Thursday, September 8, 2016

Usaha Malaysia Tangkis Propaganda Daesh Dapat Pujian Amerika Syarikat


Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memuji usaha Malaysia membangunkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (RDG3) bagi mengekang propaganda Daesh, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata perkara itu disuarakan Obama pada Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat yang berlangsung di Vientiane semalam yang kini menggunakan media digital untuk menyebarkan ideologi dan merekrut ahli baharu..

"Ucapan penghargaan itu disebut dalam ulasannya dan dia berterima kasih kepada Malaysia...itu adalah sumbangan kita (Malaysia) untuk menangkis propaganda IS (Daesh)," katanya kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN Ke-28 dan Ke-29, dan sidang berkaitan, di Vientiane.

Penubuhan pusat RDG3 itu dikemukakan Najib pada Sidang Kemuncak Pemimpin mengenai Pembanterasan Daesh dan Keganasan Melampau yang dipengerusikan Obama pada September tahun lepas.

Ia kemudian dibentangkan oleh Malaysia selaku negara penyelaras Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) mengenai kemajuan yang dicapai sejak Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di Sunnylands, California Februari lalu.


Inisiatif itu adalah usaha mengekang pengaruh Daesh yang menggunakan laman sosial untuk merekrut anggota baharu serta menyebar ideologi di serata dunia.

Malaysia menyifatkan pusat digital itu sebagai antara sumbangan negara dalam menangani isu keganasan dan dalam masa yang sama, beliau turut menekankan bahawa soal berkaitan keganasan dan per­spektif keganasan perlu ditangani dari puncanya.

“Penyelesaian kepada isu kega­nasan ini perlu dilaksanakan secara komprehensif, tidak melalui satu dimensi sahaja,’’ kata Perdana Menteri.

EAS merupakan antara sidang kemuncak yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN. Selain 10 negara anggota, EAS turut dianggotai AS, China, Australia, India, Jepun, Korea, Rusia dan New Zealand.

Dalam soal ini, kata Perdana Menteri, umat Islam seperti di Syria, Iraq dan beberapa negara lain yang kini melihat kehancuran di negara mereka dan isu Palestin yang masih tidak menampakkan jalan penyelesaian telah membakar perasaan mereka.

Najib berkata, keadaan itu mengakibatkan sebahagian daripada umat Islam terutamanya golongan muda bertindak dengan melakukan keganasan terhadap pihak yang lain.

“Tindakan itu tidaklah merupakan tindakan yang boleh diteri­ma, maknanya membunuh orang awam adalah salah di sisi agama. Kalau nak selesaikan perkara ini (keganasan), tidak boleh dengan tindakan menangkap mereka tetapi cari puncanya,’’ tegas beliau.


Najib berkata, konsep kesederhanan Malaysia dalam semua perkara juga semakin diterima apabila lima negara iaitu Austra­lia, Brunei, Kemboja, Thailand dan New Zealand turut menekankan pendekatan itu dalam sesi intervensi masing-masing semasa EAS.

Perdana Menteri turut mengulas pertemuan pemimpin negara anggota ASEAN dengan Obama menerusi persidangan Sidang Kemuncak ASEAN-AS.

"Dalam pertemuan itu, Malaysia menjadi negara penyelaras dan membentangkan hasil kemajuan sejak pertemuan di Sunnylands, di mana kita meningkatkan hubungan dua hala antara AS dan ASEAN di peringkat perkongsian strategik," katanya.

Najib juga menyatakan rasa gembira apabila isu tuntutan wilayah di Laut China Selatan yang melibatkan beberapa negara ASEAN dan China memperlihatkan perkembangan yang sangat positif.

Katanya, pendirian negara yang mahukan isu itu diselesaikan secara rundingan turut dipersetujui semua negara yang terlibat seperti yang terlihat dalam EAS hari ini.

Menurut Najib, semua negara terutama China telah memberikan komitmen untuk mematuhi Deklarasi Tatalaku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC) dan kesediaan negara itu untuk menyelesaikan rangka kerja Kod Tatalaku (CoC) pada pertengahan tahun hadapan.

Katanya, apa yang penting semua pihak perlu memberikan komitmen dan ‘menahan diri’ sehingga tahap maksimum untuk memastikan kawasan perairan itu kekal selamat kepada pelayaran dan penerbangan.

“Ada perkembangan positif walaupun masih banyak cabaran yang menanti dalam proses ini. Hasrat untuk jadikan Laut China Selatan aman dan stabil harus menjadi pertimbangan utama semua negara,’’ katanya.



Sementara itu, mengulas mengenai ketidakhadiran Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada sidang Kemuncak ASEAN-AS, Najib berkata beliau tidak bertanyakan perkara itu tetapi ketiadaan Duterte itu mungkin kerana tidak selesa dan serasi berikutan kontroversi melibatkan kedua-dua pemimpin berkenaan.

Bagaimanapun, Najib berkata Duterte menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-11 yang diadakan selepas itu (Sidang Kemuncak ASEAN-AS).

Beliau berkata berkata semasa EAS, Duterte turut menunjukkan gambar-gambar berkaitan masalah dadah di Filipina yang semakin teruk, serta gambar-gambar zaman kolonial yang menunjukkan ribuan rakyat Filipina dibunuh oleh tentera Sepanyol dan Amerika Syarikat semasa menjajah negara itu.

Menerusi gambar-gambar itu, kata Najib, Duterte mempersoalkan di mana hak asasi manusia yang dipegang oleh Amerika Syarikat sedangkan ramai rakyat negara itu dibunuh oleh tentera Amerika.

Perdana Menteri berkata Duterte turut menegaskan bahawa nilai hak asasi manusia tidak wajar diaplikasikan terhadap pengedar dadah yang telah membunuh, mengugut dan merogol banyak rakyat Filipina.

"Dia sendiri sudah melihat (kezaliman pengedar dadah) dan Filipina kini dibeban dengan masalah dadah yang begitu serius," kata Najib.

Ditanya sama ada Duterte telah mencuri tumpuan dan menenggelamkan Sidang Kemuncak ASEAN itu sendiri, Perdana Menteri berkata, ia bergantung kepada bagaimana seseorang melihat perkara itu.

"Bila anda memperkatakan sesuatu yang agak keras (terhadap Presiden Amerika Syarikat) memang anda akan menjadi tumpuan tetapi bagi saya, yang penting ialah ASEAN terus bersatu dan menyatakan pendirian berasaskan fakta supaya ASEAN kekal sebagai sebuah pertubuhan yang dihormati,"katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke-29 itu yang pertama diadakan selepas pewujudan Komuniti ASEAN pada 31 Dis 2015, dan selepas 'ASEAN 2025: Maju Bersama (Visi ASEAN 2025)' diterima pakai, kedua-duanya dimuktamadkan semasa Malaysia menjadi pengerusi perkumpulan itu.

Laos memecahkan tradisi apabila memutuskan untuk mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke-29, selain turut mengadakan sidang-sidang berkaitan.

Pada sidang-sidang berkaitan hari ini, Perdana Menteri turut mengetuai Malaysia dalam sidang EAS, Sidang ASEAN-India dan Sidang ASEAN-Amerika Syarikat.


Sumber – mStar, Utusan Online, BH Online

No comments:

Post a Comment