Showing posts with label SPR. Show all posts
Showing posts with label SPR. Show all posts

Tuesday, October 11, 2016

Syor Persempadanan Semula - BN Tidak Puas Hati 30 Peratus Cadangan SPR


Barisan Nasional (BN)  tidak puas hati 30 peratus syor persempadanan semula kawasan pilihan raya yang disyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Antara faktor tidak puas hati itu adalah taburan pengundi yang terlalu berasaskan kaum, jarak persempadanan semula yang jauh serta Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dikeluarkan daripada kawasan Parlimen.

Contoh ialah syor persempadanan semula di Sabah yang menimbulkan rasa tidak puas hari parti komponen BN apabila terdapat lebih 10 kawasan baharu yang dicadangkan diwakili kaum tertentu sahaja.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata semua setiausaha agung parti komponen BN sudah mengemukakan maklum balas masing-masing berhubung isu persempadanan semula itu kepadanya.

"Saya telah memberi pandangan dan nasihat yang perlu mereka ambil berhubung perkara ini," kata Menteri Wilayah Persekutuan itu yang ditemui pemberita selepas merasmikan kios jualan makanan dan minuman di Presint 9, di sini hari ini.

Pada 23 September lalu, Perdana Menteri, yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata satu  jawatankuasa ditubuhkan bagi menyelaraskan cadangan balas BN kepada SPR  berkaitan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Jawatankuasa itu akan diketuai Setiausaha Agung BN, dan dianggotai kesemua setiausaha agung komponen parti.

BN akan menyatukan semua pandangan dan cadangan berkaitan usul tersebut. “Mudah-mudahan kita akan dapat keputusan yang dilihat adil oleh semua pihak. Jawatankuasa akan bersidang secepat mungkin mengikut rangka masa SPR dan undang-undang ditetapkan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn, di Kuala Lumpur, pada hari berkenaan.


Ditanya adakah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan selepas pewartaan usul persempadanan tersebut, Najib berkata itu bergantung kepada budi bicara SPR.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyifatkan penubuhan jawatankuasa itu wajar kerana usul persempadanan semula itu akan memberi kesan kepada semua parti komponen BN.

“MCA telah mencadangkan penubuhan jawatankuasa berkenaan kerana ia adalah parti yang akan terjejas teruk…banyak kerusi yang terlibat adalah di kawasan bandar yang ditandingi oleh kami. Oleh itu, kami perlu mengkaji semula cadangan tersebut,” katanya.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno semalam memberitahu, beliau telah menulis surat kepada semua pengerusi BN negeri untuk mengingatkan bahawa ibu pejabat Umno atau BN tidak boleh mengambil tindakan membuat bantahan secara terus kepada SPR.

Sebaliknya ia hanya boleh dilakukan oleh kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) atau melalui petisyen oleh 100 pengundi di kawasan terlibat.

Bagi negeri yang bukan di bawah pemerintahan BN, Tengku Adnan berkata, beliau mengesyorkan pengerusi BN negeri mengumpulkan 100 orang dari setiap kawasan yang menolak cadangan persempadanan semula itu untuk mengemukakan petisyen bantahan kepada suruhanjaya tersebut.

Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

Semua pihak diberi masa sebulan sehingga Jumaat ini (14 Oktober) untuk mengemukakan bantahan masing-masing. 

Monday, October 3, 2016

Faktor Persempadanan Semula - BN Boleh Menang Besar Pada PRU14


Barisan Nasional (BN) akan menang besar pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ramalan tersebut berdasarkan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya kali ini.

Sejarah menunjukkan bahawa setiap kali dibuat persempadanan, BN akan mencatat kemenangan besar.

Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, kemenangan yang dicapai BN pada 2004, kebanyakan orang anggap bersebab dengan faktor Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) semata-mata.

"Sebenarnya tidak. Pak Lah hanyalah salah satu faktor. Pada PRU 2004, banyak kerusi yg dimenangi pembangkang dalam PRU 1999 dirampas semula oleh BN bukan kerana faktor Pak Lah.

