negara, Tidak Boleh Dijual Beli – Agong


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah bahawa perpaduan adalah satu perkara yang amat berharga kepada negara dan tidak boleh dijual beli.

Dalam hal ini, baginda berharap dan berdoa agar semua pihak sedar akan kepentingan untuk memelihara kesatuan dan perpaduan sesama kita.

"Jika yang retak menjadi belah dan genting menjadi putus, segalanya yang terbina selama 60 tahun ini, akan hancur binasa dan tidak ada ertinya lagi," titah Tuanku Abdul Halim pada majlis Jamuan Negara sempena tamat tempoh pemerintahannya di Istana Negara di Kuala Lumpur, malam tadi.

Lebih 500 tetamu hadir ke majlis itu, antaranya termasuk menteri-menteri Kabinet, pegawai tinggi kerajaan dan perwakilan asing.

Dalam titahnya, Tuanku Abdul Halim turut berkongsi pengalamannya berada di dua era pemerintahan iaitu ketika Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak Hussein dan sekarang anaknya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tuanku Abdul Halim berkata dalam pengamatan baginda, terdapat beberapa kesamaan yang jelas antara kedua-dua mereka.

"Antaranya, Allahyarham Tun Razak adalah seorang yang lemah lembut, bersopan santun, berdisiplin, tidak banyak bicara, namun sangat gigih bekerja untuk membangunkan negara yang ketika itu masih bertatih dan menapak untuk menuju kemajuan.

"Apatah lagi pada masa itu, untung nasib orang-orang Melayu dan bumiputera masih berada dalam keadaan tidak teratur dan terumbang-ambing. Justeru menuntut kepada kepimpinan Allahyarham Tun Razak yang cekap dan berwibawa," titah baginda.

Seri Paduka bertitah berkat ikhtiar dan perencanaan yang begitu bersifat jangka panjang oleh Tun Razak, maka tertubuhlah pelbagai agensi serta institusi bumiputera seperti Mara, Felcra, UDA, RISDA, Pernas dan Bank Bumiputera serta yang paling berjaya hingga dikagumi oleh dunia luar adalah FELDA.


"Alhamdulillah, tampaknya penerajuan Felda kekal diteruskan oleh anakandanya, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim turut berkongsi mengenai krisis antara kaum di zaman Tun Razak yang dinyalakan apinya oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, sehingga membawa kepada kemuncaknya Tragedi Hitam 13 Mei 1969.

Namun, titah baginda, krisis itu telah berjaya ditangani dengan baik dan lancar sehinggalah negara keseluruhannya kembali berada dalam keadaan selamat dan aman.

Tuanku Abdul Halim bertitah, Dasar Ekonomi Baru yang digagaskan Tun Razak yang bertujuan meningkatkan sosio ekonomi Melayu Bumiputera dan mengimbangi jurang antara kaum dan telah menjangkau lebih 30 tahun secara keseluruhannya telah mencapai objektifnya.

Menurut baginda, kini dasar yang bermakna tersebut berkesinambungan wawasan demi wawasan, sehingga ke era pentadbiran Najib hari ini.
Di akhir titah, baginda melahirkan rasa terima kasih, tahniah dan syabas kepada kerajaan yang dipimpin Najib atas segala sokongan dokongan yang dirafakkan kepada baginda selaku Ketua Negara semasa penggal pemerintahan ini.

"Beta dan Raja Permaisuri berdoa kehadrat Allah agar kerajaan dan rakyat jelata akan kekal dilimpahi nikmat keamanan, makmur, dan sentosa dalam ikatan yang padu untuk selama-lamanya demi Malaysia tercinta," titah baginda.

Sementara itu, Najib pada majlis itu berkata sumbangan terbesar kewujudan institusi Yang di-Pertuan Agong ialah peranannya dalam memastikan kestabilan politik negara.

Beliau menegaskan bahawa kerukunan dan keharmonian itulah yang telah memungkinkan berlakunya transformasi Malaysia selama ini.

"Lantaran itu pada hemah kerajaan, institusi ini perlu dipertahan semua pihak sampai bila-bila kerana ia adalah milik semua tanpa kecuali," katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa institusi itu memayungi bukan sahaja orang-orang Melayu Islam dan bumiputera, malah merangkumi secara inklusif lindungannya ke atas hak dan kepentingan yang sah kaum serta agama lain.

Sekalipun ia merupakan ciptaan Perlembagaan Persekutuan yang dengan terperinci dilakarkan segala peranan dan tanggungjawabnya, Najib berkata institusi Yang di-Pertuan Agong tetap berakar umbi kepada nilai sejarah, tradisi dan budaya bangsa serta tamadun alam Melayu.

Beliau berkata keunikan sistem itu juga diperlihat melalui hakikat walaupun Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik perdana menteri dan membubarkan Parlimen, ia tetap tertakluk kepada prinsip kelaziman dan rundingan yang sangat halus dan berhati-hati.

"Ini membuktikan sekali gus betapa institusi itu dipermuliakan dengan sifatnya yang langkau siasah atau dalam kata lain letak duduknya itu ialah di atas mana-mana politik kepartian," jelas Najib.

