Monday, May 16, 2016

BN Tidak Gentar Dengan Provokasi Sokong Pembangkang Oleh Tun M - Dr Zambry


Barisan Nasional (BN) tidak gentar dengan provokasi dicetuskan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu pembangkang menewaskan BN pada dua pilihan raya kecil (PRK) yang akan berlangsung bulan depan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak Datuk SeriDr Zambry Abdul Kadir berkata adalah menjadi tanggungjawab anggota parti itu untuk mempertahankan UMNO dan BN khususnya daripada sebarang provokasi dan serangan pihak tertentu yang cuba menjatuhkan kerajaan BN.

Menteri Besar Perak itu berkata apa yang penting ketika ini ialah memberi fokus kepada persiapan menghadapi PRK dengan mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Kangsar yang
disandang BN sebelum ini dan juga kerusi Parlimen Sungai Besar (Selangor).

Kerusi parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon dari BN yang terkorban dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan tarikh 18 Jun depan bagi tarikh pembuangan undi serentak bagi Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Dalam pilihan raya umum lalu, PAS hanya kalah tipis kira-kira 399 majoriti undi di Sungai Besar dan hanya ketinggalan kira-kira 1,082 majoriti undi di Kuala Kangsar.

"Dalam setiap PRK, sudah tentu adanya cabaran yang akan kita hadapi. Jikalau dahulu cabaran datangnya daripada pembangkang namun kali ini cabaran daripada bekas perdana menteri pula.

"Kita perlu menyusun (strategi) untuk berhadapan dengan cabaran sedemikian. Saya lebih suka pendekatan yang diamalkan selama ini ketika kita mengendalikan pilihan raya kecil atau pilihan raya umum di Perak," katanya.

Zambry bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke syarikat industri penghasilan jentera, Bromma (Malaysia) Sdn Bhd di Zon Perindustrian Bebas Kinta di Chemor yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid di Ipoh hari ini.



Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir yang meletakkan harapan besar supaya parti pembangkang bersatu meletakkan satu calon untuk menewaskan BN masing-masing di PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Dr Mahathir semalam mahu kedua-dua kerusi tersebut hanya ditandingi satu lawan satu sahaja.

Dr Mahathir berkata, ia bagi mengelakkan perpecahan undi di kalangan pembangkang seperti berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak sebelum ini.

"Bulan puasa ini kita akan berdepan dengan dua pilihan raya kecil, saya berharap kita semua akan mengalahkan BN dalam PRK kali ini. Jangan ambil kira siapa yang lawan BN, kita hendak satu parti sahaja yang lawan BN kerana kita tahu kalau kita letak dua tiga calon seperti yang berlaku di Sarawak, undi berpecah dan BN akan menang.

"Kalau kita hanya ada satu lawan satu kita boleh tentukan kekalahan BN dengan mengundi sebarapa banyak mungkin kepada calon yang melawan BN," kata Dr Mahathir ketika berucap dalam Himpunan Selamatkan Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam, malam semalam.

Dr Mahathir berkata meskipun PAS bukan lagi sebahagian dari pakatan itu HARAPAN perlu bersatu bagi menumbangkan BN.

"Jangan kita (pertikai) siapa calon ini, kalau pun daripada dia parti PAS dan PAS tidak bersama dengan kita tetapi yang utama mengalahkan BN untuk menunjukkan kepada Najib bahawa rakyat sudah tidak lagi sokongnya, sebab itu kita harus kerja keras untuk mengalahkan BN dalam PRK pada kali ini.

"Ini akan menjadi bukti bahawa kemenangan di Sarawak bukan kemenangan Najib walapun dihambur begitu banyak wang disana tetapi mereka memikir tentang kepentingan Sarawak semata-mata bukan berkenaan dengan sokongan kepada Najib," tegas Dr Mahathir.

Zambry turut memberi amaran tindakan tegas termasuk tindakan dipecat akan diambil terhadap anggota UMNO yang menjadikan perbuatan mensabotaj parti sebagai penghalang dalam usaha memenangi kerusi Parlimen itu pada 18 Jun.

"Kita tidak boleh berkompromi sama sekali dengan mana-mana pihak yang mengkhianati parti. Tindakan terhadap pengkhianat parti ialah dengan mengeluarkan mereka daripada parti.

"Ini bukan dalam konteks BN sahaja kerana pembangkang juga akan melakukan perkara yang sama jika anggota mereka didapati mensabotaj parti," katanya.

No comments:

Post a Comment