Monday, April 25, 2016

Pakatan Harapan Awal-Awal Lagi Sudah Mengaku Kalah Pada PRN Sarawak


DAP mengakui Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem akan memacu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata pakatan pembangkang mensasarkan untuk menafikan BN mendapat majoriti dua pertiga berbanding menukar kerajaan di negeri itu.

Katanya, Adenan boleh merealisasikan hasratnya untuk kekal mengemudi Sarawak untuk tempoh lima tahun lagi. "Beliau masih boleh kekal sebagai Ketua Menteri.

Tiada siapa menafikan perkara itu. Beliau mahu jadi Ketua Menteri untuk lima tahun lagi? Hasrat itu dipenuhi pada hari penamaan calon," katanya.

Lim berkata DAP tidak akan membincangkan mengenai isu pertindihan kerusi dengan PKR sehingga selepas 7 Mei.



Malah beliau amat kesal dengan kegagalan kedua-dua parti pembangkang itu gagal memastikan pertembungan satu lawan satu dengan BN.

"Sepanjang 50 tahun dalam politik, pilihan raya yang sedikit, saya amat sedih. Tapi apa cabarannya sekarang? Ia hari mengundi pada 7 Mei ini," katanya pada sidang media di Kuching hari ini. 

Pengerusi DAP Sarawak,Chong Chieng Jen pula menyalahkan PKR di atas timbulnya isu pertindihan kerusi. Beliau berkata isu dalaman PKR menjadikan rundingan lebih sukar dan tidak konsisten. "Ia adalah kesan akibat isu dalaman (dalam PKR)," katanya.

Malaysiakini pula melaporkan, pertembungan calon-calon Pakatan Harapan dari PKR dan DAP di enam kerusi pada pilihan raya Sarawak ke-11, selepas proses penamaan calon hari ini adalah tanda-tanda masalah besar bakal melanda pakatan pembangkang, kata penganalisis politik.


Prof Madya Andrew Aeria dari Universiti Malaysia Sarawak memberitahu Malaysiakini bahawa kedua-dua parti politik itu telah mengecewakan penyokong dan pengundi mereka yang menaruh HARAPAN sebagai alternatif kepada BN.

"Kegagalan untuk kompromi menunjukkan bahawa mereka melanggar peraturan utama dalam politik. Ini sangat malang. Pakatan Harapan nampaknya mempunyai masalah yang besar dalam usaha untuk bekerja sama.

"Rakyat amat mengharapkan mereka boleh menyelesaikan perbezaan dan mengelakkan pertembungan itu," kata Aeria.

Menurutnya, masalah itu berpunca daripada kegagalan dalam kepimpinan kedua-dua parti untuk berkomunikasi antara satu sama lain.

"Pertembungan hanya membuktikan terdapat dendam dan rasa tidak puas hati di antara pemimpin-pemimpin mereka di peringkat tempatan (di Sarawak)," katanya.

Merujuk kepada pertembungan lima penjuru di Batu Kitang, Aeria berkata keadaan itu mencerminkan "tahap dendam dan tidak puas hati di antara parti-parti gabungan itu".

Di Batu Kitang, calon DAP, Abdul Aziz Isa akan menentang calon PKR, Voon Shiak Ni. Ini berikutan selepas PKR mengingkari perjanjian untuk tidak meletakkan calon di lima kerusi luar bandar.

Tiga lagi calon lain di Batu Kitang adalah Lo Khere Chiang (BN), Othman Bojeng (Bebas) dan Sulaiman Kadir (Bebas). Berdasarkan perjanjian yang dicapai dua minggu lalu antara pemimpin pusat Pakatan Harapan,



DAP sepatutnya melepaskan Batu Kitang dan bertanding melawan BN di lima kerusi luar bandar - Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong. Sehingga malam tadi, Abdul Aziz masih dijadualkan untuk bertanding di Stakan dan Aeria berkata keputusan saat akhir untuk meletakkannya di Batu Kitang menunjukkan bahawa "idea untuk berkhidmat kepada rakyat adalah fiksyen". 

Pada masa yang sama, Aeria berkata BN juga tidak terkecuali daripada pertembungan sedemikian antara parti komponennya. "BN juga tidak ada bezanya (dengan HARAPAN)..

Secara keseluruhan ini menunjukkan politik di Sarawak masih demi mementingkan diri sendiri," katanya.

Penganalisis politik Ibrahim Suffian bersetuju dengan Aeria. "Pertandingan tiga penjuru menunjukkan pertikaian antara bersetuju dengan kepimpinan dalaman parti dan untuk mengekalkan pakatan yang berdaya maju.

"Pertembungan juga seolah-olah menunjukkan bahawa kelemahan dalaman parti boleh dieksploitasi oleh pihak lawan dan juga rakan-rakan gabungan," katanya.

Sebanyak 80 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak dipertandingkan selepas BN menang dua daripadanya tanpa saingan.

Hari pengundian ditetapkan pada 7 Mei.

No comments:

Post a Comment