Showing posts with label MCA. Show all posts
Showing posts with label MCA. Show all posts

Wednesday, November 23, 2016

MCA Tiong Lai Tinggalkan Kabinet Jika RUU 355 Diluluskan


Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai menteri jika Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan Rang Undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) dan ia diluluskan di Dewan Rakyat.

"Pendirian saya adalah sama, dan yang lebih penting, saya masih menegaskan bahawa RUU itu tidak seharusnya dibentangkan oleh Hadi.

"RUU Hadi itu tidak seharusnya disokong kerana jika terdapat RUU yang hendak diluluskan di Parlimen, ia perlu dibentangkan oleh kerajaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, malam Rabu.

Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan, berkata rang undang-undang kerajaan harus 'terpakai dan mengatasi' RUU Hadi.


Beliau menjelaskan bahawa RUU yang akan dibentangkan Hadi diibaratkan sebagai satu jalan untuk Mahkamah Syariah  melaksanakan hukuman hudud di seluruh negara.

Beliau berkata MCA merasakan RUU tersebut adalah bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, ia tidak boleh dibahas dan diluluskan di Parlimen.

Ditanya sama ada MCA akan menyokong RUU kerajaan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah, beliau berkata:

"Jika ada apa-apa keperluan untuk memperkasakan undang-undang Syariah, kami akan menyokong kerana ia boleh diperkasakan melalui RUU kerajaan. Ia tidak boleh dilakukan melalui RUU persendirian.

"Selain itu, kita perlu melihat cadangan itu dan bagaimana kita akan memperkasakannya.

"Jika pemerkasaan itu adalah untuk membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan di negara ini, kita tidak akan menyokongnya," tegas beliau.

Tiong Lai berkata sebarang tindakan memperkasakan undang-undang dan Mahkamah Syariah perlu dilakukan dalam semangat Perlembagaan Persekutuan dan tidak bertindih dengan undang-undang sivil dan mahkamah.


Mengenai cadangan pembentukan satu Jawatankuasa Khas Parlimen untuk mengkaji pindaan bagi meningkatkan hukuman bagi Mahkamah Syariah, Tiong Lai berkata MCA tidak berunding mengenai perkara itu.

Beliau berkata parti akan melihat 'kandungannya' terlebih dahulu.

"Saya mahu lihat apa yang perlu dibincangkan terlebih dahulu.

"Jika ia adalah sesuatu yang, walaupun dari awal-awal lagi sangat tidak logik dan tidak menyumbang kepada pembangunan negara, maka apa gunanya berbincang," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan bersetuju dengan cadangan hukuman PAS seperti 30 tahun penjara dan 100 sebatan, beliau berkata: "Ini semua 'kalau'. Kita tunggu esok (Khamis)."

sumber - mStar

Tuesday, September 20, 2016

MCA Secara Rasmi Bantah Cadangan Persempadanan Semula


Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kini berada dalam keadaan ‘panas’ apabila cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya mendapat bantahan partio pemerintah dan pembangkang.

Ternyata kini, walaupun SPR dan beberapa menteri cuba mempertahankan persempadanan semula sebagai tidak melanggar Perlembagaan, namun realitinya, parti-parti politik melihat kesan segera yang akan dihadapi oleh mereka pada pilihan raya umum ke-14 nanti (PRU14).

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata dakwaan bahawa Syor Kajian Semula Persempadanan kerusi-kerusi Parlimen dan Dun bakal memberi kelebihan kepada BN tidak berasas.

Katanya persempadanan semula yang dilakukan SPR mengikut lunas-lunas perlembagaan dan pembangkang dari dulu cuba untuk kelirukan rakyat tentang peranan dan bidang kuasa SPR.

“Apabila mereka menang, mereka kata SPR adil dan bersih tetapi apabila mereka kalah, mereka mula buat dakwaan yang tidak berasas seperti yang terjadi dalam Blackout 505,” katanya.


Dan semalam,  secara rasmi parti komponen penting UMNO dalam Barisan Nasional (BN), MCA membantah persempadanan semula yang dicadangkan SPR itu.