Ia juga, kata perdana menteri, sangatlah terpelihara oleh Majlis Raja-Raja dan tidak bersifat warisan kerana Yang di-Pertuan Agong dipilih secara berhemah dan bergilir dalam kalangan sembilan raja Melayu.

Najib seterusnya berkata sepanjang di bawah naungan Tuanku Abdul Halim, Malaysia mencapai kejayaan demi kejayaan yang diperakui pelbagai agensi dan penarafan antarabangsa yang diiktiraf dan berwibawa.

"Kerajaan Tuanku ini tidak akan bersifat selesa, malah akan sentiasa meneruskan usaha demi usaha bagi mencipta hari muka yang lebih ampuh untuk Malaysia," kata Najib.

Beliau turut menyentuh gerakan Transformasi Nasional atau TN50 bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta berminda terulung.

Najib berkata apa yang dicita-citakan beliau ialah menjelang tahun 2050 Malaysia akan menjadi negara yang tergolong dalam kalangan kumpulan 20 negara terbaik di persada dunia.

"Inilah gerakan bagi melahirkan generasi masyarakat masa depan terbaik. Visi patik dan pimpinan kerajaan adalah untuk menggerakkan satu perubahan agar lahirnya kelak generasi masa hadapan Malaysia yang menyeru ke arah kebaikan dan menolak kemungkaran," kata perdana menteri.

Atas simbolik perpaduan ummah dan kemanusiaan pula, Najib berkata pada 4 Disember yang lalu beliau selaku ketua kerajaan dan Presiden UMNO telah berganding dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Perhimpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya.

Tuanku Abdul Halim tamat tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 pada 12 Disember ini.
Seri Paduka mencatat sejarah negara dengan ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua pada 2011 selepas ditabalkan buat pertama kali pada 1970.

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 bagi menggantikan Tuanku Abdul Halim.

Mesyuarat Ke-243 (Khas) Majlis Raja-Raja memilih Sultan Muhammad V sebagai Ketua Negara berkuat kuasa 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pula dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama. 

Saturday, November 12, 2016

BN Mampu Bertahan Kerana Amalkan Konsep Perkongsian Kuasa - Najib

Najib pada Persidangan Agung Tahunan Parti Liberal Demokratik (LDP), di Kota Kinabalu, semalam.

Barisan Nasional (BN) adalah sebuah parti politik yang mampu bertahan dalam demokrasi zaman moden, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, tiada parti lain yang boleh menyaingi prestasi BN selama ini yang bermula sebagai Parti Perikatan dan kemudian menukar namanya seperti yang dikenali hari ini.

"Walaupun kami telah merasai cabaran dan rintangan sejak hari penubuhan kami, namun kami sentiasa kekal berdaya tahan.

"Daya tahan itu kerana komited kepada keseluruhan konsep perkongsian kuasa di antara pelbagai parti komponen dalam BN, malah sehingga parti-parti kecil di dalam BN mempunyai hak yang sama  dengan parti-parti yang besar," katanya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Parti Liberal Demokratik (LDP) ke-27 di Kota Kinabalu semalam.


Yang turut hadir, Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Presiden LDP, Datuk Teo Chee Kang dan Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Najib turut mengingatkan parti komponen BN supaya tidak terperangkap dengan mainan politik pembangkang yang menggunakan apa saja cara untuk memburukkan kerajaan.

Beliau yang juga Pengerusi BN sebaliknya berkata, semua parti komponen perlu fokus kepada usaha membawa perubahan yang memberi makna dalam kehidupan rakyat dan melaksanakan tugas sewajarnya.

 "Parti komponen BN tidak harus patah semangat atau terikut-ikut rentak politik pembangkang yang menggunakan pendekatan menakutkan rakyat bagi meraih sokongan. \

"Sebagai pemimpin bertanggungjawab, kita mesti fokus kepada usaha bagaimana membawa perubahan dan buat pekerjaan yang betul. Kita jangan peduli politik yang macam ini (pembangkang)," katanya.

Sementara itu, Najib memberi jaminan hak parti kecil dalam komponen BN tidak akan dipinggirkan, malah sama saja dengan hak dimiliki parti besar lain.

"Kita ada konsensus sebelum membuat apa-apa keputusan dan inilah konsep perkongsian kuasa yang kita terus jadikan panduan dalam meningkatkan sokongan kepada BN," katanya.
Najib berkata, sebagai pengerusi BN, beliau komited dalam memastikan konsep perkongsian kuasa itu terus menjadi prinsip panduan dalam parti gabungan itu.

Najib juga berkata, BN akan terus bertindak berdasarkan prinsip wasatiyyah atau kesederhanaan, di mana parti itu akan mengelak daripada bertindak keterlaluan sehingga perlu untuk memaksa rakyat menerima parti, tidak juga terlalu liberal sehingga hilang nilai-nilai moral.

"Kita mesti berada di laluan pertengahan dan dengan berada di laluan pertengahan tidak bermakna kita berpegang kepada keadaan yang tidak berapa baik. Dengan bersederhana bermakna berusaha untuk mencapai kecemerlangan," jelas beliau.

