Showing posts with label Adenan Satem. Show all posts
Showing posts with label Adenan Satem. Show all posts

Wednesday, May 11, 2016

Kejujuran Dalam Tadbir Urus, Kayu Pengukur Rakyat Terhadap Adenan Satem


(Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia)

Mandat besar yang diperoleh Tan Sri Adenan Satem dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 baru-baru ini membolehkan beliau membentuk sebuah kerajaan berbilang etnik yang mencerminkan kepelbagaian budaya dan agama di Sarawak.

Dr Chandra Muzaffar
Selama menjadi ketua menteri sejak dua tahun lalu, kebanyakan dasar dan pengumuman beliau telah menjelmakan bukti pendekatan inklusifnya kepada masyarakat. Antaranya adalah kesinambungan kepada usaha-usaha yang dilakukan sebelum itu terutamanya oleh Tun Abdul Taib Mahmud, dalam usaha mengekalkan keharmonian antara etnik di negeri itu.

Memberikan penekanan khusus untuk saling "menghormati", dan "kesetaraan" di kalangan seluruh rakyat Sarawak, Adenan membantu mewujudkan suasana yang kondusif untuk kesepaduan dan perpaduan di kalangan rakyat negeri itu.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, beliau perlu menterjemahkan kesemua itu ke dalam program-program tindakannya.

Satu daripada cabaran utama yang dihadapi beliau adalah untuk menangani keadaan sosio-ekonomi sebilangan besar penduduk Bumiputera bukan Islam, yang merupakan segmen penting yang masih hidup dalam keadaan serba kekurangan dan kurang bernasib baik.

Mempertingkat taraf hidup mereka adalah langkah penting bagi mengukuhkan perpaduan antara etnik. Ia memerlukan langkah-langkah konkrit yang melampaui peluang-peluang pendidikan dan pemerolehan kemahiran, dan menyasarkan golongan berpendapatan rendah serta yang kurang memiliki aset.


Adenan, juga diharap akan berusaha menjadikan Kuching lebih bermakna sejajar kedudukannya sebagai "Bandaraya Perpaduan" atau City of Unity. Pastinya akan lebih hebat sekiranya lebih banyak taman awam, serta kemudahan sukan dan rekreasi dapat dibina sebagai usaha meningkatkan interaksi di kalangan penduduk pelbagai etnik di bandar raya itu.

Sementara itu, Yayasan 1Malaysia (Y1M) yang memperkenalkan penganugerahan gelaran Bandaraya Perpaduan ke atas Kuching sedang dalam proses mendapatkan pengiktirafan global bagi status Kuching sebagai Bandaraya Perpaduan yang ulung di dunia!

Terdapat cabaran-cabaran lain yang bakal dihadapi Adenan yang secara tidak langsung berkaitan perpaduan. Usaha beliau untuk mendapatkan autonomi lebih besar bagi Sarawak dalam konteks persekutuan Malaysia, yang mendapat sokongan amat menggalakkan daripada rakyat Sarawak, sudah pasti akan mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri itu.

Kerajaan persekutuan telah berjanji untuk memberi maklum balas positif terhadap permintaan Sarawak itu.

Penurunan dan pengagihan kuasa tidak akan menjejaskan perpaduan bagi persekutuan. Sebaliknya, terdapat beberapa contoh yang menunjukkan bahawa penurunan dan pengagihan yang dilaksanakan dengan teliti dalam rangka kerja perlembagaan dan demokrasi akhirnya akan mengeratkan hubungan antara kerajaan Pusat dan Negeri.

Kanada adalah contoh seumpamanya. Ia berlaku apabila keinginan untuk mengawal dan menguasai dizahirkan melalui pemusatan politik serta birokrasi dan dijadikan keutamaan mengatasi perkara-perkara lain apabila persekutuan tidak dapat berfungsi seperti sepatutnya.

Jika hak-hak autonomi dan negeri amat penting dalam PRN Sarawak ke-11, begitu juga satu lagi faktor asas yang mungkin menjelaskan pencapaian keseluruhan keputusan pilihan raya itu.

Adenan menunjukkan betapa penting untuk mewujudkan aspek kepercayaan dalam kepimpinan sesebuah masyarakat - terutamanya dalam sebuah masyarakat majmuk. Ini kerana Adenan mendapat kepercayaan daripada segenap lapisan masyarakat pelbagai budaya dan agama di Sarawak, justeru meletakkan beliau sebagai satu titik penyatuan bagi seluruh rakyat negeri itu. Beliau, dalam erti kata lain, menjadi pelekat yang menyatukan pelbagai komuniti menjadi satu. Dan apa yang menjadikannya kuasa unik sebagai pelekat, adalah kepercayaan.