Malah semalam MCA mengatakan pihaknya akan mengemukakan cadangan balas kepada suruhanjaya itu.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menjelaskan, butiran syor persempadanan semula yang telah diumumkan hujung minggu lalu itu bukan petanda baik bagi sebuah negara yang berbilang kaum dan agama.

Tiong Lai berkata cadangan balas parti sedia untuk dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional Jumaat ini.

Beliau berkata, cadangan SPR itu telah menjejaskan 26 daripada 40 kerusi Parlimen parti yang akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Sambil menyifatkan kesannya dari segi peralihan pengundi, beliau berkata sembilan kerusi akan menyaksikan perubahan 10,000 pengundi, 5,000 pengundi (lapan kerusi), 3,000 pengundi (tujuh kerusi) dan 1,000 pengundi (dua kerusi).

Beliau menambah, 14 kerusi selebihnya, akan menerima kesan minimum.

Bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat MCA di Kuala Lumpur semalam, Tiong Lai berkata beberapa kerusi negeri turut terjejas.

Katanya beliau tidak akan mengulas lanjut kerana perbincangan mengenai isu itu masih berjalan.

Pemimpin dari 85 bahagian MCA yang melibatkan kerusi parti itu mengadakan mesyuarat di ibu pejabatnya di Kuala Lumpuri untuk membincangkan kesan persempadanan semula yang dicadangkan.

Timbalan presiden parti Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang mengetuai jawatankuasa pilihan raya umum MCA, mempengerusikan mesyuarat itu.


Gelang Patah – Apa Muslihat MCA Bantah Persempadanan Semula Oleh SPR?


Pelik juga dengan bantahan MCA di Gelang Patah iaitu kerusi Parlimen yang sekarang dipegang oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang.

UMNO Gelang Patah berdiam diri, mungkin berpuas hati dengan apa yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu.

Dengan adanya bantahan MCA itu, apakah parti itu yakin kali ini Barisan Nasional (BN) akan dapat menewaskan DAP dan ‘menghalau’ Kit Siang dari Johor?

Atau apakah MCA ada muslihat sendiri kerana MCA baru-baru ini pernah menyuarakan agar BN memulangkan semula tiga kerusi Parlimen yang dikatakan dipinjamkan kepada UMNO iaitu Kuantan, dan Wangsa Maju, selain Gelang Patah  bagi menghadapi PRU14?

Tidak menghairankan kerana pada Jun 2014, Presiden MCA sendiri pernah menyuarakan agar BN kembalikan kerusi yang dipinjamkan itu kepada partinya.

Atau apakah MCA melihat 'pergolakan dalam Bahagian UMNO Gelang Patah' sebagai masa sesuai untuknya menuntut balik kerusi berkenaan?

Pada 10 September lalu, dua veteran UMNO yakni Pengerusi Tetap UMNO Gelang Patah, Datuk Baharom Abdul Ghani dan Timbalan Ketua Umno bahagian Kulai, Datuk Tosrin Jarvanti keluar dari parti Melayu itu.

Kedua-dua mereka telah mengumumkan peletakan jawatannya daripada parti semasa semasa mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing pada pagi hari berkenaan.

Pada PRU13, kerusi Parlimen Gelang Patah, DAP mengalahkan Pengerusi BN Johor pada ketika itu Tan Sri Abdul Ghani Othman (ketika itu Datuk) dengan majoriti 14,762 undi.


Apakah MCA mahu meletakkan calonnya kali ini?

Selepas persempadanan semula kawasan Parlimen yang dicadangkan oleh SPR itu, ia menyaksikan jumlah pengundi berkurangan daripada 115,000 pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kepada kira-kira 112,000 pengundi.

Daripada jumlah pengundi itu, 53.87 peratus merupakan pengundi kaum Cina, diikuti 33.48 peratus pengundi Melayu manakala selebihnya kaum India dan lain-lain.

MCA mahu SPR mempertimbangkan untuk mengekalkan kawasan persempadanan semula Parlimen Gelang Patah sama seperti pilihan raya umum yang lepas.

