Showing posts with label BN. Show all posts
Showing posts with label BN. Show all posts

Saturday, April 22, 2017

Abang Johari - BN Sarawak Yakin Terus Raih Sokongan Pada PRU-14


Barisan Nasional (BN) Sarawak menerima sokongan semua kaum termasuk Cina pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas kerana ia menampilkan dasar-dasar yang baik dan sama rata buat rakyat Bumi Kenyalang.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata berikutan keyakinan rakyat terhadap BN, mereka memberi sokongan meluas hingga banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai majoriti pengundi Cina kembali dimiliki BN.

Sehubungan itu, katanya beliau yakin BN akan terus meraih sokongan itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 nanti.

"Saya yakin boleh tambah lagi kerusi Parlimen BN pada pilihan raya akan datang," katanya pada Sesi Khas Ketua Menteri Bersama Media - 100 Hari dan Seterusnya di sebuah hotel di sini, Sabtu.

Pada PRU13, BN Sarawak membolot 25 daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Sarawak semasa kerajaan negeri diterajui oleh Tan Sri (kini Tun) Abdul Taib Mahmud, yang kini Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Pada PRN lepas, BN Sarawak yang diterajui Tan Sri Adenan Satem mencapai kemenangan besar apabila membolot 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Abang Johari mengambil alih jawatan Ketua Menteri pada 13 Januari lepas berikutan kematian Adenan pada 11 Januari lepas setelah memimpin kerajaan negeri kira-kira lapan bulan.

Ketika ditanya sama ada beliau melihat isu-isu politik di Semenanjung Malaysia ketika ini ''membimbangkan'', Abang Johari berkata beliau tidak tahu ''apa masalah sebenar'' politik di sana.

Namun, katanya beliau sentiasa berkongsi pandangan dengan pemimpin negara mengenai apa yang baik, apa yang perlu dilakukan untuk kemakmuran negara selain mengemukakan fakta rasional termasuk mengekalkan budaya berpolitik Sarawak.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Abang Johari berkata penekanan paling penting dalam era pentadbirannya adalah untuk meneruskan semua polisi yang diilhamkan oleh Allahyarham Adenan dengan yang paling utama adalah membangunkan kawasan luar bandar.

Dalam era perkembangan teknologi yang begitu pesat, beliau berkata kaedahnya mesti diubah suai dengan kerajaan negeri mencari jalan lebih pantas untuk melonjakkan kemajuan ekonomi dan menerapkan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pelbagai bidang.

Sehubungan itu, katanya beliau memperuntuk RM1 bilion bagi menyediakan keperluan infrastruktur khusus untuk meningkatkan kelajuan dan penembusan internet di Sarawak supaya banyak inovasi baru dapat dihasilkan menerusi kreativiti tenaga kerja Sarawak.

"Kita ada banyak kerja di hadapan. Kita perlu lonjakkan kemajuan ekonomi untuk mencapai taraf yang setara dengan kemajuan di negeri lain, malah kita mahukan lebih dari itu," katanya.

Selain itu, Abang Johari berkata rundingan dengan Petronas berhubung usaha menaikkan kadar royalti minyak untuk kerajaan negeri Sarawak tidak pernah dilupakan dalam agenda kerajaan negeri walaupun ia akan mengambil masa ekoran harga minyak merudum ketika ini.

Pada masa sama, katanya kerajaan negeri berusaha menggesa Petronas untuk turut melibatkan usahawan-usahawan Sarawak meneroka industri minyak dan gas menerusi kerjasama dan pendekatan yang strategik.

Kerajaan negeri turut merancang untuk membina Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang menghubungkan bahagian Kuching, Samarahan dan Serian menjelang 2020.

Monday, March 13, 2017

Duta China Bimbang, Terpaksa Nafi Rapat Dengan BN Sahaja


Apakah jawapan Duta Besar Republik Rakyat China (RRC) di Malaysia Dr Huang Huikang semalam yang menolak dakwaan beliau mempunyai hubungan rapat dengan parti politik Barisan Nasional (BN) sahaja menggambarkan wujud kebimbangan beliau mengenai survival parti berkenaan?

Juga dengan mengaitkan lawatannya ke Pulau Pinang turut menggambarkan beliau ‘bermain selamat’ dengan kemungkinan-kemungkina pembangkang akan menakluki Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti?

Apakah RRC dan Dr Huang sedang memerhatikan dengan teliti kemungkinan kerajaan baru akan mengambil alih Putrajaya?

Semalam, Dr Huang menafikan RRC hanya bebraik dengan BN seperti didakwa seorang diplomat veteran Malaysia baru-baru ini.

Bekas duta Malaysia ke Kanada, Datuk Dennis Ignatius yang mempunyai pengalaman lebih tiga  dekad dalam perkhidmatan diplomasi Malaysia, berkata dalam satu lisannya bahawa penglibatan China dapat dilihat melalui sokongan terbuka diplomatnya terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ini termasuk melalui kehadiran pegawai kedutaan di program politik melibatkan Umno, MCA dan Gerakan.

Tahun lalu, duta besar China menemani Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Adun MCA Teoh Yap Kun untuk melakukan lawatan ke kawasan Parlimen Semborong dan kawasan DUN Paloh.

Diplomat China juga dilihat bersama pemimpin kanan MCA menghadiri mesyuarat Persekutuan Persatuan Hakka Malaysia di Raub, Pahang, di samping bersama Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong di Teluk Intan.

“Dalam semua kunjungan ini, diplomat China mengambil peluang memuji pentadbiran Najib, menekankan kepentingan MCA dan menegaskan yang hubungan yang dibina dengan China akan banyak menguntungkan masyarakat Cina di Malaysia,” kata Dennis.

Dr Huang yang cuba menepis dakwaan itu berkata beliau baik dengan semua pihak di Malaysia.

“Saya adalah sahabat Malaysia, sahabat sejati seluruh Malaysia,” katanya dipetik Bernama.

