Saturday, September 17, 2016

MCA, Gerakan Risau Dengan Cadangan Pengagihan Kerusi Baharu


Persoalan mengenai bantahan cadangan tambahan kerusi bagi kawasan persempadanan Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk di Selangor  yang dijalankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikhususkan kepada kebimbangan penguasaan kaum berbanding memastikan percampuran antara kaum yang seimbang.

Keadaan di Semenanjung Malaysia kini menunjukkan satu keadaan di mana orang Melayu menguasai parti pemerintah dan golongan minoriti termasuk kaum Cina telah hampir kesemuanya berpihak kepada pembangkang.

Ada menteri mengatakan bantahan mengenai perkara ini sebagai tindakan tidak wajar kerana peruntukan sedemikian dijamin oleh perlembagaan dan ia memang amalan dalam sistem demokrasi negara.

Malah menteri berkenaan berkata pihak pembangkang perlu memahami peruntukan dalam perlembagaan berkaitan penambahan kerusi DUN serta percaya terhadap sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Persoalannya, jelas kini bukan pembangkang sahaja menimbulkan isu ini tetapi parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri, iaitu MCA dan Gerakan tueur risau mengenainya.

Gerakan menyelar cadangan proses persempadanan semula yang dijalankan SPR kerana mengutamakan penguasaan kaum berbanding memastikan percampuran antara kaum yang seimbang.


Naib Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong (gambar atas) menjelaskan perubahan cadangan kepada kawasan pilihan raya yang sedia ada 'mungkin akan memudaratkan Gerakan' dan pihaknya mungkin mengambil tindakan.

"Cadangan ini juga akan menjurus pilihan raya yang memusnahkan saki-baki keharmonian antara etnik yang wujud di Malaysia.

"Persempadanan semula ini sepatutnya melihat komposisi etnik Melayu, India dan Cina mewakili semua rakyat Malaysia dan bukannya dominasi satu kaum. Ia bukan resipi untuk keharmonian antara etnik," kata Yong.

Berikutan itu,  Gerakan kini sedang mengkaji implikasi persempadanan semula secara serius dan kemungkinan untuk memfailkan bantahan, jika ada, dalam masa terdekat.

Sementara itu semalam, MCA Selangor turut mempersoalkan kajian persempadanan semula SPR itu yang dijangka menimbulkan pelbagai masalah kepada parti itu.

Oriental Daily memetik seorang pemimpin MCA yang tidak mahu dinamakan berkata, tindakan itu akan menjejaskan kekuatan di sesetengah bahagian kerana perlu menerima kemasukan bahagian lain.

Beliau berkata, masih tidak pasti jika pemimpin bahagian sedia ada akan menerima penyertaan pemimpin dari bahagian lain ke pasukan mereka.

“Ekoran perubahan terhadap kerusi dewan undangan negeri, pemimpin bahagian lain tentu mahu mendapat kuasa di bahagian baharu, termasuk mendapatkan lebih ramai perwakilan pusat. Macam mana hendak putuskan, ia adalah masalah besar seterusnya,” katanya.

Akhbar berbahasa Cina itu mengambil contoh MCA Bahagian Petaling Jaya Selatan yang terdiri daripada kerusi DUN Taman Medan dan Bukit Gasing serta mempuntyai 50 cawangan.

Kini, ia dimasukkan ke DUN Seri Setia dan bakal menjadi bahagian yang sangat besar kerana jumlah cawangan dijangka bertambah kepada 70 dan masalah akan timbul untuk ‘menenangkan’ ahli lama dan baharu.

Selain itu, Bukit Lanjan, Kota Damansara dan Paya Jaras pada asalnya adalah tiga kerusi DUN berasingan.

Tetapi, Bukit Lanjan kini dimasukkan ke Bahagian Damansara (asalnya di bawah Bahagian Petaling Jaya Utara) dan menyebabkan MCA Bahagian Subang mungkin kehilangan 25% ahli cawangan.

Pengerusi MCA Bahagian Subang, Raymond Low mengakui, beliau tidak memahami tindakan SPR itu, kerana Paya Jaras terletak berhampiran kerusi parlimen Selayang, tetapi ia tidak terjejas, sebaliknya Bukit Lanjan yang dimasukkan ke Damansara.

“Tiba-tiba memindahkan sebahagian cawangan sememangnya sukar diterima, kerana sebelum ini banyak usaha dilakukan untuk menyatukan ahli, kini ia perlu dimulakan sekali lagi, jadi kami sedang kumpul maklumat untuk memahami perubahan kerusi secara teliti,” katanya yang dipetik Oriental Daily.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin baru-baru ini berkata PKR tidak bantah persempadanan semula, tetapi membantah pengendalian “sembarangan” langkah itu.

Kononnya, menurut beliau, penambahan kerusi tersebut membuka peluang kepada warga asing menjadi pengundi hantu pada PRU14 akan datang.

“Tidak ada formula yang wajar diberikan, seolah-olah Suruhanjaya Pilihan Raya menjalankan persempadangan semula itu sesuka hati. Jadi apa formula? Berdasarkan jumlah pengundi atau keluasan kawasan?

“Mengikut apa yang diumumkan, banyak kawasan dicipta dan ia mengubah demografi pengundi,” katanya.

Menurutnya, pengundi Cina ditempatkan dalam satu kawasan yang BN yakin mereka tidak akan peroleh undi Cina manakala pengundi Melayu yang masih menyokong UMNO ditempatkan dalam kawasan lain.

Kerusi campuran nampaknya makin berkurangan sekarang ini, katanya.


Khamis lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyenaraikan cadangan pengagihan kerusi-kerusi baharu itu yang boleh disemak sehingga 14 Oktober ini di pejabat pos dan pejabat daerah.

No comments:

Post a Comment