Sebaliknya kerana persempadanan semula," ujarnya, memetik wawancara yang diadakan dengan Sinar Harian.

Dr Mohammad Redzuan 
Beliau yang pernah menjawat kerusi Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) itu berkata, pada PRU 2004, ramai orang Melayu memihak kepada pembangkang berikutan peristiwa mata lebam.

"Orang Cina pula solid kepada BN. Persempadanan 2004 dibuat dengan membanyakkan kerusi campuran dengan pengundi Melayu dan bukan Melayu pada nisbah 60:40 atau 55:45.

Ini membawa kepada banyak kawasan campuran diwujudkan terutama di pantai barat Semenanjung.

"Pada pilihan raya 2008, kawasan campuran memihak kepada pembangkang (BN tewas). Jadi persempadanan yang baharu ini perlu dibuat mengikut kelompok. Kaum Cina satu kelompok, Melayu satu kelompok," jelasnya.

Beliau berpendapat, apa yang sedang berlaku ini, ujar beliau, boleh dianggap seperti satu penyelewengan dan jenis penipuan yang dihalalkan.

"Mereka menang dengan cara yang tidak gentleman. Saya yakin majoriti rakyat mendukung amalan demokrasi, mereka terima siapa yang mendapat mandat rakyat, satu undi menang pun kena terima, itu kematangan demokrasi tetapi biarlah dengan cara yang baik," tambah beliau.

Mengenai tempoh berkempen, beliau menambah, aspek itu juga terbukti menentukan keputusan PRU.


"Antara ‘kesilapan’ besar Pak Lah ialah membenarkan kempen 13 hari pada PRU 2008. Zaman Mahathir, hanya sembilan hari sahaja berkempen dalam PRU 1999. Kalau tempoh berkempen dalam PRU ini dibenar dua minggu, kerajaan Mahathir boleh tumbang pada waktu itu.

"Pada 2008, dari segi undi popular, kajian menunjukkan sebanyak tiga peratus sokongan untuk BN menurun setiap hari pada minggu kedua kempen. Kalau kempen pilihan raya 2008 dibuat selama 16 hari, BN hilang lebih banyak kerusi," katanya lagi.

Baru-baru ini, susulan kritikan pada syor persempadanan semula, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyarankan pihak berkelayakan dalam bidang perundangan agar membuat bantahan.

Bantahan patut dibuat pada masa ditetapkan dan "bukannya membuat tuduhan melulu" terhadap badan itu, kata Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

"SPR mengalu-alukan setiap bantahan dan representasi, namun begitu ia perlu dikemukakan secara rasmi mengikut saluran dan perundangan yang ditetapkan," katanya.

Syor persempadanan semula yang dikeluarkan didakwa hanya memberi kelebihan kepada Umno.
Ia dikatakan boleh mengurangkan kerusi campuran akibat peralihan pengundi, meningkatkan majoriti Melayu dan mengurangkan perwakilan bukan Melayu di kawasan berkenaan.

‘BN akan menang besar PRU14’
Oleh MUHAMAD MAT YAKIM
3 OKTOBER 2016


“BN akan menang besar PRU14,” kata Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman,  seorang ahli akademik yang cukup dikenali kerana hasil kajiannya yang kadang kala mencetuskan kontroversi. Kerana bertegas dengan prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban akademiknya, Mohammad Redzuan terpaksa keluar meninggalkan biliknya sebagai Pengarah UMCEDEL (Pusat Kajian Demokrasi & Pilihan Raya Universiti Malaya) - yang beliau sendiri tubuhkan - apabila hasil kajiannya tidak memihak kepada pemerintah.

Begitupun, beliau tidak menoleh ke belakang dalam memacu integriti dan kredibilitinya sebagai ahli akademik. “Akademik, adalah mengatasi politik,” katanya kepada Editor Sinar Harian, MUHAMAD MAT YAKIM dan jurufoto, AFIQ RAZALI di pejabat Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Shah Alam, baru-baru ini.