Dalam mempertimbangkan integrasi sebagai satu cara hidup rakyat Malaysia yang ditetapkan pemimpin negara sebelum ini, Najib menggesa rakyat Malaysia untuk bersama-sama apabila seluruh negara secara serentak bersorak untuk wira badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berentap bagi mendapatkan pingat emas dalam Sukan Olimpik baru-baru ini.

"Kita perlu mewujudkan lebih banyak detik-detik perpaduan agar Malaysia menjadi sebuah negara yang didasarkan kepada rasa perpaduan dan patriotisme yang kukuh.

"Sewaktu kita bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara, kita (akan) mendapat pengiktirafan, kita mendapat penghormatan kerana kita adalah sebuah negara yang berjaya," katanya.

Najib Razak merasmikan Konvensyen UPKO .
Berucap merasmikan Konvensyen Pertubuhan Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO) di Pusat Kebudayaan Sabah di Kota Kinabalu pula, Perdana Menteri turut bercakap mengenai pPembahagian kerusi dalam pilihan raya umum akan datang melibatkan parti komponen di negeri itu yang menurutnya akan mengambil kira prestasi, keupayaan calon boleh menang serta apa yang terbaik untuk BN.
Pengerusi BN itu  berkata, kesemua elemen itu adalah berdasarkan komited setiap parti untuk turun ke bawah mendengar denyut nadi rakyat sekali gus berusaha menyelesaikan masalah berbangkit.

Malah Perdana Menteri mengingatkan semua parti komponen supaya tidak mengambil sikap selesa dan memandang rendah kuasa pengundi walaupun kejayaan besar terbukti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak lalu serta dua pilihan raya kecil di Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak.

“Cita-cita saya pada pilihan raya umum akan datang adalah Sabah memberikan keputusan yang lebih baik berbanding Pilihan Raya Umum ke-13. Mengenai kerusi, mana-mana parti komponen akan minta kerusi atau tambah kerusi. Kalau calon yang dicalonkan oleh parti komponen boleh menang, kita sedia mempertimbangkannya.

“Kita mengambil kira apa terbaik untuk BN kerana kita hendak membentuk kerajaan dan bukan setakat itu tetapi membentuk kerajaan yang kuat,” katanya

Yang hadir sama pada konvensyen UPKO itu ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Pre­si­den Kehormat UPKO, Tan Sri Bernard Dompok dan Pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau serta barisan pe­mimpin komponen BN.

Najib percaya parti-parti serpihan yang wujud kini tidak mampu menyaingi ‘kehebatan’ BN selagi pemimpin BN melaksanakan tanggungjawab dengan betul dengan memberi tumpuan kepada rakyat.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu melihat Sabah terus maju dan membangun seiring dengan apa yang dikecapi di Semenanjung selain komited untuk terus membantu kerajaan negeri memajukan negeri ini.

Mengulas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang dibangkitkan, Najib berkata, Kerajaan Pusat terbuka untuk berunding berkaitan perbezaan tafsiran dalam soal perjanjian tersebut.

“Saya tak nak ambil hak orang Sabah. Hak orang Sabah saya nak ia (hak) dipertahankan. Tetapi saya minta jangan sesekali kata kami (rakyat Sabah) mahu keluar dari Malaysia. Kita dalam satu keluarga, kita tetap bersama dalam ikatan Malaysia,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengajak rakyat supaya membudayakan sikap berfikiran terbuka agar hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara kelas pertama tercapai.

Ujarnya, rakyat Malaysia tidak harus menyibukkan diri dengan perkara remeh-temeh kerana keadaan itu hanya akan menyebabkan negara tertinggal jauh ke belakang berbanding negara lain.

“Kita mempunyai agenda besar. Kita bukan nak jadi negara kelas kedua, atau mahu menjadi negara biasa-biasa sahaja. Kita mahu Malaysia menjadi negara terbaik dalam kalangan yang terbaik di muka bumi ini.


Atas sebab itu, beliau mencadangkan Transformasi Nasional 2050 (TN50). TN50 inilah satu proses dialog dari akar umbi yang bertujuan menentukan hala tuju baharu untuk meletakkan Malaysia ini di puncak kegemilangan sebagai sebuah negara kelas pertama yang boleh kita banggakan.

Tuesday, October 25, 2016

Hutang Negara Terkawal, Kurangkan Paras Defisit Berperingkat – Perdana Menteri

 


Perdana Menteri semalam mengulangi apa yang sudah dinyatakan pada ucapan Belanjawan 2017 Jumaat lalu bahawa kerajaan ada wang  dan negara tidak bankrap.

Bagaikan tidak puas hati dengan tindakan pembangkang dan pihak tertentu yang terus membuat kenyataan bahawa kerajaan tidak mempunyai wang dan negara bakal bankrap, Datuk Seri Najib Razak menegaskan, anggapan itu  tidak benar.

Najib menegaskan, hakikatnya setiap tahun kerajaan mampu menyediakan bajet yang dapat membantu golongan yang memerlukan.

“Misalnya, Bantuan Rakyat 1Malaysitu ia (BR1M) dinaikkan sehingga RM1,200 serta bantuan kepada pekebun, pesawah, nelayan dan sebagainya secara berterusan,” katanya dalam catatan melalui laman Facebook beliau semalam.