Kenyataan beliau ada kaitan dengan dakwaan Dennis awal bulan ini bahawa penglibatan Huang dalam politik tempatan semakin menyerlah.

Beliau dikatakan dilihat kerap bersama pemimpin parti terutama MCA dan UMNO menjelajah seluruh negara.


Diplomat veteran itu menceritakan bagaimana duta besar China kini lebih intim dengan ahli politik Malaysia khususnya daripada MCA dan UMNO.

Malah  Duta Besar China ke Malaysia itu dilihat semakin melibatkan diri dalam politik tempatan di sebalik hubungan rapat Malaysia-Chinayang memberi peringatan akan kesannya terhadap kedaulatan negara.

“Beliau tekun menjelajah negara, dan kerap ditemani ahli politik MCA dan Umno, mengunjungi berpuluh-puluh sekolah Cina dan menyalurkan beratus ribu ringgit dalam bentuk bantuan dan biasiswa,” bekas duta Malaysia ke Kanada, Datuk Dennis Ignatius menulis dalam FMT pada 4 Mac lalu.

Huang berjanji mewujudkan program latihan bersama guru sekolah, yang antara lain boleh menyaksikan penyertaan lebih ramai guru dari tanah besar China di sekolah tempatan.

Dennis berkata MCA kini bertindak seolah-seolah ia cawangan kedutaan China dan bukan sebagai sebuah parti politik yang menyertai kerajaan.

“Baru-baru ini, ia menubuhkan sebuah jawatankuasa hal-ehwal China di samping sebuah pusat OBOR,” kata Dennis, merujuk kepada projek One Belt One Road, laluan sutera dan laluan laut yang diwujudkan China bagi mengawal ekonomi serantau.

Tambahnya, MCA mempromosikan OBOR mengalahkan kempen yang dijalankan kedutaan China sendiri.
“Ada yang berhujah tindakan sedemikian menjadikan MCA sebagai penggerak utama pengaruh dan propaganda China di negara ini kini,” katanya.

Katanya, dasar “pro-China” yang diamalkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak adalah paling ketara dalam sejarah, dan Beijing kini semakin menyerlah memainkan peranan dalam politik tempatan.


November lalu, Najib mengetuai rombongan ke Beijing yang turut disertai lapan  menteri dan tiga  menteri besar, dalam apa yang dilihat pemerhati sebagai kecenderungan Putrajaya terhadap China.

Lawatan itu menyaksikan 14 perjanjian melibatkan pelaburan bernilai lebih RM143 bilion, termasuk penglibatan China dalam Bandar Malaysia dan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion.

Dennis berkata sokongan dan kenyataan diplomat China itu boleh dianggap ugutan terhadap masyarakat Cina negara ini supaya mengalihkan sokongan mereka kembali kepada Umno dan BN.
Menurutnya, pihak yang paling rugi sekiranya strategi ini berjaya adalah DAP yang menjadi pencabar utama MCA dalam meraih undi Cina.

Dennis berkata, tekanan Beijing itu memaksa DAP bersikap lebih “sederhana” dalam menentang beberapa keputusan memberikan projek besar kepada China.

Dennis mengakui apa yang diutarakannya boleh ditafsirkan sebagai menyebarkan dakyah anti-China.

“Ini bukan mengenai pro-Barat atau pro-China tetapi memastikan tidak ada negara, sama ada di timur atau barat, yang dapat mendominasi kita sehinggakan kita hilang upaya untuk menentukan haluan sendiri,” katanya.

Kata Dennis, penglibatan China dilihat melalui sokongan terbuka diplomatnya terhadap kerajaan BN termasuk melalui kehadiran pegawai kedutaan di program politik melibatkan Umno, MCA dan Gerakan.

“Ada yang berhujah tindakan sedemikian menjadikan MCA sebagai penggerak utama pengaruh dan propaganda China di negara ini kini,” katanya.

Huang semalam menegaskan,  menjalin hubungan rapat dengan semua pihak termasuk parti pembangkang.

Beliau memberi contoh lawatan rasminya ke Pulau Pinang yang diterajui DAP.

“Saya menjelajah ke serata bandar dan negeri di Malaysia, saya sudah banyak kali melawat Pulau Pinang, bertemu Ketua Menteri Pulau Pinang… saya juga menghadiri majlis perasmian Jambatan Kedua Pulau Pinang (Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah),” katanya.


Kenyataannya itu dipetik Bernama, selepas bertemu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Alor Setar semalam.


Saturday, March 11, 2017

Hanya BN Mensejahterakan Melayu, Bumiputera Menerusi Kuasa Politik


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kuasa politik dimiliki kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO membolehkan orang Melayu dan bumiputera menikmati kehidupan lebih baik.

Perdana Menteri berkata, ke­dudukan lebih baik itu hasil perjuangan kerajaan yang berusaha membawa perubahan tersebut termasuk dalam bidang pendidikan.

Beliau memberikan contoh pelaksanaan program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) yang membuka peluang pelajar bumiputera miskin dan kurang berkemampuan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kalau pembangkang yang ditunjangi DAP, jangan harap ada program seperti ini dilaksanakan oleh mereka. Apa yang kita lihat hari ini tidak boleh dipisahkan dengan kekuasaan politik sebab itu yang menentukan kemungkinan segala-galanya berlaku,” katanya berucap melancarkan JPB 2017 yang diha­diri kira-kira 15,000 orang di Padang Majlis Daerah Bera semalam.

Yang hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi Jawatankuasa Induk JBP, Prof. Eme­ritus Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan pemimpin kerajaan Persekutuan serta negeri.


Berikutan itu, kerajaan pimpinan UMNO dan BN akan terus komited memastikan nasib Bumiputera terbela di negara ini.