Mohamad Redzuan kemudiannya bercakap panjang mengenai isu-isu persempadanan semula kawasan pilihan raya yang menjadi topik panas seminggu dua ini. Beliau juga turut menyentuh beberapa isu lain dalam pertemuan yang penuh mesra.

Bagaimana Prof. melihat cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya kali ini?

Sejarah menunjukkan bahawa setiap kali dibuat persempadanan, BN akan mencatat kemenangan besar. Kemenangan yang dicapai BN pada 2004, kebanyakan orang anggap bersebab dengan faktor Pak Lah semata-mata. Sebenarnya tidak. Pak Lah hanyalah salah satu faktor.

Pada PRU 2004,  banyak kerusi yg dimenangi pembangkang dalam PRU 1999 dirampas semula oleh BN bukan kerana faktor Pak Lah. Sebaliknya kerana persempadanan semula. Saya ambil contoh bagi Dun Kajang. Mengapa Dr. Shafie Abu Bakar, (Adun Pas Kajang 1999-2004)  kalah di Dun ini? Kenapa pula Kak (Datuk Seri Dr.) Wan (Azizah Wan Ismail) di Permatang Pauh mendapat undi yang jauh merosot jika dibandingkan dengan kemenangan yang dicapai dalam  PRU 1999? Dan apa yang berlaku di Terengganu (apabila BN mengambil alih pemerintahan negeri dari tangan Pas)?

Ternyata persempadanan merupakan faktor yang mencorakkan keputusan yang berlaku.
Sebagai contoh di Dun Kajang, apabila kami membuat ground mapping, didapati terdapat dua peti undi dengan pengundi campuran yang dimasukkan dalam Dun Kajang. Peti undi ini juga boleh dimasukkan ke dalam Dun Dusun Tua. Dalam kata lain, jika peti undi itu boleh memenangkan BN di Dusun Tua, ia boleh dimasukkan ke Dun Dusun Tua. Kalau boleh membantu memenangkan mereka di Dun Kajang, akan dimasukkan ke Dun Kajang. Ini merupakan penyumbang kepada kekalahan Pas di Dun Kajang pada 2004. Walau bagaimanapun, sejak PRU 2008,  ini sudah tidak relevan kerana kawasan yang mempunyai undi campuran tidak lagi memihak kepada BN.

Persempadanan memang dibuat untuk memenangkan BN?

Pada PRU 2004, ramai orang Melayu memihak kepada pembangkang berikutan Peristiwa Mata Lebam. Orang Cina pula solid kepada BN. Persempadanan 2004 dibuat dengan membanyakkan kerusi campuran dengan pengundi Melayu dan bukan Melayu  pada nisbah 60:40 atau 55:45. Ini membawa kepada banyak kawasan campuran diwujudkan terutama di pantai barat Semenanjung.

Pada pilihan raya 2008, kawasan campuran memihak kepada pembangkang (BN tewas). Jadi persempadanan yang baharu ini perlu dibuat mengikut kelompok. Kaum Cina satu kelompok, Melayu satu kelompok.

Contohnya,  di kawasan Parlimen Seputeh. Kalau dahulu (DAP) menang di situ dengan mendapat undi yang besar, sekarang BN tidak kisah kalau DAP menang dengan mendapat undi yang lebih besar kerana kawasan ini adalah majoriti Cina. Apa yang mereka buat ialah beri tumpuan di Parlimen Lembah Pantai. Ini dilakukan dengan membawa masuk kawasan polis (Bukit Aman) dicampur dengan kawasan Melayu di Pantai Dalam. Dengan cara itu, mereka akan dapat (menang) Lembah Pantai.


 Kawasan-kawasan lain?

Titiwangsa, sukar untuk Pas menang balik. Bandar Tun Razak memang sukar nak dibuat persempadanan semula atas sebab kawasan itu agak padat. Bagi kawasan Parlimen Lembah Pantai, saya boleh katakan sukar bagi pembangkang mengekalkan kerusi ini. Dengan anggaran 6,000 undi polis Bukit Aman masuk (Lembah Pantai) dan pertambahan pengundi baharu, harapan YB Nurul Izzah untuk mengekalkan kawasan berhadapan laluan sukar.

