Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah
bertitah bahawa perpaduan adalah satu perkara yang amat berharga kepada negara
dan tidak boleh dijual beli.
Dalam hal ini, baginda berharap dan berdoa agar semua
pihak sedar akan kepentingan untuk memelihara kesatuan dan perpaduan sesama
kita.
"Jika yang retak menjadi belah dan genting menjadi
putus, segalanya yang terbina selama 60 tahun ini, akan hancur binasa dan tidak
ada ertinya lagi," titah Tuanku Abdul Halim pada majlis Jamuan Negara
sempena tamat tempoh pemerintahannya di Istana Negara di Kuala Lumpur, malam
tadi.
Lebih 500 tetamu hadir ke majlis itu, antaranya termasuk
menteri-menteri Kabinet, pegawai tinggi kerajaan dan perwakilan asing.
Dalam titahnya, Tuanku Abdul Halim turut berkongsi
pengalamannya berada di dua era pemerintahan iaitu ketika Perdana Menteri kedua
iaitu Tun Abdul Razak Hussein dan sekarang anaknya Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tuanku Abdul Halim berkata dalam pengamatan baginda,
terdapat beberapa kesamaan yang jelas antara kedua-dua mereka.
"Antaranya, Allahyarham Tun Razak adalah seorang
yang lemah lembut, bersopan santun, berdisiplin, tidak banyak bicara, namun
sangat gigih bekerja untuk membangunkan negara yang ketika itu masih bertatih
dan menapak untuk menuju kemajuan.
"Apatah lagi pada masa itu, untung nasib orang-orang
Melayu dan bumiputera masih berada dalam keadaan tidak teratur dan
terumbang-ambing. Justeru menuntut kepada kepimpinan Allahyarham Tun Razak yang
cekap dan berwibawa," titah baginda.
Seri Paduka bertitah berkat ikhtiar dan perencanaan yang
begitu bersifat jangka panjang oleh Tun Razak, maka tertubuhlah pelbagai agensi
serta institusi bumiputera seperti Mara, Felcra, UDA, RISDA, Pernas dan Bank
Bumiputera serta yang paling berjaya hingga dikagumi oleh dunia luar adalah FELDA.
"Alhamdulillah, tampaknya penerajuan Felda kekal
diteruskan oleh anakandanya, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib,"
titah baginda.
Tuanku Abdul Halim turut berkongsi mengenai krisis antara
kaum di zaman Tun Razak yang dinyalakan apinya oleh sesetengah pihak yang tidak
bertanggungjawab, sehingga membawa kepada kemuncaknya Tragedi Hitam 13 Mei
1969.
Namun, titah baginda, krisis itu telah berjaya ditangani
dengan baik dan lancar sehinggalah negara keseluruhannya kembali berada dalam
keadaan selamat dan aman.
Tuanku Abdul Halim bertitah, Dasar Ekonomi Baru yang
digagaskan Tun Razak yang bertujuan meningkatkan sosio ekonomi Melayu
Bumiputera dan mengimbangi jurang antara kaum dan telah menjangkau lebih 30
tahun secara keseluruhannya telah mencapai objektifnya.
Menurut baginda, kini dasar yang bermakna tersebut
berkesinambungan wawasan demi wawasan, sehingga ke era pentadbiran Najib hari
ini.
Di akhir titah, baginda melahirkan rasa terima kasih,
tahniah dan syabas kepada kerajaan yang dipimpin Najib atas segala sokongan
dokongan yang dirafakkan kepada baginda selaku Ketua Negara semasa penggal
pemerintahan ini.
"Beta dan Raja Permaisuri berdoa kehadrat Allah agar
kerajaan dan rakyat jelata akan kekal dilimpahi nikmat keamanan, makmur, dan
sentosa dalam ikatan yang padu untuk selama-lamanya demi Malaysia
tercinta," titah baginda.
