Monday, October 26, 2015

NAJIB 'ROTI CANAI ADA TELUR' KERANA BERANI LAKSANA GST


Cakaplah apa pun!

Yang pasti kerajaan bertindak berani menggunakan kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) seperti diumumkannya sewaktu membentangkan Bajet 2016 untuk menyelamatkan ekonomi negara walaupun langkah itu tidak popular di kalangan orang ramai.

Putrajaya mengambil langkah berani itu kerana pendapatan hasil petroleum negara menyusut akibat penurunan harga minyak di pasaran yang merupakan satu situasi di luar jangkaan.

Antara sindiran kasar yang sering dilemparkan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah beliau digambarkan sebagai seorang "penakut" dan "roti canainya tanpa telur".

Namun Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing) bagaimanapun tidak bersetuju dengan tuduhan liar itu.


Sebaliknya, beliau menyifatkan Najib sebagai "roti canai dengan telur" kerana keberaniannya melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menyelamatkan negara dari ketidaktentuan ekonomi dunia.

"Semasa mantan Permatang Pauh (Datuk Seri Anwar Ibrahim) jadi menteri kewangan dan Kubang Pasu (Tun Dr Mahathir Mohamad) jadi perdana menteri, sudah uar-uarkan GST tetapi tak ada semangat politik (nak laksana).

"Adakah Yang Berhormat bersetuju bahawa Pekan (Najib) ini adalah 'roti canai ada telur'. Dia berani. Adakah Bagan Serai setuju? Ini bukan nasib, ini kebijaksanaan dan kepandaian yang terancang," kata Abdul Latiff di Parlimen semalam.

Kenyatan Abdul Latiff itu kemudian disambut oleh Dr Noor Azmi Ghazali (BN- Bagan Serai) yang berkata beliau amat bersetuju.

"Saya amat bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Mersing. Betullah, roti canai ada telur. Ada roti canai tak bertelur.

"Pekan mempunyai keberanian dan kebijaksanaan untuk membuat keputusan yang baik dan adil yang selaras dengan denyut nadi rakyat," kata Noor Azmi.


Kini GST dianggap sebagai penyelamat kepada kedudukan fiskal negara di tengah-tengah kelembapan ekonomi dunia, kata penyokong kerajaan.

Sementara itu, Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) berkata keputusan kerajaan melaksanakan GST adalah amat tepat kerana ia membantu mengurangkan defisit fiskal negara.

"Tanpa GST, defisit fiskal kita akan melebar kepada 4.8 peratus tahun ini tetapi kerana GST, bukan sahaja kita dapat mencatat angka 3.2 peratus tahun ini malah diunjurkan berkurang kepada 3.1 peratus tahun hadapan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Kata Ahmad peningkatan hutang negara juga adalah selari dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan peningkatan berkenaan disebabkan perbelanjaan pembangunan yang lebih tinggi dan bukan disebabkan peningkatan perbelanjaan mengurus.

"Kita boleh belanja lebih untuk pembangunan kerana pembangunan menjana pendapatan, “ katanya.

Tambah beliau peningkatan perbelanjaan pembangunan berkenaan adalah bagi merangsang aktiviti ekonomi dan melonjakkan semula perolehan kerajaan di saat sektor swasta mengambil langkah berhati-hati dalam perbelanjaan kerana kesuraman ekonomi dunia ketika ini.

Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan berkata, kini GST terbukti menjadi penyelamat ekonomi Malaysia walaupun didakwa menyusahkan rakyat.

Katanya hasil kutipan GST dapat menampung kekurangan hasil kerajaan khususnya akibat kejatuhan harga minyak mentah dunia.

"Senario ini (kejatuhan harga minyak) di luar kawalan kita tetapi syukurlah kita dapat menampung kekurangan hasil kerajaan kerana kita berani memperkenalkan GST.