Mengekalkan dan mungkin juga meningkatkan tahap kepercayaan rakyat terhadapnya akan menjadi cabaran terbesar bagi Adenan pada tahun-tahun akan datang. Dalam mendapatkan dan mengekalkan kepercayaan rakyat, Ketua Menteri dan pasukannya tidak patut sekali-kali berkompromi akan integriti mereka.

Hakikatnya, integriti dan kejujuran dalam tadbir urus akan digunakan oleh rakyat sebagai kayu pengukur dalam memutuskan sama ada mereka boleh terus mempercayai seseorang pemimpin itu atau sebaliknya. Sekiranya integriti hilang, kepercayaan rakyat juga akan lenyap.

Dalam usaha meningkatkan integriti, pelbagai langkah - kesemuanya telah dicadangkan oleh beberapa orang daripada kami sebelum ini - perlu dilaksanakan. Selain memastikan bahawa melalui undang-undang para pemimpin negeri serta waris mengisytiharkan aset dan liabiliti masing-masing dalam satu pendaftaran yang boleh diakses oleh orang ramai,


Adenan juga perlu melarang saudara-mara terdekat bagi Menteri-menteri dan Menteri Muda di negeri itu daripada membuat bidaan bagi mana-mana projek negeri atau kontrak yang memerlukan kelulusan kabinet negeri. Peraturan ini juga patut digunapakai terhadap pegawai tinggi dalam perkhidmatan awam negeri.

Peranan proksi, ejen dan orang tengah dalam amalan perolehan juga perlu dibendung jika tidak dihapuskan sama sekali. Tidak kurang pentingnya adalah penguatkuasaan yang lebih berkesan dalam apa jua undang-undang, peraturan dan prosedur yang dirumuskan.

Bagi memastikan kejayaan integriti dalam masyarakat, perlulah ada pengawasan berterusan. Atas sebab itu, kritikan terhadap pihak berkuasa perlu digalakkan. Ia adalah satu-satunya cara untuk mengetahui kesalahan mereka.

Sehubungan itu, langkah menghalang ahli-ahli politik dan aktivis-aktivis tertentu daripada memasuki Sarawak, terutamanya ketika tempoh kempen pilihan raya, memberikan gambaran bahawa kepimpinan negeri Sarawak tidak suka dinilai atau diteliti.

Malah kini, lebih daripada sebelumnya penelitian menjadi amat penting. Barisan Nasional mendapat sokongan majoriti besar dalam Dewan Undangan Negeri. Ia mempunyai kuasa yang sangat besar.

Dalam hal ini, Adenan mungkin perlu menilai kembali kata-kata bijaksana pemimpin berintegriti Malaysia yang berusaha mengekang rasuah. Selepas kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya 1978, Perdana Menteri pada ketika itu, Allahyarham Tun Hussein Onn, berkata: "Biarlah kemenangan ini masuk ke hati, bukan ke kepala kita."

Tajuk asal - Mandat Adenan, Perpaduan Dan Integriti

Monday, May 9, 2016

Ketua Menteri Mulakan Tugas, Masa Tunaikan Janji Untuk Rakyat Pada PRK-11

Masa untuk menunaikan janji pilihan raya negeri.
Rakyat tentunya sedang menunggu janji-janji ditunaikan untuk kesejahteraan mereka.

Mereka bergantung harap kepada Barisan Nasional (BN) dan jangan sekali-kali mengecewakan mereka.

Dua hari selepas memperoleh kemenangan bergaya dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-11 (PRN-11), Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem sudah kembali ke pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini untuk memulakan tugas hari ini (Isnin).

Ketibaan beliau pada 9.30 pagi disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Pengarah Unit Pengurusan Sumber Manusia Sarawak Dr Sabariah Putit dan beberapa pegawai dari pejabat Ketua Menteri.


Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa ia kemudiannya diikuti dengan satu majlis kesyukuran di pejabat Adenan.

Sabtu lepas menyaksikan Barisan Nasional Sarawak memenangi 72 daripada 82 kerusi (87 peratus )dalam PRN-11, kejayaan hebat berbanding kemenangan 55 daripada 71 kerusi pada PRN-10.

Ramai yang bercakap mengenai kemenangan dan menganggapnya sebagai sesuatu yang di luar jangka.

Suasana di bangunan DUN lama mula ceria apabila SPR mengadakan sidang media pertama kira-kira pukul 8.47 malam Sabtu lalu bagi mengumumkan kejayaan BN membentuk kerajaan dengan majoriti mudah selepas menang di 42 kerusi.