Sementara itu menjawab soalan di Dewan Rakyat pagi semalam, Perdana Menteri  menegaskan kedudukan hutang kerajaan Persekutuan kekal terurus malah dikategorikan sebagai negara keberhutangan se­derhana.

Biarpun begitu, Perdana Menteri menegaskan kerajaan Barisan Nasional terus komited untuk memastikan paras hutang negara tidak melebihi 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi tujuan itu langkah konsolidasi fiskal akan terus diamalkan bagi mengurangkan paras defisit secara berpe­ringkat.

“Hutang yang dibuat oleh kerajaan itu bertujuan membia­yai defisit berikutan kekurangan hasil bagi menampung perbelanjaan pembangunan.

“Pinjaman yang dibuat untuk membiayai perbelanjaan pemba­ngunan adalah perbelanjaan yang produktif dan dapat menyokong pertumbuhan ekonomi serta memanfaatkan rakyat.


Ini termasuk pembinaan sekolah, hospital, jalan raya serta empangan dan secara tidak langsung memberi manfaat kepada sektor swasta melaksanakan pelbagai program dan aktiviti ekonomi,” katanya.

Berikutan kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan masih terkawal, negara dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana.

Secara tidak langsung, ia akan memberi manfaat kepada sektor swasta melaksanakan pelbagai program dan aktiviti ekonomi.

Sehingga  akhir Jun lalu, jumlah hutang negara adalah RM655.7 bilion atau 53 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Daripada jumlah itu, 95.9 peratus atau RM626.8 bilion adalah hutang domestik, manakala 4.1 peratus atau 26.9 bilion adalah pinjaman pesisir.

Perdana Menteri menjawab pertanyaan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Haru Narrashid (BN-Kota Tinggi) yang bertanya berapakah jumlah hutang negara dan jumlah jaminan kerajaan serta apakah tujuannya berdasarkan Bajet 2017.

Menjawab soalan tambahan Noor Ehsanuddin, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mengambil beberapa langkah untuk memastikan perbelanjaan mengurus tidak melebihi daripada hasil bagi mengelak kadar hutang negara meningkat.


Selain itu Najib berkata, kerajaan mesti menentukan bahawa pinjaman itu digunakan untuk mengembangkan ekonomi, menambahkan lagi kegiatan ekonomi negara di samping memberi keutamaan kepada pinjaman dalam negeri.

“Dengan langkah-langkah sedemikian termasuk juga perbelanjaan yang berhemat, cekap dan berkesan serta mementingkan hasil yang berkesan, insya-Allah kita dapat menguruskan hutang negara dalam keadaan yang tepat,” tegas Perdana Menteri.

Wednesday, September 28, 2016

Nahas MH17 – Apa Langkah Seterusnya Jika Russia Enggan Bertanggungjawab?


Russia sedang dan akan terus menafikan pembabitan langsung dalam konflik di Ukraine.

Malah Kremlin juga akan terus menepis pendapat bahawa kumpulan pemisah tajaannya di Ukraine dipertanggungjawabkan  ke atas nahas pesawat Malaysia Airline MH17.

Ini cabaran besar bagi penyiasat dan pendakwa raya antarabangsa, apa lagi kuasa kecil seperti Malaysia.

Di Jerman semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi bahawa Malaysia mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 itu.

Namun, selain kekangan sikap lepas tangan Moscow, ada pendapat mengatakan setakat ini pendakwa raya tidak boleh memfailkan pertuduhan.

Ini  kerana tiada perjanjian antarabangsa berhubung mahkamah mana yang kes itu boleh dibicarakan.


Bagi Malaysia, asas kepada desakannya ialah Kumpulan Penyiasat Bersama (Joint Investigation Team) yang diketuai oleh Belanda membuat kesimpulan bahawa MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu bumi ke udara buatan Russia.

Pendakwa raya antarabangsa yang menyiasat nahas MH17 membuat kesimpulan, pesawat awam itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu bumi ke udara  - BUK 9M38 buatan Russia -  dari kampung Pervomaysk yang dikuasai pemberontak di timur Ukraine.

Pesawat malang itu  ditembak semasa berada pada ketinggian 30,000 kaki dan dan terhempas di kawasan Ukraine yang bergolak dekat sempadan Russia.

Penemuan itu dimaklumkan kepada keluarga mangsa sejurus sebelum sidang media diadakan di Belanda bagi mengumumkan hasil siasatan itu.

Robby Oehlers yang merupakan sepupu kepada mangsa berusia  20 tahun, Daisy Oehlers berkata, penyiasat turut mengenal pasti 100 suspek disyaki dalam nahas udara itu.

Keluarga mangsa juga dimaklumkan sistem peluru berpandu BUK yang digunakan dalam nahas itu diangkut dari Russia ke Ukraine. ia didakwa dikembalikan segera ke Russia, selepas kejadian itu.


"Berdasarkan dua dapatan ini, Malaysia mahu tindakan tegas diambil. Kami telah berjanji bahawa pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat ini akan dibawa ke muka pengadilan," kata Perdana Menteri kepada media Malaysia di Wismar (Jerman) semalam.

"Ini janji kami kepada keluarga. Keluarga mahu keadilan. Maka kami akan mengusahakannya," katanya.

