Tuesday, November 24, 2015

Pertemuan Nurul Izzah-Jacel Kiram Satu Pengkhianatan - Penganalisis Politik


KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Mana-mana negara sekali pun akan menjalankan siasatan terhadap rakyatnya yang didapati telah bertemu dengan "musuh negara" kerana tindakan itu adalah satu bentuk pengkhianatan, kata seorang penganalisis politik.

Bersependapat dengan kebanyakan rakyat Malaysia yang mengecam pertemuan di antara Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan 'puteri' Sulu Jacel H. Kiram bahawa ia suatu "perbuatan keji", kata penyandang Kursi Tun Abdul Razak dan Profesor Pelawat dalam bidang sains politik di Universiti Ohio, Amerika Syarikat, Prof Dr Jayum Jawan.

Beliau juga menyifatkan ahli politik muda itu seperti mengkhianati rakyat Sabah dan memperlekehkan pegawai penguatkuasa undang-undang yang terkorban ketika mempertahankan negara daripada serangan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu pada 2013.

"Jacel adalah anak kepada Sultan Sulu Jamalul Kiram III, yang mengarahkan pencerobohan ke atas Sabah demi kepentingan tuntutannya terhadap negeri itu.

"Bertemu dengan musuh negara adalah satu tindakan sangat keji kerana pada hakikatnya beliau (Nurul Izzah) patut menjadi contoh seorang patriot kepada seluruh rakyat Malaysia," kata Jayum kepada Bernama.

Selepas gambar pertemuan beliau bersama-sama Jacel menimbulkan kontroversi, Nurul Izzah mengakui dalam satu kenyataan bahawa beliau bertemu Jacel pada 9 Nov di Filipina, bersama-sama dengan Anggota Parlimen Batu Tian Chua.

Nurul Izzah berkata beliau tidak pernah meminta untuk bertemu malah tidak pernah mengenali Jacel sebelum ini, dan Jacel merupakan seorang daripada tetamu yang diundang oleh hos beliau pada satu majlis di Manila.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Ahad lepas dipetik sebagai berkata bahawa Nurul Izzah, yang merupakan Anggota Parlimen Lembah Pantai, boleh disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Seksyen 124 Kanun Keseksaan.

Walaupun Nurul Izzah telah memohon maaf, tindakan beliau dianggap serius kerana telah bertemu musuh negara yang bertanggungjawab terhadap pencerobohan di Lahad Datu, kata Khalid, sambil menambah kata bahawa pemimpin PKR itu akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Jayum, yang juga Timbalan Ketua Kluster (Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa) Majlis Profesor Negara (MPN), turut bersetuju dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa tindakan undang-undang perlu diambil dan polis akan menyiasat perkara itu.

Ahmad Zahid berkata polis akan sentiasa berhubung dengan Jabatan Peguam Negara untuk melihat jika sebarang tatacara tindakan boleh diambil terhadap Nurul Izzah kerana "mengiktiraf" musuh negara.

"Hakikatnya, kata-kata TPM adalah benar apabila beliau berkata ia bukan satu isu politik dan tidak boleh dianggap sedemikian. Tetapi perbuatannya (Nurul Izzah) telah mencabar keselamatan dan kedaulatan negara, serta integriti sebagai sebuah negara bangsa bebas, yang sepatutnya dihargai dan disokong oleh setiap rakyat Malaysia," katanya.

Jayum juga menyokong saranan sesetengah badan bukan kerajaan dan parti politik Sabah bahawa Nurul Izzah hendaklah dilarang daripada memasuki negeri berkenaan.

"Nurul Izzah mengkhianati rakyat Sabah dengan mengadakan pertemuan dengan musuh yang telah menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat Sabah.

"Permohonan maaf sahaja tidak cukup... beliau mesti meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen kerana beliau telah kehilangan kuasa moral untuk terus bersuara dan mempertahankan perlembagaan Malaysia. Saya juga percaya 'lagaknya' bergambar itu telah membunuh masa depan PKR di Sabah," kata Jayum.

