Sunday, June 5, 2016

'Perang Profesional' Di PRK Kuala Kangsar, Mastura Ikrar Berjuang

Calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.Dari kiri calon Parti Amanah Dr Ahmad Termizi Ramli, wakil calon BN mewakili Datin Mastura Mohd Yazid,calon PAS Dr Najihatussalehah Ahmad dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid, 55, menolak dakwaan beliau dipaksa untuk bertanding.

Ketika ditanya mengenai dakwaan beliau telah dipaksa untuk bertanding pada PRK kali ini, Mastura memberitahu, tiada sesiapa yang memaksanya untuk bertanding tetapi ia merupakan penghormatan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana memberi penghormatan dengan memilih saya sebagai calon.

"Saya akan berjuang sebaik mungkin untuk meneruskan kepimpinan yang ditinggalkan Allahyarham," jelasnya.

Calon Barisan Nasional, Datin Mastura Mohd Yazid bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar (tengah) menerima sokongan penuh daripada empat orang anaknya, dari kiri: Wan Iskandar, Wan Imar dan Wan Emir Astar dan Wan Amar Wan Mohamad Khair-il pada sidang media di kediamannya bersama Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selepas penamaan calon PRK, Ahad.
Mastura juga menolak andaian tidak mampu menjaga kebajikan penduduk kerana bukan anak tempatan.

Menurutnya, isu itu tidak timbul kerana walaupun  tidak dilahirkan di Kuala Kangsar tetapi beliau sentiasa berkhidmat untuk masyarakat di sini sejak hampir 30 tahun lalu.

"Saya telah 25 tahun di sini. Saya telah menjadi orang Kuala Kangsar. Anak-anak saya adalah testimoni terbaik untuk dilihat. Kalau saya dipilih sebagai Ahli Parlimen Kuala Kangsar sudah pastinya saya perlu ke Kuala Lumpur untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat.

"Itu perkara biasa, sebelum ini juga begitu. Tetapi apa yang penting ialah khidmat saya di sini, bagaimana saya menjaga kebajikan penduduk Kuala Kangsar," jelas beliau pada sidang media di rumahnya semalam.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manong, Datuk Mohd Kamil Shafie dan Adun Bukit Chandan, Maslinsham Razman.

Sementara itu, dengan berakhirnya penamaan calon semalam , maka secara rasminya bermulalah kempen 'perang profesional' pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Kempen PRK Kuala Kangsar dianggap sebagai perang profesional kerana keempat-empat calon yang bertanding memiliki latar belakang pendidikan yang tinggi.

Calon Barisan Nasional adalah graduan undang-undang dari universiti terkemuka perundangan, Lincoln's Inn di United Kingdom dan pernah bertugas sebagai peguam selama enam tahun.

Sementara itu, calon PAS Dr Najihatussalehah Ahmad,50, memiliki Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari Universiti Malaya dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Hopital Kuala Lumpur.

Calon Parti Amanah Negara (Amanah) Prof Dr Ahmad Termizi Ramli,62, pula merupakan bekas profesor di Jabatan Fizik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Fizik Perubatan dari University of Swansea, Wales.

Calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary,49, pula merupakan bekas pensyarah yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Senibina dari Manchester Metropolitan University, United Kingdom.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata keputusan semua parti-parti bertanding meletakkan calon yang mempunyai latar belakang prosefional memberi isyarat jelas b ahawa mereka mampu menaakul keperluan penduduk.

"Dengan latar belakang pendidikan tinggi, ia merupakan satu persaingan sihat. Ini adalah angkubah bahawa Malaysia mengamalkan kebebasan demokrasi," katanya.

Bagaimanapun, katanya latar belakang profesional itu bukan jaminan kepada penerimaan pengundi di kawasan itu kerana mereka pastinya mahukan wakil rakyat yang dapat memenuhi permintaan serta masalah mereka.

"Dalam konteks ini, strategi jentera BN harus lebih mantap termasuklah memastikan ia bukan setakat mampu memikat pengundi malah keluarga pengundi juga demi kelangsungan parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang," katanya.

Bagaimanapun, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood melontarkan pandangan berbeza dengan berkata kelulusan akademik bukan satu kelebihan besar kepada mana-mana calon yang bertanding dalam PRK Kuala Kangsar.

"Sebaliknya, pengundi cuma nak tahu sejauh mana calon yang bertanding itu boleh dipercayai dalam membela nasib mereka," katanya sambil menyuarakan pendapat peribadinya bahawa Mastura boleh menang dalam PRK Kuala Kangsar.

Nik Ahmad Kamal berkata pembangkang mungkin sukar memanipulasi isu tempatan kerana ia sememangnya hampir tidak wujud namun, yakin mereka akan memainkan isu nasional yang lain.

"Tapi dengan adanya penerangan (berhubung isu nasional) daripada pihak kerajaan, saya rasa pengundi berpuas hati dan tidak akan menjejaskan potensi BN untuk mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Azmi Hassan juga senada dengan Nik Ahmad Kamal apabila menyatakan keyakinan bahawa Mastura boleh memenangi PRK itu walaupun bukan anak tempatan.

Beliau berkata walaupun Mastura berasal dari Negeri Sembilan, tetapi beliau telah menetap lebih 20 tahun di Kuala Kangsar malah, cukup dikenali oleh masyarakat setempat kerana sering mengikuti suaminya Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad ke program di kawasan Parlimen itu.

"Saya jangkakan pengundi memilih calon yang paling selesa, yang mereka kenali dan Mastura adalah yang paling sesuai.

"Walaupun calon BN tidak boleh keluar berkempen tapi ia tidak menjejaskan peluang beliau untuk menang PRK itu kerana Kuala Kangsar, yang mempunyai majoriti penduduk Melayu Islam, pasti memahami tuntutan syarak edah itu," katanya.

Mastura sebelum ini berkata beliau tidak dapat menyertai jentera BN berkempen kerana perlu menghabiskan tempoh edah selama empat bulan 10 hari berikutan kematian suaminya.

PRK Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun ini berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei.

Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pengundi berdaftar terdiri 22,496 Melayu, Cina (7,757), India (2,287), Bumiputera Sarawak (16), Bumiputera Sabah (13) dan Orang Asli (330).


sumber - BERNAMA

No comments:

Post a Comment