Wednesday, May 11, 2016

Kejujuran Dalam Tadbir Urus, Kayu Pengukur Rakyat Terhadap Adenan Satem


(Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia)

Mandat besar yang diperoleh Tan Sri Adenan Satem dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 baru-baru ini membolehkan beliau membentuk sebuah kerajaan berbilang etnik yang mencerminkan kepelbagaian budaya dan agama di Sarawak.

Dr Chandra Muzaffar
Selama menjadi ketua menteri sejak dua tahun lalu, kebanyakan dasar dan pengumuman beliau telah menjelmakan bukti pendekatan inklusifnya kepada masyarakat. Antaranya adalah kesinambungan kepada usaha-usaha yang dilakukan sebelum itu terutamanya oleh Tun Abdul Taib Mahmud, dalam usaha mengekalkan keharmonian antara etnik di negeri itu.

Memberikan penekanan khusus untuk saling "menghormati", dan "kesetaraan" di kalangan seluruh rakyat Sarawak, Adenan membantu mewujudkan suasana yang kondusif untuk kesepaduan dan perpaduan di kalangan rakyat negeri itu.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, beliau perlu menterjemahkan kesemua itu ke dalam program-program tindakannya.

Satu daripada cabaran utama yang dihadapi beliau adalah untuk menangani keadaan sosio-ekonomi sebilangan besar penduduk Bumiputera bukan Islam, yang merupakan segmen penting yang masih hidup dalam keadaan serba kekurangan dan kurang bernasib baik.

Mempertingkat taraf hidup mereka adalah langkah penting bagi mengukuhkan perpaduan antara etnik. Ia memerlukan langkah-langkah konkrit yang melampaui peluang-peluang pendidikan dan pemerolehan kemahiran, dan menyasarkan golongan berpendapatan rendah serta yang kurang memiliki aset.


Adenan, juga diharap akan berusaha menjadikan Kuching lebih bermakna sejajar kedudukannya sebagai "Bandaraya Perpaduan" atau City of Unity. Pastinya akan lebih hebat sekiranya lebih banyak taman awam, serta kemudahan sukan dan rekreasi dapat dibina sebagai usaha meningkatkan interaksi di kalangan penduduk pelbagai etnik di bandar raya itu.

Sementara itu, Yayasan 1Malaysia (Y1M) yang memperkenalkan penganugerahan gelaran Bandaraya Perpaduan ke atas Kuching sedang dalam proses mendapatkan pengiktirafan global bagi status Kuching sebagai Bandaraya Perpaduan yang ulung di dunia!

Terdapat cabaran-cabaran lain yang bakal dihadapi Adenan yang secara tidak langsung berkaitan perpaduan. Usaha beliau untuk mendapatkan autonomi lebih besar bagi Sarawak dalam konteks persekutuan Malaysia, yang mendapat sokongan amat menggalakkan daripada rakyat Sarawak, sudah pasti akan mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri itu.

Kerajaan persekutuan telah berjanji untuk memberi maklum balas positif terhadap permintaan Sarawak itu.

Penurunan dan pengagihan kuasa tidak akan menjejaskan perpaduan bagi persekutuan. Sebaliknya, terdapat beberapa contoh yang menunjukkan bahawa penurunan dan pengagihan yang dilaksanakan dengan teliti dalam rangka kerja perlembagaan dan demokrasi akhirnya akan mengeratkan hubungan antara kerajaan Pusat dan Negeri.

Kanada adalah contoh seumpamanya. Ia berlaku apabila keinginan untuk mengawal dan menguasai dizahirkan melalui pemusatan politik serta birokrasi dan dijadikan keutamaan mengatasi perkara-perkara lain apabila persekutuan tidak dapat berfungsi seperti sepatutnya.

Jika hak-hak autonomi dan negeri amat penting dalam PRN Sarawak ke-11, begitu juga satu lagi faktor asas yang mungkin menjelaskan pencapaian keseluruhan keputusan pilihan raya itu.

Adenan menunjukkan betapa penting untuk mewujudkan aspek kepercayaan dalam kepimpinan sesebuah masyarakat - terutamanya dalam sebuah masyarakat majmuk. Ini kerana Adenan mendapat kepercayaan daripada segenap lapisan masyarakat pelbagai budaya dan agama di Sarawak, justeru meletakkan beliau sebagai satu titik penyatuan bagi seluruh rakyat negeri itu. Beliau, dalam erti kata lain, menjadi pelekat yang menyatukan pelbagai komuniti menjadi satu. Dan apa yang menjadikannya kuasa unik sebagai pelekat, adalah kepercayaan.

Mengekalkan dan mungkin juga meningkatkan tahap kepercayaan rakyat terhadapnya akan menjadi cabaran terbesar bagi Adenan pada tahun-tahun akan datang. Dalam mendapatkan dan mengekalkan kepercayaan rakyat, Ketua Menteri dan pasukannya tidak patut sekali-kali berkompromi akan integriti mereka.

Hakikatnya, integriti dan kejujuran dalam tadbir urus akan digunakan oleh rakyat sebagai kayu pengukur dalam memutuskan sama ada mereka boleh terus mempercayai seseorang pemimpin itu atau sebaliknya. Sekiranya integriti hilang, kepercayaan rakyat juga akan lenyap.

Dalam usaha meningkatkan integriti, pelbagai langkah - kesemuanya telah dicadangkan oleh beberapa orang daripada kami sebelum ini - perlu dilaksanakan. Selain memastikan bahawa melalui undang-undang para pemimpin negeri serta waris mengisytiharkan aset dan liabiliti masing-masing dalam satu pendaftaran yang boleh diakses oleh orang ramai,


Adenan juga perlu melarang saudara-mara terdekat bagi Menteri-menteri dan Menteri Muda di negeri itu daripada membuat bidaan bagi mana-mana projek negeri atau kontrak yang memerlukan kelulusan kabinet negeri. Peraturan ini juga patut digunapakai terhadap pegawai tinggi dalam perkhidmatan awam negeri.

Peranan proksi, ejen dan orang tengah dalam amalan perolehan juga perlu dibendung jika tidak dihapuskan sama sekali. Tidak kurang pentingnya adalah penguatkuasaan yang lebih berkesan dalam apa jua undang-undang, peraturan dan prosedur yang dirumuskan.

Bagi memastikan kejayaan integriti dalam masyarakat, perlulah ada pengawasan berterusan. Atas sebab itu, kritikan terhadap pihak berkuasa perlu digalakkan. Ia adalah satu-satunya cara untuk mengetahui kesalahan mereka.

Sehubungan itu, langkah menghalang ahli-ahli politik dan aktivis-aktivis tertentu daripada memasuki Sarawak, terutamanya ketika tempoh kempen pilihan raya, memberikan gambaran bahawa kepimpinan negeri Sarawak tidak suka dinilai atau diteliti.

Malah kini, lebih daripada sebelumnya penelitian menjadi amat penting. Barisan Nasional mendapat sokongan majoriti besar dalam Dewan Undangan Negeri. Ia mempunyai kuasa yang sangat besar.

Dalam hal ini, Adenan mungkin perlu menilai kembali kata-kata bijaksana pemimpin berintegriti Malaysia yang berusaha mengekang rasuah. Selepas kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya 1978, Perdana Menteri pada ketika itu, Allahyarham Tun Hussein Onn, berkata: "Biarlah kemenangan ini masuk ke hati, bukan ke kepala kita."

Tajuk asal - Mandat Adenan, Perpaduan Dan Integriti

No comments:

Post a Comment