Wednesday, September 28, 2016

Nahas MH17 – Apa Langkah Seterusnya Jika Russia Enggan Bertanggungjawab?


Russia sedang dan akan terus menafikan pembabitan langsung dalam konflik di Ukraine.

Malah Kremlin juga akan terus menepis pendapat bahawa kumpulan pemisah tajaannya di Ukraine dipertanggungjawabkan  ke atas nahas pesawat Malaysia Airline MH17.

Ini cabaran besar bagi penyiasat dan pendakwa raya antarabangsa, apa lagi kuasa kecil seperti Malaysia.

Di Jerman semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi bahawa Malaysia mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 itu.

Namun, selain kekangan sikap lepas tangan Moscow, ada pendapat mengatakan setakat ini pendakwa raya tidak boleh memfailkan pertuduhan.

Ini  kerana tiada perjanjian antarabangsa berhubung mahkamah mana yang kes itu boleh dibicarakan.


Bagi Malaysia, asas kepada desakannya ialah Kumpulan Penyiasat Bersama (Joint Investigation Team) yang diketuai oleh Belanda membuat kesimpulan bahawa MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu bumi ke udara buatan Russia.

Pendakwa raya antarabangsa yang menyiasat nahas MH17 membuat kesimpulan, pesawat awam itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu bumi ke udara  - BUK 9M38 buatan Russia -  dari kampung Pervomaysk yang dikuasai pemberontak di timur Ukraine.

Pesawat malang itu  ditembak semasa berada pada ketinggian 30,000 kaki dan dan terhempas di kawasan Ukraine yang bergolak dekat sempadan Russia.

Penemuan itu dimaklumkan kepada keluarga mangsa sejurus sebelum sidang media diadakan di Belanda bagi mengumumkan hasil siasatan itu.

Robby Oehlers yang merupakan sepupu kepada mangsa berusia  20 tahun, Daisy Oehlers berkata, penyiasat turut mengenal pasti 100 suspek disyaki dalam nahas udara itu.

Keluarga mangsa juga dimaklumkan sistem peluru berpandu BUK yang digunakan dalam nahas itu diangkut dari Russia ke Ukraine. ia didakwa dikembalikan segera ke Russia, selepas kejadian itu.


"Berdasarkan dua dapatan ini, Malaysia mahu tindakan tegas diambil. Kami telah berjanji bahawa pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat ini akan dibawa ke muka pengadilan," kata Perdana Menteri kepada media Malaysia di Wismar (Jerman) semalam.

"Ini janji kami kepada keluarga. Keluarga mahu keadilan. Maka kami akan mengusahakannya," katanya.

Semalam juga di Nieuwegein (Belanda)  kumpulan penyiasat antarabangsa diketuai Belanda merumuskan bahawa pesawat MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu BUK yang dibawa dari Russia ke Ukraine.

Ketua Jabatan Penyiasatan Jenayah Pusat Belanda, Wilbert Paulissen berkata sistem pertahanan peluru berpandu BUK itu kemudian diangkut balik ke Russia selepas MH17 ditembak jatuh, mengorbankan semua yang berada dalam pesawat.

"Berdasarkan siasatan jenayah, kami membuat kesimpulan bahawa Penerbangan MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu BUK 9M38-Series, dari wilayah Persekutuan Russia," kata beliau.


Pesawat MH17 ditembak semasa berada pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan Ukraine yang bergolak dekat sempadan Russia.

Pesawat Boeing B777 itu, dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan membawa 298 penumpang termasuk anak kapal, apabila ditembak jatuh di ruang udara di timur Ukraine pada 17 Julai, 2014.

Terdapat 193 penumpang warga Belanda dan 44 warga Malaysia dalam pesawat malang itu. Identiti kesemua mangsa warga Malaysia telah dikenal pasti.

Tahun lepas, pengerusi Lembaga Keselamatan Belanda Tjibbe Joustra turut mengesahkan bahawa MH17 ditembak jatuh dengan pelancar peluru berpandu Buk darat ke udara di ruang udara timur Ukraine.

Sebelum ini  Najib berkata Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) terdiri daripada lima negara - Australia, Belgium, Belanda, Malaysia dan Ukraine akan mengadakan mesyuarat untuk memutuskan pelan tindakan untuk membawa pelaku jenayah itu ke muka pengadilan selepas laporan itu disiarkan.

Untuk waktu ini, Malaysia akan mengadakan mesyuarat bersama-sama dengan Belanda dan Australia untuk membincangkan langkah selanjutnya.

“Kami perlu pastikan bahawa pihak yang bertanggungjawab itu mendapat hukuman setimpal,” kata Najib.


Russia yang cuba bermain silap mata sebelum ini berkata ada keluarga mangsa menyatakan data radar menunjukkan pesawat itu tidak dijatuhkan peluru berpandu bumi ke udara  yang dilepaskan dari kawasan dikuasai pemisah pro-Russia di timur Ukraine.

Sebaliknya data radar mengenal pasti semua objek tebang yang mungkin dilancarkan atau berada di udara di kawasan dikuasai pemberontak ketika itu,” demikian menurut  jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov di Moscow.

Ketika kejadian, pemisah pro-Russia sedang bertempur dengan tentera kerajaan Ukraine di wilayah terbabit.


Nahas itu turut menjadi asas penting dalam isu sekatan yang dikenakan Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat ke atas Russia, susulan konflik dengan Ukraine dan ketegangan Timur-Barat yang mencapai tahap tidak pernah dilihat sejak Perang Dingin berakhir.

No comments:

Post a Comment