Mengapa Prof. kata begitu?

Keadaan tidak sama dengan 2004. Kalau dahulu, apabila dibuat persempadanan, orang terima sahaja tetapi sekarang, selain SPR, orang lain pun ada kepakaran membuat kajian. Sebagai contoh kami juga boleh buat ground mapping sama seperti yang SPR buat bagi mengetahui apa yang dilakukan dengan kawasan yang baru dibentuk.

Dari segi pendedahan media, masyarakat kita juga sudah terbuka. Sebelum 2004, parti pembangkang tidak memberi perhatian serius tentang persempadanan tetapi sekarang,  mereka sudah tahu bagaimana nak protes malah boleh membuktikan sebab mereka tidak puas hati. Dalam soal ini, apa yang kita pentingkan adalah masyarakat mahukan ketelusan dan keadilan.

Masyarakat boleh menerima siapa sahaja yang menang pilihan raya, siapa yang menang akan disokong untuk memerintah tetapi biarlah kemenangan itu diperoleh dengan cara jujur.  Kalau menang dengan cara tidak jujur, memerintah tidak mempunyai legitimasi dan cenderung bertindak secara sewenang-wenangnya. Rakyat dikaburi dengan alasan pemerintah sudah mendapat mandat.

Apa yang sedang berlaku ini, bagi saya boleh dianggap seperti satu penyelewengan. Ini jenis penipuan yang dihalalkan. Mereka akan beritahu “kami menang pilihan raya, dapat banyak kerusi, dapat banyak undi” tetapi realitinya?

Mereka menang dengan cara yang tidak gentleman. Saya yakin majoriti rakyat  mendukung amalan demokrasi, mereka terima siapa yang mendapat mandat rakyat, satu undi menang pun kena terima, itu kematangan demokrasi tetapi biarlah dengan cara yang baik.

Bagaimana pula dengan tempoh berkempen?

Selain persempadanan, faktor lain dalam amalan demokrasi juga mempengaruhi keputusan pilihan raya. Tempoh masa berkempen juga terbukti menentukan keputusan PRU.

Antara ‘kesilapan’ besar Pak Lah ialah membenarkan kempen 13 hari pada PRU 2008. Zaman Mahathir, hanya sembilan hari sahaja berkempen dalam PRU  1999. Kalau tempoh berkempen dalam PRU ini dibenar dua minggu, kerajaan Mahathir boleh tumbang pada waktu itu.

Pada 2008, dari segi undi popular, kajian menunjukkan sebanyak tiga peratus sokongan untuk BN menurun setiap hari pada minggu kedua kempen. Kalau kempen pilihan raya 2008 dibuat selama 16 hari, BN hilang lebih banyak kerusi.

Saya pernah membuat kajian yang khusus tentang  The Trail of Anwar Ibrahim, di mana (Datuk Seri) Anwar Ibrahim berkempen di seluruh negara dalam PRU 2008. Hampir semua kawasan di mana Anwar turun berkempen sama ada jatuh ataupun jika BN menang, dengan majoriti tipis. Dari Perak, Kedah dia terus ke Pahang. Dari Pahang balik ke Kuala Lumpur. Sebagai contoh,  Parlimen Padang Rengas berkemungkinan jatuh jika Anwar sempat berceramah kerana di kawasan tersebut. Anwar dijadualkan berceramah di  Kampung Stesyen yang mempunyai 3,000 pengundi Cina dalam kerusi Parlimen Padang Rengas tetapi terpaksa membatalkannya pada saat akhir kerana beliau sampai ketika jam sudah melewati pukul 12 tengah malam. Kalau Anwar berceramah di situ malam itu, ada mungkin (Datuk Seri) Nazri (Aziz) juga kalah. Ini adalah kelebihan ‘aura politik’ yang ada pada Anwar Ibrahim berbanding dengan pemimpin politik yang lain.