Timbalan Pengerusi MCA Bahagian Gelang Patah Tan Ba Ba,  berkata keputusan SPR baru-baru ini menyaksikan lima pusat daerah mengundi (PDM) melibatkan kira-kira 13,000 pengundi dipindahkan dari kawasan Parlimen itu ke kawasan Parlimen Kulai.

Ia melibatkan PDM Sri Pulai, Ulu Choh, Bandar Ulu Choh, Teratai dan Pulai, katanya.
Tan berkata tiga PDM dari Parlimen Pulai iaitu Selesa Jaya, Sri Sinding dan Jaya Mas melibatkan 6,804 pengundi berpindah ke kawasan Parlimen Gelang Patah.

Tan, yang juga Pengarah Pilihan Raya MCA Kawasan Parlimen Gelang Patah berkata bantahan akan dikemukakan pihak MCA kepada SPR tidak lama lagi.

"SPR perlu mempertimbangkan semula untuk mengekalkan kawasan persempadanan seperti Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) memandangkan kami (Barisan Nasional dan MCA) telah menumpukan perhatian sepenuh masa kepada PDM-PDM ini sebelum ini," kata beliau kepada pemberita di Johor

Tan mendakwa ihaknya tidak  diberikan notis yang secukupnya untuk mempertingkatkan usaha pada PDM yang terjejas dan PDM yang baharu.

“Seharusnya, kami diberi masa sekurang-kurangnya setahun sehingga setahun setengah untuk kami beri perhatian pada kawasan berkenaan," kata beliau.


Atau MCA ada sesuatu yang disembunyikan untuk kerusi berkenaan – biar kekal di tangan orang Cina – daripada di menangi UMNO sebagai mengulangi keputusan PRU13?

Saturday, September 17, 2016

MCA, Gerakan Risau Dengan Cadangan Pengagihan Kerusi Baharu


Persoalan mengenai bantahan cadangan tambahan kerusi bagi kawasan persempadanan Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk di Selangor  yang dijalankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikhususkan kepada kebimbangan penguasaan kaum berbanding memastikan percampuran antara kaum yang seimbang.

Keadaan di Semenanjung Malaysia kini menunjukkan satu keadaan di mana orang Melayu menguasai parti pemerintah dan golongan minoriti termasuk kaum Cina telah hampir kesemuanya berpihak kepada pembangkang.

Ada menteri mengatakan bantahan mengenai perkara ini sebagai tindakan tidak wajar kerana peruntukan sedemikian dijamin oleh perlembagaan dan ia memang amalan dalam sistem demokrasi negara.

Malah menteri berkenaan berkata pihak pembangkang perlu memahami peruntukan dalam perlembagaan berkaitan penambahan kerusi DUN serta percaya terhadap sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Persoalannya, jelas kini bukan pembangkang sahaja menimbulkan isu ini tetapi parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri, iaitu MCA dan Gerakan tueur risau mengenainya.

Gerakan menyelar cadangan proses persempadanan semula yang dijalankan SPR kerana mengutamakan penguasaan kaum berbanding memastikan percampuran antara kaum yang seimbang.


Naib Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong (gambar atas) menjelaskan perubahan cadangan kepada kawasan pilihan raya yang sedia ada 'mungkin akan memudaratkan Gerakan' dan pihaknya mungkin mengambil tindakan.

"Cadangan ini juga akan menjurus pilihan raya yang memusnahkan saki-baki keharmonian antara etnik yang wujud di Malaysia.

"Persempadanan semula ini sepatutnya melihat komposisi etnik Melayu, India dan Cina mewakili semua rakyat Malaysia dan bukannya dominasi satu kaum. Ia bukan resipi untuk keharmonian antara etnik," kata Yong.

Berikutan itu,  Gerakan kini sedang mengkaji implikasi persempadanan semula secara serius dan kemungkinan untuk memfailkan bantahan, jika ada, dalam masa terdekat.