Semalam juga di Nieuwegein (Belanda)  kumpulan penyiasat antarabangsa diketuai Belanda merumuskan bahawa pesawat MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu BUK yang dibawa dari Russia ke Ukraine.

Ketua Jabatan Penyiasatan Jenayah Pusat Belanda, Wilbert Paulissen berkata sistem pertahanan peluru berpandu BUK itu kemudian diangkut balik ke Russia selepas MH17 ditembak jatuh, mengorbankan semua yang berada dalam pesawat.

"Berdasarkan siasatan jenayah, kami membuat kesimpulan bahawa Penerbangan MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu BUK 9M38-Series, dari wilayah Persekutuan Russia," kata beliau.


Pesawat MH17 ditembak semasa berada pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan Ukraine yang bergolak dekat sempadan Russia.

Pesawat Boeing B777 itu, dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan membawa 298 penumpang termasuk anak kapal, apabila ditembak jatuh di ruang udara di timur Ukraine pada 17 Julai, 2014.

Terdapat 193 penumpang warga Belanda dan 44 warga Malaysia dalam pesawat malang itu. Identiti kesemua mangsa warga Malaysia telah dikenal pasti.

Tahun lepas, pengerusi Lembaga Keselamatan Belanda Tjibbe Joustra turut mengesahkan bahawa MH17 ditembak jatuh dengan pelancar peluru berpandu Buk darat ke udara di ruang udara timur Ukraine.

Sebelum ini  Najib berkata Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) terdiri daripada lima negara - Australia, Belgium, Belanda, Malaysia dan Ukraine akan mengadakan mesyuarat untuk memutuskan pelan tindakan untuk membawa pelaku jenayah itu ke muka pengadilan selepas laporan itu disiarkan.

Untuk waktu ini, Malaysia akan mengadakan mesyuarat bersama-sama dengan Belanda dan Australia untuk membincangkan langkah selanjutnya.

“Kami perlu pastikan bahawa pihak yang bertanggungjawab itu mendapat hukuman setimpal,” kata Najib.


Russia yang cuba bermain silap mata sebelum ini berkata ada keluarga mangsa menyatakan data radar menunjukkan pesawat itu tidak dijatuhkan peluru berpandu bumi ke udara  yang dilepaskan dari kawasan dikuasai pemisah pro-Russia di timur Ukraine.

Sebaliknya data radar mengenal pasti semua objek tebang yang mungkin dilancarkan atau berada di udara di kawasan dikuasai pemberontak ketika itu,” demikian menurut  jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov di Moscow.

Ketika kejadian, pemisah pro-Russia sedang bertempur dengan tentera kerajaan Ukraine di wilayah terbabit.


Nahas itu turut menjadi asas penting dalam isu sekatan yang dikenakan Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat ke atas Russia, susulan konflik dengan Ukraine dan ketegangan Timur-Barat yang mencapai tahap tidak pernah dilihat sejak Perang Dingin berakhir.

Tuesday, September 6, 2016

Jho Low Kawal Perbelanjaan PM – AmBank Turut Berkomplot?


Ini satu lagi usaha pembohongan akAmBankhbar Amerika Syarikat, The Wall Street Journal (WSJ) terhadap Perdana Menteri dan kerajaan  Barisan Nasional (BN).
  
Boleh ia  mengatakan  Low Taek Jho, dikatakan sebagai  sekutu Datuk Seri Najib Razak, kononnya mengendalikan akaun peribadi AmBank perdana menteri?

Semakin mengarut WSJ ini dan apakah memang Cina Pulau Pinang ini juga besar kepala?

Juga logikkah Perdana Menteri membiarkan akaunnya diuruskan oleh orang lain?

AmBank boleh benarkan Jho Low berbuat demikian? Bolehkah begitu?

AmBank juga bertanggungjawab untuk menjawab tuduhan ini. Ini soal integriti sebuah bank.

Ia perlu membersihkan namanya yang dituduh dalam komplot Jho Low dan Najib dalam isu perbelanjaan Perdana Menteri yang dikatakan dikawal oleh Cina Pulau Pinang ini.

Besarkah pengaruh Jho Lho terhadap Najib?

Jika dia boleh mengawal perbelanjaan Perdana Menteri, apakah tidak bermakna dia juga boleh ‘mengawal Perdana Menteri BN’ dalam isu dan perkara lain?

Menurut AWSJ,  Jho Low berulang kali menekankan sensitiviti akaun berkenaan dan menekankan keperluan untuk kerahsiaan.

Malah, dikatakan Jho Low juga  melarang AmBank daripada menghantar penyata kad kredit yang berkaitan dengan akaun tersebut ke kediaman perdana menteri.

Siapa Jho Low untuk pandai-pandai mengarahkan AmBank?

"Jangan biarkan mereka di luar bank atau lebih daripada beberapa orang dalaman tahu mengenai akaun ini, arahnya. Gunakan Gmail, bukan sistem e-mel bank, untuk komunikasi.


“Apa sahaja yang kamu lakukan, jangan hantar penyata kad kredit ke rumah perdana menteri,” petik laporan WSJ yang menyenaraikan arahan yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh Jho Low.

