Saturday, December 10, 2016

Perpaduan Amat Berharga Untuk Negara, Tidak Boleh Dijual Beli – Agong


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah bahawa perpaduan adalah satu perkara yang amat berharga kepada negara dan tidak boleh dijual beli.

Dalam hal ini, baginda berharap dan berdoa agar semua pihak sedar akan kepentingan untuk memelihara kesatuan dan perpaduan sesama kita.

"Jika yang retak menjadi belah dan genting menjadi putus, segalanya yang terbina selama 60 tahun ini, akan hancur binasa dan tidak ada ertinya lagi," titah Tuanku Abdul Halim pada majlis Jamuan Negara sempena tamat tempoh pemerintahannya di Istana Negara di Kuala Lumpur, malam tadi.

Lebih 500 tetamu hadir ke majlis itu, antaranya termasuk menteri-menteri Kabinet, pegawai tinggi kerajaan dan perwakilan asing.

Dalam titahnya, Tuanku Abdul Halim turut berkongsi pengalamannya berada di dua era pemerintahan iaitu ketika Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak Hussein dan sekarang anaknya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tuanku Abdul Halim berkata dalam pengamatan baginda, terdapat beberapa kesamaan yang jelas antara kedua-dua mereka.

"Antaranya, Allahyarham Tun Razak adalah seorang yang lemah lembut, bersopan santun, berdisiplin, tidak banyak bicara, namun sangat gigih bekerja untuk membangunkan negara yang ketika itu masih bertatih dan menapak untuk menuju kemajuan.

"Apatah lagi pada masa itu, untung nasib orang-orang Melayu dan bumiputera masih berada dalam keadaan tidak teratur dan terumbang-ambing. Justeru menuntut kepada kepimpinan Allahyarham Tun Razak yang cekap dan berwibawa," titah baginda.

Seri Paduka bertitah berkat ikhtiar dan perencanaan yang begitu bersifat jangka panjang oleh Tun Razak, maka tertubuhlah pelbagai agensi serta institusi bumiputera seperti Mara, Felcra, UDA, RISDA, Pernas dan Bank Bumiputera serta yang paling berjaya hingga dikagumi oleh dunia luar adalah FELDA.


"Alhamdulillah, tampaknya penerajuan Felda kekal diteruskan oleh anakandanya, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim turut berkongsi mengenai krisis antara kaum di zaman Tun Razak yang dinyalakan apinya oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, sehingga membawa kepada kemuncaknya Tragedi Hitam 13 Mei 1969.

Namun, titah baginda, krisis itu telah berjaya ditangani dengan baik dan lancar sehinggalah negara keseluruhannya kembali berada dalam keadaan selamat dan aman.

Tuanku Abdul Halim bertitah, Dasar Ekonomi Baru yang digagaskan Tun Razak yang bertujuan meningkatkan sosio ekonomi Melayu Bumiputera dan mengimbangi jurang antara kaum dan telah menjangkau lebih 30 tahun secara keseluruhannya telah mencapai objektifnya.

Menurut baginda, kini dasar yang bermakna tersebut berkesinambungan wawasan demi wawasan, sehingga ke era pentadbiran Najib hari ini.
Di akhir titah, baginda melahirkan rasa terima kasih, tahniah dan syabas kepada kerajaan yang dipimpin Najib atas segala sokongan dokongan yang dirafakkan kepada baginda selaku Ketua Negara semasa penggal pemerintahan ini.

"Beta dan Raja Permaisuri berdoa kehadrat Allah agar kerajaan dan rakyat jelata akan kekal dilimpahi nikmat keamanan, makmur, dan sentosa dalam ikatan yang padu untuk selama-lamanya demi Malaysia tercinta," titah baginda.

Sementara itu, Najib pada majlis itu berkata sumbangan terbesar kewujudan institusi Yang di-Pertuan Agong ialah peranannya dalam memastikan kestabilan politik negara.

Beliau menegaskan bahawa kerukunan dan keharmonian itulah yang telah memungkinkan berlakunya transformasi Malaysia selama ini.

"Lantaran itu pada hemah kerajaan, institusi ini perlu dipertahan semua pihak sampai bila-bila kerana ia adalah milik semua tanpa kecuali," katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa institusi itu memayungi bukan sahaja orang-orang Melayu Islam dan bumiputera, malah merangkumi secara inklusif lindungannya ke atas hak dan kepentingan yang sah kaum serta agama lain.

Sekalipun ia merupakan ciptaan Perlembagaan Persekutuan yang dengan terperinci dilakarkan segala peranan dan tanggungjawabnya, Najib berkata institusi Yang di-Pertuan Agong tetap berakar umbi kepada nilai sejarah, tradisi dan budaya bangsa serta tamadun alam Melayu.

Beliau berkata keunikan sistem itu juga diperlihat melalui hakikat walaupun Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik perdana menteri dan membubarkan Parlimen, ia tetap tertakluk kepada prinsip kelaziman dan rundingan yang sangat halus dan berhati-hati.

"Ini membuktikan sekali gus betapa institusi itu dipermuliakan dengan sifatnya yang langkau siasah atau dalam kata lain letak duduknya itu ialah di atas mana-mana politik kepartian," jelas Najib.

Ia juga, kata perdana menteri, sangatlah terpelihara oleh Majlis Raja-Raja dan tidak bersifat warisan kerana Yang di-Pertuan Agong dipilih secara berhemah dan bergilir dalam kalangan sembilan raja Melayu.

Najib seterusnya berkata sepanjang di bawah naungan Tuanku Abdul Halim, Malaysia mencapai kejayaan demi kejayaan yang diperakui pelbagai agensi dan penarafan antarabangsa yang diiktiraf dan berwibawa.

"Kerajaan Tuanku ini tidak akan bersifat selesa, malah akan sentiasa meneruskan usaha demi usaha bagi mencipta hari muka yang lebih ampuh untuk Malaysia," kata Najib.

Beliau turut menyentuh gerakan Transformasi Nasional atau TN50 bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta berminda terulung.

Najib berkata apa yang dicita-citakan beliau ialah menjelang tahun 2050 Malaysia akan menjadi negara yang tergolong dalam kalangan kumpulan 20 negara terbaik di persada dunia.

"Inilah gerakan bagi melahirkan generasi masyarakat masa depan terbaik. Visi patik dan pimpinan kerajaan adalah untuk menggerakkan satu perubahan agar lahirnya kelak generasi masa hadapan Malaysia yang menyeru ke arah kebaikan dan menolak kemungkaran," kata perdana menteri.

Atas simbolik perpaduan ummah dan kemanusiaan pula, Najib berkata pada 4 Disember yang lalu beliau selaku ketua kerajaan dan Presiden UMNO telah berganding dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Perhimpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya.

Tuanku Abdul Halim tamat tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 pada 12 Disember ini.
Seri Paduka mencatat sejarah negara dengan ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua pada 2011 selepas ditabalkan buat pertama kali pada 1970.

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 bagi menggantikan Tuanku Abdul Halim.

Mesyuarat Ke-243 (Khas) Majlis Raja-Raja memilih Sultan Muhammad V sebagai Ketua Negara berkuat kuasa 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pula dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama. 

No comments:

Post a Comment