Showing posts with label Tengku Adnan. Show all posts
Showing posts with label Tengku Adnan. Show all posts

Tuesday, October 11, 2016

Syor Persempadanan Semula - BN Tidak Puas Hati 30 Peratus Cadangan SPR


Barisan Nasional (BN)  tidak puas hati 30 peratus syor persempadanan semula kawasan pilihan raya yang disyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Antara faktor tidak puas hati itu adalah taburan pengundi yang terlalu berasaskan kaum, jarak persempadanan semula yang jauh serta Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dikeluarkan daripada kawasan Parlimen.

Contoh ialah syor persempadanan semula di Sabah yang menimbulkan rasa tidak puas hari parti komponen BN apabila terdapat lebih 10 kawasan baharu yang dicadangkan diwakili kaum tertentu sahaja.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata semua setiausaha agung parti komponen BN sudah mengemukakan maklum balas masing-masing berhubung isu persempadanan semula itu kepadanya.

"Saya telah memberi pandangan dan nasihat yang perlu mereka ambil berhubung perkara ini," kata Menteri Wilayah Persekutuan itu yang ditemui pemberita selepas merasmikan kios jualan makanan dan minuman di Presint 9, di sini hari ini.

Pada 23 September lalu, Perdana Menteri, yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata satu  jawatankuasa ditubuhkan bagi menyelaraskan cadangan balas BN kepada SPR  berkaitan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Jawatankuasa itu akan diketuai Setiausaha Agung BN, dan dianggotai kesemua setiausaha agung komponen parti.

BN akan menyatukan semua pandangan dan cadangan berkaitan usul tersebut. “Mudah-mudahan kita akan dapat keputusan yang dilihat adil oleh semua pihak. Jawatankuasa akan bersidang secepat mungkin mengikut rangka masa SPR dan undang-undang ditetapkan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn, di Kuala Lumpur, pada hari berkenaan.


Ditanya adakah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan selepas pewartaan usul persempadanan tersebut, Najib berkata itu bergantung kepada budi bicara SPR.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyifatkan penubuhan jawatankuasa itu wajar kerana usul persempadanan semula itu akan memberi kesan kepada semua parti komponen BN.

“MCA telah mencadangkan penubuhan jawatankuasa berkenaan kerana ia adalah parti yang akan terjejas teruk…banyak kerusi yang terlibat adalah di kawasan bandar yang ditandingi oleh kami. Oleh itu, kami perlu mengkaji semula cadangan tersebut,” katanya.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno semalam memberitahu, beliau telah menulis surat kepada semua pengerusi BN negeri untuk mengingatkan bahawa ibu pejabat Umno atau BN tidak boleh mengambil tindakan membuat bantahan secara terus kepada SPR.

Sebaliknya ia hanya boleh dilakukan oleh kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) atau melalui petisyen oleh 100 pengundi di kawasan terlibat.

Bagi negeri yang bukan di bawah pemerintahan BN, Tengku Adnan berkata, beliau mengesyorkan pengerusi BN negeri mengumpulkan 100 orang dari setiap kawasan yang menolak cadangan persempadanan semula itu untuk mengemukakan petisyen bantahan kepada suruhanjaya tersebut.

Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

Semua pihak diberi masa sebulan sehingga Jumaat ini (14 Oktober) untuk mengemukakan bantahan masing-masing. 

Monday, September 12, 2016

Mungkin Nazri Tidak Dengar MCA Sepenuhnya – Tengku Adnan


Pada ketika Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berusaha menyejukkan pertelingkahan panas antara pemimpin UMNO dan MCA yang dilihat mampu menggugat Barisan Nasional (BN), , Datuk Seri Ti Lian Ker hari ini mencabar Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz agar membuktikan dirinya bongkak.

Ini ekoran teguran Ahli Jawatankuasa Pusat MCA sebelum ini supaya BN terutamanya Umno mengimbangi politik dan bukan hanya fokus kepada pengundi luar bandar kerana ia tidak bagus untuk perjalanan politik kerajaan pemerintah.

