Showing posts with label Duta China. Show all posts
Showing posts with label Duta China. Show all posts

Monday, March 13, 2017

Duta China Bimbang, Terpaksa Nafi Rapat Dengan BN Sahaja


Apakah jawapan Duta Besar Republik Rakyat China (RRC) di Malaysia Dr Huang Huikang semalam yang menolak dakwaan beliau mempunyai hubungan rapat dengan parti politik Barisan Nasional (BN) sahaja menggambarkan wujud kebimbangan beliau mengenai survival parti berkenaan?

Juga dengan mengaitkan lawatannya ke Pulau Pinang turut menggambarkan beliau ‘bermain selamat’ dengan kemungkinan-kemungkina pembangkang akan menakluki Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti?

Apakah RRC dan Dr Huang sedang memerhatikan dengan teliti kemungkinan kerajaan baru akan mengambil alih Putrajaya?

Semalam, Dr Huang menafikan RRC hanya bebraik dengan BN seperti didakwa seorang diplomat veteran Malaysia baru-baru ini.

Bekas duta Malaysia ke Kanada, Datuk Dennis Ignatius yang mempunyai pengalaman lebih tiga  dekad dalam perkhidmatan diplomasi Malaysia, berkata dalam satu lisannya bahawa penglibatan China dapat dilihat melalui sokongan terbuka diplomatnya terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ini termasuk melalui kehadiran pegawai kedutaan di program politik melibatkan Umno, MCA dan Gerakan.

Tahun lalu, duta besar China menemani Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Adun MCA Teoh Yap Kun untuk melakukan lawatan ke kawasan Parlimen Semborong dan kawasan DUN Paloh.

Diplomat China juga dilihat bersama pemimpin kanan MCA menghadiri mesyuarat Persekutuan Persatuan Hakka Malaysia di Raub, Pahang, di samping bersama Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong di Teluk Intan.

“Dalam semua kunjungan ini, diplomat China mengambil peluang memuji pentadbiran Najib, menekankan kepentingan MCA dan menegaskan yang hubungan yang dibina dengan China akan banyak menguntungkan masyarakat Cina di Malaysia,” kata Dennis.

Dr Huang yang cuba menepis dakwaan itu berkata beliau baik dengan semua pihak di Malaysia.

“Saya adalah sahabat Malaysia, sahabat sejati seluruh Malaysia,” katanya dipetik Bernama.

Kenyataan beliau ada kaitan dengan dakwaan Dennis awal bulan ini bahawa penglibatan Huang dalam politik tempatan semakin menyerlah.

Beliau dikatakan dilihat kerap bersama pemimpin parti terutama MCA dan UMNO menjelajah seluruh negara.


Diplomat veteran itu menceritakan bagaimana duta besar China kini lebih intim dengan ahli politik Malaysia khususnya daripada MCA dan UMNO.

Malah  Duta Besar China ke Malaysia itu dilihat semakin melibatkan diri dalam politik tempatan di sebalik hubungan rapat Malaysia-Chinayang memberi peringatan akan kesannya terhadap kedaulatan negara.

“Beliau tekun menjelajah negara, dan kerap ditemani ahli politik MCA dan Umno, mengunjungi berpuluh-puluh sekolah Cina dan menyalurkan beratus ribu ringgit dalam bentuk bantuan dan biasiswa,” bekas duta Malaysia ke Kanada, Datuk Dennis Ignatius menulis dalam FMT pada 4 Mac lalu.

Huang berjanji mewujudkan program latihan bersama guru sekolah, yang antara lain boleh menyaksikan penyertaan lebih ramai guru dari tanah besar China di sekolah tempatan.

Dennis berkata MCA kini bertindak seolah-seolah ia cawangan kedutaan China dan bukan sebagai sebuah parti politik yang menyertai kerajaan.

“Baru-baru ini, ia menubuhkan sebuah jawatankuasa hal-ehwal China di samping sebuah pusat OBOR,” kata Dennis, merujuk kepada projek One Belt One Road, laluan sutera dan laluan laut yang diwujudkan China bagi mengawal ekonomi serantau.

Tambahnya, MCA mempromosikan OBOR mengalahkan kempen yang dijalankan kedutaan China sendiri.
“Ada yang berhujah tindakan sedemikian menjadikan MCA sebagai penggerak utama pengaruh dan propaganda China di negara ini kini,” katanya.

Katanya, dasar “pro-China” yang diamalkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak adalah paling ketara dalam sejarah, dan Beijing kini semakin menyerlah memainkan peranan dalam politik tempatan.


November lalu, Najib mengetuai rombongan ke Beijing yang turut disertai lapan  menteri dan tiga  menteri besar, dalam apa yang dilihat pemerhati sebagai kecenderungan Putrajaya terhadap China.

Lawatan itu menyaksikan 14 perjanjian melibatkan pelaburan bernilai lebih RM143 bilion, termasuk penglibatan China dalam Bandar Malaysia dan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion.

Dennis berkata sokongan dan kenyataan diplomat China itu boleh dianggap ugutan terhadap masyarakat Cina negara ini supaya mengalihkan sokongan mereka kembali kepada Umno dan BN.
Menurutnya, pihak yang paling rugi sekiranya strategi ini berjaya adalah DAP yang menjadi pencabar utama MCA dalam meraih undi Cina.

Dennis berkata, tekanan Beijing itu memaksa DAP bersikap lebih “sederhana” dalam menentang beberapa keputusan memberikan projek besar kepada China.

Dennis mengakui apa yang diutarakannya boleh ditafsirkan sebagai menyebarkan dakyah anti-China.

“Ini bukan mengenai pro-Barat atau pro-China tetapi memastikan tidak ada negara, sama ada di timur atau barat, yang dapat mendominasi kita sehinggakan kita hilang upaya untuk menentukan haluan sendiri,” katanya.

Kata Dennis, penglibatan China dilihat melalui sokongan terbuka diplomatnya terhadap kerajaan BN termasuk melalui kehadiran pegawai kedutaan di program politik melibatkan Umno, MCA dan Gerakan.

“Ada yang berhujah tindakan sedemikian menjadikan MCA sebagai penggerak utama pengaruh dan propaganda China di negara ini kini,” katanya.

Huang semalam menegaskan,  menjalin hubungan rapat dengan semua pihak termasuk parti pembangkang.

Beliau memberi contoh lawatan rasminya ke Pulau Pinang yang diterajui DAP.

“Saya menjelajah ke serata bandar dan negeri di Malaysia, saya sudah banyak kali melawat Pulau Pinang, bertemu Ketua Menteri Pulau Pinang… saya juga menghadiri majlis perasmian Jambatan Kedua Pulau Pinang (Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah),” katanya.


Kenyataannya itu dipetik Bernama, selepas bertemu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Alor Setar semalam.