Tuesday, October 27, 2015

'KITA BOLEH BERSETUJU UNTUK TIDAK BERSETUJU' DEMI KESEJAHTERAAN MALAYSIA


"Untuk melahirkan kewujudan bersama yang aman di negara seperti Malaysia merupakan satu cabaran, tetapi ia sesuatu yang perlu sentiasa kita usahakan dan terus lakukan dengan kebijaksanaan, kebaikan dan keadilan."
 - Datuk Seri Mohd Najib Razak

Datuk Seri Najib Razak menyifatkan hanya dengan pendekatan wasatiyyah (kesederhanaan) masyarakat dapat dibendung daripada terjebak ke lembah liberalisme dan ekstremisme yang merupakan ancaman utama kepada mana-mana agama.

Perdana Menteri berkata semalam,  wasatiyyah sangat penting kerana ia merupakan aspek yang seimbang dan terbaik bagi mana-mana masyarakat.

"Tanpa wasatiyyah, masyarakat akan mudah terjebak ke dalam ekstremisme yang mengakibatkan radikalisme seperti IS (Islamic States), atau ekstremisme yang akan mengancam agama seperti liberalisme dan ekstremisme," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Seminar Antarabangsa Agama dan Keharmonian Hidup Bersama di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) di Kuala Lumpur, petang semalam. 

Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.


Najib berkata, jika konsep itu dihayati dan menjadi asas dalam kehidupan masyarakat, agama mampu menjadi jambatan yang diperlukan dalam dunia hari ini.

"Ia membawa mesej berlaku baik, ketabahan dan keadilan, selain menolak semua bentuk kejahatan, saya yakin agama boleh membina jambatan yang kita perlukan dalam dunia hari ini," katanya.

Najib juga menekankan membina keamanan dan memelihara keharmonian adalah tanggungjawab penting tanpa mengabaikan kesepaduan dalam agama sendiri.

"Jadi, keamanan hidup bersama bukan bermaksud hanya tentang keselamatan. Ia tanggungjawab agama 'untuk saling mengenali satu sama lain' dan mencari titik yang mengikat kita sesama manusia sejagat, tanpa mengira kepercayaan," katanya.

Najib juga menggesa masyarakat mengetepikan jurang perbezaan bagi memastikan komitmen kepada toleransi dan keharmonian dapat dicapai.

Berkaitan ini, Najib berkata pemimpin dan pengikut agama perlu saling bekerjasama, mempercayai dan memahami serta hormat menghormati untuk mewujudkan keamanan di dunia.

Perdana Menteri berkata, semua pemimpin perlu komited mewujudkan suatu budaya toleransi dan keharmonian ke arah kesejahteraan masyarakat dengan mengetepikan perkara yang boleh memecahbelahkan.

 "Kita perlu bersedia untuk mendengar antara satu sama lain dengan fikiran dan hati terbuka demi keamanan sejagat," katanya.


Sehubungan itu Najib menggesa pemimpin-pemimpin agama dan para pengikut mereka supaya berusaha membina kepercayaan bersama, saling menghormati, persefahaman dan kerjasama bagi melahirkan kewujudan bersama yang aman.

Perdana Menteri berkata adalah amat penting mewujudkan keamanan dan keselamatan seperti yang dikehendaki oleh semua orang.

"Kita mesti membuat komitmen tegas untuk mewujudkan budaya toleransi dan menggalakkan keharmonian yang lebih baik demi kesejahteraan manusia, dan mengetepikan perkara yang boleh memecahbelahkan kita," kata beliau.

Perdana menteri memberitahu hadirin bahawa laluan ke arah melahirkan kewujudan bersama yang aman bukanlah seperti bersiar-siar di taman.

"Untuk melahirkan kewujudan bersama yang aman di negara seperti Malaysia merupakan satu cabaran, tetapi ia sesuatu yang perlu sentiasa kita usahakan dan terus lakukan dengan kebijaksanaan, kebaikan dan keadilan," kata Najib.

Beliau berkata satu daripada cara untuk melakukannya di Malaysia dan luar daripadanya ialah dengan menerima realiti bahawa terdapat perbezaan dalam pelbagai agama - dan menyedari "bahawa kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju".

Perdana menteri menegaskan daripada mereka menekankan perkara yang boleh membawa perbalahan antara agama, mereka sepatutnya memberi tumpuan kepada persamaan yang ada.

"Dan sebenarnya, banyak persamaan yang ada dalam nilai-nilai yang digalakkan oleh kebanyakan agama. Kita perlu menerimanya demi kepentingan semua daripada saling berbalah dan memperbesarkan perbezaan yang ada untuk memenuhi agenda politik atau strategik," jelas beliau.

Najib berpendapat nilai-nilai bersama itu boleh membawa kepada melahirkan masyarakat yang aman, harmoni dan bertoleransi yang dapat memanfaatkan semua pihak.

No comments:

Post a Comment