"Kita (kerajaan) konsisten dalam menjaga kebajikan semua rakyat, terutamanya golongan Bumiputera, usaha melalui program JPB 2017 ini adalah bukti jelas kerajaan ingin memastikan tidak ada pelajar Bumiputera yang layak ke institusi pengajian tinggi (IPT) tercicir kerana masalah seperti kemiskinan

 "Jangan harap program seperti ini akan diadakan jika pembangkang memerintah, jika DAP memerintah, tidak mungkin mereka akan buat program ini.

JPB 2017 menyasarkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) antara 2012 hingga 2016 bagi memenuhi impian mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan penglibatan pelbagai IPT dan kemahiran seluruh negara.

Program itu dijangka mengeluarkan kira-kira 50,000 surat tawaran ke IPT kepada pelajar yang layak.

Program yang diadakan di 55 kawasan Parlimen di seluruh negara itu adalah kesinambungan daripada kejayaan JBP 2016 yang memberi impak positif dalam membuka peluang kepada pelajar bumiputera miskin dan kurang berkemampuan belajar ke peringkat lebih tinggi.

Menurut Najib, kerajaan mela­kukan pelbagai usaha bagi me­ngubah nasib orang Melayu dan bumiputera yang mendatangkan kejayaan seperti membantu seramai 5,659 pelajar mendapat tajaan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera antara 2012 hingga September 2015.

Beliau berkata, sejumlah 39,243 pelajar bumiputera mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dari 2011 hingga 2015 manakala seramai 353,817 pelajar pula mene­rima pinjaman pinjaman pendidikan Mara bagi tempoh sama.

“Bahkan, setakat November lalu terdapat 165,028 penuntut di 32 Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mana kerajaan menyasarkan sejumlah 250,000 penuntut universiti itu menjelang 2020.

“Sejak dasar Transformasi Nasional diperkenalkan, jumlah penyertaan bumiputera terhadap pendidikan tinggi meningkat 27.7 peratus kepada 32.3 peratus dari 2011- 2015,” ujarnya.

Perdana Menteri turut me­ngumumkan satu lagi bantuan kepada pelajar miskin dan mempunyai kelulusan minimum untuk melanjutkan pelajaran ke pe­ringkat lebih tinggi apabila Bank Rakyat menyumbangkan seba­nyak RM3 juta kepada 2,000 orang bagi tujuan berkenaan.


Sementara itu, Najib turut mengumumkan Bank Rakyat menyediakan peruntukan berjumlah RM3 juta bagi pembiayaan kira-kira 2,000 pelajar tidak berkemampuan yang layak melanjutkan pengajian ke IPT. 

Tuesday, October 11, 2016

Syor Persempadanan Semula - BN Tidak Puas Hati 30 Peratus Cadangan SPR


Barisan Nasional (BN)  tidak puas hati 30 peratus syor persempadanan semula kawasan pilihan raya yang disyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Antara faktor tidak puas hati itu adalah taburan pengundi yang terlalu berasaskan kaum, jarak persempadanan semula yang jauh serta Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dikeluarkan daripada kawasan Parlimen.

Contoh ialah syor persempadanan semula di Sabah yang menimbulkan rasa tidak puas hari parti komponen BN apabila terdapat lebih 10 kawasan baharu yang dicadangkan diwakili kaum tertentu sahaja.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata semua setiausaha agung parti komponen BN sudah mengemukakan maklum balas masing-masing berhubung isu persempadanan semula itu kepadanya.

"Saya telah memberi pandangan dan nasihat yang perlu mereka ambil berhubung perkara ini," kata Menteri Wilayah Persekutuan itu yang ditemui pemberita selepas merasmikan kios jualan makanan dan minuman di Presint 9, di sini hari ini.

Pada 23 September lalu, Perdana Menteri, yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata satu  jawatankuasa ditubuhkan bagi menyelaraskan cadangan balas BN kepada SPR  berkaitan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Jawatankuasa itu akan diketuai Setiausaha Agung BN, dan dianggotai kesemua setiausaha agung komponen parti.

BN akan menyatukan semua pandangan dan cadangan berkaitan usul tersebut. “Mudah-mudahan kita akan dapat keputusan yang dilihat adil oleh semua pihak. Jawatankuasa akan bersidang secepat mungkin mengikut rangka masa SPR dan undang-undang ditetapkan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn, di Kuala Lumpur, pada hari berkenaan.


Ditanya adakah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan selepas pewartaan usul persempadanan tersebut, Najib berkata itu bergantung kepada budi bicara SPR.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyifatkan penubuhan jawatankuasa itu wajar kerana usul persempadanan semula itu akan memberi kesan kepada semua parti komponen BN.

“MCA telah mencadangkan penubuhan jawatankuasa berkenaan kerana ia adalah parti yang akan terjejas teruk…banyak kerusi yang terlibat adalah di kawasan bandar yang ditandingi oleh kami. Oleh itu, kami perlu mengkaji semula cadangan tersebut,” katanya.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno semalam memberitahu, beliau telah menulis surat kepada semua pengerusi BN negeri untuk mengingatkan bahawa ibu pejabat Umno atau BN tidak boleh mengambil tindakan membuat bantahan secara terus kepada SPR.

Sebaliknya ia hanya boleh dilakukan oleh kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) atau melalui petisyen oleh 100 pengundi di kawasan terlibat.

Bagi negeri yang bukan di bawah pemerintahan BN, Tengku Adnan berkata, beliau mengesyorkan pengerusi BN negeri mengumpulkan 100 orang dari setiap kawasan yang menolak cadangan persempadanan semula itu untuk mengemukakan petisyen bantahan kepada suruhanjaya tersebut.

Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

Semua pihak diberi masa sebulan sehingga Jumaat ini (14 Oktober) untuk mengemukakan bantahan masing-masing. 

Monday, October 3, 2016

Faktor Persempadanan Semula - BN Boleh Menang Besar Pada PRU14


Barisan Nasional (BN) akan menang besar pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ramalan tersebut berdasarkan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya kali ini.

Sejarah menunjukkan bahawa setiap kali dibuat persempadanan, BN akan mencatat kemenangan besar.

Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, kemenangan yang dicapai BN pada 2004, kebanyakan orang anggap bersebab dengan faktor Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) semata-mata.

"Sebenarnya tidak. Pak Lah hanyalah salah satu faktor. Pada PRU 2004, banyak kerusi yg dimenangi pembangkang dalam PRU 1999 dirampas semula oleh BN bukan kerana faktor Pak Lah.

Sebaliknya kerana persempadanan semula," ujarnya, memetik wawancara yang diadakan dengan Sinar Harian.

Dr Mohammad Redzuan 
Beliau yang pernah menjawat kerusi Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) itu berkata, pada PRU 2004, ramai orang Melayu memihak kepada pembangkang berikutan peristiwa mata lebam.

"Orang Cina pula solid kepada BN. Persempadanan 2004 dibuat dengan membanyakkan kerusi campuran dengan pengundi Melayu dan bukan Melayu pada nisbah 60:40 atau 55:45.

Ini membawa kepada banyak kawasan campuran diwujudkan terutama di pantai barat Semenanjung.

"Pada pilihan raya 2008, kawasan campuran memihak kepada pembangkang (BN tewas). Jadi persempadanan yang baharu ini perlu dibuat mengikut kelompok. Kaum Cina satu kelompok, Melayu satu kelompok," jelasnya.

Beliau berpendapat, apa yang sedang berlaku ini, ujar beliau, boleh dianggap seperti satu penyelewengan dan jenis penipuan yang dihalalkan.

"Mereka menang dengan cara yang tidak gentleman. Saya yakin majoriti rakyat mendukung amalan demokrasi, mereka terima siapa yang mendapat mandat rakyat, satu undi menang pun kena terima, itu kematangan demokrasi tetapi biarlah dengan cara yang baik," tambah beliau.

Mengenai tempoh berkempen, beliau menambah, aspek itu juga terbukti menentukan keputusan PRU.


"Antara ‘kesilapan’ besar Pak Lah ialah membenarkan kempen 13 hari pada PRU 2008. Zaman Mahathir, hanya sembilan hari sahaja berkempen dalam PRU 1999. Kalau tempoh berkempen dalam PRU ini dibenar dua minggu, kerajaan Mahathir boleh tumbang pada waktu itu.

"Pada 2008, dari segi undi popular, kajian menunjukkan sebanyak tiga peratus sokongan untuk BN menurun setiap hari pada minggu kedua kempen. Kalau kempen pilihan raya 2008 dibuat selama 16 hari, BN hilang lebih banyak kerusi," katanya lagi.

Baru-baru ini, susulan kritikan pada syor persempadanan semula, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyarankan pihak berkelayakan dalam bidang perundangan agar membuat bantahan.

Bantahan patut dibuat pada masa ditetapkan dan "bukannya membuat tuduhan melulu" terhadap badan itu, kata Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

"SPR mengalu-alukan setiap bantahan dan representasi, namun begitu ia perlu dikemukakan secara rasmi mengikut saluran dan perundangan yang ditetapkan," katanya.

Syor persempadanan semula yang dikeluarkan didakwa hanya memberi kelebihan kepada Umno.
Ia dikatakan boleh mengurangkan kerusi campuran akibat peralihan pengundi, meningkatkan majoriti Melayu dan mengurangkan perwakilan bukan Melayu di kawasan berkenaan.

‘BN akan menang besar PRU14’
Oleh MUHAMAD MAT YAKIM
3 OKTOBER 2016


“BN akan menang besar PRU14,” kata Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman,  seorang ahli akademik yang cukup dikenali kerana hasil kajiannya yang kadang kala mencetuskan kontroversi. Kerana bertegas dengan prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban akademiknya, Mohammad Redzuan terpaksa keluar meninggalkan biliknya sebagai Pengarah UMCEDEL (Pusat Kajian Demokrasi & Pilihan Raya Universiti Malaya) - yang beliau sendiri tubuhkan - apabila hasil kajiannya tidak memihak kepada pemerintah.

Begitupun, beliau tidak menoleh ke belakang dalam memacu integriti dan kredibilitinya sebagai ahli akademik. “Akademik, adalah mengatasi politik,” katanya kepada Editor Sinar Harian, MUHAMAD MAT YAKIM dan jurufoto, AFIQ RAZALI di pejabat Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Shah Alam, baru-baru ini.

Mohamad Redzuan kemudiannya bercakap panjang mengenai isu-isu persempadanan semula kawasan pilihan raya yang menjadi topik panas seminggu dua ini. Beliau juga turut menyentuh beberapa isu lain dalam pertemuan yang penuh mesra.

Bagaimana Prof. melihat cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya kali ini?

Sejarah menunjukkan bahawa setiap kali dibuat persempadanan, BN akan mencatat kemenangan besar. Kemenangan yang dicapai BN pada 2004, kebanyakan orang anggap bersebab dengan faktor Pak Lah semata-mata. Sebenarnya tidak. Pak Lah hanyalah salah satu faktor.

Pada PRU 2004,  banyak kerusi yg dimenangi pembangkang dalam PRU 1999 dirampas semula oleh BN bukan kerana faktor Pak Lah. Sebaliknya kerana persempadanan semula. Saya ambil contoh bagi Dun Kajang. Mengapa Dr. Shafie Abu Bakar, (Adun Pas Kajang 1999-2004)  kalah di Dun ini? Kenapa pula Kak (Datuk Seri Dr.) Wan (Azizah Wan Ismail) di Permatang Pauh mendapat undi yang jauh merosot jika dibandingkan dengan kemenangan yang dicapai dalam  PRU 1999? Dan apa yang berlaku di Terengganu (apabila BN mengambil alih pemerintahan negeri dari tangan Pas)?

