Friday, June 3, 2016

Pertelagahan PAS, Amanah Beri Kelebihan Kepada BN - Penganalisis Politik


Pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar bakal menyaksikan pertandingan sekurang-kuranngnya tiga penjuru selepas Barisan Nasional (BN), PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah) mengumumkan calon mereka.

Kerusi yang secara tradisinya menjadi pertembungan Umno (yang mewakili BN) dan PAS itu, menurut penganalis politik, kini pastinya lebih menarik menerusi penyertaan Amanah, parti serpihan PAS.

Mereka berpendapat, kempen PRK itu juga bakal menyaksikan Umno dan PAS lebih 'saling hormat menghormati' dan matang dalam kempen politik mereka berikutan senario politik serta 'hubungan baik' kedua-dua parti itu.

"Biasanya peluru (kempen) PAS dituju kepada BN, tetapi kali ini saya nampak ia (kempen dan percakaran) lebih kepada PAS dan Amanah dan ini memberi kelebihan kepada BN," kata penganalisis politik Prof Madya DrJeniri Amir.

BN sebelum ini mengumumkan Datin Mastura Mohd Yazid, isteri Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, penyandang kerusi itu, sebagai calon mereka.
PAS pula menamakan Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad, manakala Amanah mencalonkan bekas profesor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Ahmad Termizi Ramli.

Selain itu, anggota Pemuda Umno Syed Rosli Syed Harman Jamalullail yang mengumumkam di media sosial bahawa beliau akan bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK itu, turut berdepan tindakan dipecat daripada Umno sekiranya berbuat demikian pada hari penamaan calon Ahad ini.

Dr Jeniri, pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata pada PRK kali ini dilihat lebih kepada pertembungan antara PAS dan Amanah, dalam 'menguji' sokongan pengundi terhadap mereka.

"Tidak saya nafikan calon Amanah dan PAS cukup berwibawa namun ia bukan halangan besar kepada calon BN di Kuala Kangsar berdasarkan kepada rekod baik  BN di kawasan itu," katanya.

PRK itu diadakan berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il Anuar yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lepas.Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berkata pertelagahan PAS dan Amanah akan menyebabkan berlakunya perpecahan undi dalam kalangan penyokong parti pembangkang.

"Saya menjangkakan undi penyokong parti pembangkang akan pecah dua, dan pastinya memberi kelebihan kepada BN," katanya.

"Perbalahan antara PAS dan Amanah pasti membuat ramai penyokong pembangkang kecewa dan tidak mustahil mereka juga boleh berpaling arah kepada BN," katanya.

Ketika mengumunkan calon daripada Amanah, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata PRK kali ini adalah penentu kepada nasib parti itu yang pertama kali meletakkan calonnya bertanding dalam pilihan raya di Semenanjung sejak Amanah ditubuhkan pada 16 September 2015.

Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang sebelum ini lantang mengkritik Umno di pentas politik, sebaliknya bertindak menyerang PAS, yang kini menjadi pesaing politik mereka, ketika berucap pada majlis pengumuman calon Amanah itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun ini. Pada Pilihan Raya Umum ke-13 Allahyarham Wan Mohammad Khair-il menang dengan majoriti 1,082 undi.

Sebanyak 32,949 orang layak mengundi pada PRK itu mengikut daftar pemilih yang didaftarkan Suruhanjaya Pilihan Raya sehingga 7 Mei lepas.

No comments:

Post a Comment