Sementara itu semalam, MCA Selangor turut mempersoalkan kajian persempadanan semula SPR itu yang dijangka menimbulkan pelbagai masalah kepada parti itu.

Oriental Daily memetik seorang pemimpin MCA yang tidak mahu dinamakan berkata, tindakan itu akan menjejaskan kekuatan di sesetengah bahagian kerana perlu menerima kemasukan bahagian lain.

Beliau berkata, masih tidak pasti jika pemimpin bahagian sedia ada akan menerima penyertaan pemimpin dari bahagian lain ke pasukan mereka.

“Ekoran perubahan terhadap kerusi dewan undangan negeri, pemimpin bahagian lain tentu mahu mendapat kuasa di bahagian baharu, termasuk mendapatkan lebih ramai perwakilan pusat. Macam mana hendak putuskan, ia adalah masalah besar seterusnya,” katanya.

Akhbar berbahasa Cina itu mengambil contoh MCA Bahagian Petaling Jaya Selatan yang terdiri daripada kerusi DUN Taman Medan dan Bukit Gasing serta mempuntyai 50 cawangan.

Kini, ia dimasukkan ke DUN Seri Setia dan bakal menjadi bahagian yang sangat besar kerana jumlah cawangan dijangka bertambah kepada 70 dan masalah akan timbul untuk ‘menenangkan’ ahli lama dan baharu.

Selain itu, Bukit Lanjan, Kota Damansara dan Paya Jaras pada asalnya adalah tiga kerusi DUN berasingan.

Tetapi, Bukit Lanjan kini dimasukkan ke Bahagian Damansara (asalnya di bawah Bahagian Petaling Jaya Utara) dan menyebabkan MCA Bahagian Subang mungkin kehilangan 25% ahli cawangan.

Pengerusi MCA Bahagian Subang, Raymond Low mengakui, beliau tidak memahami tindakan SPR itu, kerana Paya Jaras terletak berhampiran kerusi parlimen Selayang, tetapi ia tidak terjejas, sebaliknya Bukit Lanjan yang dimasukkan ke Damansara.

“Tiba-tiba memindahkan sebahagian cawangan sememangnya sukar diterima, kerana sebelum ini banyak usaha dilakukan untuk menyatukan ahli, kini ia perlu dimulakan sekali lagi, jadi kami sedang kumpul maklumat untuk memahami perubahan kerusi secara teliti,” katanya yang dipetik Oriental Daily.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin baru-baru ini berkata PKR tidak bantah persempadanan semula, tetapi membantah pengendalian “sembarangan” langkah itu.

Kononnya, menurut beliau, penambahan kerusi tersebut membuka peluang kepada warga asing menjadi pengundi hantu pada PRU14 akan datang.

“Tidak ada formula yang wajar diberikan, seolah-olah Suruhanjaya Pilihan Raya menjalankan persempadangan semula itu sesuka hati. Jadi apa formula? Berdasarkan jumlah pengundi atau keluasan kawasan?

“Mengikut apa yang diumumkan, banyak kawasan dicipta dan ia mengubah demografi pengundi,” katanya.

Menurutnya, pengundi Cina ditempatkan dalam satu kawasan yang BN yakin mereka tidak akan peroleh undi Cina manakala pengundi Melayu yang masih menyokong UMNO ditempatkan dalam kawasan lain.

Kerusi campuran nampaknya makin berkurangan sekarang ini, katanya.


Khamis lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyenaraikan cadangan pengagihan kerusi-kerusi baharu itu yang boleh disemak sehingga 14 Oktober ini di pejabat pos dan pejabat daerah.

Monday, September 12, 2016

Mungkin Nazri Tidak Dengar MCA Sepenuhnya – Tengku Adnan


Pada ketika Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berusaha menyejukkan pertelingkahan panas antara pemimpin UMNO dan MCA yang dilihat mampu menggugat Barisan Nasional (BN), , Datuk Seri Ti Lian Ker hari ini mencabar Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz agar membuktikan dirinya bongkak.

