Tuesday, September 20, 2016

MCA Secara Rasmi Bantah Cadangan Persempadanan Semula


Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kini berada dalam keadaan ‘panas’ apabila cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya mendapat bantahan partio pemerintah dan pembangkang.

Ternyata kini, walaupun SPR dan beberapa menteri cuba mempertahankan persempadanan semula sebagai tidak melanggar Perlembagaan, namun realitinya, parti-parti politik melihat kesan segera yang akan dihadapi oleh mereka pada pilihan raya umum ke-14 nanti (PRU14).

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata dakwaan bahawa Syor Kajian Semula Persempadanan kerusi-kerusi Parlimen dan Dun bakal memberi kelebihan kepada BN tidak berasas.

Katanya persempadanan semula yang dilakukan SPR mengikut lunas-lunas perlembagaan dan pembangkang dari dulu cuba untuk kelirukan rakyat tentang peranan dan bidang kuasa SPR.

“Apabila mereka menang, mereka kata SPR adil dan bersih tetapi apabila mereka kalah, mereka mula buat dakwaan yang tidak berasas seperti yang terjadi dalam Blackout 505,” katanya.


Dan semalam,  secara rasmi parti komponen penting UMNO dalam Barisan Nasional (BN), MCA membantah persempadanan semula yang dicadangkan SPR itu.

Malah semalam MCA mengatakan pihaknya akan mengemukakan cadangan balas kepada suruhanjaya itu.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menjelaskan, butiran syor persempadanan semula yang telah diumumkan hujung minggu lalu itu bukan petanda baik bagi sebuah negara yang berbilang kaum dan agama.

Tiong Lai berkata cadangan balas parti sedia untuk dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional Jumaat ini.

Beliau berkata, cadangan SPR itu telah menjejaskan 26 daripada 40 kerusi Parlimen parti yang akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Sambil menyifatkan kesannya dari segi peralihan pengundi, beliau berkata sembilan kerusi akan menyaksikan perubahan 10,000 pengundi, 5,000 pengundi (lapan kerusi), 3,000 pengundi (tujuh kerusi) dan 1,000 pengundi (dua kerusi).

Beliau menambah, 14 kerusi selebihnya, akan menerima kesan minimum.

Bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat MCA di Kuala Lumpur semalam, Tiong Lai berkata beberapa kerusi negeri turut terjejas.

Katanya beliau tidak akan mengulas lanjut kerana perbincangan mengenai isu itu masih berjalan.

Pemimpin dari 85 bahagian MCA yang melibatkan kerusi parti itu mengadakan mesyuarat di ibu pejabatnya di Kuala Lumpuri untuk membincangkan kesan persempadanan semula yang dicadangkan.

Timbalan presiden parti Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang mengetuai jawatankuasa pilihan raya umum MCA, mempengerusikan mesyuarat itu.


No comments:

Post a Comment