Wednesday, May 4, 2016

Adenan Satem Adalah Wadah, Undi Pembangkang Rugikan Rakyat Sarawak


Mengundi pembangkang hanya akan merugikan penduduk Sarawak kerana mereka tidak dapat membentuk kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menegaskan, pembangkang tahu hakikat ini dan kerana itu mereka berani membuat seribu satu janji kosong pada pilihan raya negeri Sarawak, Sabtu ini.

"Wakil rakyat pembangkang hanya merugikan penduduk kerana walaupun tidak dapat membentuk kerajaan, wakil rakyat mereka tetap menerima imbuhan bulanan daripada kerajaan tanpa perlu berbuat apa-apa," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Masyarakat Batu Kitang di Kuching kelmarin.

Salleh berkata penduduk Sarawak perlu bijak menilai perbalahan dalaman parti-parti pembangkang pada pilihan raya negeri kali ini dan bandingkan rekod permuafakatan parti-parti komponen BN.

Hadir sama calon BN Batu Kitang, Lo Khere Chiang dari SUPP.

Kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang mempunyai 17,494 pemilih berdaftar dengan 60 peratus adalah pengundi Cina.

Ia akan menyaksikan pertandingan lima penjuru iaitu Lo, Abdul Aziz Isa Marindo (DAP), Voon Shiak Ni (PKR), dan dua calon Bebas, Datuk Seri Othman Bojeng dan Sulaiman Kadir.

Salleh menegaskan, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem merupakan wadah bagi penduduk Sarawak dan telah berjaya membawa pembaharuan penting kepada negeri ini walaupun hanya baru dua tahun memimpin kerajaan negeri.

Mnurutnya, sejak mengambil alih sebagai ketua menteri pada 28 Feb 2014, pihak pembangkang sendiri terpaksa mengakui bahawa Adenan telah melaksanakan tugasnya dengan baik.

"Anda boleh lihat daripada kempen pilihan raya Sarawak bahawa tidak banyak yang pembangkang boleh kritik mengenai Adenan," katanya dalam catatan blog sskeruak.blogspot.my, semalam.

Salleh berkata adalah jelas bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan sokongan penuh terhadap Adenan dan memperakui semua usaha ketua menteri.

"Adenan ialah wadah bagi penduduk Sarawak dan yang paling penting perdana menteri turut mendengar.

"Ini memberikan pengundi Sarawak keyakinan bahawa Najib dan Adenan adalah sebuah pasukan yang baik, seorang di persekutuan dan seorang lagi di negeri, dan bahawa Barisan Nasional akan mampu memberikan apa yang Sarawak mahukan," katanya.

Sambil menarik perhatian kepada kelebihan Adenan, Salleh berkata ketua menteri itu telah memperkenalkan banyak dasar baharu, yang dianggap amat penting bagi Sarawak atau penduduk Sarawak, dan yang paling utama dasar 'Anak Sarawak'.

"Dasar ini menegaskan kesaksamaan bagi semua penduduk Sarawak tanpa mengira kaum etnik dan agama. Tiada lagi terdapat perkataan 'lain-lain' sementara Cina yang lahir di Sarawak tidak dikategorikan sebagai pendatang.

"Isu ini sahaja telah menjadi perbalahan ramai rakyat Malaysia sejak lama dulu dan Adenan telah dapat menyelesaikan perkara itu," katanya.

Satu lagi isu perbalahan yang Adenan mahu ia diselesaikan ialah pengiktirafan terhadap sekolah Cina dan Sijil Peperiksaan Bersepadu bagi pinjaman pendidikan Yayasan Sarawak serta kemasukan ke dalam perkhidmatan awam.

Salleh menambah kata sekolah-sekolah persendirian Cina menerima RM3 juta bantuan kerajaan dalam 2014, RM4 juta tahun lepas dan telah dinaikkan kepada RM5 juta tahun ini.

Sarawak mengurangkan kadar elektrik dan kadar tambang perkhidmatan feri serta menghapuskan bayaran tol jambatan Lanang dan Baram sementara tiada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikenakan terhadap perkhidmatan majlis perbandaran, katanya.

"Sarawak tidak lagi mengeluarkan lesen balak dan perladangan sementara lesen pembalakan sementara telah dibatalkan atau tidak lagi diperbaharui.

"Lebih 30 kilang papan yang mengendalikan pembalakan haram telah ditutup dan 10 peratus tanah hutan akan dijadikan taman-taman negara," katanya sambil menarik perhatian bagaimana seriusnya Adenan mengenai pemuliharaan hutan.

Mengenai hak tanah adat yang dianggapnya isu amat sensitif, Salleh berkata Sarawak sedang menambahkan tanah komunal sementara dalam masa yang sama mengiktiraf tanah Hak Adat Bumiputera.

Beliau berkata untuk mencapai kejayaan terhadap usaha ini, Sarawak mengadakan tinjauan perimeter dan kaji selidik individu untuk membolehkan tanah itu didaftarkan.

Negeri ini juga membuka peluang bagi kaum Bumiputera untuk membangunkan tanah mereka atas dasar komersial sementara pindaan terhadap Kanun Tanah Sarawak membolehkan Bumiputera Sarawak memperoleh tanah NCR di luar kelompok masyarakat mereka.

"Ini merupakan beberapa perkara daripada banyak perubahan di Sarawak sejak dua tahun lepas apabila Adenan mengambil alih jawatan sebagai ketua menteri.

"Penduduk Sarawak secara umumnya amat gembira dengan pembaharuan ini dan kebanyakan mereka berpendapat bahawa Barisan Nasional patut diberikan lima tahun lagi untuk menyaksikan apa lagi yang Adenan boleh lakukan untuk Sarawak dan bagi penduduk Sarawak."

Salleh berkata kebanyakan penduduk Semenanjung tidak berapa kenal siapa Adenan kerana beliau selama ini memang menjalani kehidupan yang sederhana dan tidak terlalu menonjol diri sepanjang karier politiknya.

"Hanya dua tahun memegang tampuk kepimpinan negeri, ramai orang, malah dari Semenanjung juga kini memahami kenapa Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Tun Razak melantik beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak," katanya.

Hari ini, ramai yang berkata Najib tidak mungkin membuat pilihan yang lebih baik daripada itu, katanya.


No comments:

Post a Comment