Ini ekoran teguran Ahli Jawatankuasa Pusat MCA sebelum ini supaya BN terutamanya Umno mengimbangi politik dan bukan hanya fokus kepada pengundi luar bandar kerana ia tidak bagus untuk perjalanan politik kerajaan pemerintah.

Menteri Wilayah Persekutuan itu mengulas hari ini, saranan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz supaya MCA meninggalkan BN, mungkin kerana beliau mendengar sepenuhnya apa yang diperkatakan oleh Ti.

"Mungkin Nazri juga tidak mendengar apa yang dikatakan," katanya pada sidang media selepas Program Ibadah Korban Sempena Aidiladha peringkat Parlimen Putrajaya, hari ini.

Ti berkata Nazri kena tunjuk di mana beliau bongkak.

Kalau setakat MCA menegur BN supaya mengimbangkan politik dengan menarik pengundi kampung dengan bandar, itu bukan bongkak namanya, katanya.

“Kenyataan saya itu satu hujah, kita cuma ajak berhujah bukan menghentam atau menghina sesiapa, sebaliknya demi kebaikan dan ingin memartabakan BN.

“Apabila saya kata jangan sekadar menang di kampung, bukan bermakna kita tidak mahu menang di kampung tetapi di kampung kita mahu menang dengan pengundi bandar pun kita mahu menang.

“Kalau kita tak menang di kampung kita bimbang kedudukan BN akan terancam dan ia tidak bagus untuk perjalanan masa depan politik BN,” katanya kepada FMT.
  
Terdahulu, Nazri dipetik berkata, mereka yang “besar” boleh mendisiplinkan mereka yang “kecil” merujuk kepada kedudukannya dalam BN kepada Ti.

“Saya bongkak sombong kerana anak kapal saya sombong. Dalam kapal kita kena ajar disiplin sebab itu saya nak cerita pada dia (Ti) supaya jangan bongkak sebabnya awak kecil. Saya bongkak sebab saya besar saya boleh ajar dia,” kata Nazri.

Tengku Adnan....pandangan peribadi Ti
Nazri berkata demikian menjawab kenyataan Ti menyifatkan beliau sentiasa angkuh dan mengeluarkan kenyataan, “Umno bongkak pun kita menang pilihan raya”.

Berikutan pertikaman lidah dengan Ti, Nazri mencabar MCA untuk keluar daripada BN, kerana katanya MCA gemar merungut, dan juga mendakwa bahawa Umno punca kekalahan parti Cina itu pada pilihan raya umum lalu.

“Yang kata Umno merugikan dia, kalau Umno rugikan dia, dia yang kena keluar. Ini apa pasal pula saya yang kena keluar? Saya tak pernah merungut pasal BN pun,” kata Nazri yang juga adalah Anggota Majlis Tertinggi Umno.

Perang mulut kedua-dua mereka tercetus apabila Ti menggesa Umno mengubah taktik politik ‘jaguh kampung’ iaitu dengan menakut-nakutkan bangsa lain untuk memenangi hati pengundi Melayu.

Ti berhujah retorik Umno itu membantu parti Melayu berkenaan memenangi undi di kawasan luar bandar tetapi taktik seumpamanya menghakis sokongan pengundi bandar di kawasan majoriti Melayu dan mengorbankan rakan-rakan gabungan BN.

Ketika di tanya berhubung kenyataan terbaru Nazri, Ti berkata, beliau tidak berkecil hati dengan menteri pelancongan itu sebaliknya terbuka untuk menerima teguran demi kebaikan parti selain menganggap ia bukan satu serangan peribadi.

Tengku Adnan menganggap kenyataan Ti sebagai pandangan peribadi pemimpin MCA itu.

Beliau menyaran anggota Umno dan parti-parti komponen BN sentiasa mengutamakan perjuangan parti berbanding kepentingan diri.

Sambil memberi contoh dirinya yang pernah digugurkan daripada kabinet, katanya beliau tidak pernah bertindak menentang parti.


"Saya tidak marah. Pada saya, perjuangan parti lagi penting...kalau kita letak kepentingan parti dahulu, ia tidak jadi masalah,” katanya.