Jentera BN mula tersenyum lebar apabila parti itu disahkan menang dua per tiga dengan 55 kerusi sekitar pukul 9 malam.

Aura kemenangan makin dirasai tatkala Adenan melangkah masuk ke Dewan Makan Utama DUN lama untuk mengadakan sidang media selepas beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri di Astana Negeri.

Bagaimanapun Adenan kelihatan tenang berbanding beberapa pemimpin lain termasuk Yang Berhormat (YB) baharu di DUN Batu Kawah yang juga Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian yang tersenyum lebar di hadapan kamera.

Sesekali Adenan berhenti seketika memberi peluang kepada jurugambar dan penyokong BN yang lain mengambil gambarnya.

Penangan #AdenanFever mengakibatkan pembangkang kalah teruk khususnya DAP yang hilang lima kerusi iaitu di DUN Batu Kawah, Repok, Meradong, Dudong dan Piasau serta satu kerusi baharu Batu Kitang.

Berbanding 2011 apabila DAP berjaya menghantar 12 wakilnya di DUN Sarawak, PRN kali ni menyaksikan parti itu hanya menang di tujuh kerusi.

Malah BN juga berjaya mengurangkan jumlah undi di kawasan kubu kuat DAP di Kota Sentosa, Pending, Padungan dan Palawan.

Formula Adenan dengan menjarakkan diri daripada isu nasional termasuk 1MDB dan imej peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membantu kejayaan ahli politik berusia 72 tahun itu.

Jentera BN Sarawak sendiri secara keseluruhannya 'memanfaatkan' populariti Adenan yang baharu dua tahun memasuki Pejabat Ketua Menteri dalam siri kempen mereka.

Adenan sendiri dalam kebanyakkan siri ucapan kempennya mengingatkan pengundi bahawa pilihan raya yang diadakan ini adalah demi masa depan rakyat Sarawak secara khusus - ‘Sarawak for Sarawakian’.

Berkali-kali Adenan menjelaskan bahawa Sarawak tiada kaitan dengan 1MDB dan hal politik di semenanjung.

Adenan sebaliknya menegaskan bahawa mandat besar yang dirayunya adalah sebagai ‘perisai’ untuk beliau berhadapan Kuala Lumpur dalam memperjuangkan nasib rakyat Bumi Kenyalang termasuk kuasa autonomi.

Selain itu Adenan juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk masyarakat Cina termasuk mengiktiraf kelayakan UEC dalam perkhidmatan awam negeri dan kelayakan untuk memohon biasiswa Yayasan Sarawak.

Selain itu Adenan juga memberikan peruntukan besar bagi projek luar bandar, perang terhadap pembalakan haram, pembasmian tol, menurunkan tarif elektrik, memperkukuhkan integriti dalam perkhidmatan awam, menghentikan pemberian lesen balak, geran kepada sekolah Cina, autonomi dan pengagihan kuasa, Lebuh Raya Pan Borneo dan banyak lagi.

Di kalangan masyarakat Iban, Adenan dikenali sebagai ‘apai besar’ bernama ‘Adenan anak Satem’.

Ternyata penghormatan itu sepadan dengan mandat peribadi yang diperolehinya.

Pendirian menolak budaya politik semenanjung yang disifatkannya sebagai agresif juga mendorong kepada kejayaan besar #teamAdenan.

Pada tahap ini persoalan yang mula dibangkitkan ialah sama ada kejayaan besar BN Sarawak khususnya dalam mengembalikan keyakian masyarakat Cina mampu menjadi cerminan di peringkat Persekutuan.


BN perlu menjadikan Adenan dan Sarawak sebagai contoh tatkala berhadapan PRU-14 dalam tempoh dua tahun akan datang.

Wednesday, May 4, 2016

Adenan Satem Adalah Wadah, Undi Pembangkang Rugikan Rakyat Sarawak


Mengundi pembangkang hanya akan merugikan penduduk Sarawak kerana mereka tidak dapat membentuk kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menegaskan, pembangkang tahu hakikat ini dan kerana itu mereka berani membuat seribu satu janji kosong pada pilihan raya negeri Sarawak, Sabtu ini.

"Wakil rakyat pembangkang hanya merugikan penduduk kerana walaupun tidak dapat membentuk kerajaan, wakil rakyat mereka tetap menerima imbuhan bulanan daripada kerajaan tanpa perlu berbuat apa-apa," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Masyarakat Batu Kitang di Kuching kelmarin.

