Malaysia akan mencatat pertumbuhan keluaran dalam negara
kasar (KDNK) antara 4.7 dan 5.2 peratus dalam tempoh tiga hingga lima tahun
akan datang melalui pelbagai pelaburan infrastruktur oleh kerajaan, kata
seorang pakar ekonomi.
Ketua Pakar Ekonomi dan Pakar Strategi Pelaburan IQI
Group Holdings, Shan Saeed berkata, Malaysia adalah anggota Asean di mana KDNK
terus meningkat secara positif dan tersusun.
"Projek Keretapi Laju (HSR) akan membawa perubahan
besar kepada rantau ini.
"Pelaburan infrastruktur mempunyai kaitan kukuh
dengan pertumbuhan KDNK serta impak lebih tinggi dari segi pekerjaan,
pembangunan kemahiran serta serta pemerkasaan
sosial, dan lebih penting meningkatkan kuasa beli," katanya hari ini.
Shan berkata, kejayaan terpenting lawatan Najib ke China
baru-baru ini ialah pemeteraian 14 perjanjian melibatkan beberapa projek ikonik
dan mega bernilai RM144 bilion di antara syarikat Malaysia dan China yang akan
menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia.
Beliau juga menyaksikan pemeteraian 14 memorandum
persefahaman berkaitan sektor pertahanan, ekonomi, pertanian, pendidikan,
kewangan dan pembinaan di antara kedua-dua kerajaan.
Shan berkata, perdana menteri telah memainkan peranan
secara strategik dan ini akan merangsang pertumbuhan KDNK pada tahap makro.
"Pujian perlu diberikan kepada perdana menteri dan
pasukannya. Pelaburan China akan merangsang ringgit, bukan sahaja dalam jangka
pendek, tetapi juga jangka panjang," tambah beliau.
Shan berkata, hubungan dua hala yang kukuh antara
Malaysia dengan China menunjukkan kepentingan negara ini dalam perancangan
geo-strategik.
Sementara itu, jumlah dagangan Malaysia dalam tempoh
Januari hingga September 2016 meningkat 0.6 peratus kepada RM1.077 trilion
berbanding tempoh yang sama pada 2015, disokong oleh eksport barangan
perkilangan dan pertanian.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
dalam satu kenyataan pada Jumaat )4 November 2016) berkata Malaysia turut
mencatat lebihan dagangan sebanyak RM59.77 bilion berbanding RM60.93 bilion
dalam tempoh yang sama pada 2015.
"Dalam tempoh itu, eksport meningkat 0.5 peratus
atau RM2.58 bilion kepada RM568.36 bilion manakala import meningkat 0.7 peratus
atau RM3.75 bilion kepada RM508.59 bilion.
"Lebihan dagangan kali ke-227 sejak November 1997,
dicatatkan pada September 2016, bernilai RM7.56 bilion," katanya.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2016, Miti berkata
eksport barangan perkilangan meningkat 3.2 peratus kepada RM469.31 bilion.
Eksport yang lebih tinggi dicatatkan bagi hampir kesemua
subsektor pembuatan kecuali besi dan keluli, produk petroleum, barang kemas
serta produk galian bukan logam.
Eksport sektor pembuatan menyumbang 82.6 peratus daripada
jumlah eksport berbanding 80.4 peratus dalam tempoh yang sama tahun
lepas.
Sementara itu, eksport barangan pertanian meningkat 1.4
peratus kepada RM50.37 bilion, sebahagian besarnya disumbangkan oleh eksport
minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit.
Eksport minyak kelapa sawit meningkat kepada RM29.76
bilion, disebabkan oleh kenaikan purata nilai seunit (AUV).
Bagaimanapun, eksport barangan perlombongan susut 22.5
peratus kepada RM44.88 bilion ekoran pengurangan eksport gas asli cecair (LNG)
dan petroleum mentah, akibat AUV yang lebih rendah," katanya.
Berdasarkan pasaran, Miti berkata perdagangan yang lebih
tinggi dicatatkan dengan Amerika Syarikat (AS), Asean, Korea Selatan, Taiwan,
China, Jerman, Turki, Arab Saudi, Mexico, Bangladesh dan India.
Eksport ke Amerika Syarikat mencatatkan pertumbuhan dua
angka, sebanyak 11.5 peratus kepada RM59.35 bilion, menyumbang 10.4 peratus
daripada jumlah eksport Malaysia dan 9.3 peratus daripada jumlah dagangan.
MITI juga berkata eksport ke Asean kekal kukuh, dengan
pertumbuhan sehingga 5.1 peratus kepada RM168.29 bilion.
Import bagi tempoh sembilan bulan pertama 2016 pula
bernilai RM508.59 bilion atau peningkatan sebanyak 0.7 peratus berbanding
tempoh yang sama tahun lepas.
Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir
ialah barangan pengantara, barangan modal dan barang penggunaan.
Bernama
No comments:
Post a Comment