Wednesday, May 4, 2016

Kepimpinan Adenan Raih Kemenangan Besar, Terus Bawa Pembaharuan Ke Sarawak


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kepimpinan Tan Sri Adenan Satem diperlukan dalam usaha membawa lebih banyak pembangunan dan pembaharuan ke Sarawak.

Beliau berkata sememangnya Barisan Nasional (BN) mampu untuk terus membawa perubahan kepada Sarawak, dan Adenan akan meneruskan kesinambungan usaha BN selama ini.


"Dia baru dua tahun (menjadi ketua menteri) tetapi sudah banyak usaha pembangunan dibawa. Banyak lagi yang boleh dibuat. Oleh itu, kita perlukan beliau untuk lima tahun lagi," katanya pada majlis Pemimpin Bersama Rela di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, semalam.

Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 akan berlangsung Sabtu ini.

Najib seterusnya berkata rakyat Sarawak harus menzahirkan sokongan padu mereka kepada Adenan dengan memastikan BN menang bergaya pada pilihan raya negeri itu.

"Sarawak ini kaya, kaya dengan hasil bumi, hasil laut. Ini semua kekayaan kita. Sarawak ini potensinya besar. Saya sebagai Apai Malaysia mahu Sarawak membangun dalam Malaysia," kata perdana menteri.

"Bagaimana susahpun untuk mencari wang, saya akan cari untuk Sarawak. Tiga puluh tahun dulu, kita hanya bermimpi (untuk ada lebuh raya) tetapi kini saya adakan Lebuhraya Pan Borneo. Saya jadikan mimpi satu realiti," katanya.


Sementara itu, Bernama melaporkan,  Barisan Nasional (BN) dijangka tidak berdepan masalah meraih lebih dua pertiga majoriti pada pilihan raya negeri ke-11, 7 Mei ini. 
   
Namun, tumpuan kini adalah berapa besar kemenangan yang mampu diraih Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, dan sejauh mana beliau telah menggoyahkan kawasan majoriti pengundi Cina yang dikuasai pembangkang.

Adenan menjangkakan pasukannya mampu menguasai sekurang-kurangnya 70 daripada 82 kerusi. BN sudah memenangi dua kerusi - Bukit Sari dan Bukit Kota, yang dimenangi tanpa bertanding pada hari penamaan calon.

Parti pemerintah itu memenangi kesemua pilihan raya negeri sebelum ini, dengan majoriti dua pertiga kecuali pada 1987. Pada 2011, BN memenangi 55 daripada 71 kerusi, DAP 12, PKR tiga dan Bebas satu kerusi.

"Jangkaan BN sebanyak 70 kerusi adalah realistik. Penanda aras sebenar ialah berapa banyak kerusi pengundi Cina, parti itu boleh rampas kembali. Tidak boleh disangkal, BN akan memperoleh dua pertiga kerusi," kata penganalisis politik, Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak.   

Cita-cita pembangkang menghalang BN daripada menguasai 55 kawasan untuk meraih majoriti dua pertiga semakin pudar, dengan DAP dan PKR membawa haluan masing-masing selepas berbalah berhubung agihan kerusi. Rakan mereka Amanah dianggap tidak akan menjejaskan peluang BN.

Seperti sebelum ini, PBB akan memperkukuhkan BN negeri. Parti berkenaan akan bertanding di 40 kawasan, lima kerusi lebih berbanding pada 2011, dan dijangka tidak berdepan masalah menyapu bersih kesemua kerusi berkenaan.    

PRS juga yakin ia mampu memenangi kesemua 11 kerusi diperuntukkan kepada parti itu, dan kini terpulang kepada SUPP, SPDP dan 13 calon langsung BN untuk mengekang lawan masing-masing.

SUPP akan bertanding di 13 kawasan, dan selepas beberapa hari kempen,  pemerhati politik percaya parti itu mampu merampas kembali beberapa daripada 12 kerusi majoriti pengundi Cina, yang mereka tewas pada 2011.

SPDP pula bertanding lima kerusi termasuk Ba'Kelalan, pertembungan dianggap menarik dengan calon BN Willie Liau berdepan bapa saudaranya, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, yang menewaskan beliau dengan majoriti 473 undi pada pilihan raya negeri lepas.    

DAP pula berhasrat memenangi sekurang-kurangnya 18 daripada 31 kawasan yang ditandingi mereka, dan menurut Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, mereka mempunyai 'peluang yang baik' untuk menguasai 12 lagi kerusi, kebanyakannya kawasan majoriti Bumiputera serta kawasan pengundi Cina dikuasai BN di Bawang Assan.     

Dalam pada itu, Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang membangkitkan mengenai risiko DAP akan tewas di tujuh daripada 12 kerusi majoriti pengundi Cina, yang dimenangi mereka pada 2011.

"Ia semua permainan strategi. Saya berpendapat sasaran DAP sebanyak 18 kerusi terlalu bercita-cita tinggi, mereka bercakap mengenai kawasan-kawasan majoriti pengundi kaum Dayak - itu saya tidak faham," kata Jeniri.

Dalam tempoh seminggu lepas, Adenan menjelajah di seluruh negeri bagi mendapatkan undi kepada BN di lebih 60 kawasan Bumiputera. Beliau juga meminta pengundi Cina menyokong SUPP agar masyarakat itu mempunyai wakil dalam Kabinet Sarawak.  

Kemungkinan besar BN merampas kembali tiga hingga lima kerusi majoriti pengundi Cina, kini dibincangkan secara terbuka.  
  
"Sekarang, banyak lagi kita dengar BN akan memenangi semula kerusi-kerusi majoriti pengundi Cina. Tiada sesiapa bercakap tentang perkara itu sebelum ini," kata pemerhati politik Dr Lee Kuok Tiong. 
   
Antara kerusi majoriti pengundi Cina yang menjadi tumpuan ialah Batu Kawah dan Batu Kitang di Kuching; Pujut di Miri, Repok dan Meradong di Sarikei, serta Bawang Assek dan Dudong di Sibu.

Pertembungan di Batu Kawah membabitkan Presiden SUPP Senator Datuk Dr Sim Kui Hian, yang berdepan pertandingan tiga penjuru menentang penyandang Christina Chiew dari DAP dan calon Bebas Liu Thian Leong, bekas anggota UPP.

Dengan dua hari sebelum hari pengundian, calon-calon akan berusaha sedaya upaya untuk meraih sokongan pengundi atas pagar dalam pilihan raya negeri yang terbesar itu, dan mengingatkan penyokong mereka untuk keluar mengundi.

"Kebanyakan pengundi Bumiputera sudahpun membuat pilihan mereka, tetapi ia berbeza dengan pengundi Cina. Setakat ini, saya berpendapat jumlah pengundi yang belum membuat keputusan adalah 15 peratus," katanya.


Suruhanjaya Pilihan Raya menjangkakan peratusan keluar mengundi lebih tinggi kali ini sebanyak 75 peratus, berbanding 70 peratus pada 2011. 

No comments:

Post a Comment