Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan
rombakan kabinet kali ketiga sejak menerajui negara yang bertujuan memantapkan
pentadbiran kerajaan sedia ada selain memastikan agenda pembangunan dipacu
untuk rakyat dalam aspek ekonomi, kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan.
Dalam rombakan itu, seramai 10 nama telah disebut bagi
mengisi kekosongan dan lantikan dengan lima pemimpin dari Umno, seorang dari
Gerakan, dua dari MCA, seorang dari MIC dan seorang lagi dari parti Pesaka
Bumiputera Bersatu (PBB) dari Sarawak.
Dari sudut politik, pelantikan Ketua Perhubungan Umno
Selangor, Tan Sri Noh Omar sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan dilihat sejajar dengan hasrat BN untuk merampas semula negeri
itu, terutama sejurus kemenangan besar dalam pilihan raya kecil Sungai Besar,
baru-baru ini.
Rahman Dahlan |
Johari Abdul Ghani |
Pelantikan ini akan mengukuhkan kedudukan ahli parlimen
Titiwangsa itu di peringkat kawasan bandar sekaligus menghargai pengalaman
beliau sebagai antara peneraju korporat yang berkaliber sebelum memilih kerjaya
sepenuh masa dalam bidang politik untuk digunakan dalam menambah baik ekonomi
Malaysia.
Sementara itu, pelantikan Presiden Gerakan, Datuk Mah
Siew Keong sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi pula dilihat
sekadar meneruskan tradisi kerusi menteri yang pernah disandang oleh mendiang
Lim Keng Yaik selaku presiden parti itu.
Mah yang pernah membantu 'memulihkan' semangat BN apabila
berjaya menewaskan DAP dalam pilihan raya kecil Teluk Intan pada 2014
diharapkan mampu mengalas tugas besar untuk mengembalikan zaman kegemilangan
Gerakan ketika di bawah era mendiang Keng Yaik, terutama di Pulau Pinang.
Husni Hanadzlah |
Bekas menteri perusahaan, perladangan dan komoditi, Datuk
Douglas Unggah Embas pula akan menumpukan kepada usaha menunaikan janji-janji
BN kepada rakyat Sarawak selepas kemenangan besar pada pilihan raya negeri yang
lalu selaku timbalan ketua menteri yang turut memegang portfolio kementerian
pemodenan pertanian dan ekonomi luar bandar negeri.
Pada masa yang sama, Najib turut mengumumkan pelantikan
Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz dan Naib Presiden MCA, Datuk Lee Chee
Leong, masing-masing sebagai timbalan menteri kewangan yang baru.
Naib Presiden MCA, Datuk Chua Tee Yong bertukar portfolio
ke kementerian perdagangan antarabangsa dan industri sebagai timbalan menteri.
Dengan pelantikan dua orang kuat MCA selain
'pengembalian' kerusi menteri kepada Gerakan, Najib nampaknya benar-benar
serius dalam usaha untuk menambat semula hati masyarakat Cina untuk kembali
menyokong BN selepas peralihan 10 peratus undi Cina kepada BN dalam pilihan
raya kecil Sungai Besar.
Othman pula yang dikatakan 'terkejut' dengan pelantikan
itu adalah Naib Ketua Bahagian Umno Jerlun yang dahulunya pernah dikepalai oleh
Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum dipecat dari Umno minggu lepas.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri SK Devamany pula
dilantik sebagai timbalan menteri di jabatan perdana menteri manakala Ahli
Parlimen Lawas dari PBB, Datuk Henry Sum Agong Datuk Henry Sum Agong pula
dilantik menjadi timbalan menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan
kepenggunaan.
Ahli Parlimen Silam dari Sabah, Datuk Nasrun Mansur pula
dilantik timbalan menteri perusahaan, perladangan dan komoditi bagi mengambil
alih tempat yang arwah Tan Sri Noriah Kasnon yang terbunuh berikutan nahas
helikopter awal bulan lalu.
Pelantikan dua timbalan menteri dari Sabah dan Sarawak
itu tentunya mengembirakan para penyokong BN di kedua-dua negeri tersebut,
dalam menantikan pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu, Bernama melaporkan, pelantikan hari ini
selaras dengan perenggan (b) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan
mengenai pelantikan Menteri Persekutuan dan Fasal (1) Perkara 43A mengenai
pelantikan Timbalan Menteri Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong telah
memperkenankan pelantikan-pelantikan tersebut, jelas Najib.
Najib melakukan rombakan Kabinet pertamanya pada 25 Jun
2014 melibatkan penyertaan semula pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN)
daripada Gerakan dan MCA dalam barisan Kabinet.
Ia termasuk pelantikan Presiden MCA, Datuk Seri Liow
Tiong Lai sebagai Menteri Pengangkutan, Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka
Siong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Mah selaku Presiden
Gerakan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Najib ketika melakukan rombakan Kabinet yang kedua pada
28 Julai 2015 berkata ia dilakukan untuk memperkukuhkan barisan dalam
menghadapi cabaran dalam menguruskan negara sebelum pilihan raya umum ke-14
(PRU14).
Rombakan tersebut menyaksikan pelantikan Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Tan Sri
Muhyiddin Yassin yang digugurkan.
Semasa ditanya sama ada barisan Kabinet ini adalah
sebagai persediaan BN untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, Najib
berkata: "Ia bergantung bila pilihan raya umum akan datang akan
diadakan."
Kepada soalan bila beliau akan mengadakan pilihan raya
umum, katanya: "Saya tak tahu lagi."
Ketika ditanya jika beliau sedar tentang rancangan Husni
untuk bersara, Najib berkata Husni telah memaklumkan kepada beliau tentang
hasratnya untuk bersara dan ia harus dihormati.
"Beliau sudah bersedia untuk bersara," katanya.
"Saya mengucapkan setinggi penghargaan dan terima
kasih di atas khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh beliau selama ini,"
katanya.
Kepada soalan kenapa tiada wanita dipilih untuk mengisi
jawatan dalam rombakan Kabinet kali ini, Najib berkata: "Kami boleh
sentiasa isi pada bila-bila masa. Tidak perlu bimbang mengenainya."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment