Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak akan
menang, malah turut menawan semula Selangor jika pilihan raya umum diadakan
sekarang, akui Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Buat masa ini, pihak pembangkang berada dalam
keadaan kucar-kacir. Mereka tidak bersedia. Mereka tidak mempunyai jentera
seperti BN. BN mempunyai jentera kerajaan...," katanya kepada pemberita di
Putrajaya.
"Saya rasa mungkin beliau (Najib) akan menang jika
mengadakan pilihan raya sekarang," kata bekas perdana menteri itu.
Ujar beliau, sementara BN telah menjadi perikatan yang
berterusan selama lebih 50 tahun, pihak pembangkang pula disifatkan sebagai
'himpunan yang longgar' di kalangan mereka yang tidak mempunyai dana kewangan
untuk menjalankan jenteranya.
Spekulasi mengenai pilihan raya umum mula kedengaran
selepas kemenangan besar BN dalam pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai
Besar pada 18 Jun yang lalu.
Ramalan Mahathir mengenai Selangor jatuh ke tangan BN
muncul di sebalik penemuan tinjauan badan pengkaji bebas, Merdeka Center yang menunjukkan
populariti Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Azmin Ali melonjak ke paras 65
peratus.
Pada masa yang sama, Dr Mahathir berkata, pembangkang
perlu melakukan sesuatu, sama ada Najib memilih untuk mengadakan pilihan raya
sekarang atau menunggu sehingga tempoh parlimen semasa tamat pada 2018.
Begitu juga dengan bekas timbalan perdana menteri, Tan
Sri Muhyiddin Yassin yang begitu lantang menentang Najib setelah dipecat
daripada Umno minggu lalu.
No comments:
Post a Comment