"Tidak tidak tidak, tulis Low, menurut transkrip mesej BlackBerry yang diperolehi oleh The Wall Street Journal. Super sensitif.

"Sebaliknya, beliau mengarahkan seseorang untuk menerima penyata secara peribadi," petik laporan yang disiarkan pagi ini.

Menurut Malaysiakini, pihaknya  bagaimanapun tidak dapat mengesahkan kesahihan laporan itu.
  
Laporan AWSJ itu merujuk kepada transkrip yang dikatakan antara hartawan kelahiran Pulau Pinang itu dengan seorang pegawai bank AmBank yang bertindak sebagai orang perantara mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan akaun berkenaan.


Seorang lagi eksekutif kanan bank itu didakwa mengendalikan akaun berkenaan secara peribadi.

Jho Low dilapor menegaskan bahawa sangat penting yang tidak ada sesiapa kecuali kedua mereka yang harus mempunyai akses kepada penyata bank itu.

"(Ini) kerana jika ia (disebar) di internet mengenai sumber dana itu, kita akan sakit kepala," kata Low yang dipetik WSJ.

Mesej berkenaan juga kononnya membincangkan bagaimana untuk berurusan dengan gabenor Bank Negara ketika itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, sekiranya beliau menimbulkan kebimbangan mengenai transaksi berkaitan 1MDB.

Dalam keadaan sedemikian, eksekutif AmBank kanan itu sepatutnya berjumpa dengan Zeti dan memberitahunya bahawa “ini adalah permintaan bos" yang WSJ merujuk kepada Najib.

Najib sebelum ini didakwa memiliki ratusan juta dana 1MDB melalui pelbagai perantara yang berakhir di akaun bank peribadinya di AmBank.

Menurut laporan akhbar Amerika Syarikat itu, peguam Jho Low enggan mengulas mahupun pihak AmBank dan dua pegawai bank berkenaan yang didakwa terbabit berurusan dengan Low dan akaun bank Najib.

Ia juga mendakwa bahawa dokumen bank menunjukkan Najib telah mengeluarkan lebih 500 cek daripada akaun yang kononnya dibiayai melalui dana 1MDB berjumlah AS$ 400 juta.


Bagaimanapun, menurutnya, beliau tidak melakukan sebarang kesalahkan dan menyifatkan wang yang berada di akaun itu adalah sumbangan derma daripada seorang putera Arab Saudi.

Peguam Negara Tan Sri Mohd Apandi Ali bersependapat dan memutuskan untuk tidak mendakwanya selepas siasatan pihak berkuasa.

Malaysiakini turut menghubungi setiausaha akhbar Najib untuk mendapatkan ulasan mengenai laporan WSJ hari ini.

Saturday, September 3, 2016

Kebersamaan – Kenapa Asyik-asyik Melayu Yang Ditagih?


Apakah semangat kebersamaan atau the spirit of togetherness yang dikehendaki oleh Perdana Menteri?

Semangat itu bertujuan mengajak semua ahli parti seia-sekata, ‘sehati sejiwa’ dan perpaduan dalam sebarang tindakan untuk mengukuhkan parti dan akhirnya memajukan negara.

Berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Pekan hari ini, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya berpegang teguh kepada konsep kebersamaan dan ikhlas dalam perjuangan bagi memastikan parti itu terus berjaya.

Menurut Perdana Menteri, jika diamalkan semangat kebersamaan, Malaysia boleh jadi satu negara yang lebih kuat dan berjaya.

Ini kerana jika singkap sejarah negara, Malaysia boleh gunakan pengalaman dan beberapa detik peristiwa di mana kebersamaan antara rakyat telah membuahkan keberhasilan yang agak luar daripada jangkaan.

"Ia termasuk semasa kita menuntut kemerdekaan, dengan semangat kebersamaan antara pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T Sambanthan, kita telah berjaya mendapat kemerdekaan dengan cara lebih mudah daripada kebanyakan negara lain.

"Malah semasa PRU pertama 1955, hasil semangat kebersamaan, Parti Perikatan ketika itu telah meraih kemenangan cemerlang dengan membolot hampir semua kerusi," katanya ketika berucap di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah hari ini.

Malah, menurut Perdana Menteri, jika dilihat kepada sejarah, banyak kejayaan yang boleh dijadikan iktibar hasil kebersatuan seperti semasa menuntut kemerdekaan negara.

‘’Sebaliknya kalau kita tinggalkan semangat kebersatuan ini, tidak menghayatinya maka sesuatu yang buruk boleh menimpa. Boleh jadi mudarat yang mana pengalaman itu telah kita lalui,’’ katanya.


Sebut soal kebersamaanini terlintas difikirkan kita beberapa konsep yang pernah diperkenalkan kerajaan seperti ‘perpaduan nasional’ , ‘Rukun Negara’, 1Malaysia’ dan banyak lagi.

Ia menuntut keikhlasan rakyat semua kaum, bukan daripada kaum Melayu semata-mata.

Namun rasanya Najib tersilap tempat dan forum untuk meluahkan keinginan dan kehendaknya mengenai kebersamaan ini.

Jelas kelihatan bahawa dalam kalangan UMNO, seperti yang ditunjukkan di mesyuarat-mesyuarat Bahagian UMNO sejauh ini, semangat itu tetap padu.

Namun daripada apa yang diucapkan pemimpin dengan pencapaian negara dalam konteks keputusan pilihan raya serta sektor ekonomi dan pemilikan ekuiti, apakah kebersamaan itu sudah benar-benar terserlah di kalangan masyarakat  Malaysia?

Kenapa dalam semua bidang, orang Melayu yang banyak berkorban sejak 1948 menjadi mangsa kepada kebersamaan ini?

Dalam pilihan raya, rakyat bukan Melayu tidak menyokong Barisan Nasional (BN), apalagi mengundi parti UMNO dan parti komponen BN, khususnya di Semenanjung Malaysia?

Kenapa polarisai kaum terus menerus berlaku?

Jadi, apabila Najib meminta orang Melayu dalam UMNO mengamalkan kebersamaan, rasanya ia sesuatu yang tidak kena pada tempat.

Benar Najib menyebut supaya Umno dan BN terus memperkukuhkan semangat kebersamaan selain ikhlas dalam perjuangan untuk memastikan parti terus kuat dan berjaya mengharungi arus pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Yang menjadi persoalan ialah dalam kalangan BN. Apakah parti komponen seperti MCA, MIC dan Gerakan menunjukkan sikap yang dimahukan Najib?

Kerana itu,  seruan ini sewajarnya dilaungkan oleh Najib pada mesyuarat parti komponen BN atau majlis-majlis bukan Melayu.

Persoalannya ialah apabila Najib timbulkan isu kebersamaan ini, apa dan sebanyak mana lagikah Melayu perlu berkorban dan menyerahkan haknya kepada bukan Melayu?

Juga sebanyak mana lagi Melayu perlu bertolak-ansur dalam perkara-perkata berkaitan agama Islam, Bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dan ekonomi yang semakin hari semakin mengecil.

Perbuatan mempersendakan agama, Bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dilakukan sewenang-wenangnya dan apakah tindakan pihak berkuasa boleh ‘menenangkan orang Melayu’?

Apakah mereka berpuas hati dengan keputusan kerajaan dalam keputusan dan tindakan ke atas mereka yuag mempersenda dan memperkecilkan Melayu?

Kenapa Najib hanya berani bersuara pada majlis dan forum UMNO tetapi tidak pada forum bukan Melayu atau parti-parti komponen bukan Melayu dalam NB?

Mungkin Najib memperkatakan soal kebersamaan ini merujuk kepada pentingnya semangat bersatu hadi kerana PRU ke-10 di Pekan dilihat sebagai pengajaran, apabila Umno dan BN ketika itu hampir tersungkur kerana meninggalkan prinsip kebersamaan ditambah dengan faktor luaran ketika itu.

Untuk rekod pada PRU ke-10, Najib yang bertanding di Parlimen Pekan hanya menang tipis dengan memperoleh majoriti 241 undi ketika menentang calon PAS Ramli Mohamed.

"Barangkali sebahagian besar daripada kita masih segar dalam ingatan mimpi ngeri PRU 1999 apabila kita nyaris rebah, walaupun banyak faktor luaran yang mempengaruhi keputusan, namun tidak kurang pentingnya faktor dalaman yang menyumbang kepada keputusan yang saya sebut sebagai mimpi ngeri itu,’ tegas Najib.

Rasanya mengubati penyakit kebersamaan dalam UMNO tidak sesukar dalam BN.

Perhatikan sahaja apa yang berlaku kepada MCA, MIC dan Gerakan yang kini jelas layu.

Malah, dalam keadaan sedemikianpun mereka bangkit menentang Rang Undang-Undang (RUU) Ahli Persendirian Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, atau “Cadangan Pindaan Akta 355”. seperti yang ditonjolkan baru-baru ini.

Lebih mengejutkan parti komponen BN ini boleh bersekongkol dengan parti pembangkang bagi menentang TUU 355 ini.

Jadi, di mana persoalan bekersamaan ini sewajarnya ditujukan?

Kenapa UMNO tetapi tidak parti komponen BN? .

Saturday, June 18, 2016

BN Menang 2 PRK - 'Idi Amin Malaysia' Lebih Popular Daripada Dr Mahathir


"BN berjaya kerana kita bekerjasama sebagai satu pasukan. Kita menang, dan jika kita terus bekerja keras untuk rakyat dan terus bersatu, kita (BN) akan sentiasa menang."
- Datuk Seri Najib Razak

“Idi Amin Malaysia lebih popular,” demikian ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak di Sungai Besar selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) malam tadi.

Sambil menyambut kemenangan BN dalam dua pilihan raya kecil, Najib membidas pengkritik utamanya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagi Pengerusi BN itu, keputusan pilihan raya semalam menunjukkan bahawa rakyat menolak Deklarasi Rakyat yang diusahakan Dr Mahathir dan pemimpin pembangkang.

Dr Mahathir yang dalam siri kempennya untuk calon parti Amanah Negara (AMANAH) menyifatkan Najib sebagai 'Idi Amin Malaysia'.

Bekas Perdana Menteri itu mengingatkan kisah bekas presiden Uganda itu yang menggunakan harta rakyat sehingga ditolak oleh rakyat.