Ketika membentangkan Bajet 2016 Jumaat lalu, Najib memberi amaran harga minyak dijangka kekal rendah tahun depan, dan hasil daripada sumber berkaitan minyak dianggarkan berjumlah RM31.7 bilion atau penyusutan pendapatan kerajaan lebih RM30 bilion.

Sesungguhnya keputusan kerajaan melaksanakan GST adalah tepat, lebih-lebih lagi berikutan kejatuhan harga minyak lebih 50 peratus daripada paras AS$100 sebelum ini.

Najib berkata, Petroleum Nasional Bhd (Petronas) menyumbang sejumlah dividen kepada Perbendaharaan setiap tahun.

"Jumlah dividen ini bergantung kepada naik turunnya harga minyak dunia," kata Najib.
Beliau berkata dalam tempoh setahun, dengan harga minyak mencatatkan purata AS$100 setong, pendapatan daripada dividen Petronas serta hasil cukai petroliam kepada negara berjumlah RM62 bilion.

Akan tetapi, senarionya berbeza apabila harga minyak turun kepada paras sekitar AS$50 setong. Pendapatan daripada dividen Petronas serta hasil cukai petroliam kepada negara, berjumlah RM44 bilion pada 2015.

Semalam Najib berkata walaupun orang kata kerajaan tidak patut laksanakan GST atau menyusahkan rakyat tetapi hakikatnya GST adalah penyelamat kepada ekonomi negara.

Beliau menyatakannya ketika membuka pusat membeli belah Nu Sentral dan Menara 1 Sentrum milik Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) di Kuala Lumpur semalam.

"Dan kalau ekonomi merudum rakyat akan menanggung kesusahan yang amat perit kerana antaranya kadar pinjaman naik lebih tinggi lagi dan setiap kita yang meminjam duit untuk kereta, rumah dan kredit kad terpaksa membayar kos lebih tinggi," katanya.

Pembangkang semalam mendakwa Najib memboroskan wang negara dengan belanja jet peribadinya, Airbus ACJ320, yang dianggarkan sebanyak RM40.8 juta bagi tempoh 6 bulan sejak dibeli pada April lalu.

Setiausaha agung PKR Rafizi Ramli berkata, anggaran kos itu meliputi kos sewa jet, kos penyenggaraan, operasi dan pengurusan serta kos perjalanan ke luar negara perdana menteri.

Najib dalam pembentangan Bajet 2016 pada 23 Oktober lalu mengumumkan kerajaan setakat ini mengutip RM27 bilion daripada GST.

Bagi 2016, kerajaan mengunjurkan kutipan GST sebanyak RM39 bilion.

"Jadi kita mesti faham keadaan sebenarnya dan kalau kita lihat sepintas lalu kita mungkin tak sedar keputusan kerajaan dilihat sebagai tak patut dan menyusahkan rakyat.

"Hari ini terbukti, GST satu langkah yang amat tepat dan wajar sekali.,” katanya.

Najib berkata walaupun tindakan yang diambil kerajaan tidak bersifat populis namun ia dibuat demi tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat dan negara.

Dalam ucapan sama petang semalam,  Najib turut mengulangi kenyataannya sebelum ini yang membidas bajet bayangan yang dihasilkan pembangkang yang menurutnya turut mengunjurkan pendapatan daripada GST yang ditentang mereka selama ini.

"Jadi nampaknya pembangkang ini ikut keadaan dan musim semasa. Apabila senang mereka akan kata ya, apabila susah, mereka akan kata tidak ('when it is convenient they say yes, when it is not, they will say no')," katanya.

Perdana Menteri berkata melalui Bajet 2016, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat termasuk anak-anak yang menyara ibu bapa diberi pelepasan cukai terkumpul sebanyak RM1,500, masing-masing untuk ibu dan bapa.


"Ini sekali gus dapat menggalakkan sifat penyayang kepada ibu bapa dan bukanlah meninggalkan mereka di rumah warga tua," kata Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment