Saturday, November 12, 2016

BN Mampu Bertahan Kerana Amalkan Konsep Perkongsian Kuasa - Najib

Najib pada Persidangan Agung Tahunan Parti Liberal Demokratik (LDP), di Kota Kinabalu, semalam.

Barisan Nasional (BN) adalah sebuah parti politik yang mampu bertahan dalam demokrasi zaman moden, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, tiada parti lain yang boleh menyaingi prestasi BN selama ini yang bermula sebagai Parti Perikatan dan kemudian menukar namanya seperti yang dikenali hari ini.

"Walaupun kami telah merasai cabaran dan rintangan sejak hari penubuhan kami, namun kami sentiasa kekal berdaya tahan.

"Daya tahan itu kerana komited kepada keseluruhan konsep perkongsian kuasa di antara pelbagai parti komponen dalam BN, malah sehingga parti-parti kecil di dalam BN mempunyai hak yang sama  dengan parti-parti yang besar," katanya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Parti Liberal Demokratik (LDP) ke-27 di Kota Kinabalu semalam.


Yang turut hadir, Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Presiden LDP, Datuk Teo Chee Kang dan Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Najib turut mengingatkan parti komponen BN supaya tidak terperangkap dengan mainan politik pembangkang yang menggunakan apa saja cara untuk memburukkan kerajaan.

Beliau yang juga Pengerusi BN sebaliknya berkata, semua parti komponen perlu fokus kepada usaha membawa perubahan yang memberi makna dalam kehidupan rakyat dan melaksanakan tugas sewajarnya.

 "Parti komponen BN tidak harus patah semangat atau terikut-ikut rentak politik pembangkang yang menggunakan pendekatan menakutkan rakyat bagi meraih sokongan. \

"Sebagai pemimpin bertanggungjawab, kita mesti fokus kepada usaha bagaimana membawa perubahan dan buat pekerjaan yang betul. Kita jangan peduli politik yang macam ini (pembangkang)," katanya.

Sementara itu, Najib memberi jaminan hak parti kecil dalam komponen BN tidak akan dipinggirkan, malah sama saja dengan hak dimiliki parti besar lain.

"Kita ada konsensus sebelum membuat apa-apa keputusan dan inilah konsep perkongsian kuasa yang kita terus jadikan panduan dalam meningkatkan sokongan kepada BN," katanya.
Najib berkata, sebagai pengerusi BN, beliau komited dalam memastikan konsep perkongsian kuasa itu terus menjadi prinsip panduan dalam parti gabungan itu.

Najib juga berkata, BN akan terus bertindak berdasarkan prinsip wasatiyyah atau kesederhanaan, di mana parti itu akan mengelak daripada bertindak keterlaluan sehingga perlu untuk memaksa rakyat menerima parti, tidak juga terlalu liberal sehingga hilang nilai-nilai moral.

"Kita mesti berada di laluan pertengahan dan dengan berada di laluan pertengahan tidak bermakna kita berpegang kepada keadaan yang tidak berapa baik. Dengan bersederhana bermakna berusaha untuk mencapai kecemerlangan," jelas beliau.

Dalam mempertimbangkan integrasi sebagai satu cara hidup rakyat Malaysia yang ditetapkan pemimpin negara sebelum ini, Najib menggesa rakyat Malaysia untuk bersama-sama apabila seluruh negara secara serentak bersorak untuk wira badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berentap bagi mendapatkan pingat emas dalam Sukan Olimpik baru-baru ini.

"Kita perlu mewujudkan lebih banyak detik-detik perpaduan agar Malaysia menjadi sebuah negara yang didasarkan kepada rasa perpaduan dan patriotisme yang kukuh.

"Sewaktu kita bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara, kita (akan) mendapat pengiktirafan, kita mendapat penghormatan kerana kita adalah sebuah negara yang berjaya," katanya.

Najib Razak merasmikan Konvensyen UPKO .
Berucap merasmikan Konvensyen Pertubuhan Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO) di Pusat Kebudayaan Sabah di Kota Kinabalu pula, Perdana Menteri turut bercakap mengenai pPembahagian kerusi dalam pilihan raya umum akan datang melibatkan parti komponen di negeri itu yang menurutnya akan mengambil kira prestasi, keupayaan calon boleh menang serta apa yang terbaik untuk BN.
Pengerusi BN itu  berkata, kesemua elemen itu adalah berdasarkan komited setiap parti untuk turun ke bawah mendengar denyut nadi rakyat sekali gus berusaha menyelesaikan masalah berbangkit.

Malah Perdana Menteri mengingatkan semua parti komponen supaya tidak mengambil sikap selesa dan memandang rendah kuasa pengundi walaupun kejayaan besar terbukti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak lalu serta dua pilihan raya kecil di Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak.

“Cita-cita saya pada pilihan raya umum akan datang adalah Sabah memberikan keputusan yang lebih baik berbanding Pilihan Raya Umum ke-13. Mengenai kerusi, mana-mana parti komponen akan minta kerusi atau tambah kerusi. Kalau calon yang dicalonkan oleh parti komponen boleh menang, kita sedia mempertimbangkannya.

“Kita mengambil kira apa terbaik untuk BN kerana kita hendak membentuk kerajaan dan bukan setakat itu tetapi membentuk kerajaan yang kuat,” katanya

Yang hadir sama pada konvensyen UPKO itu ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Pre­si­den Kehormat UPKO, Tan Sri Bernard Dompok dan Pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau serta barisan pe­mimpin komponen BN.

Najib percaya parti-parti serpihan yang wujud kini tidak mampu menyaingi ‘kehebatan’ BN selagi pemimpin BN melaksanakan tanggungjawab dengan betul dengan memberi tumpuan kepada rakyat.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu melihat Sabah terus maju dan membangun seiring dengan apa yang dikecapi di Semenanjung selain komited untuk terus membantu kerajaan negeri memajukan negeri ini.

Mengulas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang dibangkitkan, Najib berkata, Kerajaan Pusat terbuka untuk berunding berkaitan perbezaan tafsiran dalam soal perjanjian tersebut.

“Saya tak nak ambil hak orang Sabah. Hak orang Sabah saya nak ia (hak) dipertahankan. Tetapi saya minta jangan sesekali kata kami (rakyat Sabah) mahu keluar dari Malaysia. Kita dalam satu keluarga, kita tetap bersama dalam ikatan Malaysia,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengajak rakyat supaya membudayakan sikap berfikiran terbuka agar hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara kelas pertama tercapai.

Ujarnya, rakyat Malaysia tidak harus menyibukkan diri dengan perkara remeh-temeh kerana keadaan itu hanya akan menyebabkan negara tertinggal jauh ke belakang berbanding negara lain.

“Kita mempunyai agenda besar. Kita bukan nak jadi negara kelas kedua, atau mahu menjadi negara biasa-biasa sahaja. Kita mahu Malaysia menjadi negara terbaik dalam kalangan yang terbaik di muka bumi ini.


Atas sebab itu, beliau mencadangkan Transformasi Nasional 2050 (TN50). TN50 inilah satu proses dialog dari akar umbi yang bertujuan menentukan hala tuju baharu untuk meletakkan Malaysia ini di puncak kegemilangan sebagai sebuah negara kelas pertama yang boleh kita banggakan.

No comments:

Post a Comment