Dakwaan pihak pembangkang bahawa Barisan Nasional mungkin
akan kehilangan sebanyak 45 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang
disangkal penganalisis politik.
Mereka menegaskan, masih terlalu awal untuk membuat spekulasi
ke arah mana kecenderungan undi berkenaan akan memihak kelak.
Pada Sabtu, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin berkata simulasi yang dijalankan oleh "pakar" yang
dilantiknya meramalkan bahawa 45 kerusi BN yang dipegang akan hilang sekiranya
terdapat empat peratus undi beralih kepada pembangkang.
Presiden pro-tem kumpulan serpihan Umno, Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata demikian sambil menekankan
pentingnya menyatukan pembangkang dan memastikan pertandingan satu lawan satu
menentang BN dalam pilihan raya akan datang.
Menurut pensyarah Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang
Azman Awang Pawi, simulasi itu yang dijalankan empat bulan lalu, nampaknya
berdasarkan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Pensyarah Pengajian Sains Sosial Universiti Sains
Malaysia Prof Dr Sivamurugan Pandian (kiri) juga sependapat bahawa mana-mana simulasi
pemilihan atau kajian yang dijalankan pada masa ini adalah terlalu awal bagi
mengukur sentimen sebenar pengundi mahupun untuk mengetahui kedudukan
parti-parti politik dalam PRU akan datang.
Tempoh mandat kerajaan sedia ada akan berakhir pada Julai
2018.
"Adalah penting untuk melakukannya (simulasi) dalam
tempoh tiga hingga empat bulan sebelum pilihan raya. Ini kerana isu-isu yang
timbul dalam tempoh itu mungkin mempengaruhi pola pengundian," katanya.
Sivamurugan berkata sebarang analisis atau kajian pilihan
raya sama ada yang dijalankan oleh BN atau pembangkang, perlulah mengambil kira
perbandingan antara PRU-12 (yang diadakan pada 2008) dan keputusan PRU-13
(2013).
"Sejumlah kerusi BN yang terlepas (ke tangan
pembangkang) ketika 2008, yang dikatakan sebagai ‘tsunami politik’ bagaimanapun
berjaya ditawan semula dalam PRU-13, manakala beberapa kerusi yang dimenanginya
pada PRU-12 pula, dirampas pembangkang pada PRU-13," katanya.
Awang Azman berkata tidak kira bagaimana simulasi
berkenaan dijalankan, adalah penting untuk memahami bahawa sentimen pengundi
biasanya dipengaruhi oleh isu-isu yang diketengahkan dalam tempoh menjelang
tarikh pilihan raya.
![]() |
Muhyiddin. |
"Bagaimanapun, terdapat perubahan selepas PRU-13...
beberapa pilihan raya kecil telah berlangsung sejak itu, yang menyaksikan BN
mengekalkan kerusi dan juga merampas kerusi Teluk Intan daripada DAP,"
tambah beliau.
Pada PRU-13, DAP mengekalkan kerusi Parlimen Teluk Intan
dengan majoriti 7,313 undi tetapi pada pilihan raya kecil Mei 2014, BN
menguasai kerusi itu dengan majoriti 238 undi setelah mendapat 7.96 peratus
undi yang beralih daripada pembangkang.
Awang Azman menegaskan, simulasi Muhyiddin gagal
mengambil kira hakikat bahawa pakatan pembangkang kini berpecah-belah, dengan
sebahagian parti pembangkang utama seperti PAS tidak lagi bertanding dalam
pakatan sebagaimana semasa PRU-13.
Beliau berkata penyertaan PAS dalam mana-mana
pertandingan bahagian akan memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.
"Sebagai contoh, pilihan raya kecil berkembar
parlimen di Sungai Besar (Selangor) dan Kuala Kangsar (Perak), yang diadakan
pada bulan Jun.
"Undi pembangkang telah berpecah antara PAS dan
parti serpihannya Amanah (Parti Amanah Negara) dan ini secara tidak langsung
memihak kepada BN, yang akhirnya mengekalkan kedua-dua kerusi dengan majoriti
lebih tinggi.
"Pada PRU-13, BN memenangi kerusi Kuala Kangsar dan
Sungai Besar dengan majoriti masing-masing hanya 1,082 dan 399 undi,"
katanya.
(Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dimenangi Datin Mastura
Mohd Yazid, balu Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban
dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei, dengan majoriti lebih
besar iaitu 6,969 undi berbanding majoriti 1,082 undi mendiang suaminya.)
(Budiman Mohd Zohdi, yang juga Anggota Dewan Undangan
Negeri Sungai Panjang, mengekalkan kerusi Sungai Besar yang sebelumnya dipegang
Tan Sri Noriah Kasnon yang turut terkorban dalam kemalangan helikopter sama,
dengan majoriti yang lebih besar, iaitu 9,191 undi berbanding kemenangan tipis
Noriah - majoriti 399 undi dalam PRU-13.)
Walaupun ada yang mempertikaikan bahawa keputusan pilihan
raya kecil biasanya tidak mencerminkan mood keseluruhan pilihan raya umum,
kemenangan mereka tidak wajar diabaikan kerana ia menggambarkan trend
pengundian semasa.
Merujuk kepada pilihan raya kecil parlimen Rompin pada
Mei 2015, Awang Azman berkata BN masih berjaya mengekalkan kerusi itu, walaupun
dengan majoriti yang berkurangan.
"Tetapi pemimpin parti telah mengaitkan keadaan itu
dengan peratusan keluar mengundi yang lebih rendah dan kalangan pengundi kurang
bersemangat," katanya.
No comments:
Post a Comment