Showing posts with label Budiman. Show all posts
Showing posts with label Budiman. Show all posts

Sunday, June 5, 2016

Dr Ahmad Zahid Minta 40,000 Pengundi Sungai Besar Pilih Budiman


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap lebih 40,000 pengundi di Parlimen Sungai Besar akan memberi peluang kepada calon Barisan Nasional (BN), Budiman Mohd Zohdi  untuk menjadi wakil mereka.

Ini adalah kerana beliau adalah calon tempatan yang dikenali dan mengetahui isu dan permasalahan penduduk kawasan itu.

"Saya berharap pengundi di Sungai Besar akan dapat melihat ini bukan dengan emosi tetapi dengan kenyataan daripada rekod cemerlang yang telah diperlihatkan oleh wakil-wakil rakyat terutama Anggota Parlimen BN sebelum ini," katanya.

Pengurus PRK Sungai Besar Khairuddin Md Som mengesahkan tiga calon iaitu Budiman daripada BN, Dr Abdul Rani Osman daripada PAS dan Azhar Abdul Shukor daripada Amanah yang mewakili Pakatan Harapan, layak bertanding bagi merebut kerusi berkenaan.


Parlimen Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18 peratus pengundi Melayu, 30.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus pengundi India dan 0.23 peratus pengundi daripaDa kaum lain.

Dr  Ahmad Zahid yang juga Naib Pengerusi BN turut menasihatkan kepimpinan parti komponen BN untuk mengukuhkan dan merapatkan barisan bagi memastikan kemenangan besar bagi calon BN yang bertanding.

"Untuk jentera (PRK), saya ucapkan terima kasih kepada semua parti komponen BN seperti MCA, MIC, Gerakan dan parti mesra BN. Kita lihat (parti komponen) semangat begitu tinggi dan tidak ada sebarang insiden yang berlaku.

"Kita hendaklah berada dalam satu pasukan untuk hadapi rakyat kerana rakyat yang menjadi hakim untuk menentukan siapakah yang bakal (dipilih) menjadi anggota Parlimen nanti," katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata BN akan mengambil pendekatan sederhana, namun akan memastikan mesej kempen disampaikan dengan jelas kepada semua pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai menghormati bulan Ramadan.

Menurutnya, bulan Ramadan tidak akan menjadi penghalang bagi anggota jentera pilihan raya BN yang beragama Islam untuk mendekati rakyat selain menggunakan peluang tersebut untuk berkhidmat mengikut tuntutan agama Islam.

"Kumpulan berbeza (parti bertanding) tentunya pendekatan yang berbeza. Tetapi kita yakin pendekatan itu perlu sesuai dengan citarasa tiap-tiap khalayak tumpuan," katanya.


Mengulas mengenai pertandingan tiga penjuru di Sungai Besar, Ahmad Zahid berkata: "BN tidak mahu bersikap takabbur ataupun riak dan Insya-Allah kita sentiasa berada di barisan hadapan".

Katanya BN tidak akan mencampuri urusan dan masalah yang dihadapi antara PAS dengan Pakatan Harapan dan hanya memfokuskan menjaga rakyat.

"Kita tak mahu melayani perbezaan begitu. Justeru saya harap rakyat memberikan kepercayaan kepada BN," katanya.

Timbalan Perdana Menteri selain itu, turut berharap parti yang bertanding dalam dua pilihan raya kecil kali ini dapat terus mengekalkan kematangan politik semasa berkempen sepertimana dipaparkan pada proses penamaan calon hari ini.

Menurutnya, kematangan politik itu dapat dilihat berdasarkan suasana tenang dan keharmonian yang ditunjukkan antara penyokong dan calon parti-parti bertanding ketika proses penamaan calon bagi PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Perak.

"Kepimpinan ketiga-tiga parti telah dapat bertemu dengan baik, bukan hanya sekadar membicarakan soal-soal politik tapi juga kami (duduk semeja) makan bersama. Suasana ini harus diterjemahkan dalam tempoh kempen.

"Saya merasakan ini bagi menghormati bulan Ramadan (bermula esok). Bagi saya jika perbezaan pendapat dapat diraikan dengan akhlak dan sahsiah terpuji, maka saya fikir terserahlah kepada rakyat untuk memilih siapa (calon) yang terbaik," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian pada pemberita selepas proses penamaan calon PRK Parlimen Sungai Besar yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara BN, PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah).


(dari kiri) Calon Parti Amanah Negara (AMANAH) Dr Ahmad Termizi Ramli, Mohamad Kamil Shafie yang mewakili calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid, calon PAS Dr Najihatussalehah Ahmad dan calon BEBAS Izat Bukhary Ismail Bukhary
Di PRK Kuala Kangsar, ia  menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, PAS, Amanah dan Bebas.
  
