Wednesday, May 11, 2016

Kejayaan Di Sarawak, Suntik Keyakinan Baharu Kepada BN


Majlis Senator Malaysia (MSM) menyifatkan kejayaan cemerlang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 sebagai bukti kesetiaan dan sokongan rakyat terhadap parti itu.

Presidennya Senator Datuk Seri Khairudin Samad berkata kemenangan besar BN dalam pilihan raya tersebut juga menunjukkan rakyat masih setia menyokong kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dalam meneruskan legasi kecemerlangan BN dalam membangunkan negeri Sarawak.

"Kemenangan BN di Sarawak juga menunjukkan harapan rakyat kepada kerajaan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk melaksanakan dan meneruskan pembangunan ekonomi serta kemakmuran rakyat jelata," katanya dalam kenyataan Isnin (9 Mei).

BN Sarawak memenangi 72 daripada 82 kerusi dalam PRN itu.

MSM mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sarawak atas mandat yang diberikan serta keyakinan dan penerimaan yang baik terhadap kepimpinan BN, katanya.

Sementara itu, pemimpin MIC menyifatkan kemenangan BN dalam PRN Sarawak ke-11 memberi keyakinan dan sinar baharu bukan hanya kepada rakyat Sarawak malah, kepada BN secara keseluruhananya.

Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata kepimpinan Pengerusi BN Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang tersendiri dalam menerajui negeri itu juga telah membuahkan hasil.

"Tahniah dan syabas kepada Adenan atas kemenangan cemerlang dalam pilihan raya negeri semalam," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai di kediaman mendiang di Subang Jaya Ahad lalu.

Mendiang antara yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, Khamis lepas.

BN Sarawak menang besar, termasuk merampas tujuh kerusi majoriti Cina, antaranya kerusi paling panas iaitu Batu Kawah yang dimenangi Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata sokongan jitu dan padu Perdana Menteri  dan Timbalan Perdana Menteri uga antara faktor BN terus menerajui negeri itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S K Devamany berkata kemenangan BN membuktikan parti besar itu masih relevan dan dalam persiapan menuju pilihan raya umum ke-14.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus bersama Perdana Menteri supaya beliau dapat memimpin negara walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk sektor ekonomi.

"Kepimpinan Adenan dan Najib merupakan antara faktor utama kemenangan BN di Sarawak," katanya.

Devamany berkata sokongan pengundi Cina yang kembali kepada BN juga satu kejayaan yang besar bagi kerajaan dan membuktikan kerajaan BN sentiasa prihatin terhadap semua kaum.

Turut senada, Ketua Penerangan MIC Datuk V S Mogan yang berkata kepimpinan Adenan dalam menerajui negeri Sarawak merupakan faktor utama di sebalik kejayaan BN.

"Sikap Adenan Satem yang mempertahankan kepelbagaian kaum dalam negerinya yang bercorakkan 1Malaysia serta polisi kerajaan yang memimpin rakyat ke arah kecemerlangan adalah antara sebab kejayaan BN," katanya.

Beliau berkata perkara seperti ini yang seharusnya menjadi iktibar dan amalan oleh pemimpin parti politik di semenanjung.

No comments:

Post a Comment