Sementara itu, Najib pada majlis itu berkata sumbangan
terbesar kewujudan institusi Yang di-Pertuan Agong ialah peranannya dalam
memastikan kestabilan politik negara.
Beliau menegaskan bahawa kerukunan dan keharmonian itulah
yang telah memungkinkan berlakunya transformasi Malaysia selama ini.
"Lantaran itu pada hemah kerajaan, institusi ini
perlu dipertahan semua pihak sampai bila-bila kerana ia adalah milik semua
tanpa kecuali," katanya.
Beliau menarik perhatian bahawa institusi itu memayungi
bukan sahaja orang-orang Melayu Islam dan bumiputera, malah merangkumi secara
inklusif lindungannya ke atas hak dan kepentingan yang sah kaum serta agama
lain.
Sekalipun ia merupakan ciptaan Perlembagaan Persekutuan
yang dengan terperinci dilakarkan segala peranan dan tanggungjawabnya, Najib
berkata institusi Yang di-Pertuan Agong tetap berakar umbi kepada nilai
sejarah, tradisi dan budaya bangsa serta tamadun alam Melayu.
Beliau berkata keunikan sistem itu juga diperlihat
melalui hakikat walaupun Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara
untuk melantik perdana menteri dan membubarkan Parlimen, ia tetap tertakluk
kepada prinsip kelaziman dan rundingan yang sangat halus dan berhati-hati.
"Ini membuktikan sekali gus betapa institusi itu
dipermuliakan dengan sifatnya yang langkau siasah atau dalam kata lain letak
duduknya itu ialah di atas mana-mana politik kepartian," jelas Najib.
Ia juga, kata perdana menteri, sangatlah terpelihara oleh
Majlis Raja-Raja dan tidak bersifat warisan kerana Yang di-Pertuan Agong
dipilih secara berhemah dan bergilir dalam kalangan sembilan raja Melayu.
Najib seterusnya berkata sepanjang di bawah naungan
Tuanku Abdul Halim, Malaysia mencapai kejayaan demi kejayaan yang diperakui
pelbagai agensi dan penarafan antarabangsa yang diiktiraf dan berwibawa.
"Kerajaan Tuanku ini tidak akan bersifat selesa,
malah akan sentiasa meneruskan usaha demi usaha bagi mencipta hari muka yang
lebih ampuh untuk Malaysia," kata Najib.
Beliau turut menyentuh gerakan Transformasi Nasional atau
TN50 bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta
berminda terulung.
Najib berkata apa yang dicita-citakan beliau ialah
menjelang tahun 2050 Malaysia akan menjadi negara yang tergolong dalam kalangan
kumpulan 20 negara terbaik di persada dunia.
"Inilah gerakan bagi melahirkan generasi masyarakat
masa depan terbaik. Visi patik dan pimpinan kerajaan adalah untuk menggerakkan
satu perubahan agar lahirnya kelak generasi masa hadapan Malaysia yang menyeru
ke arah kebaikan dan menolak kemungkaran," kata perdana menteri.
Atas simbolik perpaduan ummah dan kemanusiaan pula, Najib
berkata pada 4 Disember yang lalu beliau selaku ketua kerajaan dan Presiden
UMNO telah berganding dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada
Perhimpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya.
Tuanku Abdul Halim tamat tempoh sebagai Yang di-Pertuan
Agong Ke-14 pada 12 Disember ini.
Seri Paduka mencatat sejarah negara dengan ditabal
sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua pada 2011 selepas ditabalkan buat
pertama kali pada 1970.
Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dipilih sebagai Yang
di-Pertuan Agong Ke-15 bagi menggantikan Tuanku Abdul Halim.
Mesyuarat Ke-243 (Khas) Majlis Raja-Raja memilih Sultan
Muhammad V sebagai Ketua Negara berkuat kuasa 13 Disember ini untuk tempoh lima
tahun.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pula dipilih menjadi
Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.
No comments:
Post a Comment