Masa untuk menunaikan janji pilihan raya negeri.
Rakyat tentunya sedang menunggu janji-janji ditunaikan
untuk kesejahteraan mereka.
Mereka bergantung harap kepada Barisan Nasional (BN) dan
jangan sekali-kali mengecewakan mereka.
Dua hari selepas memperoleh kemenangan bergaya dalam
pilihan raya negeri Sarawak ke-11 (PRN-11), Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem
sudah kembali ke pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini untuk memulakan
tugas hari ini (Isnin).
Ketibaan beliau pada 9.30 pagi disambut Setiausaha
Kerajaan Negeri Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Pengarah Unit Pengurusan
Sumber Manusia Sarawak Dr Sabariah Putit dan beberapa pegawai dari pejabat
Ketua Menteri.
Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataan hari ini
memaklumkan bahawa ia kemudiannya diikuti dengan satu majlis kesyukuran di
pejabat Adenan.
Sabtu lepas menyaksikan Barisan Nasional Sarawak
memenangi 72 daripada 82 kerusi (87 peratus )dalam PRN-11, kejayaan hebat
berbanding kemenangan 55 daripada 71 kerusi pada PRN-10.
Ramai yang bercakap mengenai kemenangan dan menganggapnya sebagai sesuatu yang di luar jangka.
Suasana di bangunan DUN lama mula ceria apabila SPR
mengadakan sidang media pertama kira-kira pukul 8.47 malam Sabtu lalu bagi mengumumkan
kejayaan BN membentuk kerajaan dengan majoriti mudah selepas menang di 42
kerusi.
Jentera BN mula tersenyum lebar apabila parti itu
disahkan menang dua per tiga dengan 55 kerusi sekitar pukul 9 malam.
Aura kemenangan makin dirasai tatkala Adenan melangkah
masuk ke Dewan Makan Utama DUN lama untuk mengadakan sidang media selepas
beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri di Astana Negeri.
Bagaimanapun Adenan kelihatan tenang berbanding beberapa
pemimpin lain termasuk Yang Berhormat (YB) baharu di DUN Batu Kawah yang juga
Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian yang tersenyum lebar di hadapan kamera.
Sesekali Adenan berhenti seketika memberi peluang kepada
jurugambar dan penyokong BN yang lain mengambil gambarnya.
Penangan #AdenanFever mengakibatkan pembangkang kalah
teruk khususnya DAP yang hilang lima kerusi iaitu di DUN Batu Kawah, Repok,
Meradong, Dudong dan Piasau serta satu kerusi baharu Batu Kitang.
Berbanding 2011 apabila DAP berjaya menghantar 12
wakilnya di DUN Sarawak, PRN kali ni menyaksikan parti itu hanya menang di
tujuh kerusi.
Malah BN juga berjaya mengurangkan jumlah undi di kawasan
kubu kuat DAP di Kota Sentosa, Pending, Padungan dan Palawan.
Formula Adenan dengan menjarakkan diri daripada isu
nasional termasuk 1MDB dan imej peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak membantu kejayaan ahli politik berusia 72 tahun itu.
Jentera BN Sarawak sendiri secara keseluruhannya
'memanfaatkan' populariti Adenan yang baharu dua tahun memasuki Pejabat Ketua
Menteri dalam siri kempen mereka.
Adenan sendiri dalam kebanyakkan siri ucapan kempennya
mengingatkan pengundi bahawa pilihan raya yang diadakan ini adalah demi masa
depan rakyat Sarawak secara khusus - ‘Sarawak for Sarawakian’.
Berkali-kali Adenan menjelaskan bahawa Sarawak tiada
kaitan dengan 1MDB dan hal politik di semenanjung.
Adenan sebaliknya menegaskan bahawa mandat besar yang
dirayunya adalah sebagai ‘perisai’ untuk beliau berhadapan Kuala Lumpur dalam
memperjuangkan nasib rakyat Bumi Kenyalang termasuk kuasa autonomi.
Selain itu Adenan juga telah melaksanakan pelbagai
inisiatif untuk masyarakat Cina termasuk mengiktiraf kelayakan UEC dalam
perkhidmatan awam negeri dan kelayakan untuk memohon biasiswa Yayasan Sarawak.
Selain itu Adenan juga memberikan peruntukan besar bagi
projek luar bandar, perang terhadap pembalakan haram, pembasmian tol,
menurunkan tarif elektrik, memperkukuhkan integriti dalam perkhidmatan awam,
menghentikan pemberian lesen balak, geran kepada sekolah Cina, autonomi dan
pengagihan kuasa, Lebuh Raya Pan Borneo dan banyak lagi.
Di kalangan masyarakat Iban, Adenan dikenali sebagai
‘apai besar’ bernama ‘Adenan anak Satem’.
Ternyata penghormatan itu sepadan dengan mandat peribadi
yang diperolehinya.
Pendirian menolak budaya politik semenanjung yang
disifatkannya sebagai agresif juga mendorong kepada kejayaan besar #teamAdenan.
Pada tahap ini persoalan yang mula dibangkitkan ialah
sama ada kejayaan besar BN Sarawak khususnya dalam mengembalikan keyakian
masyarakat Cina mampu menjadi cerminan di peringkat Persekutuan.
BN perlu menjadikan Adenan dan Sarawak sebagai contoh
tatkala berhadapan PRU-14 dalam tempoh dua tahun akan datang.
No comments:
Post a Comment