Tuesday, April 26, 2016

Manifesto BN: Pelan Menyeluruh Bagi Sarawak Maju Ke Hadapan


Pemimpin Barisan Nasional (BN) menyifatkan Manifesto BN Sarawak 2016 untuk Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN-11) yang dilancarkan hari ini, adalah pelan pembangunan sangat menyeluruh bagi membawa Sarawak maju ke hadapan.

Manifesto bertemakan 'Beri Peluang Kepada TeamAdenan #theAdenanWay' itu yang menggariskan 15 teras utama untuk tempoh lima tahun akan datang, dilancarkan Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, yang juga Presiden PBB, di Ibu Pejabat PBB, di KUCHING, hari ini.

Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata manifesto itu unik kerana ia mempunyai dua bahagian, dengan yang pertama menggariskan pencapaian telah dilakar BN.

"Bahagian pertama adalah apa yang telah dibuat, dan kedua mengenai apa yang akan dibuat untuk tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata tiga sektor yang diberi penekanan ialah sosial, pendidikan dan ekonomi, yang menjadi antara perkara penting perlu diteruskan dalam usaha mentransformasikan kawasan luar bandar di negeri ini.

Abang Johari berkata dalam manifesto itu, Adenan menekankan keistimewaan yang ada pada Sarawak dan perkara itu memang dilakukan beliau dalam tempoh dua tahun selepas dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Sementara itu, Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian berkata manifesto tersebut adalah pelan kemajuan yang berterusan oleh BN Sarawak.

"Ini cara Adenan memimpin Sarawak dengan menekankan bukan sahaja berhubung pembangunan tetapi juga kos sara hidup rakyat. Ia termasuk menghapuskan tol, pengurangan tarif elektrik, kos feri dan pentaksiran tanah. Itu sebabnya mengapa kita perlu menyokong Adenan untuk tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Dr Sim berkata pembangkang sentiasa menyatakan bahawa pembangkang yang kuat adalah diperlukan bagi 'menilai dan menegur' BN, namun ia adalah sangat tidak sihat apabila perkara itu hanya daripada masyarakat Cina.

"Kita tidak mahu masyarakat Cina berada di luar kerajaan. Kita tidak mahu mereka menjadi pembangkang. Justeru, saya menyeru pengundi Cina untuk membuat pilihan yang bijak dan bukan berdasarkan kepada emosi.

"Pembangkang hanya pandai bermain isu sentimen, tetapi tidak pernah mengambil sebarang tindakan serius serta pelan yang konkrit," katanya.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula berkata manifesto BN Sarawak kali ini menyatakan secara lebih jelas perancangan parti itu untuk Sarawak.

"Ini janji kepada rakyat yang dibuat secara jelas. Saya percaya rakyat yang melihat manifesto ini tahu ke arah mana Pasukan Adenan akan bawa mereka ke hadapan," katanya.

Setiausaha Publisiti SUPP Pusat merangkap timbalan pengarah operasi pilihan raya, Adam Yii Siew Sang berkata tiga teras utama dalam manifesto itu adalah sangat penting bagi Sarawak.

Pertama, menegakkan hak Sarawak dan rakyatnya; kedua, mempertahankan keamanan dan keharmonian negeri kita; dan ketiga, memelihara budaya, warisan dan kepercayaan pelbagai kaum di Sarawak.

"Saya berpendapat ketiga-tiga teras ini amat penting bagi negeri kita untuk bergerak ke hadapan," kata Adam Yii.

No comments:

Post a Comment