Lebih 21,000 pegawai dan anggota keselamatan akan terlibat dalam
proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) esok.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
berkata, daripada jumlah itu, seramai 9,909 daripada pengundi awal tersebut
merupakan pegawai dan anggota polis.
"Oleh kerana mereka akan bertugas pada hari
pengundian dan beberapa hari sebelum hari pengundian maka mengikut Akta
Suruhanjaya Pilihan Raya mereka perlu mengundi awal esok," katanya dalam
sidang akhbar di Kuching hari ini.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah
bersiap sedia melaksanakan proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri Sarawak
ke-11 (PRN-11) esok, melibatkan 24,604 pemilih di 79 pusat pengundian.
Pengarah SPR Sarawak, Datuk Takun Sunggah berkata
pengundi terbabit terdiri daripada anggota keselamatan serta pasangan mereka,
yang akan mengundi di 100 tempat mengundi di pusat-pusat berkenaan mulai 8 pagi
hingga 5 petang.
"Saya berharap perjalanan (pengundian awal) berjalan
lancar esok, dan semua pengundi awal akan mengundi di tempat-tempat mengundi
yang telah ditetapkan," katanya kepada pemberita di Kuching, hari ini.
Bagaimanapun, jumlah pemilih itu tidak melibatkan 418
pengundi awal di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) - Bukit Kota dan Bukit
Sari, berikutan kemenangan tanpa bertanding BN di kedua-dua kerusi itu pada
hari penamaan calon, 25 April lepas.
Setelah selesai pengundian awal esok, kertas-kertas undi
akan disimpan di lokap-lokap polis dan hanya akan dikira mulai 4 petang pada
hari pengundian biasa, 7 Mei ini, di tempat-tempat pengiraan undi yang
ditetapkan SPR.
Takun juga berkata persiapan SPR menghadapi hari
pengundian biasa pada 7 Mei, kini hampir siap sepenuhnya.
Hari ini (2 Mei) merupakan penghantaran terakhir kertas
undi, dakwat pilihan raya dan kelengkapan bagi pengundian biasa ke
kawasan-kawasan pedalaman menggunakan tiga buah helikopter dan dua pesawat
'fixed wing', katanya.
"Sebanyak 41 DUN yang perlu dihantar kelengkapan
pilihan raya menggunakan helikopter dan pesawat 'fixed wing' merangkumi zon Sibu,
Sri Aman, Miri dan Batu Danau di Limbang," katanya.
Takun turut meninjau proses penghantaran terakhir
kelengkapan mengundi itu di hangar Hornbill Skyways, hari ini.
Katanya penghantaran menggunakan helikopter melibatkan
kawasan Saratok, Sarikei, Pakan, Julau, Kapit, Belaga, Sungai Isap, Tanjung
Manis, Bario dan Mukah, manakala pesawat 'fixed wing' menghantar kelengkapan
pilihan raya ke Sibu, Bintulu, Miri, Marudi dan Limbang.
Takun berkata kelengkapan pengundian awal esok, telah
siap dihantar ke pusat-pusat pengundian pada 30 April, manakala untuk undian
pos sudah dihantar ke DUN yang terlibat pada 27 April.
Kertas undi, katanya mula dicetak bermula 25 April oleh
Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) cawangan Kuching, dan proses cetakan
siap pada 30 April.
Bagi kawasan N1 Opar sehingga N37 Bukit Saban, pegawai
pengurus pilihan raya akan mengambil sendiri kertas undi di PNMB cawangan
Kuching, katanya.
Menurut daftar pemilih, terdapat 1,113,522 pemilih biasa
pada PRN-11.
No comments:
Post a Comment