Ternyata persempadanan merupakan faktor yang mencorakkan keputusan yang berlaku.
Sebagai contoh di Dun Kajang, apabila kami membuat ground mapping, didapati terdapat dua peti undi dengan pengundi campuran yang dimasukkan dalam Dun Kajang. Peti undi ini juga boleh dimasukkan ke dalam Dun Dusun Tua. Dalam kata lain, jika peti undi itu boleh memenangkan BN di Dusun Tua, ia boleh dimasukkan ke Dun Dusun Tua. Kalau boleh membantu memenangkan mereka di Dun Kajang, akan dimasukkan ke Dun Kajang. Ini merupakan penyumbang kepada kekalahan Pas di Dun Kajang pada 2004. Walau bagaimanapun, sejak PRU 2008,  ini sudah tidak relevan kerana kawasan yang mempunyai undi campuran tidak lagi memihak kepada BN.

Persempadanan memang dibuat untuk memenangkan BN?

Pada PRU 2004, ramai orang Melayu memihak kepada pembangkang berikutan Peristiwa Mata Lebam. Orang Cina pula solid kepada BN. Persempadanan 2004 dibuat dengan membanyakkan kerusi campuran dengan pengundi Melayu dan bukan Melayu  pada nisbah 60:40 atau 55:45. Ini membawa kepada banyak kawasan campuran diwujudkan terutama di pantai barat Semenanjung.

Pada pilihan raya 2008, kawasan campuran memihak kepada pembangkang (BN tewas). Jadi persempadanan yang baharu ini perlu dibuat mengikut kelompok. Kaum Cina satu kelompok, Melayu satu kelompok.

Contohnya,  di kawasan Parlimen Seputeh. Kalau dahulu (DAP) menang di situ dengan mendapat undi yang besar, sekarang BN tidak kisah kalau DAP menang dengan mendapat undi yang lebih besar kerana kawasan ini adalah majoriti Cina. Apa yang mereka buat ialah beri tumpuan di Parlimen Lembah Pantai. Ini dilakukan dengan membawa masuk kawasan polis (Bukit Aman) dicampur dengan kawasan Melayu di Pantai Dalam. Dengan cara itu, mereka akan dapat (menang) Lembah Pantai.


 Kawasan-kawasan lain?

Titiwangsa, sukar untuk Pas menang balik. Bandar Tun Razak memang sukar nak dibuat persempadanan semula atas sebab kawasan itu agak padat. Bagi kawasan Parlimen Lembah Pantai, saya boleh katakan sukar bagi pembangkang mengekalkan kerusi ini. Dengan anggaran 6,000 undi polis Bukit Aman masuk (Lembah Pantai) dan pertambahan pengundi baharu, harapan YB Nurul Izzah untuk mengekalkan kawasan berhadapan laluan sukar.

Mengapa Prof. kata begitu?

Keadaan tidak sama dengan 2004. Kalau dahulu, apabila dibuat persempadanan, orang terima sahaja tetapi sekarang, selain SPR, orang lain pun ada kepakaran membuat kajian. Sebagai contoh kami juga boleh buat ground mapping sama seperti yang SPR buat bagi mengetahui apa yang dilakukan dengan kawasan yang baru dibentuk.

Dari segi pendedahan media, masyarakat kita juga sudah terbuka. Sebelum 2004, parti pembangkang tidak memberi perhatian serius tentang persempadanan tetapi sekarang,  mereka sudah tahu bagaimana nak protes malah boleh membuktikan sebab mereka tidak puas hati. Dalam soal ini, apa yang kita pentingkan adalah masyarakat mahukan ketelusan dan keadilan.

Masyarakat boleh menerima siapa sahaja yang menang pilihan raya, siapa yang menang akan disokong untuk memerintah tetapi biarlah kemenangan itu diperoleh dengan cara jujur.  Kalau menang dengan cara tidak jujur, memerintah tidak mempunyai legitimasi dan cenderung bertindak secara sewenang-wenangnya. Rakyat dikaburi dengan alasan pemerintah sudah mendapat mandat.

Apa yang sedang berlaku ini, bagi saya boleh dianggap seperti satu penyelewengan. Ini jenis penipuan yang dihalalkan. Mereka akan beritahu “kami menang pilihan raya, dapat banyak kerusi, dapat banyak undi” tetapi realitinya?

Mereka menang dengan cara yang tidak gentleman. Saya yakin majoriti rakyat  mendukung amalan demokrasi, mereka terima siapa yang mendapat mandat rakyat, satu undi menang pun kena terima, itu kematangan demokrasi tetapi biarlah dengan cara yang baik.

Bagaimana pula dengan tempoh berkempen?

Selain persempadanan, faktor lain dalam amalan demokrasi juga mempengaruhi keputusan pilihan raya. Tempoh masa berkempen juga terbukti menentukan keputusan PRU.

Antara ‘kesilapan’ besar Pak Lah ialah membenarkan kempen 13 hari pada PRU 2008. Zaman Mahathir, hanya sembilan hari sahaja berkempen dalam PRU  1999. Kalau tempoh berkempen dalam PRU ini dibenar dua minggu, kerajaan Mahathir boleh tumbang pada waktu itu.

Pada 2008, dari segi undi popular, kajian menunjukkan sebanyak tiga peratus sokongan untuk BN menurun setiap hari pada minggu kedua kempen. Kalau kempen pilihan raya 2008 dibuat selama 16 hari, BN hilang lebih banyak kerusi.

Saya pernah membuat kajian yang khusus tentang  The Trail of Anwar Ibrahim, di mana (Datuk Seri) Anwar Ibrahim berkempen di seluruh negara dalam PRU 2008. Hampir semua kawasan di mana Anwar turun berkempen sama ada jatuh ataupun jika BN menang, dengan majoriti tipis. Dari Perak, Kedah dia terus ke Pahang. Dari Pahang balik ke Kuala Lumpur. Sebagai contoh,  Parlimen Padang Rengas berkemungkinan jatuh jika Anwar sempat berceramah kerana di kawasan tersebut. Anwar dijadualkan berceramah di  Kampung Stesyen yang mempunyai 3,000 pengundi Cina dalam kerusi Parlimen Padang Rengas tetapi terpaksa membatalkannya pada saat akhir kerana beliau sampai ketika jam sudah melewati pukul 12 tengah malam. Kalau Anwar berceramah di situ malam itu, ada mungkin (Datuk Seri) Nazri (Aziz) juga kalah. Ini adalah kelebihan ‘aura politik’ yang ada pada Anwar Ibrahim berbanding dengan pemimpin politik yang lain.

