Thursday, June 9, 2016

97 Peratus Hutang Adalah Dalam Negara, Diurus Dengan Baik - Mustapa


Pakai dan dengar apa yang Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) cakap. Semua cakap ekonomi negara di bawah Barisan Nasional (BN) diurus dengan baik.

Demikian pesanan Datuk Seri Mohd Najib Razak yang juga Menteri Kewangan hari ini.

Sehubungan itu, Najib meminta rakyat supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan pihak tertentu kononnya negara mempunyai hutang yang amat banyak.

Semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menegaskan,  hutang negara ketika ini berada di bawah had kawalan iaitu 55 peratus dan tidak seperti dinyatakan Asian Nikkei Review iaitu melepasi had berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah turut menyelar artikel yang disiarkan Nikkei Asian Review pada 6 Jun 2016 berkaitan kedudukan hutang negara yang didapati tidak berasas.

Menurut Mustapa, jika hutang negara melepasi had yang ditetapkan sudah pasti negara ketika ini berdepan dengan masalah besar.

“Ketua Setiausaha Perbendaharaan sebelum ini sudah nyatakan bahawa dakwaan tersebut tidak benar dan menegaskan hutang negara berada di bawah paras 55 peratus.

Beliau berkata dalam bidang ini, jadi kita tak boleh dengar kenyataan daripada pihak lain.

“Ekonomi kita kukuh walaupun berdepan cabaran akibat kejatuhan harga komoditi, masalah ini dihadapi oleh semua negara di dunia. Apa yang mahu saya jelaskan 97 peratus hutang kita adalah hutang dalam negara, hanya 3 peratus sahaja hutang luar negara,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama agensi di Kuala Lumpur semalam.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah pada Selasa berkata sehingga akhir 2015, hutang kerajaan Persekutuan yang merangkumi hutang domestik dan hutang luar pesisir, mencatat RM630.5 bilion atau 54.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Menurutnya, kerajaan komited untuk memastikan kedudukan hutang negara tidak melebihi paras berhemat 55% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 “Sehingga akhir 2015, hutang Kerajaan Persekutuan yang merangkumi hutang domestik dan hutang luar pesisir mencatat RM630.5 bilion atau 54.5% daripada KDNK.

“Daripada jumlah ini, 97% adalah hutang domestik manakala bakinya adalah hutang luar pesisir. Oleh itu, pendedahan terhadap risiko pertukaran mata wang asing adalah rendah,” katanya.

Menurutnya, kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan dijangka terus berkurangan kepada sekitar 53% daripada KDNK pada tahun ini, berikutan langkah konsolidasi fiskal berterusan dan pindahan sebahagian hutang berkaitan skim pinjaman perumahan penjawat awam kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Kedudukan itu, menurut Mustapa membuktikan hutang negara kini berada dalam keadaan terkawal dan stabil walaupun terpaksa berdepan dengan cabaran ketidaktentuan ekonomi global.


Najib menjelaskan hari ini, kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun.

Malah menurutnya,  kedudukan hutang negara ketika ini masih berada pada tahap yang mampu ditangani oleh kerajaan.

"Jumlah hutang Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura lebih besar jika dibandingkan dengan pendapatan perkapita mereka," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan kejatuhan harga getah 2016 di Kuala Kangsar, hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri berkata pengurusan ekonomi yang cekap membolehkan kerajaan terus memberi pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat di sebalik kelembapan ekonomi global.

Beliau memberi contoh pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terbukti memberi kebaikan kepada rakyat, termasuk pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan menyambut Aidilfitri, yang merupakan hasil daripada kutipan GST.

"Inilah sebabnya bila Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) minta bantuan raya, kita dapat beri. Kalau tiada cukai macam mana kerajaan dapat bagi.

"Sistem ini (GST) bukan nak susahkan rakyat, tapi ia untuk kebaikan negara. Bila hasil bertambah, kita pulangkan balik kepada rakyat," kata Perdana Menteri.

GST dilaksanakan mulai 1 April 2015 pada kadar enam peratus bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan.

Sumber - Bernama & Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment