Thursday, June 2, 2016

Wanita Umno – RUU Tidak Beri Kesan Kepada BN


Pembentangan usul Rang Undang-undang Persendirian berkaitan RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 tidak akan memberi kesan kepada BN meraih sokongan pengundi bukan Melayu dalam dua pilihan raya kecil (PRK) pada 18 Jun ini.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata pergerakan itu akan turun padang untuk memberi penjelasan mengenai RUU tersebut kepada pengundi sewaktu berkempen di PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

"RUU ini mungkin menjadi isu tetapi kita akan memberi penjelasan. RUU tersebut sebenarnya bukan hudud seperti yang digempar-gemburkan oleh pihak pembangkang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Festival India Global 2016 di Kuala Lumpur.

Usul RUU dibentangkan  oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang juga ahli Parlimen Marang, di Dewan Rakyat, Khamis lepas.

Shahrizat turut merayu kepada pengundi agar terus memberikan mandat kepada calon BN bagi kedua-dua pilihan raya itu.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, serta Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Datin Mastura Mohd Yazid merupakan calon BN di Kuala Kangsar manakala Budiman Mohd Zohdi, calon BN di Sungai Besar.

Sumber – Bernama

No comments:

Post a Comment