Sementara itu,  Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan tindakan tidak sensitif dua Naib Presiden PKR Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar mengatur serta bertemu dengan Jacel H. Kiram sebagai salam perpisahan parti itu kepada sokongan rakyat Sabah.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata selain mengguris perasaan rakyat Sabah, pertemuan dua pimpinan tertinggi PKR dengan anak perempuan bekas ketua pengganas yang menceroboh Lahad Datu, Sabah pada 2013 itu juga dilihat sebagai menghina jasa anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam insiden tersebut.

"Dalam kes ini, saya melihat kedua-dua mereka sebenarnya telah melakukan satu perbuatan yang sangat-sangat tidak sensitif terhadap rakyat Sabah, terutamanya kepada mangsa pencerobohan dan juga waris anggota keselamatan yang terkorban dalam pertempuran.

"Saya tak pasti apa tindakan yang boleh diguna pakai tetapi saya rasa lebih baik rakyat Sabah yang menentukannya dari segi sokongan mereka ... PKR pada asasnya telah mengucapkan salam perpisahan kepada sokongan banyak rakyat Sabah," katanya mengulas pendedahan bahawa Tian Chua merupakan individu bertanggungjawab dalam mengatur pertemuan antara Nurul Izzah dan Jacel.

Beliau juga mempersoalkan motif pertemuan itu yang disfatkan bukan sebagai terserempak sehingga sukar untuk dielakkan berikutan posisi gambar diambil serta poster yang dipegang yang jelas menggambarkan tiada kesedaran atau rasa sensitif kepada rakyat Sabah yang menjadi mangsa serta anggota keselamatan yang terkorban.

"Kalau kita terserempak dengan orang dan kita tidak sempat nak elak dan gambar terserempak dengan seseorang individu itu diambil gambar, saya rasa ia boleh dimaafkan lagi tetapi apabila siap berselfie ... saya fikir itu melukakan perasaan ramai pihak," katanya.

Khairy berkata sama ada Tian Chua adalah dalang pertemuan itu atau sebaliknya, beliau berharap kedua-dua pimpinan PKR itu memohon maaf secara terus kepada mereka yang berkaitan, terutamanya kepada waris mereka yang terkorban tanpa perlu menyatakan apa-apa justifikasi.

Sebelum ini, Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Lembah Pantai dilaporkan telah membuat permohonan maaf selepas gambarnya bertemu Jacel di Filipina pada 9 Nov lepas dimuat naik di laman Facebook mendapat kritikan, manakala semalam, Tian Chua pula menafikan beliau adalah dalang dalam pertemuan itu.

 Di Muar, semalam, Naib Presiden 1 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Mejar (B) Sazali Ismail menyifatkan tindakan Nurul Izzah sebagai tidak prihatin dan sensitif dengan keluarga perajurit yang terkorban dalam serangan di Lahad Datu, dua tahun lalu.

"Pertemuan itu tidak sepatutnya berlaku dan apa tujuan sebenar beliau (Nurul Izzah). Ini berkenaan kedaulatan negara dan kita kena harus ingat kedaulatan ini bukan datang begitu sahaja tetapi melalui pengorbanan wira negara," katanya.

Tindakan Nurul Izzah itu mengundang kemarahan orang ramai dan pertemuan itu turut dipersoalkan agenda serta motifnya kerana dilihat boleh mengancam kedaulatan negara.

Sazali berkata tindakan Nurul Izzah seolah-olah tidak memikirkan perasaan anggota keluarga perajurit yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi berdarah itu.

Katanya walau apa alasan sekali pun termasuk tindakan Nurul Izzah sudah memohon maaf, perkara tersebut tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana majoriti rakyat tetap tidak akan menerima tindakannya itu.

No comments:

Post a Comment