Bagi Najib yang juga Presiden UMNO, kemenangan besar yang diperoleh BN pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar menunjukkan bahawa rakyat menolak referendum Mahathir.

Beliau berterima kasih kepada pengundi kerana meletakkan kepercayaan mereka kepada BN, selain menolak pembohongan Dr Mahathir.


Beliau turut menyatakan  berterima kasih kepada semua jentera BN, yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"BN berjaya kerana kita bekerjasama sebagai satu pasukan. Kita menang, dan jika kita terus bekerja keras untuk rakyat dan terus bersatu, kita akan sentiasa menang.

Najib menyifatkan Dr Mahathir telah mengubah PRK  itu kepada satu referendum mengenai kepimpinannya, dengan berkempen untuk bekas musuh dalam pembangkang dan mencemarkan partinya sendiri dengan bahasa kasar dan mendakwa bercakap bagi pihak rakyat untuk kepentingan sendiri.

"Sebagai sebuah kerajaan separuh penggal yang menjadi sasaran kepada fitnah bermotifkan politik, kita amat rendah diri mengenai keputusan yang menang besar ini. Majoriti rasmi kita di Kuala Kangsar ialah 6,969 undi berbanding 1,082 undi pada pilihan raya umum 2013 dan 9,191 undi di Sungai Besar berbanding 399 pada 2013,” kata Najib dalam satu kenyataan semalam.

BN diumumkan sebagai pemenang dalam pertembungan tiga penjuru ini dengan majoriti 9,191 undi, meninggalkan calon Parti Amanah Negara (Amanah) dengan 7,609 undi dan calon PAS, Dr Abdul Rani Osman yang mendapat 6,902 undi.


Bagi Najib dan BN khususnya,  rakyat menunjukkan keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap BN berdasarkan majoriti besar dalam kedua-dua PRK dan kemenangan BN memperoleh 72 daripada 82 kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak bulan lalu.

Beliau berjanji, selagi beliau  sebagai Perdana Menteri, kepentingan rakyat akan didahului.
Perdan Menteri berikrar akan menunaikan semua janji kepada rakyat dengan keutamaan akan terus menumpukan kebajikan ekonomi, kesejahteraa sosial dan keselamatan semua rakyat Malaysia.

Di Sungai Besar semalam Perdana Menteri turut menyifatkan kemenangan BN itu sebagai  titik permulaan untuk merampas semula Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pencapaian yang menakjubkan dengan majoriti 9,191 undi itu cukup istimewa buat BN dengan kesabaran dan ketabahan semua di kala  “orang kutuk, lanyak, hina kita di bulan puasa dan Allah beri kemenangan kepada orang yang sabar.”

"Saya cuma nak buat kerja dan sentiasa berdoa jika saya betul tunjukkanlah dan hari ini Allah telah beri kita dua kemengangan, moga ia jadi azimat baharu kepada kita semua," katanya yang mengakui tidak percaya BN boleh mencapai kemenangan besar dengan angka yang diluar jangkaan.
  
Zahid bersama Mastura dan anak-aanaknya.
Najib mahu jentera parti untuk kuatkan azam, bersungguh-sunggu dan berjuang habis-habisan kerana ternyata ada harapan untuk membawa perubahan di Selangor. 

"Kemenangan di Sungai Besar beri momentum untuk Selangor kembali kepada BN, oleh itu kita perlu terus berjuang, jangan hilang fokus. Ternyata BN diterima semua kaum dan bukan sahaja Melayu, malahan juga mendapat sokongan Cina, India dan bukan hanya Jawa dan Banjar tetapi semua kerana BN berjuang untuk semua kaum," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil sikap sambil lewa kerana kemenangan ini bukan tiket untuk bersenang-lenang, tetapi sebagai semangai baharu untuk mencapai kemenangan lebih besar pada PRU-14.

"Belum boleh lunjur kaki, kena sinsing lengan dan turun padang bersama-sama untuk pastikan BN kembali semula di Selangor," katanya.

Perdana Menteri juga mengingatkan, kemenangan di dua PRK itu bukan untuk ahli serta pemimpin parti itu bersikap ego dan takbur.

Yang paling utama adalah untuk memastikan rakyat sentiasa menyokong BN kerana ternyata ia parti yang menjadi pilihan.

"Jangan ego, takbur, perlu merendah diri kerana kita berkhidmat untuk rakyat dan mahu rakyat terus beri sokongan kepada BN," katanya ketika berucap di Dewan Seri Bernam di Sungai Besar,  bagi meraikan kemenangan calon BN, Budiman Mohd Zohdi tengah malam semalam.

Najib memberi jaminan untuk terus memenuhi kehendak rakyat dan membantu penduduk untuk mengecapi kemajuan serta masa depan yang cerah. “Cuma BN saja yang boleh membawa kemajuan, menjamin masa depan, selesaikan masalah, keamanan dan mencapai kestabilan," katanya lagi.

Di Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid memperoleh 12,653 undi, meninggalkan calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad dengan 5,684 undi, manakala Amanah yang diwakili Prof Dr Ahmad Termizi Ramli mendapat 4,883 undi. Selain itu, calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary hilang wang deposit apabila hanya mendapat 54 undi.


Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Mastura.