 Dengan persempadanan ini, Lim Kit Siang pun saya percaya mungkin kalah kalau terus bertanding di Gelang Patah. Johor, Selangor dan Negeri Sembilan paling banyak kerusi campuran. Sekarang kerusi campuran dikurangkan (melalui persempadanan semula) dan dibanyakkan kerusi sama ada pengundi Cina sahaja ataupun Melayu sahaja.


Ini akan mendorong kepada berlakunya perebutan sesama parti pembangkang. DAP ambil kawasan PKR, PKR nak bertanding mana? Kawasan Melayu pula, Pas kata itu kawasan mereka. Macam mana pula dengan Amanah dan Bersatu? Jadi, ini akanmembantu kemenangan BN.

Wednesday, September 7, 2016

Isu 45 Kerusi BN - Penganalisis Politik Sangkal Dakwaan Muhyiddin


Dakwaan pihak pembangkang bahawa Barisan Nasional mungkin akan kehilangan sebanyak 45 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang disangkal penganalisis politik.

Mereka menegaskan, masih terlalu awal untuk membuat spekulasi ke arah mana kecenderungan undi berkenaan akan memihak kelak.

Pada Sabtu, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata simulasi yang dijalankan oleh "pakar" yang dilantiknya meramalkan bahawa 45 kerusi BN yang dipegang akan hilang sekiranya terdapat empat peratus undi beralih kepada pembangkang.

Presiden pro-tem kumpulan serpihan Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata demikian sambil menekankan pentingnya menyatukan pembangkang dan memastikan pertandingan satu lawan satu menentang BN dalam pilihan raya akan datang.

Menurut pensyarah Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, simulasi itu yang dijalankan empat bulan lalu, nampaknya berdasarkan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

"Dalam melakukan sebarang kajian (atau simulasi), faktor masa adalah sangat penting. Kajian yang dilakukan dalam tempoh dua atau tiga bulan sebelum pilihan raya akan memberikan keputusan lebih tepat (dan ia juga menggambarkan sentimen sebenar di peringkat umum)," katanya.

Pensyarah Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia Prof Dr Sivamurugan Pandian (kiri) juga sependapat bahawa mana-mana simulasi pemilihan atau kajian yang dijalankan pada masa ini adalah terlalu awal bagi mengukur sentimen sebenar pengundi mahupun untuk mengetahui kedudukan parti-parti politik dalam PRU akan datang.

Tempoh mandat kerajaan sedia ada akan berakhir pada Julai 2018.

"Adalah penting untuk melakukannya (simulasi) dalam tempoh tiga hingga empat bulan sebelum pilihan raya. Ini kerana isu-isu yang timbul dalam tempoh itu mungkin mempengaruhi pola pengundian," katanya.

Sivamurugan berkata sebarang analisis atau kajian pilihan raya sama ada yang dijalankan oleh BN atau pembangkang, perlulah mengambil kira perbandingan antara PRU-12 (yang diadakan pada 2008) dan keputusan PRU-13 (2013).

"Sejumlah kerusi BN yang terlepas (ke tangan pembangkang) ketika 2008, yang dikatakan sebagai ‘tsunami politik’ bagaimanapun berjaya ditawan semula dalam PRU-13, manakala beberapa kerusi yang dimenanginya pada PRU-12 pula, dirampas pembangkang pada PRU-13," katanya.

Awang Azman berkata tidak kira bagaimana simulasi berkenaan dijalankan, adalah penting untuk memahami bahawa sentimen pengundi biasanya dipengaruhi oleh isu-isu yang diketengahkan dalam tempoh menjelang tarikh pilihan raya.

Muhyiddin.
 "Simulasi yang disebut oleh Muhyiddin dilakukan berdasarkan keputusan PRU-13, di mana kerusi (Parlimen) dikategorikan sebagai hitam (kawasan pilihan raya yang dimenangi BN dengan majoriti tipis), kelabu (menang dengan majoriti antara 40 dan 50 undi) dan putih (menang dengan margin yang selesa).

"Bagaimanapun, terdapat perubahan selepas PRU-13... beberapa pilihan raya kecil telah berlangsung sejak itu, yang menyaksikan BN mengekalkan kerusi dan juga merampas kerusi Teluk Intan daripada DAP," tambah beliau.

Pada PRU-13, DAP mengekalkan kerusi Parlimen Teluk Intan dengan majoriti 7,313 undi tetapi pada pilihan raya kecil Mei 2014, BN menguasai kerusi itu dengan majoriti 238 undi setelah mendapat 7.96 peratus undi yang beralih daripada pembangkang.

Awang Azman menegaskan, simulasi Muhyiddin gagal mengambil kira hakikat bahawa pakatan pembangkang kini berpecah-belah, dengan sebahagian parti pembangkang utama seperti PAS tidak lagi bertanding dalam pakatan sebagaimana semasa PRU-13.

Beliau berkata penyertaan PAS dalam mana-mana pertandingan bahagian akan memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.

"Sebagai contoh, pilihan raya kecil berkembar parlimen di Sungai Besar (Selangor) dan Kuala Kangsar (Perak), yang diadakan pada bulan Jun.

"Undi pembangkang telah berpecah antara PAS dan parti serpihannya Amanah (Parti Amanah Negara) dan ini secara tidak langsung memihak kepada BN, yang akhirnya mengekalkan kedua-dua kerusi dengan majoriti lebih tinggi.