Menteri Wilayah Persekutuan itu mengulas hari ini, saranan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz supaya MCA meninggalkan BN, mungkin kerana beliau mendengar sepenuhnya apa yang diperkatakan oleh Ti.

"Mungkin Nazri juga tidak mendengar apa yang dikatakan," katanya pada sidang media selepas Program Ibadah Korban Sempena Aidiladha peringkat Parlimen Putrajaya, hari ini.

Ti berkata Nazri kena tunjuk di mana beliau bongkak.

Kalau setakat MCA menegur BN supaya mengimbangkan politik dengan menarik pengundi kampung dengan bandar, itu bukan bongkak namanya, katanya.

“Kenyataan saya itu satu hujah, kita cuma ajak berhujah bukan menghentam atau menghina sesiapa, sebaliknya demi kebaikan dan ingin memartabakan BN.

“Apabila saya kata jangan sekadar menang di kampung, bukan bermakna kita tidak mahu menang di kampung tetapi di kampung kita mahu menang dengan pengundi bandar pun kita mahu menang.

“Kalau kita tak menang di kampung kita bimbang kedudukan BN akan terancam dan ia tidak bagus untuk perjalanan masa depan politik BN,” katanya kepada FMT.
  
Terdahulu, Nazri dipetik berkata, mereka yang “besar” boleh mendisiplinkan mereka yang “kecil” merujuk kepada kedudukannya dalam BN kepada Ti.

“Saya bongkak sombong kerana anak kapal saya sombong. Dalam kapal kita kena ajar disiplin sebab itu saya nak cerita pada dia (Ti) supaya jangan bongkak sebabnya awak kecil. Saya bongkak sebab saya besar saya boleh ajar dia,” kata Nazri.

Tengku Adnan....pandangan peribadi Ti
Nazri berkata demikian menjawab kenyataan Ti menyifatkan beliau sentiasa angkuh dan mengeluarkan kenyataan, “Umno bongkak pun kita menang pilihan raya”.

Berikutan pertikaman lidah dengan Ti, Nazri mencabar MCA untuk keluar daripada BN, kerana katanya MCA gemar merungut, dan juga mendakwa bahawa Umno punca kekalahan parti Cina itu pada pilihan raya umum lalu.

“Yang kata Umno merugikan dia, kalau Umno rugikan dia, dia yang kena keluar. Ini apa pasal pula saya yang kena keluar? Saya tak pernah merungut pasal BN pun,” kata Nazri yang juga adalah Anggota Majlis Tertinggi Umno.

Perang mulut kedua-dua mereka tercetus apabila Ti menggesa Umno mengubah taktik politik ‘jaguh kampung’ iaitu dengan menakut-nakutkan bangsa lain untuk memenangi hati pengundi Melayu.

Ti berhujah retorik Umno itu membantu parti Melayu berkenaan memenangi undi di kawasan luar bandar tetapi taktik seumpamanya menghakis sokongan pengundi bandar di kawasan majoriti Melayu dan mengorbankan rakan-rakan gabungan BN.

Ketika di tanya berhubung kenyataan terbaru Nazri, Ti berkata, beliau tidak berkecil hati dengan menteri pelancongan itu sebaliknya terbuka untuk menerima teguran demi kebaikan parti selain menganggap ia bukan satu serangan peribadi.

Tengku Adnan menganggap kenyataan Ti sebagai pandangan peribadi pemimpin MCA itu.

Beliau menyaran anggota Umno dan parti-parti komponen BN sentiasa mengutamakan perjuangan parti berbanding kepentingan diri.

Sambil memberi contoh dirinya yang pernah digugurkan daripada kabinet, katanya beliau tidak pernah bertindak menentang parti.


"Saya tidak marah. Pada saya, perjuangan parti lagi penting...kalau kita letak kepentingan parti dahulu, ia tidak jadi masalah,” katanya.