Saturday, April 30, 2016

Abang Johari Ramal BN Menang Antara 68 dan 72 Kerusi

 

Barisan Nasional (BN) Sarawak dijangka memenangi antara 68 dan 72 kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) 7 Mei ini, kata Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

"Tengah hari tadi, kita (BN Sarawak) mencongak-congak kita akan dapat 68 hingga 70 kerusi. Mungkin juga 72 kerusi. Tetapi keyakinan kita ketika ini ialah (sekurang-kurangnya) 68 kerusi.

"Kita nampak (kemenangan) daripada maklum balas yang kita terima setakat ini," katanya selepas parti-parti yang bertanding memasuki hari kelima kempen.

Penamaan calon berlangsung 25 April lepas.

Abang Johari, penyandang kerusi Satok, berucap merasmikan Padang Komuniti Japalas Muda Hashim di Kuching malam tadi.

Beliau ditentang Mohamed Salleh Shawkatali dari PKR untuk kerusi Satok.

Sementara itu, kerajaan telah membelanjakan RM5 bilion untuk pembinaan jalan baharu dan menaik taraf jalan sedia ada di Sarawak dalam tempoh enam tahun sehingga sekarang.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata jumlah itu, bagaimanapun tidak termasuk peruntukan RM16.4 bilion untuk projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

Katanya perbelanjaan yang besar untuk pembinaan dan kerja menaik taraf jalan raya membuktikan komitmen kerajaan menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar bagi merapatkan jurang antara kedua-dua kawasan itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat hak milik tanah kepada 75 pemilik tapak rumah di Kampung Suba Bandar di Bau,  hari ini.

Ditanya tindakan pemilik tanah dari Simpang Nyabau ke Bakun yang enggan menyerahkan tanah masing-masing untuk memberi laluan kepada pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, Manyin berkata rundingan mengenai perkara itu sedang dijalankan.

Beliau berkata pampasan yang sewajarnya akan dibayar kepada pemilik tanah yang membenarkan pengambilan tanah mereka untuk projek berkenaan.

Katanya kerajaan telahpun membayar sejumlah RM800 juta nilai pampasan kepada pemilik-pemilik tanah terlibat.

Mengulas pemberian surat hak milik tanah untuk tapak rumah di kampung-kampung asal masyarakat Bidayuh oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Manyin berkata proses berkenaan akan diteruskan.

"Pemberian surat hak milik tanah kepada pemilik Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) masyarakat Bidayuh sangat perlu kerana tanah adalah satu-satunya harta masyarakat itu," katanya.

Beliau berkata dengan memiliki surat hak milik tanah, masyarakat Bidayuh boleh mencagarkan tanah mereka kepada bank dan institusi kewangan bagi mendapatkan pinjaman untuk memulakan perniagaan.


Sumber – Utusan Malysia & Bernama

No comments:

Post a Comment