Saturday, September 3, 2016

Kebersamaan – Kenapa Asyik-asyik Melayu Yang Ditagih?


Apakah semangat kebersamaan atau the spirit of togetherness yang dikehendaki oleh Perdana Menteri?

Semangat itu bertujuan mengajak semua ahli parti seia-sekata, ‘sehati sejiwa’ dan perpaduan dalam sebarang tindakan untuk mengukuhkan parti dan akhirnya memajukan negara.

Berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Pekan hari ini, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya berpegang teguh kepada konsep kebersamaan dan ikhlas dalam perjuangan bagi memastikan parti itu terus berjaya.

Menurut Perdana Menteri, jika diamalkan semangat kebersamaan, Malaysia boleh jadi satu negara yang lebih kuat dan berjaya.

Ini kerana jika singkap sejarah negara, Malaysia boleh gunakan pengalaman dan beberapa detik peristiwa di mana kebersamaan antara rakyat telah membuahkan keberhasilan yang agak luar daripada jangkaan.

"Ia termasuk semasa kita menuntut kemerdekaan, dengan semangat kebersamaan antara pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T Sambanthan, kita telah berjaya mendapat kemerdekaan dengan cara lebih mudah daripada kebanyakan negara lain.

"Malah semasa PRU pertama 1955, hasil semangat kebersamaan, Parti Perikatan ketika itu telah meraih kemenangan cemerlang dengan membolot hampir semua kerusi," katanya ketika berucap di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah hari ini.

Malah, menurut Perdana Menteri, jika dilihat kepada sejarah, banyak kejayaan yang boleh dijadikan iktibar hasil kebersatuan seperti semasa menuntut kemerdekaan negara.

‘’Sebaliknya kalau kita tinggalkan semangat kebersatuan ini, tidak menghayatinya maka sesuatu yang buruk boleh menimpa. Boleh jadi mudarat yang mana pengalaman itu telah kita lalui,’’ katanya.


Sebut soal kebersamaanini terlintas difikirkan kita beberapa konsep yang pernah diperkenalkan kerajaan seperti ‘perpaduan nasional’ , ‘Rukun Negara’, 1Malaysia’ dan banyak lagi.

Ia menuntut keikhlasan rakyat semua kaum, bukan daripada kaum Melayu semata-mata.

Namun rasanya Najib tersilap tempat dan forum untuk meluahkan keinginan dan kehendaknya mengenai kebersamaan ini.

Jelas kelihatan bahawa dalam kalangan UMNO, seperti yang ditunjukkan di mesyuarat-mesyuarat Bahagian UMNO sejauh ini, semangat itu tetap padu.

Namun daripada apa yang diucapkan pemimpin dengan pencapaian negara dalam konteks keputusan pilihan raya serta sektor ekonomi dan pemilikan ekuiti, apakah kebersamaan itu sudah benar-benar terserlah di kalangan masyarakat  Malaysia?

Kenapa dalam semua bidang, orang Melayu yang banyak berkorban sejak 1948 menjadi mangsa kepada kebersamaan ini?

Dalam pilihan raya, rakyat bukan Melayu tidak menyokong Barisan Nasional (BN), apalagi mengundi parti UMNO dan parti komponen BN, khususnya di Semenanjung Malaysia?

Kenapa polarisai kaum terus menerus berlaku?

Jadi, apabila Najib meminta orang Melayu dalam UMNO mengamalkan kebersamaan, rasanya ia sesuatu yang tidak kena pada tempat.

Benar Najib menyebut supaya Umno dan BN terus memperkukuhkan semangat kebersamaan selain ikhlas dalam perjuangan untuk memastikan parti terus kuat dan berjaya mengharungi arus pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Yang menjadi persoalan ialah dalam kalangan BN. Apakah parti komponen seperti MCA, MIC dan Gerakan menunjukkan sikap yang dimahukan Najib?

Kerana itu,  seruan ini sewajarnya dilaungkan oleh Najib pada mesyuarat parti komponen BN atau majlis-majlis bukan Melayu.

Persoalannya ialah apabila Najib timbulkan isu kebersamaan ini, apa dan sebanyak mana lagikah Melayu perlu berkorban dan menyerahkan haknya kepada bukan Melayu?

Juga sebanyak mana lagi Melayu perlu bertolak-ansur dalam perkara-perkata berkaitan agama Islam, Bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dan ekonomi yang semakin hari semakin mengecil.

Perbuatan mempersendakan agama, Bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dilakukan sewenang-wenangnya dan apakah tindakan pihak berkuasa boleh ‘menenangkan orang Melayu’?

Apakah mereka berpuas hati dengan keputusan kerajaan dalam keputusan dan tindakan ke atas mereka yuag mempersenda dan memperkecilkan Melayu?

Kenapa Najib hanya berani bersuara pada majlis dan forum UMNO tetapi tidak pada forum bukan Melayu atau parti-parti komponen bukan Melayu dalam NB?

Mungkin Najib memperkatakan soal kebersamaan ini merujuk kepada pentingnya semangat bersatu hadi kerana PRU ke-10 di Pekan dilihat sebagai pengajaran, apabila Umno dan BN ketika itu hampir tersungkur kerana meninggalkan prinsip kebersamaan ditambah dengan faktor luaran ketika itu.

Untuk rekod pada PRU ke-10, Najib yang bertanding di Parlimen Pekan hanya menang tipis dengan memperoleh majoriti 241 undi ketika menentang calon PAS Ramli Mohamed.

"Barangkali sebahagian besar daripada kita masih segar dalam ingatan mimpi ngeri PRU 1999 apabila kita nyaris rebah, walaupun banyak faktor luaran yang mempengaruhi keputusan, namun tidak kurang pentingnya faktor dalaman yang menyumbang kepada keputusan yang saya sebut sebagai mimpi ngeri itu,’ tegas Najib.

Rasanya mengubati penyakit kebersamaan dalam UMNO tidak sesukar dalam BN.

Perhatikan sahaja apa yang berlaku kepada MCA, MIC dan Gerakan yang kini jelas layu.

Malah, dalam keadaan sedemikianpun mereka bangkit menentang Rang Undang-Undang (RUU) Ahli Persendirian Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, atau “Cadangan Pindaan Akta 355”. seperti yang ditonjolkan baru-baru ini.

Lebih mengejutkan parti komponen BN ini boleh bersekongkol dengan parti pembangkang bagi menentang TUU 355 ini.

Jadi, di mana persoalan bekersamaan ini sewajarnya ditujukan?

Kenapa UMNO tetapi tidak parti komponen BN? .

No comments:

Post a Comment