"Pada PRU-13, BN memenangi kerusi Kuala Kangsar dan Sungai Besar dengan majoriti masing-masing hanya 1,082 dan 399 undi," katanya.



(Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dimenangi Datin Mastura Mohd Yazid, balu Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei, dengan majoriti lebih besar iaitu 6,969 undi berbanding majoriti 1,082 undi mendiang suaminya.)

(Budiman Mohd Zohdi, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang, mengekalkan kerusi Sungai Besar yang sebelumnya dipegang Tan Sri Noriah Kasnon yang turut terkorban dalam kemalangan helikopter sama, dengan majoriti yang lebih besar, iaitu 9,191 undi berbanding kemenangan tipis Noriah - majoriti 399 undi dalam PRU-13.)

Walaupun ada yang mempertikaikan bahawa keputusan pilihan raya kecil biasanya tidak mencerminkan mood keseluruhan pilihan raya umum, kemenangan mereka tidak wajar diabaikan kerana ia menggambarkan trend pengundian semasa.

Merujuk kepada pilihan raya kecil parlimen Rompin pada Mei 2015, Awang Azman berkata BN masih berjaya mengekalkan kerusi itu, walaupun dengan majoriti yang berkurangan.


"Tetapi pemimpin parti telah mengaitkan keadaan itu dengan peratusan keluar mengundi yang lebih rendah dan kalangan pengundi kurang bersemangat," katanya.

Saturday, September 3, 2016

Kebersamaan – Kenapa Asyik-asyik Melayu Yang Ditagih?


Apakah semangat kebersamaan atau the spirit of togetherness yang dikehendaki oleh Perdana Menteri?

Semangat itu bertujuan mengajak semua ahli parti seia-sekata, ‘sehati sejiwa’ dan perpaduan dalam sebarang tindakan untuk mengukuhkan parti dan akhirnya memajukan negara.

Berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Pekan hari ini, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya berpegang teguh kepada konsep kebersamaan dan ikhlas dalam perjuangan bagi memastikan parti itu terus berjaya.

Menurut Perdana Menteri, jika diamalkan semangat kebersamaan, Malaysia boleh jadi satu negara yang lebih kuat dan berjaya.

Ini kerana jika singkap sejarah negara, Malaysia boleh gunakan pengalaman dan beberapa detik peristiwa di mana kebersamaan antara rakyat telah membuahkan keberhasilan yang agak luar daripada jangkaan.

"Ia termasuk semasa kita menuntut kemerdekaan, dengan semangat kebersamaan antara pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T Sambanthan, kita telah berjaya mendapat kemerdekaan dengan cara lebih mudah daripada kebanyakan negara lain.

"Malah semasa PRU pertama 1955, hasil semangat kebersamaan, Parti Perikatan ketika itu telah meraih kemenangan cemerlang dengan membolot hampir semua kerusi," katanya ketika berucap di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah hari ini.

Malah, menurut Perdana Menteri, jika dilihat kepada sejarah, banyak kejayaan yang boleh dijadikan iktibar hasil kebersatuan seperti semasa menuntut kemerdekaan negara.

‘’Sebaliknya kalau kita tinggalkan semangat kebersatuan ini, tidak menghayatinya maka sesuatu yang buruk boleh menimpa. Boleh jadi mudarat yang mana pengalaman itu telah kita lalui,’’ katanya.


Sebut soal kebersamaanini terlintas difikirkan kita beberapa konsep yang pernah diperkenalkan kerajaan seperti ‘perpaduan nasional’ , ‘Rukun Negara’, 1Malaysia’ dan banyak lagi.

Ia menuntut keikhlasan rakyat semua kaum, bukan daripada kaum Melayu semata-mata.

Namun rasanya Najib tersilap tempat dan forum untuk meluahkan keinginan dan kehendaknya mengenai kebersamaan ini.

Jelas kelihatan bahawa dalam kalangan UMNO, seperti yang ditunjukkan di mesyuarat-mesyuarat Bahagian UMNO sejauh ini, semangat itu tetap padu.

Namun daripada apa yang diucapkan pemimpin dengan pencapaian negara dalam konteks keputusan pilihan raya serta sektor ekonomi dan pemilikan ekuiti, apakah kebersamaan itu sudah benar-benar terserlah di kalangan masyarakat  Malaysia?

Kenapa dalam semua bidang, orang Melayu yang banyak berkorban sejak 1948 menjadi mangsa kepada kebersamaan ini?

Dalam pilihan raya, rakyat bukan Melayu tidak menyokong Barisan Nasional (BN), apalagi mengundi parti UMNO dan parti komponen BN, khususnya di Semenanjung Malaysia?

Kenapa polarisai kaum terus menerus berlaku?

Jadi, apabila Najib meminta orang Melayu dalam UMNO mengamalkan kebersamaan, rasanya ia sesuatu yang tidak kena pada tempat.

Benar Najib menyebut supaya Umno dan BN terus memperkukuhkan semangat kebersamaan selain ikhlas dalam perjuangan untuk memastikan parti terus kuat dan berjaya mengharungi arus pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Yang menjadi persoalan ialah dalam kalangan BN. Apakah parti komponen seperti MCA, MIC dan Gerakan menunjukkan sikap yang dimahukan Najib?

Kerana itu,  seruan ini sewajarnya dilaungkan oleh Najib pada mesyuarat parti komponen BN atau majlis-majlis bukan Melayu.

Persoalannya ialah apabila Najib timbulkan isu kebersamaan ini, apa dan sebanyak mana lagikah Melayu perlu berkorban dan menyerahkan haknya kepada bukan Melayu?

Juga sebanyak mana lagi Melayu perlu bertolak-ansur dalam perkara-perkata berkaitan agama Islam, Bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dan ekonomi yang semakin hari semakin mengecil.

Perbuatan mempersendakan agama, Bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dilakukan sewenang-wenangnya dan apakah tindakan pihak berkuasa boleh ‘menenangkan orang Melayu’?