Mereka ialah Datin Mastura Mohd Yazid daripada BN, Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad, Naib Ketua Amanah kawasan Kuala Kangsar Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Nama empat calon itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Parlimen Kuala Kangsar Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria.

Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pengundi mengikut daftar pemilih yang didaftarkan SPR sehingga 7 Mei lepas.

Kedua-dua PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak, pada 5 Mei lalu.

Pada pilihan raya umum ke-13, Noriah mengalahkan calon PAS Mohamed Salleh M.Hussin dengan majoriti 399 undi manakala Wan Mohammad Khair-il Anuar menewaskan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan Bebas Datuk Kamilia Ibrahim dengan majoriti 1,082 undi.

sumber - BERNAMA

Friday, May 27, 2016

Budiman Bawa Panji-Panji UMNO, BN Pada PRK Sungai Besar


Budiman Mohd Zohdi, 44, anak tempatan yang berasal dari Kampung Sungai Limau di Sungai Besar, dan juga Setiausaha ADUN (Barisan Nasional (BN) Selangor kini membawa panji-panji UMNO dan BN di Parlimen Sungai Besar.

Beliau diumumkan sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini daripada kalangan tujuh nama dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon.

Pada 22 Mei lalu lalu, Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar BN berkata  Selangor mengemukakan tujuh nama untuk dipertimbangkan sebagai calon PRK itu.

Noh  yang juga pengarah PRK Parlimen Sungai Besar, berkata tujuh nama yang dikemukakan itu merupakan anak tempatan, mempunyai latar belakang berkelayakan tinggi dan memenuhi ciri sebagai calon boleh menang dalam pilihan raya itu.

"Tujuh calon yang disenaraikan ini termasuk seorang calon wanita... yang paling muda berusia 30 tahun dan yang agak veteran berusia 60 tahun dan kesemua mereka merupakan anak jati tempatan,” tegasnya.

Ahmad Zahid berkata pemilihan Budiman diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN, selepas mengambil kira pelbagai aspek.

"Apa yang penting, calon ini disenangi oleh semua peringkat terutama akar umbi dan diterima oleh rakan-rakan dari semua kaum.

"Kombinasi semua ini akan menjadi faktor penentu kemenangan BN di PRK Parlimen Sungai Besar nanti.

"Terlalu ramai layak jadi calon dan kita pilih anak tempatan yang boleh jalankan tugas dengan baik, muda, berkaliber serta boleh meneruskan kerja-kerja wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon," katanya.


Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013, Budiman menang kerusi DUN Sungai Panjang selepas menewaskan Mohd Fadzin Taslimin daripada PAS dengan majoriti 2,183 undi. DUN Sungai Panjang berada di bawah Parlimen Sungai Besar.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18 peratus pengundi Melayu, 30.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus pengundi India dan 0.23 peratus pengundi dari kaum lain.

Budiman kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Lawan Budiman setakat ini ialah ADUN Meru sejak 2008, iaitu  Dr Abdul Rani Osman yang merupakan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor.

Sebelum mencerubi politik, Rani menjalankan sebuah klinik swasta 'Fitrah' di pekan Meru.

Beliau yang memiliki ijazah dalam bidang perubatan daripada Universiti Tanta, Mesir menewaskan calon daripada Barisan Nasional Sukaiman Ahmad dengan majoriti 9,079 undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di hadapan kira-kira 500 penyokong parti itu di Markaz PAS Simpang 5, Sungai Besar, malam tadi.

Turut hadir naib presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga pesuruhjaya PAS Selangor, anggota parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang juga ketua pemuda PAS dan Presiden IKATAN Tan Sri Shiekh Kadir Fadzir.

"Ini pilihan raya kecil dan kita memerlukan tokoh yang terjun bersama rakyat.
"Calonnya adalah Dr Abdul Rani Osman. Saya difahamkan, beliau ada darah Banjar dan Jawa. Semua anak Adam," kata Hadi disambut laungan takbir.

Abdul Rani sewaktu berucap berjaya memukau hadirin yang hadir apabila dalam ucapannya turut diselitkan dengan bahasa Jawa. 

Abdul Rani turut menjelaskan bahawa beliau seorang yang penyabar dan berjanji “tidak akan mencampak mikrofon sewaktu berucap”.

"Saya bukan orang yang senang marah. Saya tak akan baling mikrofon," katanya.
Tidak jelas beliau merujuk kepada siapa.

Presiden serpihan PAS - Parti Amanah Negara (Negara) Mohamad Sabu sebelum ini mencuri perhatian selepas membaling mikrofon di atas pentas.


Amanah  akan mengumumkan calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Rabu depan.

"Kita letak banyak nama sebagai calon antaranya Mat Sabu (Presiden Amanah Mohamad Sabu) dan Nizar (Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin)," kata Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad pada sidang media di Shah Alam semalam.