 Dengan persempadanan ini, Lim Kit Siang pun saya percaya mungkin kalah kalau terus bertanding di Gelang Patah. Johor, Selangor dan Negeri Sembilan paling banyak kerusi campuran. Sekarang kerusi campuran dikurangkan (melalui persempadanan semula) dan dibanyakkan kerusi sama ada pengundi Cina sahaja ataupun Melayu sahaja.


Ini akan mendorong kepada berlakunya perebutan sesama parti pembangkang. DAP ambil kawasan PKR, PKR nak bertanding mana? Kawasan Melayu pula, Pas kata itu kawasan mereka. Macam mana pula dengan Amanah dan Bersatu? Jadi, ini akanmembantu kemenangan BN.

Tuesday, September 20, 2016

MCA Secara Rasmi Bantah Cadangan Persempadanan Semula


Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kini berada dalam keadaan ‘panas’ apabila cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya mendapat bantahan partio pemerintah dan pembangkang.

Ternyata kini, walaupun SPR dan beberapa menteri cuba mempertahankan persempadanan semula sebagai tidak melanggar Perlembagaan, namun realitinya, parti-parti politik melihat kesan segera yang akan dihadapi oleh mereka pada pilihan raya umum ke-14 nanti (PRU14).

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata dakwaan bahawa Syor Kajian Semula Persempadanan kerusi-kerusi Parlimen dan Dun bakal memberi kelebihan kepada BN tidak berasas.

Katanya persempadanan semula yang dilakukan SPR mengikut lunas-lunas perlembagaan dan pembangkang dari dulu cuba untuk kelirukan rakyat tentang peranan dan bidang kuasa SPR.

“Apabila mereka menang, mereka kata SPR adil dan bersih tetapi apabila mereka kalah, mereka mula buat dakwaan yang tidak berasas seperti yang terjadi dalam Blackout 505,” katanya.


Dan semalam,  secara rasmi parti komponen penting UMNO dalam Barisan Nasional (BN), MCA membantah persempadanan semula yang dicadangkan SPR itu.

Malah semalam MCA mengatakan pihaknya akan mengemukakan cadangan balas kepada suruhanjaya itu.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menjelaskan, butiran syor persempadanan semula yang telah diumumkan hujung minggu lalu itu bukan petanda baik bagi sebuah negara yang berbilang kaum dan agama.

Tiong Lai berkata cadangan balas parti sedia untuk dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional Jumaat ini.

Beliau berkata, cadangan SPR itu telah menjejaskan 26 daripada 40 kerusi Parlimen parti yang akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Sambil menyifatkan kesannya dari segi peralihan pengundi, beliau berkata sembilan kerusi akan menyaksikan perubahan 10,000 pengundi, 5,000 pengundi (lapan kerusi), 3,000 pengundi (tujuh kerusi) dan 1,000 pengundi (dua kerusi).

Beliau menambah, 14 kerusi selebihnya, akan menerima kesan minimum.

Bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat MCA di Kuala Lumpur semalam, Tiong Lai berkata beberapa kerusi negeri turut terjejas.

Katanya beliau tidak akan mengulas lanjut kerana perbincangan mengenai isu itu masih berjalan.

Pemimpin dari 85 bahagian MCA yang melibatkan kerusi parti itu mengadakan mesyuarat di ibu pejabatnya di Kuala Lumpuri untuk membincangkan kesan persempadanan semula yang dicadangkan.

Timbalan presiden parti Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang mengetuai jawatankuasa pilihan raya umum MCA, mempengerusikan mesyuarat itu.


Gelang Patah – Apa Muslihat MCA Bantah Persempadanan Semula Oleh SPR?


Pelik juga dengan bantahan MCA di Gelang Patah iaitu kerusi Parlimen yang sekarang dipegang oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang.

UMNO Gelang Patah berdiam diri, mungkin berpuas hati dengan apa yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu.

Dengan adanya bantahan MCA itu, apakah parti itu yakin kali ini Barisan Nasional (BN) akan dapat menewaskan DAP dan ‘menghalau’ Kit Siang dari Johor?

Atau apakah MCA ada muslihat sendiri kerana MCA baru-baru ini pernah menyuarakan agar BN memulangkan semula tiga kerusi Parlimen yang dikatakan dipinjamkan kepada UMNO iaitu Kuantan, dan Wangsa Maju, selain Gelang Patah  bagi menghadapi PRU14?

Tidak menghairankan kerana pada Jun 2014, Presiden MCA sendiri pernah menyuarakan agar BN kembalikan kerusi yang dipinjamkan itu kepada partinya.

Atau apakah MCA melihat 'pergolakan dalam Bahagian UMNO Gelang Patah' sebagai masa sesuai untuknya menuntut balik kerusi berkenaan?

Pada 10 September lalu, dua veteran UMNO yakni Pengerusi Tetap UMNO Gelang Patah, Datuk Baharom Abdul Ghani dan Timbalan Ketua Umno bahagian Kulai, Datuk Tosrin Jarvanti keluar dari parti Melayu itu.

Kedua-dua mereka telah mengumumkan peletakan jawatannya daripada parti semasa semasa mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing pada pagi hari berkenaan.

Pada PRU13, kerusi Parlimen Gelang Patah, DAP mengalahkan Pengerusi BN Johor pada ketika itu Tan Sri Abdul Ghani Othman (ketika itu Datuk) dengan majoriti 14,762 undi.


Apakah MCA mahu meletakkan calonnya kali ini?

Selepas persempadanan semula kawasan Parlimen yang dicadangkan oleh SPR itu, ia menyaksikan jumlah pengundi berkurangan daripada 115,000 pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kepada kira-kira 112,000 pengundi.

Daripada jumlah pengundi itu, 53.87 peratus merupakan pengundi kaum Cina, diikuti 33.48 peratus pengundi Melayu manakala selebihnya kaum India dan lain-lain.

MCA mahu SPR mempertimbangkan untuk mengekalkan kawasan persempadanan semula Parlimen Gelang Patah sama seperti pilihan raya umum yang lepas.

Timbalan Pengerusi MCA Bahagian Gelang Patah Tan Ba Ba,  berkata keputusan SPR baru-baru ini menyaksikan lima pusat daerah mengundi (PDM) melibatkan kira-kira 13,000 pengundi dipindahkan dari kawasan Parlimen itu ke kawasan Parlimen Kulai.

Ia melibatkan PDM Sri Pulai, Ulu Choh, Bandar Ulu Choh, Teratai dan Pulai, katanya.
Tan berkata tiga PDM dari Parlimen Pulai iaitu Selesa Jaya, Sri Sinding dan Jaya Mas melibatkan 6,804 pengundi berpindah ke kawasan Parlimen Gelang Patah.

Tan, yang juga Pengarah Pilihan Raya MCA Kawasan Parlimen Gelang Patah berkata bantahan akan dikemukakan pihak MCA kepada SPR tidak lama lagi.

"SPR perlu mempertimbangkan semula untuk mengekalkan kawasan persempadanan seperti Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) memandangkan kami (Barisan Nasional dan MCA) telah menumpukan perhatian sepenuh masa kepada PDM-PDM ini sebelum ini," kata beliau kepada pemberita di Johor

Tan mendakwa ihaknya tidak  diberikan notis yang secukupnya untuk mempertingkatkan usaha pada PDM yang terjejas dan PDM yang baharu.

“Seharusnya, kami diberi masa sekurang-kurangnya setahun sehingga setahun setengah untuk kami beri perhatian pada kawasan berkenaan," kata beliau.


Atau MCA ada sesuatu yang disembunyikan untuk kerusi berkenaan – biar kekal di tangan orang Cina – daripada di menangi UMNO sebagai mengulangi keputusan PRU13?