Salleh berkata penduduk Sarawak perlu bijak menilai perbalahan dalaman parti-parti pembangkang pada pilihan raya negeri kali ini dan bandingkan rekod permuafakatan parti-parti komponen BN.

Hadir sama calon BN Batu Kitang, Lo Khere Chiang dari SUPP.

Kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang mempunyai 17,494 pemilih berdaftar dengan 60 peratus adalah pengundi Cina.

Ia akan menyaksikan pertandingan lima penjuru iaitu Lo, Abdul Aziz Isa Marindo (DAP), Voon Shiak Ni (PKR), dan dua calon Bebas, Datuk Seri Othman Bojeng dan Sulaiman Kadir.

Salleh menegaskan, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem merupakan wadah bagi penduduk Sarawak dan telah berjaya membawa pembaharuan penting kepada negeri ini walaupun hanya baru dua tahun memimpin kerajaan negeri.

Mnurutnya, sejak mengambil alih sebagai ketua menteri pada 28 Feb 2014, pihak pembangkang sendiri terpaksa mengakui bahawa Adenan telah melaksanakan tugasnya dengan baik.

"Anda boleh lihat daripada kempen pilihan raya Sarawak bahawa tidak banyak yang pembangkang boleh kritik mengenai Adenan," katanya dalam catatan blog sskeruak.blogspot.my, semalam.

Salleh berkata adalah jelas bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan sokongan penuh terhadap Adenan dan memperakui semua usaha ketua menteri.

"Adenan ialah wadah bagi penduduk Sarawak dan yang paling penting perdana menteri turut mendengar.

"Ini memberikan pengundi Sarawak keyakinan bahawa Najib dan Adenan adalah sebuah pasukan yang baik, seorang di persekutuan dan seorang lagi di negeri, dan bahawa Barisan Nasional akan mampu memberikan apa yang Sarawak mahukan," katanya.

Sambil menarik perhatian kepada kelebihan Adenan, Salleh berkata ketua menteri itu telah memperkenalkan banyak dasar baharu, yang dianggap amat penting bagi Sarawak atau penduduk Sarawak, dan yang paling utama dasar 'Anak Sarawak'.

"Dasar ini menegaskan kesaksamaan bagi semua penduduk Sarawak tanpa mengira kaum etnik dan agama. Tiada lagi terdapat perkataan 'lain-lain' sementara Cina yang lahir di Sarawak tidak dikategorikan sebagai pendatang.

"Isu ini sahaja telah menjadi perbalahan ramai rakyat Malaysia sejak lama dulu dan Adenan telah dapat menyelesaikan perkara itu," katanya.

Satu lagi isu perbalahan yang Adenan mahu ia diselesaikan ialah pengiktirafan terhadap sekolah Cina dan Sijil Peperiksaan Bersepadu bagi pinjaman pendidikan Yayasan Sarawak serta kemasukan ke dalam perkhidmatan awam.

Salleh menambah kata sekolah-sekolah persendirian Cina menerima RM3 juta bantuan kerajaan dalam 2014, RM4 juta tahun lepas dan telah dinaikkan kepada RM5 juta tahun ini.

Sarawak mengurangkan kadar elektrik dan kadar tambang perkhidmatan feri serta menghapuskan bayaran tol jambatan Lanang dan Baram sementara tiada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikenakan terhadap perkhidmatan majlis perbandaran, katanya.

"Sarawak tidak lagi mengeluarkan lesen balak dan perladangan sementara lesen pembalakan sementara telah dibatalkan atau tidak lagi diperbaharui.

"Lebih 30 kilang papan yang mengendalikan pembalakan haram telah ditutup dan 10 peratus tanah hutan akan dijadikan taman-taman negara," katanya sambil menarik perhatian bagaimana seriusnya Adenan mengenai pemuliharaan hutan.

Mengenai hak tanah adat yang dianggapnya isu amat sensitif, Salleh berkata Sarawak sedang menambahkan tanah komunal sementara dalam masa yang sama mengiktiraf tanah Hak Adat Bumiputera.

Beliau berkata untuk mencapai kejayaan terhadap usaha ini, Sarawak mengadakan tinjauan perimeter dan kaji selidik individu untuk membolehkan tanah itu didaftarkan.

Negeri ini juga membuka peluang bagi kaum Bumiputera untuk membangunkan tanah mereka atas dasar komersial sementara pindaan terhadap Kanun Tanah Sarawak membolehkan Bumiputera Sarawak memperoleh tanah NCR di luar kelompok masyarakat mereka.

"Ini merupakan beberapa perkara daripada banyak perubahan di Sarawak sejak dua tahun lepas apabila Adenan mengambil alih jawatan sebagai ketua menteri.

"Penduduk Sarawak secara umumnya amat gembira dengan pembaharuan ini dan kebanyakan mereka berpendapat bahawa Barisan Nasional patut diberikan lima tahun lagi untuk menyaksikan apa lagi yang Adenan boleh lakukan untuk Sarawak dan bagi penduduk Sarawak."

Salleh berkata kebanyakan penduduk Semenanjung tidak berapa kenal siapa Adenan kerana beliau selama ini memang menjalani kehidupan yang sederhana dan tidak terlalu menonjol diri sepanjang karier politiknya.

"Hanya dua tahun memegang tampuk kepimpinan negeri, ramai orang, malah dari Semenanjung juga kini memahami kenapa Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Tun Razak melantik beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak," katanya.

Hari ini, ramai yang berkata Najib tidak mungkin membuat pilihan yang lebih baik daripada itu, katanya.


Media Cina Beri Liputan Meluas Kepada Adenan Sebagai Ketua Menteri


Memang telah dijangkakan media Cina seperti pertubuhan media lain, akan memberikan liputan meluas, apabila Tan Sri Adenan Satem mengambil alih jawatan Ketua Menteri dua tahun lepas.

Tetapi apa yang tidak dijangkakan ialah tumpuan yang belum pernah terjadi sebelum ini yang diberikan oleh empat akhbar harian Cina kepada beliau, dengan menjadikannya bahan utama berita mereka.

Apabila jelas bagi mereka bahawa individu yang menerajui negeri ini bersimpati terhadap aspirasi masyarakat itu, mereka bersaing sesama sendiri, dengan memberi ruang menyiarkan kata-kata dan tindakannya.

Semasa Adenan mengumumkan pada September tahun lepas bahawa kerajaan negeri telah memutuskan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), mereka menyiarkan berita itu di bawah tajuk utama.

Pengarang Berita International Times Chin Sau Leong berkata Adenan menjadi tajuk berita dalam media tempatan, termasuk akhbar-akhbar Cina, dengan kenyataannya memerangi rasuah dan pembalakan haram, nepotisme, kronisme dan ekstremis agama.

Beliau berkata pengumuman Adenan mengenai peruntukan sejumlah RM3 juta kepada sekolah persendirian Cina dan tentunya pengiktirafan terhadap UEC telah diberi liputan meluas.

Chin berkata liputan hebat yang diberikan akhbar Cina kepada Adenan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Katanya pendekatan dan dasar ketua menteri itu telah menarik perhatian masyarakat Cina.

"Adenan mengamalkan prinsip kata dikota. Beliau ikhlas dalam melakukan perubahan penting di negeri ini," kata Chin.

Ketua Pemberita edisi Sin Chew Daily Sarawak Leslie Chin Yik Soon berkata akhbar telah memberikan Tok Nan, nama gelarannya, liputan yang baik dan adil beserta banyak gambar dan ulasan.

Berita mengenai peruntukan kepada sekolah persendirian Cina dan pengiktirafan terhadap UEC adalah antara berita yang paling disambut baik masyarakat Cina, katanya.

Ditanya mengenai peralihan sokongan masyarakat Cina terhadap Barisan Nasional, Chin berkata: "Sudah tentu ada perubahan. Tetapi besar mana perubahan itu adalah terlalu awal untuk dipastikan."

"Orang ramai menyambut baik dan menghargai dasar Adenan. Sama ada ia akan diterjemahkan menjadi undi, kita tunggu dan lihat."

Seorang wartawan dengan sebuah lagi akhbar harian Cina berkata Adenan sering menjadi bahan baik berita untuk media kerana dasar-dasarnya.

"Kata-kata dan tindakannya lantang dan tegas. Sentimen terhadapnya amat baik. Dasar-dasar yang diperkenal dan diumumkan Adenan disambut baik oleh penduduk Sarawak. Populariti beliau kini sedang memuncak," kata seorang wartawan yang enggan dinamakan.

"Berita mengenai beliau sering menambat perhatian dan oleh itu beritanya sentiasa mendapat liputan meluas. Secara keseluruhannya liputan media bagi ketua menteri dalam media cetak dan dalam talian adalah luar biasa. Berita berkaitan beliau sering menjadi berita baik dalam media."

Selepas seminggu berkempen, wartawan masih enggan meramalkan sama ada kaum Cina akan kembali menyokong BN.

"Pengundi Cina amat sukar untuk diramal, pembangkang masih kuat di kawasan bandar," katanya, tetapi berdasarkan populariti Adenan, akan ada undi untuk BN walaupun ia bakal berdepan tentangan sengit pembangkang.