Apakah mereka berpuas hati dengan keputusan kerajaan dalam keputusan dan tindakan ke atas mereka yuag mempersenda dan memperkecilkan Melayu?

Kenapa Najib hanya berani bersuara pada majlis dan forum UMNO tetapi tidak pada forum bukan Melayu atau parti-parti komponen bukan Melayu dalam NB?

Mungkin Najib memperkatakan soal kebersamaan ini merujuk kepada pentingnya semangat bersatu hadi kerana PRU ke-10 di Pekan dilihat sebagai pengajaran, apabila Umno dan BN ketika itu hampir tersungkur kerana meninggalkan prinsip kebersamaan ditambah dengan faktor luaran ketika itu.

Untuk rekod pada PRU ke-10, Najib yang bertanding di Parlimen Pekan hanya menang tipis dengan memperoleh majoriti 241 undi ketika menentang calon PAS Ramli Mohamed.

"Barangkali sebahagian besar daripada kita masih segar dalam ingatan mimpi ngeri PRU 1999 apabila kita nyaris rebah, walaupun banyak faktor luaran yang mempengaruhi keputusan, namun tidak kurang pentingnya faktor dalaman yang menyumbang kepada keputusan yang saya sebut sebagai mimpi ngeri itu,’ tegas Najib.

Rasanya mengubati penyakit kebersamaan dalam UMNO tidak sesukar dalam BN.

Perhatikan sahaja apa yang berlaku kepada MCA, MIC dan Gerakan yang kini jelas layu.

Malah, dalam keadaan sedemikianpun mereka bangkit menentang Rang Undang-Undang (RUU) Ahli Persendirian Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, atau “Cadangan Pindaan Akta 355”. seperti yang ditonjolkan baru-baru ini.

Lebih mengejutkan parti komponen BN ini boleh bersekongkol dengan parti pembangkang bagi menentang TUU 355 ini.

Jadi, di mana persoalan bekersamaan ini sewajarnya ditujukan?

Kenapa UMNO tetapi tidak parti komponen BN? .

Friday, June 17, 2016

BN Perlukan Lebih 80 Peratus Keluar Mengundi Bagi Majoriti Besar


Berbaki kurang 24 jam sebelum tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar berakhir, Barisan Nasional (BN) memerlukan 'magis' bagi memastikan sasaran parti untuk memancing majoriti undi lebih besar mampu dicapai esok.

Walaupun tidak menyatakan secara spesifik sasaran itu, namun beberapa pemimpin BN sewaktu berkempen di Sungai Besar melaungkan keyakinan parti untuk mencapai sasaran itu berbanding majoriti 399 undi yang diraih penyandang kerusi itu, Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon pada Pilihan Raya Umum 2013.

Jika berdasarkan suhu kempen dan faktor calon, sasaran BN itu dilihat realistik, tetapi sejauh mana parti itu berada di kedudukan selamat, semuanya bergantung kepada pengundi Sungai Besar.

Penganalisis politik Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata satu daripada cara BN berada pada kedudukan selamat dan seterusnya mencapai sasaran yang ditetapkan ialah dengan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus pengundi keluar mengundi.

Katanya sasaran itu dilihat tidak sukar dicapai kerana dijangkakan akan berlaku 'perubahan angin' dalam kalangan pengundi Cina di Sekinchan yang majoriti mereka sebelum ini menolak BN dalam pilihan raya umum lalu.

Menjelas lanjut, Azmi berkata perubahan angin itu antaranya didorong oleh isu pembebasan nelayan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia selain kemunculan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang menurutnya mengelirukan pengundi di kawasan itu.

Nelayan yang dibebaskan
"Jika peratusan keluar mengundi rendah maka harapan BN boleh bergantung kepada perubahan cita rasa pengundi Cina di Sekinchan, selain faktor menteri besar Selangor yang berbelah bahagi.

"Maka besar kemungkinan pengundi Pakatan Harapan juga keliru dan ini memberi manfaat kepada Barisan Nasional," katanya.


Suruhanjaya Pilihan Raya menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi kedua-dua PRK itu adalah 75 peratus. 

Azmi mengakui peratusan keluar mengundi amat berkait rapat dengan jumlah majoriti undi, namun pengundi atas pagar turut memainkan peranan penting dalam menentukan jumlah majoriti itu.

Selain itu, dengan liputan yang cukup meluas terhadap PRK ini, beliau menjangkakan ramai pengundi Sungai Besar yang tinggal di luar kawasan akan pulang mengundi esok.

"Sekali lagi media telah memberi liputan yang agak meluas dan jika dikaitkan dengan peratus yang keluar mengundi tinggi, maka ada harapan 18 Jun ini akan menjangkau lebih 85 peratus," katanya.

Bagi Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Fuad Mat Jali, beliau meletakkan bacaan undi majoriti yang mungkin diperoleh BN kali ini ialah sekitar 1,000 undi.

"Jumlah itu sebenarnya adalah sudah memadai memandangkan pelbagai isu semasa yang memberi sedikit tekanan kepada BN dalam pilihan raya ini," katanya.
Bagaimanapun katanya BN mungkin boleh mencapai majoriti undi yang lebih tinggi jika mereka benar-benar menggembleng jentera parti untuk turun padang secara menyeluruh selain membawa pulang pengundi yang tinggal di luar.

"Jika BN berjaya membawa pulang pengundi luar, mendapat 30 peratus undi atas pagar, mendapat undi 'swing' sekitar 30 peratus daripada pengundi Cina di Sekinchan dan semua pengundi di kawasan majoriti Melayu keluar mengundi barulah
BN boleh bercita-cita untuk dapat majoriti yang lebih tinggi," katanya.

PRK Sungai Besar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Budiman Mohd Zohdi dengan calon PAS Dr Abdul Rani Othman dan calon AMANAH, Azhar Abdul Shukur.

Calon AMANAH, Azhar Abdul Shukor
PRK itu diadakan berikutan kematian Noriah yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.


- Bernama